Selasa, 13 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kucing mangsa ketamakan manusia

Posted:

Kucing mangsa ketamakan manusia

Kucing mangsa ketamakan manusia

Oleh ADLAN JAAFAR

"SEMUA kucing yang berada di premis Petknode itu kelihatan sangat teruk, ia diselaputi dengan najis dan kencing sehingga saya boleh memerah keluar air kencing daripada bulu haiwan itu.

"Mata kami kemudiannya tertangkap dengan beberapa tubuh kucing yang kaku di dalam sangkar. Di dalam sebuah sangkar itu, seekor ibu kucing dengan anaknya yang sudah tidak bernyawa, mati dalam keadaan saling berpandangan. Ia membuatkan hati kami bagaikan dihiris-hiris.

"Namun, airmata kami deras mengalir apabila melihat enam ekor anak kucing yang baru lahir sudah mati dan melekat pada lantai premis tersebut. Uri kucing masih lagi ada bersama-sama dengan tubuh yang tidak bernyawa itu. Kami cuba untuk mengangkat anak kucing itu dari lantai, tetapi kerana ia sudah keras dan melekat, tubuhnya berkecai."

Demikian ungkap Bazilah Bahrin, sesekali menangis cuba menggambarkan betapa kejamnya perlakuan pengurusan Petknode yang telah menggemparkan negara baru-baru ini.

Gadis berusia 24 tahun itu, merupakan salah seorang daripada puluhan sukarelawan daripada komuniti Facebook, Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan yang telah meredah masuk ke sebuah premis hotel kucing, Petknode di Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada 4 September lalu.


KUCING yang ditemui berada dalam keadaan menyayat hati. Selain kurus kering, bersalut dengan kencing dan najis bahkan, ada juga yang mati akibat kelaparan atau penyakit.


Dalam misi menyelamatkan lebih 90 kucing yang dihantar pemilik ke Petknode sempena cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini, sukarelawan Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan menemui 16 bangkai kucing yang mati akibat kelaparan, dehidrasi dan penyakit berjangkit.

Bazilah berkongsi kisah tragedi hitam bagi pencinta haiwan itu di Hotel Armada, Petaling Jaya dalam satu sidang akhbar tergempar yang mengumpulkan ratusan hadirin.

Menceritakan lanjut mengenai penemuan menyayat hati sukarelawan Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan itu jelasnya, hasil aduan yang diterima di Facebook menyebabkan sukarelawan dan pemilik kucing berkenaan menyerbu premis Petknode.


DEWAN di Hotel Armada, Petaling Jaya dipenuhi oleh pencinta haiwan yang prihatin dengan kekejaman ke atas 'sahabat' manusia itu.


"Bayangkan bagaimana dua atau tiga ekor kucing berusia tiga tahun dengan berat kira-kira empat kilogram dapat hidup dalam sebuah pet carrier bersaiz sederhana?" soal Bazilah.

Seorang lagi sukarelawan yang dikenali sebagai Shahrina berkata, di luar premis terdapat lebih kurang 10 ekor kucing yang kelihatan tidak terusik kerana masih lagi berada dalam pet carrier.

"Pada sebelah petang serbuan itu, 60 ekor lagi kucing ditemui dari sebuah banglo di Desa Moccis, Selangor," ujarnya.

Malah menurutnya, para sukarelawan dan pemilik-pemilik kucing lain percaya terdapat lebih 100 ekor lagi masih tidak dijumpai berdasarkan kepada aduan beberapa pemilik yang masih tidak menemui kucing mereka.

Tertipu


SUKARELAWAN komuniti Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan dan pemilik kucing memenuhi premis Petknode Ahad dua minggu lalu selepas mendapat berita kucing di situ tidak diberi penjagaan sepatutnya.


Pada sidang akhbar yang sama, salah seorang pemilik kucing yang menghantar kucingnya ke pusat penjagaan kucing tersebut tidak menyangka akan terjadi tragedi seperti itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Wani, wanita berusia 20-an itu tidak menghantar kucingnya ke Pektnode secara semberono. Dia terlebih dahulu membuat kajian dengan melayari Internet selain melawati forum-forum membincangkan perkara tempat itu.

"Semua maklum balas yang saya terima adalah positif malah, saya sendiri pergi ke Petknode untuk melihat suasananya.

"Kedua-dua pemiliknya kelihatan sangat sayang kepada haiwan terutama kucing. Dia menyarankan kami menambah rakan di Facebook dan menjadi follower di Twitternya," ujarnya yang menghantar tiga ekor kucing.

Tambah menyakinkan kami sekeluarga, pusat itu hanya menerima kucing dan umum mengetahui haiwan berbulu itu pasti akan mengalami trauma jika berkongsi tempat dengan anjing.

Selepas tujuh malam ditinggalkan di situ, Wani yang perlu mengambil kembali kucing pada hari kejadian dikejutkan dengan suasana kelam-kabut mengatakan pusat tersebut mengabaikan kucing.

"Salah seekor kucing saya hilang mujur ada orang yang prihatin mengambil dan membela kucing saya," ujar yang memiliki kucing daripada baka semi-parsi.

Seorang lagi pemilik kucing, Abdul Azim Abdul Rahim, 30, turut tidak menyangka hotel kucing yang sudah beberapa kali menjadi kediaman kucing kesayangannya sebelum ini bertukar menjadi seperti sebuah 'neraka'.


SUASANA pada sidang akhbar oleh komuniti Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan penuh dengan emosi.


"Saya sudah menggunakan perkhidmatan mereka lebih kurang lima kali. Selama tempoh tersebut, kucing saya berada dalam keadaan baik dan sudah pasti pelanggan pertama kali turut percaya dengan Petknode jika mendapat maklum balas yang baik," ujarnya kepada media ketika disoal kenapa dia memilih Petknode.

Tiada pembelaan

Apa yang pasti, di sebalik minat orang ramai untuk memelihara binatang peliharaan seperti kucing dan anjing yang semakin meningkat, timbul persoalan sejauh mana kesedaran masyarakat mengenai kekejaman terhadap binatang yang didakwa telah menjadi sebahagian daripada keluarga kita?

Melihat kepada kes tersebut, Pengerusi Persatuan Melindungi Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), Christine Chin berkata, terdapat satu akta yang boleh menyabitkan pesalah mendera binatang.

Aktanya adalah Seksyen 44(1)(d) Ordinan Binatang 1953 yang memperuntukkan denda maksimum RM200 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

"Tetapi sehingga kini hanya seorang sahaja yang pernah disabitkan dengan akta tersebut," ujarnya yang telah lebih 20 tahun memperjuangkan nasib haiwan jalanan.

Pada tahun 2005, seorang jurutera dari Subang Jaya, Lien San Chong, 46, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM100 dan dua hari penjara kerana mengabaikan anjing peliharaan daripada jenis German Shepard bernama Sheena.


KEADAAN premis Petknode yang menempatkan hampir 100 ekor kucing yang dihantar ke sana sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.


Seorang lagi individu, Abdul Rashid Othman, 53, pula terlepas daripada dakwaan mengabaikan anak-anak kucing jenis Parsi miliknya pada tahun 2009.

Sudah menjadi adat manusia, apabila berlaku sesuatu kejadian yang menggemparkan barulah pelbagai peraturan mula diperkenal dan diketatkan.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin, mengeluarkan kenyataan bahawa hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang disabitkan dengan akta tersebut akan dibentangkan di parlimen.


BAYANGKAN enam ekor kucing diletakkan bersama dalam satu sangkar sempit yang menyukarkan pergerakan dan membuatkan haiwan itu tertekan.


"Antara hukuman yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu ialah denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan," ujarnya dalam sebuah laporan akhbar.

Bagi kes Petknode pula, pengasas Malaysian Dogs Deserve Better, Wani Muthiah berkata, tindakan yang boleh dikenakan kepada pemilik serta-merta adalah dakwaan melakukan penipuan.

"Denda yang dikenakan untuk dakwaan ini adalah RM200 bagi setiap ekor kucing namun, ia memerlukan kerjasama semua pihak. Semua pemilik kucing perlu membuat laporan polis yang sama bagi memastikan kes ini berjalan lancar," ujarnya sambil menunjukkan contoh laporan polis.

Menurutnya, ia adalah langkah awal sementara dakwaan mengikut Akta Ordinan Haiwan 1953 dibuat.

Penginapan bajet aset Moscow

Posted:

Penginapan bajet aset Moscow

Penginapan bajet aset Moscow


MOSCOW mempunyai prospek pelancongan yang baik tetapi ramai pengembara yang merungut kerana tidak mempunyai pilihan penginapan yang kadarnya berpatutan. - Gambar hiasan


DAHULU, para pelancong yang tiba di Moscow tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali membayar penginapan di hotel-hotel yang mahal. Kini, terdapat pilihan lain iaitu hostel-hostel moden yang semakin bertambah sejak lima tahun lalu.

Hostel-hostel moden itu menyediakan bilik-bilik ala asrama yang bersih dan mengenakan bayaran penginapan pada harga murah iaitu lebih kurang AS$20 (RM59.70) untuk satu malam.

Berdasarkan kepada angka yang dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa pelancongan, semua hostel di Moscow menawarkan lebih 3,000 buah katil dan angka tersebut semakin meningkat hampir satu per tiga sejak bulan Mei lalu.

"Lokasinya sangat bagus dan harganya juga murah," kata pelajar dari Mexico, Carolina Felton, 22, yang melancong ke Moscow dan berkongsi bilik dormitori, ruang mandi dan dapur bersama-sama tujuh orang lain.

"Hotel terlalu mahal berbanding harga yang saya mampu bayar," ujar seorang lagi pelajar dari British, Mike Loader yang datang ke Moscow untuk melawat dan mengkaji sejarah Soviet. Dia menyifatkan bandar tersebut terlalu mahal dan bersifat premium.

Kedua-duanya menetap di sebuah hostel yang dekat dengan tempat yang menjadi tarikan pelancong di bandar itu, iaitu laluan pejalan kaki Arbat.

Bilik hostel itu boleh memuatkan lebih kurang 30 orang dengan kemudahan 12 buah katil. Bayaran penginapan pula sangat rendah iaitu 550 ruble (RM57.04) untuk satu malam.

Pemilik hostel tersebut, Daniil Mishin, 18, berasal dari Ukraine telah pun memiliki beberapa hostel lain yang turut sama dimiliki oleh ahli keluarganya.

Sambutan baik


BILIK dormitori yang boleh memuatkan ramai tetamu di Bear Hostel, Moscow.


Dia mendapat idea membuka hostel murah itu ketika sedang mengembara di seluruh Eropah dan mengambil keputusan mengadaptasi konsep tersebut di Moscow.

Kini, Mishin dan keluarganya telahpun membuka tujuh buah hostel yang terletak di Moscow dan kampung halamannya, Sevastopol, Crime.

Menurut Mishin, perniagaannya berjalan dengan baik terutamanya dengan pembukaan hostel terbaharu di Moscow pada awal Ogos lalu.

Kadar kemasukan pelancong untuk menginap pada waktu sekarang amat memberangsangkan dengan lebih kurang 80 peratus katil sudah ditempah manakala tempahan penginapan pula telah diterima sebulan lebih awal.

Menurut ahli jawatankuasa pelancongan, ketika ini, bandar tersebut sudah mempunyai 59 buah hostel moden dengan 14 daripadanya baru dibuka sejak bulan Mei lalu.

Hostel pertama dibuka pada tahun 2006 manakala hostel terbesar pula akan dibuka pada hujung tahun ini di kawasan pejalan kaki yang menjadi tumpuan orang ramai, jalan Stoleshnikov Pereulok. Dalam perancangan, hostel tersebut mempunyai kapasiti sebanyak 153 buah katil.

"Sekarang semuanya telah berubah dan pasaran hostel menjadi 'gila'," Mishin membuat kesimpulan.

Tambahnya, setahun lalu, kebanyakan tetamu adalah pelancong muda yang mempunyai bajet terhad dan persepsi tersebut semakin berubah.

"Mereka terdiri daripada orang-orang yang berbeza umur, pekerjaan dan kedudukan sosial," komen Mishin mengenai tetamu hostelnya.

Masalah

Baru-baru ini, kelihatan beberapa rakyat Rusia sudah mendaftar masuk untuk menginap di hostel.

"Sebelum ini, tiada siapa mengetahui mengenai hostel. Hanya sejak setahun lalu, barulah mereka mula menyedarinya. Penduduk Rusia baru sedar bahawa dengan bayaran serendah 500 ruble (RM51.76) semalam, mereka boleh mendapat penginapan yang selesa di tengah-tengah pusat bandar.

Konsep hostel tidak pernah wujud sepanjang era Soviet. Pengembara hanya akan tinggal di hotel-hotel yang besar. Ada pula yang berpendapat bahawa bilik dormitori ringkas hanyalah untuk pelajar dan pekerja asing serta tidak sesuai dihuni pelancong.


MISHIN yakin pada masa depan bisnes penginapan bajet rendah di Moscow.


Selain itu, disebabkan oleh kekangan mendapatkan visa, kedatangan pelancong ke Rusia secara relatif amat rendah. Idea tempat penginapan yang murah dan ringkas susah untuk diterima. Sehingga kini, masih tiada perkataan Rusia yang merujuk kepada konsep tersebut yang dipanggil khostel.

Hostel memainkan peranan yang penting mengisi kekosongan di bandar tersebut. Menurut hasil kajian, kadar harga penginapan purata di hotel dan destinasi pilihan utama untuk satu malam menelan kos sehingga 149 pound (RM725) pada tahun 2010.

Sebagai perbandingan, kadar purata harga bilik hotel di Dubai adalah 120 pound (RM583) dan di London pula berharga 114 pound (RM554) manakala di Prague pula, purata kos hotel hanya 67 pound (RM326).

Salah seorang ahli jawatankuasa pelancong di Moscow, Gurgen Mkrtchyan berkata, hostel-hostel itu bakal merangsang industri pelancongan terutamanya dengan kemasukan para pengembara bebas yang terdiri daripada orang muda dan para pelajar.

Tegasnya, perkhidmatan hostel masih lagi berada pada tahap awal pembangunan kerana ia hanya mampu menyediakan tempat penginapan yang terhad iaitu kira-kira 2,600 buah katil.

Harga tanah

Meskipun bilangan hostel semakin bertambah, masih juga terdapat pilihan lain di pusat bandar Moscow walaupun tidak banyak iaitu hotel-hotel empat dan lima bintang.

"Moscow masih lagi kekurangan hotel yang mempunyai harga yang berpatutan. Pemaju pasti akan membuat pembangunan tetapi ia tidak mungkin berlaku di pusat bandar," kata ejen estet Knight Frank, Anton Melnikov mengaitkan masalah tersebut dengan harga hartanah yang tinggi.

Hotel-hotel baru bersaiz mega perlu mendapatkan kembali kos membeli tanah dengan meletakkan kadar harga bilik yang tinggi.

Hostel pula tidak perlu meletakkan harga yang tinggi kerana selalunya, pemilik hostel akan membina pada bangunan sedia ada dan kadang-kala menggunakan kembali bangunan pangsapuri yang diubah suai.

Melnikov menjangkakan para pelancong pada masa hadapan terpaksa menetap di pinggir bandar dan perlu menaiki metro (tren bawah tanah) untuk ke pusat bandar.

"Di Amsterdam, Brussels atau London, anda akan menemui hotel-hotel murah di pusat bandar tetapi anda tidak akan menemui semua itu di Moscow," katanya lagi. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved