Selasa, 13 September 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tarian menghargai tetamu

Posted:

Tarian menghargai tetamu

Tarian menghargai tetamu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


ANAK gadis di pulau gaya ini digalakkan mempelajari tarian daling-daling supaya dapat meraikan tetamu yang bertandang ke perkampungan mereka.


KAMPUNG Kasuapan, Pulau Gaya, Sabah pada petang itu meriah dengan riang tawa kanak-kanak. Suasana juga agak riuh rendah apabila setiap daripada rumah di sana sibuk menghias halaman rumah masing-masing.

Lazimnya, kata Siti Rayah Mad Salleh, 37, perkampungan itu sunyi sepi. Masing-masing lebih senang mengurus hal sendiri.

"Oleh kerana di sini bekalan elektriknya terhad, cuma sekali sekala saja awak akan dengar budak-budak muda Kampung Kasuapan berkaraoke lagu-lagu Indonesia," kata wanita itu lagi.

Perbualan rancak kami terhenti seketika tatkala sekumpulan anak-anak gadis dan kanak-kanak perempuan mendekatinya. Mekap tebal yang dikenakan dan sanggul yang tersimpul rapi oleh setiap daripada mereka ternyata menarik perhatian penulis.

"Kami sedang dalam persiapan membuat persembahan tarian daling-daling untuk raikan dan menghargai kamu dan rakan-rakan," kata Siti Rayah spontan kepada Kosmo!.

Perkampungan nelayan itu sebenarnya didiami oleh penduduk yang majoritinya berketurunan Iranun, Ubian, Suluk dan Filipina. Kebanyakannya bertutur dalam bahasa Bajau.

Kepada orang luar, usah gusar ke sana kerana para penduduknya sangat ramah.

Buktinya, semasa kunjungan penulis dalam program Sayangi dan Cintai Sungai anjuran Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, kami disambut dengan tangan terbuka.

Siti Rayah dan lebih kurang 20 anak gadis itu juga bersikap demikian dan mempelawa kami untuk ke padang untuk mengikuti latihan persembahan.

Tarian daling-daling itui merupakan satu tarian tradisional suku kaum Ubian. Perkataan daling-daling itu dipercayai berasal daripada perkataan Inggeris 'darling' yang bererti kekasih.


TARIAN daling-daling lebih memfokuskan kepada gerak tangan dan liuk-lintuk badan.


Tarian dari Filipina

Kata Siti Rayah, tarian tersebut berasal dari Sepanyol. Namun, ada cakap-cakap mengatakan ia adalah tarian asal suku kaum Bajau di daerah Semporna. Ada juga berpendapat ia dibawa oleh orang Suluk dari Kepulauan Mindanao selepas mendapat pengaruh tentera Sepanyol.

"Tarian ini lebih kepada menghiburkan tetamu luar yang datang bertandang ke kampung kami," katanya.

Namun mengikut sejarah, tarian unik itu akan dipersembahkan dalam majlis keraian seperti pertunangan, perkahwinan, hari raya malah pada majlis berkhatan dan berkhatam al-Quran juga ditarikan.

Kata Siti Rayah, tarian daling-daling lebih memfokuskan kepada gerak tangan dan liuk-lintuk badan berbanding dengan pergerakan kaki. Ia ditarikan dengan iringan lagu yang bertajuk Mika-Mika.

Dia yang bertindak sebagai jurulatih kepada anak gadis kampung itu memberitahu, pada zaman dulu, setiap jari penari akan dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa. Kuku itu pula dinamakan janggal.

Jika dulu, alat muzik yang dikenali sebagai gabbang dan dua bilah kayu yang dipanggil bolak-bolak serta biola dimainkan, tapi pada zaman moden ini, hanya cakera padat yang diputarkan.

"Sekarang juga tiada tradisi berbalas pantun antara penari lelaki dan perempuan.

"Di kampung ini, ia ditarikan oleh penari perempuan saja dari umur lima tahun hingga 20-an dan terdapat banyak kumpulan yang dicipta sendiri oleh mereka sendiri," katanya sambil memberitahu tarian tersebut umpama tarian yang harus dipelajari oleh anak gadis di Kampung Kasuapan.


PENDUDUK Kampung Kasuapan terutama kanak-kanak cukup teruja melihat persembahan tarian yang berlangsung.


Belajar sejak kecil

Sonita Molong, 18, antara puluhan anak gadis yang tertarik dengan tarian unik berkenaan.

Meskipun pada awalnya, dia malu-malu untuk ditemubual, Sonita memberitahu, dia mempelajari tarian itu sejak kecil lagi.

"Ia seperti sudah menjadi satu ikutan, daripada suka-suka akhirnya saya sendiri tak sangka boleh mahir," ujarnya.

Gadis Bajau tersebut masih teringat lagi saat mula-mula dia mempelajari tarian ini. Dia dan rakan-rakannya hanya menonton televisyen untuk mendapatkan langkah tarian ini sebelum berlatih dengan jurulatih di kampung itu.

"Kemudian, bila dah dewasa sikit, saya ikuti kelas yang diajar olehnya (Siti Rayah)," katanya.

Nazirah Romeo, 11, turut melalui pengalaman yang sama dengan rakan sekampungnya, Sonita.

"Saya rasa memang seronok mempelajarinya kerana langkah tarian tak susah sangat, banyak menggunakan tangan.

"Lebih seronok lagi apabila kalau melihat tetamu yang hadir bersorak gembira bila lihat kami menari," katanya sambil ditemani oleh jirannya, Napisah Sardi, 5, yang merupakan penari termuda di kalangan mereka.

Nazirah dan Napisah menganggotai kumpulan yang dinamakan Wonderful. Lazimnya dalam satu kumpulan terdapat antara enam hingga lapan ahli.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved