Sabtu, 11 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pakar Matematik bertaraf dunia

Posted:

Pakar Matematik bertaraf dunia

Pakar Matematik bertaraf dunia



UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.

Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.

Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.

"Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.

"Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara," ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.

Pingat pertama negara

Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.

"Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.

Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.

"IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.

"Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.

"Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.


KURANG mendapat latihan semasa zamannya mewakili negara, kini Suhaimi nekad membantu para peserta dengan melatih mereka secara intensif.


"Ia berlangsung selama dua hari. Untuk hari pertama, peserta akan diberikan tiga soalan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh empat jam setengah. Rutin yang sama juga ditempuh untuk hari kedua.

"Mungkin ramai yang pelik, kenapa hanya tiga soalan dan mengapa ia perlu mengambil masa hingga empat jam setengah.

"Berdasarkan pengalaman terdahulu, masa yang diberikan itu tidak cukup kerana soalan-soalan yang diberikan amat sukar.

"Soalan itu sebenarnya direka oleh pakar-pakar matematik dan profesor dalam bidang ini dari seluruh dunia," ujar graduan matematik dari Massachusetts Institute Of Technology (MIT) ini.

Gugup

Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.

"Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.

"Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan," kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.

Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.

"Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah," ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.

Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.

Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.

"Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.


KONGSI rahsia. Pesara ini optimis teknik ciptaannya dapat membantu pelajar sekolah menguasai matematik dengan lebih mudah.


"Di bawah Persatuan Sains Matematik Malaysia (Persama), kami juga mempunyai sekumpulan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah dan profesor matematik tempatan, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persama, Prof. Dr. Arsmah Ibrahim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Daripada sesi latihan dan ujian berperingkat yang dijalankan selama setahun, baru kita dapat kenal pasti enam peserta terbaik untuk mewakili negara.

"Asas pemilihan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada kebijakan mereka menjawab soalan tetapi turut meliputi pemikiran kritis dan kreativiti mereka menyelesaikan masalah yang diberikan," katanya yang turut menulis buku khas mengenai asas matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan. Antara topik yang telah diterbitkan ialah Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor dan Geometri.

Selain bertanggungjawab menjadi ketua kontinjen negara, Suhaimi juga merupakan juri antarabangsa termuda yang turut serta menyediakan soalan dan menanda kertas peperiksaan pada pertandingan matematik bertaraf dunia itu.

"Tahun lepas Malaysia telah memenangi pingat perak di IMO. Kalau boleh, tahun ini kita mahu pingat emas," ungkapnya.

Strok

Jika bakat Suhaimi digilap menerusi pertandingan IMO, lain pula ceritanya dengan Jaludin Meran, 67.

Minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Matematik sejak di bangku sekolah telah mendorong pesara ini mencipta cara mudah untuk menguasai matematik.

Menariknya, dia mencipta kejayaan itu semasa menderita penyakit angin ahmar pada 2008.

"Semasa sakit, saya cuba mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pengiraan dan menguasai asas nombor kerana saya percaya ia dapat membantu saya pulih," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengawal Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia selama 12 tahun.

Mengambil masa setahun setengah untuk mencipta cara mudah menguasai matematik, Jaludin banyak menggunakan kiraan dari sebelah kiri selain menghafal menggunakan kod abjad.

"Jika kaedah ini dipraktikkan, saya boleh jamin, pelajar tingkatan lima boleh mendapat A dalam subjek Matematik. Selain pengiraan lebih mudah, pelajar hanya perlu mengunakan jalan mudah untuk menyelesaikan soalan walaupun melibatkan angka yang besar," katanya yang turut merangkumkan kaedah mudah tersebut menerusi penulisannya dalam buku setebal 110 halaman yang bertajuk Be A Math Genius In 10 Days.

Jaludin juga mencipta kaedah unik untuk mengingati kalendar.

"Dengan kaedah ini saya boleh ingat tarikh dan hari dengan tepat untuk tempoh 300 tahun," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengantin Melayu suka tarikh cantik

Posted:

Pengantin Melayu suka tarikh cantik

Pengantin Melayu suka tarikh cantik

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


ROSHIMAH menunjukkan sekeping foto pelanggannya.


HATI Roshimah Othman sayu saat melihat pasangan pengantin baharu itu bersanding di atas pelamin.

Mengenakan songket kuning sedondon, pengantin wanita yang berkulit putih itu kelihatan cantik bersanggul, manakala si lelaki pula segak bertanjak dan berkaca mata hitam.

Roshimah, 50, puas melihat mereka tersenyum bangga di atas pelamin biarpun hanya dibayar sebanyak RM500 sahaja untuk sebuah majlis yang besar seperti itu.

Baginya majlis itu merupakan majlis terbaik yang pernah dilaksanakannya biarpun pada ketika itu dia hanya memiliki peralatan ringkas untuk merealisasikan sebuah majlis perkahwinan.

"Bayaran sebanyak itu sekadar cukup untuk mengisi minyak kenderaan untuk membawa barang-barang ke tempat majlis sahaja.

"Tetapi saya puas kerana dapat memberi sumbangan dengan sebuah majlis perkahwinan kepada pasangan istimewa itu," kata Roshimah.

Hatinya lebih sayu apabila pengantin lelaki tersebut yang merupakan seorang cacat penglihatan itu 'melihat' sumbangan yang diberikan Roshimah itu dengan tangannya.

"Dia meraba-raba dengan tangannya pada setiap perhiasan yang ada di majlis tersebut dengan perasaan yang teruja. Saya sebak melihat kegembiraannya itu," katanya kepada Jurnal.

Itu kisah yang berlaku hampir enam tahun dahulu. Kini, Roshimah tidak lagi menyediakan perkhidmatan pengurusan majlis secara separuh masa tetapi menjadikannya sebagai sebuah bisnes keluarga.

Kisah itu menjadi penguat azam kepada Roshimah untuk terus berkhidmat merealisasikan impian setiap pengantin baharu.

Letak jawatan

"Saya tidak mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya mahu melihat pasangan pengantin baharu tersenyum gembira dengan majlis bahagia mereka," katanya yang kini mempunyai dua orang pekerja tetap.

Pada 2007, Roshimah berhenti kerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta. Biarpun sudah berkhidmat selama hampir 30 tahun di situ, dia nekad membuka bisnes perancang perkahwinan atas nama D'La Rossa Creation.

Dia tidak melalui banyak detik sukar menguruskan perkhidmatannya itu kerana ahli keluarganya merupakan penyumbang utama semangat dan tenaga kerja kepada Roshimah.

Melalui pakej lengkap yang disediakan untuk majlis perkahwinan daripada gubahan bunga segar sehinggalah kepada tugasan sebagai deejay, semuanya diuruskan oleh orang yang dia kenali.

"Urusan saya lebih mudah kerana suami dan anak-anak banyak memberikan semangat. Ahli keluarga yang lain juga banyak membantu kerana ada yang terlibat menyumbang khidmat masing-masing.


KEUNTUNGAN bukan perkara pokok bagi Roshimah, tetapi wanita itu gembira jika pelanggannya puas hati.


"Adik perempuan saya menjadi jurusolek, adik lelaki sebagai jurufoto, anak saudara pula mempunyai set sistem bunyi (PA) dan abang ipar menyediakan perkhidmatan katering.

"Ketika membuat persiapan majlis, ia bagaikan menjadi perhimpunan kami semua juga," katanya lagi.

Jika orang lain menghabiskan waktu hujung minggu dengan bercuti, berbeza pula baginya kerana waktu tersebut merupakan tempoh sibuk untuk dia bekerja.

Menurut Roshimah, dia akan turun padang melakukan persiapan sendiri menjelang majlis perkahwinan. Tetapi pada hari biasa dia akan berada di butiknya yang terletak di Kajang, Selangor untuk urusan perancangan dan bertemu klien.

"Hari minggu mahupun cuti sekolah merupakan hari-hari sibuk bagi seseorang perancang perkahwinan kerana ramai memilih hari cuti untuk melangsungkan majlis.

Tiga pengantin sehari

"Jadi saya akan uruskan perihal perancangan majlis pada hari-hari biasa. Ketika itu saya mempunyai sedikit kelapangan," katanya.

Berbicara soal tarikh perkahwinan, Roshimah akui bahawa trend memilih tarikh 'cantik' mula menjadi ikutan oleh masyarakat Melayu kini.

Tambahnya, bakal pasangan pengantin kini bukan sahaja memilih tema-tema terkini seperti moden kontemporari dan tradisional bahkan tarikh perkahwinan juga menjadi perkara penting oleh sebahagian daripada mereka.

Sehingga kini Roshimah sudah menutup tempahan untuk beberapa tanggal yang mempunyai kombinasi tarikh yang menarik seperti 9.10.2011, 11.11.2011 dan 20.11.2011.

"Untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, saya hanya menerima sebanyak tiga tempahan sahaja dalam masa sehari.

"Ia penting bagi menjamin kualiti terbaik kepada pelanggan. Jadi, untuk tarikh tersebut tempahannya sudahpun penuh," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Dia yang memegang prinsip ikhlas melakukan sesuatu perkara itu kini mempunyai dua orang pekerja tetap yang menjadi pembantu setianya.

Haneyza Amit, 33, dan Aftarol Mohd. Khozin, 37, merupakan pereka fesyen tetap bagi butik D'La Rossa Creation.

Menurut Roshimah, kedua-dua pekerjanya itu akan mereka pakaian pengantin yang diinginkan oleh pelanggan kerana dia sentiasa menghasilkan rekaan terkini yang sesuai dengan kehendak semasa.

Selain itu, butik tersebut turut menghasilkan rekaan kasut sendiri untuk dipadankan dengan pakaian pengantin. Dia yakin dengan kasut-kasut rekaan perekanya itu dan melihat potensinya untuk dikembangkan.

"Jika diberikan rezeki, saya bercadang untuk menghasilkan kasut atas jenama sendiri pula nanti," katan Roshimah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Misteri laluan berliku Karak

Posted:

Misteri laluan berliku Karak

Misteri laluan berliku Karak

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my


ADA pihak yang didakwa cuba melakukan pemujaan untuk mendapatkan nombor ekor apabila ada kemalangan maut di Lebuh Raya Karak.


SEKIRANYA ingin memandu ke Pantai Timur, Lebuh Raya Karak ialah laluan utama yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna jalan raya.

Sejak pembukaannya pada tahun 1977, laluan sepanjang 60 kilometer (km) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang ini memiliki koleksi kisah misteri.

Sungguhpun penulis belum pernah berdepan dengan kejadian aneh ketika menggunakan laluan berbukit itu, namun daripada cerita yang disampaikan oleh beberapa kenalan dan pengguna, Lebuh Raya Karak sudah cukup untuk meremangkan bulu tengkuk.

Seorang kenalan, Mohd. Saifullah Adli Hamzah, 32, mendakwa, dia pernah berada dalam situasi menyeramkan ketika melalui laluan berkenaan.

"Kejadian ini berlaku lima tahun lepas. Ketika itu saya dan tiga rakan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Tanah Merah, Kelantan.

"Perjalanan dimulakan sekitar pukul 1.30 pagi dari Shah Alam. Kami bergerak lewat kerana ada rakan-rakan yang bekerja syif petang." katanya yang juga merupakan pegawai pasukan beruniform.

Hempap

Menyambung bicaranya, sebaik sahaja melepasi tol Gombak, dua rakannya, Azizi dan Malik minta izin untuk tidur kerana mereka akan bergilir memandu sementara dia dan seorang lagi rakan bernama Hadi, asyik bersembang.

"Selepas melalui Bentong, jalan mulai sunyi. Ketika kereta menaiki bukit, saya terdengar seperti ada benda terjatuh menghempap bahagian belakang kereta.

"Hadi turut mendengar bunyi yang sama. Bila saya lihat cermin pandang belakang, saya tidak nampak apa-apa.

"Memandangkan keadaan ketika itu sunyi dan gelap, saya teruskan juga pemanduan," ujarnya yang membuka tingkap sepanjang perjalanan kerana mahu merokok selain menikmati udara sejuk hutan.

Laluan berliku dan berbukit memaksa Saifullah berhati-hati ketika meningkatkan kelajuan untuk memintas beberapa lori besar.

Ketika itu, dia mula merasakan keretanya berat namun dia tidak fikir yang bukan-bukan. Mungkin juga tekanan berat itu disebabkan kereta transmisi automatik yang dipandunya.

Namun, sebaik dia melepasi sebuah lori balak, pemandu tersebut menyalakan lampu besar berulang kali.

"Hadi menyuruh saya memecut supaya tidak terus terganggu dengan nyalaan lampu tinggi lori terbabit.

"Peliknya selepas itu ada dua tiga kenderaan yang memintas saya turut menyalakan lampu tinggi, malah ada yang membunyikan hon. Kata saya kepada Hadi, mungkin mereka hendak beritahu sesuatu," katanya yang terus mengejutkan dua lagi rakannya yang sedang tidur.

Memikirkan kemungkinan sesuatu berlaku terhadap keretanya, Saifullah ambil keputusan berhenti di bahu jalan untuk melihat-lihat jika ada yang tidak kena.

"Sebaik saja saya dan Hadi buka pintu untuk keluar, Malik yang kebetulan memalingkan muka ke cermin belakang menjerit meminta saya meneruskan perjalanan.

"Allahuakhbar! Pul, kau jangan keluar! Kita blah... kita blah!" jerit Malik dengan muka panik sambil menepuk-nepuk belakang kerusi supaya kami segera beredar dari kawasan tersebut.

Puntianak

Tanpa fikir panjang, pintu kereta ditutup dan Saifullah menekan pedal minyak semahunya. Malik menekup muka, Azizi pula menenangkannya.

Tingkap yang sebelum itu dibiarkan terbuka pantas ditutup.

Hadi bertanya, apa yang mereka nampak dan kenapa ketakutan sampai begitu sekali.

"Aku rasa aku nampak puntianak. Dia tengah baring terlentang atas but kereta kau tapi muka dia menghadap kita.

"Masa aku toleh ke belakang tadi, mata aku betul-betul nampak matanya," kata Saifullah ketika menceritakan detik cemas dia dan rakan-rakannya disapa makhluk halus di Lebuh Raya Karak.

Selepas mendengar pengakuan rakannya, Saifullah cuba memberanikan diri untuk melihat ke cermin pandang belakang namun tiada apa yang kelihatan. Hadi pula cuba pandang ke belakang menerusi cermin sisi.

"Pul, betullah. Aku nampak ada 'benda' dekat belakang," kata Hadi. Mendengarkan katanya, kami semua tidak putus membaca kalimah al-Quran. Hadi pula beberapa kali mengalunkan azan dalam tempoh 15 minit," ujar Saifullah.

Apabila keadaan menjadi tenang, baru empat sekawan ini faham mengapa lori dan kereta yang memintas mereka menyalakan lampu besar.

"Mungkin mereka nak beritahu kita pasal lembaga tersebut, tetapi kita yang tak faham. Mujur juga mereka masih boleh mengawal kenderaan kerana panik dan takut melampau juga boleh mengundang kemalangan," jelasnya yang sehingga kini mengelak untuk melalui Lebuh Raya Karak pada waktu malam.

Tidak menolak kewujudan entiti di laluan berkenaan, ramai yang berpendapat kawasan di sepanjang lebuh raya tersebut memang keras.

Menerusi carian di beberapa blog yang memaparkan cerita seram, sudah ramai yang disakat oleh makhluk halus terutamanya jika menggunakannya pada waktu malam.

Ada yang mengaitkan gangguan-gangguan tersebut terjadi ekoran kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di situ. Ada juga yang berpendapat, kawasan tersebut memang 'keras' kerana ia adalah tapak asal perkuburan lama.

Minta nombor

Seorang pengguna laluan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, gangguan-gangguan tersebut adalah tanda marah roh-roh yang meninggal dunia di situ.

"Kemungkinan besar roh-roh itu marah dengan pengendali trak penunda. Saya sudah beberapa kali melihat kemalangan ngeri di lebuh raya ini.

"Bila ada kemalangan saja, trak penunda akan datang. Kalau mereka angkut kereta rosak saja tak mengapa, tapi kebanyakan buat bisnes di situ.

"Mereka perah limau dan tabur garam pada kawasan berdarah sebab mahu puja roh untuk dapatkan nombor ekor.

"Dalam kepercayaan orang Cina, perbuatan itu hanya akan menambah sakit pada si mati.

"Mungkin bukan semua buat begitu, tapi saya percaya, ada yang buat sebab itu roh tak tenteram dan kacau orang lain," katanya yang berulang alik ke Pasir Puteh, Kelantan, sebulan sekali melalui lebuh raya berkenaan.

Biarpun ada berpuluh versi kisah seram di sepanjang Lebuh Raya Karak, laluan yang merentas negeri Pahang itu masih tetap menjadi pilihan terutamanya kepada anak-anak Pantai Timur yang mencari rezeki di ibu kota.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved