Ahad, 14 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengalaman Ramadan di kota suci Mekah

Posted:

Pengalaman Ramadan di kota suci Mekah

Pengalaman Ramadan di kota suci Mekah

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

SETIAP kali mata memandang Kaabah tambahan pula ibadah umrah dilakukan pada bulan Ramadan, serta-merta pemikiran Azman Disa melupakan terus hal ehwal dunia waima ahli keluarganya sendiri.

"Itu adalah perasaan saya dan kebanyakan orang apabila berada di sana. Rata-rata mereka turut menyatakan perkara yang sama kepada saya," ujar Azman ketika ditemui di ibu pejabat Poto Travel and Tours di Kuala Lumpur.

Menurut lelaki yang berusia 36 tahun itu, setiap kali tiba bulan penuh keberkatan, pasti keadaan kota Mekah sesak dipenuhi umat Islam sehingga ke siar kaki masjid terutama ketika waktu sembahyang.

"Jika azan sudah berkumandang baru kita keluar ke masjid, pasti kita hanya dapat bersembahyang pada jarak 120 meter dari luar Masjidil Haram," ujarnya yang sudah beberapa kali mengerjakan umrah ketika bulan Ramadan sejak tahun 1999.

Kata lelaki yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Umrah dan Haji itu, perkara yang paling dirindui adalah suasana yang hanya dapat dilihat dan dirasai pada bulan Ramadan.

"Apabila tiba waktu berbuka puasa, kita sebagai jemaah umrah tidak perlu berasa takut jika tiada makanan kerana ada orang Arab suka bersedekah.

"Di dalam dan luar pekarangan masjid, terdapat bentangan plastik yang dipanggil safrah. Pada bentangan itu, mereka akan menaburkan makanan seperti buah tamar, roti dan buah-buahan kering sebagai sedekah.

"Mereka akan menarik kita untuk makan hidangan tersebut, manakala untuk minuman pula kita akan dihidangkan sejenis minuman dipanggil ghawah," terang Azman yang sudah 13 tahun terlibat dalam bidang itu.

Ghawah adalah sejenis minuman tradisional Arab iaitu minuman kopi yang dicampur rempah-ratus. Ia dapat menghilangkan angin dan panas dalam badan.

Tarawih di Mekah

Selepas solat Maghrib, jemaah akan berehat selama sejam dan akan sambung solat Isyak serta diikuti solat sunat tarawih.


SEORANG pekerja restoran di Riyadh, Arab Saudi memasak qatayef iaitu sejenis lempeng yang dihidangkan untuk iftar.


Menurut Azman, perkara yang menjadi sebutan ketika tiba saat tarawih adalah solat yang diimamkan oleh Sheikh Abdullah Awwad Al-Juhany.

Alunan suara dan gaya bacaannya begitu menyentuh perasaan sehinggakan mereka yang tidak faham bahasa Arab pun boleh menangis ketika mendengar bacaannya.

"Jika maksud ayat tersebut sedih, dia boleh menangis dan apabila tiba ayat yang perlu penegasan, suara yang kedengaran penuh tegas dan garang," kata Azman lagi.

Menyentuh mengenai aktiviti pada waktu siang dalam bulan Ramadan

di kota Mekah, Azman menambah, suasananya sedikit berbeza dan tidak meriah seperti waktu malam. Suasana agak lengang walaupun orang masih kelihatan di persekitaran masjid.

"Masjidil Haram dibuka 24 jam sehari dan orang ramai bebas melakukan ibadah. Pada waktu siang, kami akan berehat sebentar dengan tidur selepas solat Zuhur.

"Selain itu, saya akan membawa jemaah melakukan tawaf dan ziarah kerana ketika itu orang tidak begitu ramai," katanya yang berpeluang ke kota Mekah atas tuntutan kerja.

Aktiviti di kota Mekah terutama kepada rakyat Malaysia bermula seawal pukul 3 pagi dengan bersahur kemudian diikuti dengan solat Subuh pada pukul 4 pagi.

Menyempurnakan rukun umrah seperti tawaf dan sai'e pula bermula pada pukul 5 pagi. Jika semua telah dilakukan, jemaah akan beriktikaf di masjid dengan perbanyakkan solat dan membaca al-Quran.

Kos tinggi

Lain pula pengalaman yang dirasai oleh Abdul Rahman Mohd. Ali, 46, sepanjang menjalani umrah pada bulan puasa terutama sebelum mendirikan rumah tangga.

Dia pernah mengunjungi tanah suci Mekah secara mengembara (backpacker) sebanyak lima kali sebelum berkahwin.

"Pengalaman yang dilalui sedikit berbeza. Saya masih ingat lagi ketika perjalanan menaiki bas dari Madinah ke Mekah.

"Pada waktu itu, azan Maghrib berkumandang dan saya masih lagi berada dalam bas. Tiba-tiba, saya dikerumuni orang Arab yang mahu bersedekah.

"Ada yang memberi kurma, air dan lain-lain. Kita tidak akan mati jika berada di sana pada bulan Ramadan kerana di mana-mana akan ada orang sedekah makanan.

"Hanya orang yang berkurung di dalam rumah berkemungkinan akan menemui ajal," seloroh Rahman yang sudah 15 tahun berkahwin.


GHAWAH iaitu kopi tradisional Arab yang dicampur dengan rempah-ratus antara minuman yang popular di tanah Arab.


Bagaimanapun, terdapat perkara yang dikesali oleh Rahman tatkala melihat orang Malaysia yang beribadat di sana tidak turut serta berderma.

"Sudah menjadi kebanggaan bangsa Arab apabila orang makan atau mengambil hasil pemberian mereka tetapi mengapa orang kita (Malaysia) hanya makan dan tidak berderma?" soal Rahman lagi.

Bercerita mengenai kelompok yang pergi umrah pada bulan puasa, Rahman berkata, kebanyakan mereka adalah individu yang bukan kali pertama pergi mengerjakan ibadat tersebut.

Kos menunaikan umrah pada bulan puasa boleh meningkat berkali ganda terutama pada 10 hari terakhir Ramadan. Kenaikan kos disebabkan harga sewa bilik yang mahal.

Sewa bilik boleh meningkat dari 700 riyal (RM562) semalam kepada 1,000 riyal (RM802.52) semalam dan harga boleh menjadi lebih mahal jika ia terletak berhampiran dengan masjid.

"Jika menginap di Hotel Hilton, sewa semalam pada 10 malam terakhir Ramadan boleh mencecah sehingga 17,000 riyal (RM13,606) semalam kerana layanan eksklusif dan lokasinya," jelas Rahman.

Panggilan untuk menghadap rumah Allah tidak pernah memilih pekerjaan atau status seseorang. Pelakon yang kini lebih dikenali dengan watak-watak baik, Ashraf Muslim sukar menggambarkan perasaan pertama kali mengerjakan solat di Mekah ketika menunaikan umrah pada bulan Ramadan tahun 2009.

"Perasaan saya begitu seronok dan gembira sebelum berlepas ke sana. Perjalanan umrah saya adalah dari Jeddah dan singgah di Madinah, kemudian ke kota Mekah.

"Di Madinah, rombongan yang saya sertai tiba pada waktu awal pagi dan berkesempatan solat Subuh. Tatkala kaki melangkah anak-anak tangga masjid, azan Subuh pun kumandang.

"Perasaan saya ketika itu bercampur-baur. Rasa begitu sedih dan sayu kerana seperti dijemput ke tanah suci. Perasaan gembira turut dirasai dan terasa seperti begitu rindu kepada Maha Pencipta," ujar Ashraf ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di Mekah ada sedikit kelainan.

Beliau memasuki Masjidil Haram melalui pintu pertama yang dipanggil pintu King Fahd juga pada waktu malam selepas solat Maghrib.

Untuk memasuki pekarangan masjid, jemaah perlu menuruni tangga sebelum dapat melihat Kaabah. Apabila terpandang sahaja Kaabah, saya terasa umpama magnet yang ditarik terus ke arah kiblat umat Islam itu," kata Ashraf berkongsi pengalaman.

Tambahnya, di tanah suci itu, orang ramai akan berpusu-pusu untuk berbuka di dalam masjid kerana berdoa dalam tempoh lima minit terakhir sebelum azan Maghrib adalah paling mustajab.

Selain itu, Ashraf mengakui bahawa cuaca pada waktu siang di Mekah lebih panas berbanding Malaysia dan kadangkala suhu mencecah sehingga 40 darjah selsius.

Ashraf atau nama sebenarnya Mohd. Ashraf Muslim, 30, akan bertolak sekali lagi ke sana untuk menunaikan umrah pada 17 Ramadan ini.

Pemergian jejaka dari Melaka itu kali ini akan menjadi titik perubahan dalam hidupnya kerana dia akan menikahi gadis pilihan hati pada 1 Syawal di hadapan Kaabah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Projek Madonna terbengkalai di Malawi

Posted:

Projek Madonna terbengkalai di Malawi

Projek Madonna terbengkalai di Malawi


FOROYATI yang tidak berpuas hati dengan penerimaan bayaran pampasan tanahnya kini terpaksa menyewa tanah lain untuk bertani.


SEBUAH kawasan terbengkalai di Malawi kelihatan seperti sebuah lombong kuari tinggal. Ia jauh berbeza daripada impian berjuta-juta dolar oleh seorang bintang pop yang mahu melahirkan para gadis untuk menjadi pemimpin dan doktor demi masa depan negara itu.

Namun, teres bertingkat yang suram dan berpasir dekat Lilongwe, ibu negara Malawi itu, adalah satu-satunya bukti jelas yang menunjukkan kegagalan pengurusan. Akademi Madonna bernilai AS$15 juta (RM45 juta) didapati terbengkalai akibat dana yang disalahgunakan. Penduduk tempatan pula amat marah dengan perkara itu.

"Ia telah menjadi sebuah padang bola sepak kini," kata penghulu kampung, Binson Kalenga.

Jentolak tidak lagi berbunyi di tempat yang suatu ketika dahulu, Madonna bersama dua orang kanak-kanak Malawi meletakkan batu asas yang tertera 'berani bermimpi' pada April 2010. Kampung itu hanyalah sebuah lokasi terpencil di negara Afrika yang miskin dan tidak mungkin ia ditemui di atas peta.

Setahun kemudiannya sekolah itu ditutup. Bintang pop berkenaan telah disaman oleh pekerjanya yang dipecat, badan amalnya disiasat di bawah penyiasatan cukai Amerika Syarikat (AS) dan Malawi sendiri menyiasat urusan pembiayaan tanah tersebut.

"Pada mulanya walaupun saya mengalu-alukan projek ini, tetapi secara peribadi saya sangat skeptikal mengenai keseluruhan perkara.

"Terdapat begitu banyak publisiti sebelum kerja-kerja pembinaan bermula," kata Pesuruhjaya Daerah Lilongwe, Paul Kalilombe.

Badan amal Madonna tidak memberi sebarang jawapan. Pada Januari lalu, dia memberitahu, projek akademi berkenaan dihentikan bagi membantu sekolah-sekolah lain yang telah wujud di negara berkenaan.

Tetapi The New York Times melaporkan dalam sebuah audit yang diperiksa oleh Madonna, didapati bahawa dana sejumlah AS$3.8 juta (RM11.4 juta) untuk akademi terbengkalai itu telah disalah guna.

Audit mengejutkan itu tersebut turut menunjukkan kekurangan aspek tanggungjawab yang besar dalam kalangan kumpulan pengurusan di Malawi dan AS.

Madonna pada April lalu mengumumkan mengenai strategi baharu yang akan dimulakan dalam beberapa minggu.

Kehampaan penduduk setempat bermula dengan bayaran yang mereka terima untuk tanah berkenaan. Badan amal Madonna iaitu Raising Malawi telah membayarnya melalui kerajaan.

"Kemungkinan terdapat beberapa 'penghuni hantu' yang disenaraikan di kampung itu. Terdapat beberapa orang, yang disyaki beberapa pegawai kerajaan yang terlibat dalam projek itu, telah dimasukkan dalam senarai tersebut," kata Kalilombe.

Tiada bilik darjah

Perkara itu kini disiasat oleh polis fiskal di Malawi. Di Chinkhota, penjelasan belum lagi diberikan kepada penduduk kampung yang bukan sahaja kecewa kerana tanah mereka dirosakkan malah bilik darjah tidak dibina.

"Penduduk terkejut kerana tiada aktiviti dijalankan di sini dan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku," kata Tsiyent Foroyati, 52, sambil duduk di pekarangan rumah ladangnya yang kotor.


MADONNA (dua dari kiri) melawat Rumah Anak Yatim Mphandu la di Namitete, barat Lilongwe, Malawi dua tahun lalu.


Foroyati tidak pernah mendengar mengenai Madonna sehinggalah penyanyi pencetus trend muzik itu mengambil dua orang anak angkat dari Malawi.

Sebagai pemilik tanah terbesar sekitar kawasan tapak sekolah itu, dia dibayar 39,000 kwacha (RM776) sebagai ganti rugi tetapi dia mahukan sebanyak tiga juta kwaca (RM59,677).

Keluarga itu kini membayar sebanyak 5,000 kwaca (RM99) untuk menyewa seekar tanah dan bertani.

"Walaupun projek itu diteruskan, kami masih marah kerana di mana kami hendak bertani?

"Dan masalah terbesar ialah walaupun sekiranya kami diberi kembali tanah kami, sukar untuk kami membangunkannya semula," kata Foroyati.

Penyanyi berkenaan telah mengeluarkan jutaan dolar bagi membantu kanak-kanak di Malawi yang 39 peratus daripada populasinya hidup dengan pendapatan kurang AS$1 (RM3) sehari.

Di Namitete, barat Lilongwe, sebuah gambar yang bertarikh memaparkan Madonna bersama bekas suaminya, Guy Ritchie, digantung di sebuah papan notis di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Mphandula yang dibiayai penyanyi itu.

Pusat komuniti berkenaan memberi makan kepada lebih daripada 200 kanak-kanak sehari, dengan kelas menjadi tempat para nenek duduk di bawah teduhan sementara kanak-kanak melompat-lompat sambil mempelajari tarian daripada sukarelawan Jepun.

Hargai Madonna

"Saya sangat menghargai kehadirannya," kata pengurus program pusat berkenaan, Jacinta Champomba, yang tidak pernah mendengar muzik Madonna tetapi memberitahu bahawa mereka berkongsi idea yang sama iaitu tentang kebajikan anak-anak yatim.

"Untuk sekolah berkenaan, Madonna seharusnya bekerja dengan organisasi yang sudah wujud dan tahu perkara sebenar yang berlaku di tanah berkenaan," kata Kaliombe yang percaya sebuah rumah anak-anak yatim akan dibangunkan di tapak akademi tersebut.

Tambahnya, apabila seseorang yang berkedudukan datang ke Malawi, masyarakat hanya memikirkan tentang wang.

"Idea itu bagus. Dia mempunyai niat yang baik, tetapi kini untuk melaksanakannya di atas tanah ini, ia mewujudkan banyak masalah," ujarnya.

Penghulu Kalenga memberitahu, dia mahu bertanya Madonna mengenai kegagalan projek itu.

"Kami berasa sangat gembira kerana dialah yang akan membantu kami. Kami mengalu-alukan kehadirannya sebagai sebahagian penduduk Malawi.

"Namun, kami kecewa kerana khabar angin yang bertiup mengenai projek ini yang telah dihentikan. Kami mahu Madonna datang dan beritahu kami apakah yang berlaku.

"Kami tidak mahu mendengar khabar angin tetapi mahu dia sendiri datang dan menjelaskan kepada kami," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ibu muda tawar kongsi susu

Posted:

Ibu muda tawar kongsi susu

Ibu muda tawar kongsi susu

HM4HB bukan sahaja menyediakan perkongsian susu ibu tetapi jaringan maya tersebut turut merapatkan hubungan sesama ibu.


FITRAH bagi setiap bayi yang dilahirkan di dunia ini, susu adalah santapan pertama mereka dan ia akan berterusan sehingga mencapai umur dua tahun.

Menyusukan bayi dengan susu sendiri juga permulaan fasa kehidupan paling bermakna. Kebaikan dan ganjarannya bukan sahaja untuk bayi malah diri si ibu juga.

Bagaimanapun, tidak semua bayi beruntung. Ramai bayi yang terpaksa diberi susu formula pada awal kelahiran kerana si ibu tidak mampu menyusukan anaknya.

Ada keadaan di mana si ibu sakit selepas melahirkan dan terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat. Ada juga ibu yang tidak mampu mengeluarkan susu dan banyak pula kes si ibu meninggal dunia ketika bersalin.

Dalam situasi ini, bayi tidak mempunyai pilihan selain diberikan susu formula.

Prihatin dengan fenomena yang sering dianggap bukan masalah ini, wujud satu rangkaian komuniti maya yang tampil secara sukarela bagi berkongsi susu ibu.

Human Milk For Human Baby (HM4HB) telah diasaskan pada Oktober 2010 oleh seorang ibu, Emma Kwasnica dari Montreal, Kanada.

Sejarahnya bermula apabila ada rakan senegara Emma yang bertugas di Indonesia mencari susu ibu untuk anak lelakinya selepas isterinya meninggal dunia.


BAGI memastikan bekalan susu sentiasa cukup untuk bayi, ibu bekerja digalakkan mengepam susu tiga hingga empat jam sekali di pejabat.


Bertitik tolak pada kisah tersebut, Emma yang berpendapat susu ibu bukan satu komoditi yang sukar didapati, memulakan HM4HB untuk menyampaikan mesej ini - kaum ibu sepatutnya tidak perlu gusar untuk menderma dan jangan malu untuk meminta susu daripada ibu lain demi kesihatan bayi mereka.

Bertindak sebagai rangkaian perkongsian susu ibu global, kini ia mempunyai lebih 20,000 penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara. Daripada jumlah itu, seramai 953 orang adalah rakyat Malaysia.

Ada antara mereka, seperti Cher Pei Wei, sanggup mengepam susu badannya sehingga 20 botol kecil sehari sebelum diagihkan kepada lima anak susuannya. Wanita dari Sentul, Kuala Lumpur itu merupakan ibu kepada dua orang anak perempuan berusia lapan bulan dan empat tahun.

"Kami adalah ibu, keluarga angkat, nenek, penyusu badan profesional, sukarelawan, penderma dan penerima yang menyokong idea bahawa semua bayi berhak menerima susu manusia.


SELAIN menyusukan anaknya sendiri, Ayuni turut menjadi ibu susu kepada anak rakannya.


Derma susu

"Laman sosial Facebook dijadikan medium perhubungan kerana ia praktikal dalam menyebarkan maklumat dengan pantas.

"Ia seperti papan notis yang memberitahu ada ibu yang ingin menderma dan ibu yang memerlukan susu untuk bayinya," ujar Nadine Ghows, 34, ketika ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Komuniti maya ini turut menjadi tempat para ibu, bapa, penderma dan penerima berkongsi pengalaman, menyokong dan membantu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan susu ibu.

"Selain menjadi jambatan perkongsian susu ibu yang menemukan penderma dan penerima, HM4HB juga secara tidak langsung melindungi hak bayi dalam mendapatkan sumber makanan yang sihat.

"Susu ibu, rezeki biologi normal kepada manusia. Ia adalah sumber terbaik yang mengalir bebas dan perlu dikongsi supaya tradisi penyusuan susu ibu dapat diteruskan.

"Ia juga memberi harapan baru kepada para ibu yang memerlukan stok susu tambahan.

"Sokongan seperti ini dapat mengelak si ibu tertekan kerana stok susu mereka tidak cukup atau mereka rasa gagal memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka," jelas salah seorang penyokong aktif HM4HB, Ayuni Zainuddin, 27.

Sementara itu, menurut Zaszima Abu Samah, 34, matlamat penubuhan HM4HB mudah dan jelas.

Komuniti ini mahu masyarakat, sama ada ahli keluarga, pakar laktasi atau bidan, mengesyorkan perkongsian susu apabila ia diperlukan.

"Jika ada ibu yang bimbang kerana susu badan semakin kering atau bekalan yang ada tidak mencukupi, jangan malu dan ragu untuk berhubung dengan HM4HB.

"Jangan jadikan susu semakin kering sebagai alasan untuk memberikan susu formula kepada anak-anak anda.

"Sebagai ibu juga, jangan mudah bergantung atau kalah dengan pengaruh botol susu kerana ia sedikit sebanyak mampu membantutkan usaha berterusan untuk menyusukan anak anda dengan susu ibu," ujarnya.

Keprihatinan HM4HB yang membuka jalan kepada para ibu yang memerlukan bekalan susu ibu perlu dipuji.

"Kami percaya perkongsian tanggungjawab ini turut menyemai rasa kasih dalam kalangan penderma dan penerima.

"Justeru, sokongan masyarakat adalah penting dalam membina generasi yang lebih sihat dengan susu ibu.

Berjangkit

"Jangan anggap perkongsian ini sebagai perkara pelik apatah lagi ia berkaitan dengan kesihatan anak.

"Kami berharap satu hari nanti semua bayi di dunia dapat membesar tanpa bergantung kepada susu formula," ujar ibu kepada bayi lelaki berusia tiga bulan, Ernadia Os'hara Omar, 27.

Tekanan sering menjadi punca susu ibu semakin mengurang. Perkara ini banyak terjadi kepada wanita bekerja. Bagi mereka, alternatif paling hampir ialah susu formula.

Ramai menganggap ia lebih mudah kerana tidak perlu mengepam susu ketika di pejabat.

Bagi Jean Chuah, 30, ibu bekerjaya ini bukan sahaja masih menyusukan bayi lelakinya yang berusia 10 bulan, malah dalam masa sama dia menjadi ibu susuan kepada dua bayi lain.

"Semasa anak saya berumur enam bulan, ada seorang ibu yang memerlukan bekalan susu ibu tambahan untuk anaknya yang berusia sebulan.

"Saya dermakan susu untuk beberapa ketika sehingga ibunya mampu menggandakan air susu.

"Bayi yang kedua pula berumur satu tahun setengah. Ibu kepada bayi berkenaan tidak begitu sihat dan masih dalam perawatan.

"Dia yang perlu mengambil beberapa jenis ubat tidak digalakkan untuk menyusukan anaknya. Diam tak diam, sudah hampir empat bulan saya mendermakan susu saya kepada anaknya," katanya.

Selain Jean, Ayuni, turut mendermakan susunya kepada bayi lain.

"Saya dermakan susu kepada seorang rakan selama empat bulan. Dia akan mengambil susu tersebut dua minggu sekali untuk bekalan anak kecilnya," ujar Ayuni yang mempunyai seorang bayi lelaki.

Apabila bercakap soal perkongsian, sudah tentu si ibu mahukan susu daripada wanita sihat untuk anaknya.

Prihatin tentang keselamatan dan kesihatan susu serta penderma, HM4HB turut menyediakan panduan berkaitan perkara itu.

"Susu ibu yang mengalir terus daripada payu dara dijamin bersih dan selamat bahkan tiada susu sehebat susu ibu. Biarpun ratusan susu formula dicipta, ia tidak mampu menyamai keunggulan makanan ajaib ini.

"Dalam konteks keselamatan susu, sekiranya penderma mempunyai penyakit berjangkit sekali pun, sangat rendah peratusan susu ibu yang tercemar.

"Penyakit yang ada pada ibu jarang-jarang hadir dalam susunya," ujar Nadine.

Jelas ibu kepada dua anak ini lagi, susu ibu adalah susu hidup, manakala susu formula adalah susu mati. Ini bermakna dalam susu ibu ada antivirus, antifungal dan antibakteria.

Bersetuju dengan pendapat Nadine, Shahidah Ahmad Khan, 30, sempat berkongsi teknik penyimpanan perahan susu ibu yang juga dikenali sebagai expressed breast milk (EBM).

"Sama ada penderma atau penerima, EBM perlu disimpan dengan betul untuk mengelak bayi mendapat keracunan susu.

"Untuk sekali susuan, bayi biasanya menyusu sehingga tiga auns.

"Sekiranya susu yang diperah tidak mencapai tiga auns, simpan susu di dalam bekas yang bertutup di ruang sejuk dingin sehingga jumlahnya mencukupi.

"Selepas cukup tiga auns, buat label pada bekas. Tuliskan tarikh dan masa perahan pada setiap bekas simpanan susu.

"Setelah itu, simpan ia di dalam ruang sejuk beku dan ia boleh bertahan sehingga tiga bulan.

"Jika disimpan di ruang sejuk dingin, ia boleh bertahan selama 72 jam dan lapan jam jika disimpan di ruang dengan suhu bilik.

"Susu ibu juga tidak boleh dimasak. Jika ingin berikan susu kepada anak, panaskan susu dengan merendam bekas susu ke dalam air suam.

"Perlu diingat, baki susu perahan yang telah dipanaskan tidak boleh disimpan semula," terang Shahidah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved