Jumaat, 10 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


JazzComm berlagu dari Ampang

Posted:

JazzComm berlagu dari Ampang

JazzComm berlagu dari Ampang

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my


WALAUPUN usaha JazzComm tidak terlalu besar sehingga mampu mengumpulkan jutaan peminat, namun kegigihan dan komitmen mereka wajar dipuji.


KEBIASAANNYA persembahan live band atau kugiran terutamanya muzik berirama jazz dan blues yang dimainkan oleh pemuzik bebas hanya dapat dilihat di pusat hiburan dan kelab-kelab eksklusif di ibu kota.

Kerana itu juga kebanyakan kita merasakan genre blues dan jazz merupakan muzik yang sesuai dinikmati oleh golongan atasan atau kelompok tertentu sahaja.

Lantaran muziknya yang dikatakan lebih eksklusif itu maka, tidak ramai yang mudah untuk jatuh cinta dengan blues dan jazz.

Sedangkan kalau mengikut sejarahnya, kedua-dua irama itu bukan milik strata elit. Ia dimulakan oleh komuniti Afrika-Amerika yang mencari tapak dalam hierarki sosial Amerika.

Walau apapun kisahnya, bahasa muzik itu sendiri bersifat universal dan ia sebenarnya harus dinikmati dengan penuh terbuka tanpa rasa prejudis.

Barangkali pendedahan masyarakat terhadap muzik blues dan jazz di negara ini tidak begitu meluas jika hendak dibandingkan dengan muzik pop mahupun rock.

Sudah tiba masanya, pandangan skeptikal itu dibuang dari minda masyarakat dan meletakkan kedudukan blues serta jazz yang sebenarnya sudah lama bertapak di negara ini sama seperti muzik lain.

Mahu memartabatkan muzik tersebut agar lebih dekat dengan hati pencinta muzi sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka sebagai Komuniti Jazz (JazzComm) Ampang tidak pernah jemu berusaha.

Mereka percaya bahawa muzik adalah milik semua orang dan bukan milik golongan elit sahaja.

Atas kepercayaan itu, Rohaizad Hassan yang mengetuai komuniti tersebut mengambil pendekatan berbeza yang dilihat menongkah arus dalam cuba mengetengah pemikirannya dalam masyarakat.

Untuk masyarakat

Rohaizad bertindak bergabung tenaga bersama pemilik medan selera Dagang Avenue, Ampang bagi mendekatkan kembali muzik jazz dan blues kepada masyarakat.

Lelaki berusia 36 tahun itu dan kumpulannya yang berpendapat sebelum ini masyarakat terlalu jauh dengan muzik jazz dan blues telah mengadakan persembahan percuma pada setiap bulan di Dagang Avenue.


JAZZCOMM tidak kisah untuk membuat persembahan percuma di Dagang Avenue kerana mahu muzik jazz dan blues dihargai orang ramai.


"Persembahan kugiran muzik jazz ini telah berlangsung sejak bulan November 2010. Ia diadakan di sini untuk mencari kelainan selain membawa muzik jazz yang kebiasaannya dianggap untuk golongan elit kembali kepada masyarakat.

"Selain itu juga, pada masa yang sama persembahan kugiran di sini juga dibuka untuk semua jenis muzik dan pemuzik yang ingin mempraktikkan kemahiran mereka," katanya sambil menegaskan muzik yang dimainkan di medan selera itu lebih lembut untuk didengar dan tidak terlalu keras.

JazzComm Ampang yang dipimpin Rohaizad itu bercita-cita menjadikan Ampang sebagai tempat bermula dan berkembangnya muzik jazz di Selangor sekali gus membuka ruang kepada pengembangan muzik genre tersebut ke seluruh Malaysia.

Menurutnya, komuniti tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berasaskan kepada keuntungan, politik, keagamaan, perkauman dan antikeganasan.

Pendekatan itu merupakan usaha pihak komuniti jazz Ampang dan pemilik medan selera Dagang Avenue untuk mencari kelainan dalam cubaan menarik kembali masyarakat meminati muzik jazz yang satu ketika dahulu menjadi siulan masyarakat kelas bawahan.

"Sejak ia mula diperkenalkan di sini saban hari sambutan semakin yang diterima amat menggalakkan. Masyarakat di sekitar Ampang mula memberi respon yang baik dengan datang sendiri ke premis ini untuk menjamu telinga mereka dengan muzik jazz.

"Walaupun mereka tidak datang makan atau minum mereka berpeluang menyaksikan persembahan hebat pemuzik secara percuma dan tidak perlu ke hotel-hotel lima bintang untuk menyaksikannya," katanya.

Rohaizad menjelaskan mereka yang menggerakkan perkembangan komuniti Jazz Ampang terdiri daripada kalangan mereka yang bersemangat tinggi untuk mengembangkan muzik Jazz tanpa mengharapkan ganjaran kewangan bagi diri mereka.

Kini mereka boleh tersenyum apabila konsert Live Blues dan Jazz yang berlangsung di medan selera Dagang Avenue, Ampang pada setiap bulan semakin mendapat perhatian ramai.

Banyak acara di Dagang Avenue

Selain itu, pemilik medan selera Dagang Avenue, Mohd. Rizal Othman, 28, turut menganjurkan beberapa program lain bagi menarik masyarakat ke medan selera tersebut sekali gus menjadikan premis itu sebagai pusat sehenti (one stop center) masyarakat.

Antara program yang diadakan setakat ini termasuklah program promosi kesihatan seperti senamrobik, tarian poco-poco dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Menurut Mohd. Rizal, bermula dengan aktiviti persembahan jazz dan blues pada hari Ahad terakhir setiap bulan, dia turut cuba mengadakan program-program lain di premisnya pada setiap hujung minggu.


SALAH sebuah daripada 18 buah lot kedai medan selera yang menjual makanan stimbot.


"Pada setiap hari Sabtu dan Ahad melalui lembaga promosi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya bekerjasama mengadakan aktiviti senamrobik dan beberapa aktiviti kesihatan lain.

"Selain itu, saya turut membenarkan penduduk di sekitar Dagang Avenue melakukan aktiviti seperti mesyuarat penduduk, mengubah bunga, dan lain-lain lagi," katanya.

Kata Mohd. Rizal, premis perniagaannya mampu memuatkan seramai 500 orang dalam satu masa dan mempunyai 18 lot gerai makanan.

Antara gerai yang ada ialah, kedai masakan Thai, menu Barat, sate, laksa, stimbot dan banyak lagi.

"Di sini pelanggan dapat menjamu selera sambil berhibur malah, selain pemuzik jazz, pemuzik dari genre lain turut di alu-alukan bermain di pentas mini yang disediakan lengkap dengan sistem audio.

"Selain itu, pemuzik profesional dan terkenal sering melakukan persembahan di sini antaranya Fieldplayers, kumpulan Tilu dan Maulana," katanya.

Katanya, semua muzik yang dimainkan di sini lebih kepada irama yang sesuai untuk semua peringkat usia dari kanak-kanak sehingga warga emas.

"Setakat ini setiap kali persembahan diadakan tiada aduan diterima dan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya menggalakkan setiap program diadakan selagi ia tidak melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Komuniti Jazz Ampang serta Dagang Avenue sila hubungi Rohaizad Hassan di nombor telefon 017-294 1774 atau Mohd. Rizal Othman di nombor telefon 016-202 3896.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bakteria punca maut dan pengangguran

Posted:

Bakteria punca maut dan pengangguran

Bakteria punca maut dan pengangguran



PENGARAH Urusan ladang Gaertnerhof Bienenbuettel di Jerman, Klaus Verbeck sudah mengusahakan ladang organik selama lebih 30 tahun.

Dia begitu menitikberatkan soal kebersihan dan memastikan sayur-sayurannya ditanam secara organik. Lebih daripada itu, dia langsung tidak menggunakan baja najis haiwan.

Verbeck yang juga seorang pemakan sayur-sayuran atau vegetarian tidak membenarkan haiwan dibawa masuk ke ladang miliknya.

Namun, ekoran penyebaran epidemik E. coli yang menjadi krisis terburuk di Eropah sejak April lalu, dia berhadapan tuduhan bahawa tauge di ladangnya menjadi penyebab utama kepada penyebaran bakteria pembunuh tersebut.

Masih tidak berpuas hati dengan tuduhan itu, Verbeck berulang kali menegaskan bahawa dia tidak menggunakan baja untuk menyemai taugenya dan tiada haiwan berkeliaran di ladang organiknya itu.

"Sayuran di sini dibesarkan menggunakan biji benih dan air sahaja, dan ia tidak dibaja langsung. Baja haiwan juga tidak pernah digunakan di sini termasuk di kawasan lain di ladang ini," katanya.

Seorang jiran Verbeck, Sibylle Lange berkata, dia mengenali Verbeck kerana dia telah mengusahakan ladang organik itu selama bertahun-tahun.

"Ini perkara serius, dia adalah seorang lelaki yang bekerja keras dan merupakan antara pengusaha ladang organik pertama," kata ibu kepada dua anak itu.

Tambahnya, Verbeck sudah bekerja di ladang itu selama lebih 30 tahun dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.

"Saya telah makan semua jenis sayuran dari ladang itu termasuk tauge dan rasanya sangat sedap. Saya tidak dapat membayangkan sumber E. coli berasal dari situ. Semua perkara ini telah menjejaskan kami di kejiranan ini termasuk rakan-rakan kami," kesalnya.

Sumber penyebaran

Pihak berkuasa Jerman, di bawah tekanan untuk mengenal pasti sumber penyebaran E. coli. Mereka bertindak dengan memberi amaran kepada orang awam selama berminggu-minggu untuk tidak membeli dan memakan tomato, timun dan salad.

Pada satu tahap, pihak berkuasa menuding jari pada pengeluaran timun dari Sepanyol yang dikatakan menjadi sumber penyebaran itu.

Selain Verbeck, peladang-peladang di Sepanyol telah kehilangan pendapatan kira-kira 200 juta Euro (RM885 juta) seminggu. Tidak berpuas hati dengan nasib yang menimpa mereka akibat amaran itu, mereka dijangka akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi.

Krisis itu dikatakan bakal membuatkan 70,000 orang di Sepanyol kehilangan kerja dan negara berkenaan sudah pun mempunyai rekod pengangguran tertinggi di Eropah.

Di Jerman, pakar mikrobiologi memberitahu bahawa tauge merupakan suspek utama penyebaran epidemik itu sejak mula.

"Ia sepatutnya sudah dihentikan sejak awal," kata Alexander Kekule dari Universiti Halle-Wittenberg.

Pihak berkuasa di banyak negara seluruh Eropah bertungkus-lumus menjejak punca sebaran bakteria pembawa maut itu. Sehingga kini, ia telah dikesan di 12 buah negara akibat kunjungan rakyatnya ke bahagian utara Jerman.


E. COLI dikatakan bersifat agresif dan kalis antibiotik.


Kebanyakan mereka yang dijangkiti telah mengalami sindrom haemolitik uraemik (HUS) yang merupakan serangan komplikasi ke atas buah pinggang yang menyebabkan potensi kematian.

E. coli yang merebak dalam sistem tubuh manusia melekat pada dinding usus dan mengeluarkan toksin lalu mengakibatkan cirit-birit berdarah dan masalah buah pinggang. Kebanyakan pesakit memerlukan rawatan rapi termasuk dialisis.

Sabtu lalu, pihak berkuasa mengenal pasti sebuah restoran di utara Luebeck sebagai tempat punca epidemik itu sampai kepada manusia. Hidangan di restoran itu dikatakan menyebabkan kira-kira 17 orang dijangkiti E. coli dan mengorbankan nyawa salah seorang daripadanya.

Namun, pemilik restoran daging dan kentang itu menegaskan bahawa dapurnya telah diuji negatif daripada E. coli dan tiada seorang pun pekerjanya yang jatuh sakit.

Dalam situasi panik yang semakin menjadi-jadi, kegawatan sosial akibat kegemparan tersebut sudahpun menular ke Britain, Perancis, Sepanyol, Sweden dan Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mencetus perasaan berjaga-jaga apabila pihaknya mengesahkan bahawa E. coli memang mempunyai kaitan dengan kes-kes keracunan makanan. Lebih menakutkan, E. coli dilaporkan begitu agresif dan kebal ke atas antibiotik.

Keputusan rasmi

Dalam pada itu, golongan pengguna masih ternanti-nanti akan pengumuman hasil ujian rasmi pada Isnin ini. Pengesahan tersebut amat kritikal demi memutuskan sama ada tauge daripada ladang organik di Utara Jerman menyebabkan penyebaran epidemik E. coli di Eropah hingga menyebabkan kematian seramai 22 orang dan menyebabkan lebih 2,000 rakyatnya jatuh sakit.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian Jerman, Gert Lindemann, memberitahu, tauge yang dihasilkan di ladang yang lebih besar dari Uelzen iaitu wilayah di antara Hamburg dan Hannover turut disahkan sebagai sumber epidemik bakteria berkenaan.

Ia dikatakan berpunca apabila stok sayur-sayuran tercemar yang dihantar ke restoran dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.

Bukan sekadar tauge, pegawai kesihatan turut memberi amaran kepada orang awam untuk tidak memakan tomato, timun dan salad hijau.

"Walaupun kami yakin bahawa ladang di Uelzen terbabit kami masih perlu menunggu keputusan rasmi dari makmal. Sehingga itu, kami tidak boleh menyatakan apa-apa dengan jelas," kata Menteri Kesihatan Jerman, Daniel Bahr, Ahad lalu.

Tambah beliau, amaran itu termasuk salad campuran yang sudah siap dibungkus dan disejukkan. Sehingga kini, tiada pihak boleh menjamin bahawa bakteria seperti E. coli dan Salmonella tidak dapat membiak dalam suhu sejuk.

Kritikan pembangkang

Dalam pada itu, pihak pembangkang tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan diri mereka. Mereka mahu menjuarai krisis penyebaran epidemik itu dengan mempersendakan tindakan kerajaan dalam menguruskan isu berkenaan.


SEORANG peladang di Almeria, tenggara Sepanyol, membuang timun yang sudah dipetik kerana bimbang ia tidak dapat dijual.


"Kerajaan langsung tidak mempunyai mekanisme pengurusan krisis bagi mengatasi masalah itu," kata ketua Parti Green, Renate Kuenast.

"Saya ragu-ragu apakah yang dilakukan oleh kementerian kesihatan dan menteri perhubungan pengguna," soalnya.

Krisis E. coli pernah dikenal pasti pada tahun 1996 di Jepun dan mengakibatkan 12 orang mati dan lebih 12,000 orang awam jatuh sakit.

Baru-baru ini, ketika pegawai kesihatan cuba mencari sumber penyebaran bakteria luar biasa itu, kesangsian timbul kepada salad, timun dan tomato yang mungkin berasal dari Sepanyol.

Para peladang yang mengusahakannya mengeluh kerana tuduhan itu telah mengakibatkan mereka mengalami kerugian besar.

Lindemann memberitahu, ladang di Uelzen telah ditutup Ahad lalu dan semua hasil pengeluarannya ditarik balik, termasuk herba-herba segar, buah-buahan, bunga-bungaan dan kentang. Dua pekerjanya turut dijangkiti E. coli.

"Sejumlah 18 jenis tunas berbeza dari ladang berkenaan kini di bawah pemeriksaan termasuk tunas brokoli, kekacang, bawang putih, kacang lentil dan sebagainya.

"Sumber berkenaan juga didapati tercemar kerana ditanam di bawah persekitaran yang menyebabkan bakteria mudah membiak iaitu pada suhu 38 darjah Celsius," katanya.

Tambahnya, kemungkinan juga air yang digunakan ladang berkenaan dicemari E. coli atau biji benih tunas berkenaan yang dibeli di Jerman dan negara-negara lain tercemar dengan bakteria tersebut.

Sekatan import

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini menerima laporan WHO mengenai sindrom HUS yang berpunca daripada pencemaran bakteria Enterohaemorrhagic Escherichia Coli (EHEC).

Satu kes wabak penyakit itu telah dilaporkan di negara Jerman, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Wabak tersebut mempunyai ciri-ciri pemecah darah merah dan menjadi penyebab anemia, kegagalan ginjal akut dan kekurangan sel darah pembeku.

"Tanda-tanda seseorang itu telah dijangkiti wabak ini adalah seperti sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit berdarah.

"Gejala-gejala ini juga boleh menyebabkan dehidrasi, keletihan, kelesuan, anemia, uraemia dan kecenderungan pendarahan," katanya.

Beliau memberitahu, punca wabak penyakit tersebut menjangkiti mangsa melalui makanan yang dicemari dengan bakteria E. Coli.

"Gejala penyakit ini dapat dilihat dengan ketara dalam tempoh tiga hingga lapan hari. Bagaimanapun, mangsa akan sembuh dalam tempoh 10 hari tanpa sebarang komplikasi selepas dijangkiti wabak penyakit ini," katanya sambil memberitahu, komplikasi yang lebih serius seperti penyakit buah pinggang pada tahap kronik mungkin menyerang warga tua dan kanak-kanak.

Sebagaimana dilaporkan, Hasan memberitahu, kajian mendapati pesakit yang terlibat dengan wabak ini didapati berkemungkinan memakan sayuran mentah iaitu tomato, timun dan daun salad.

"Kementerian sedang memantau pengimportan timun ke dalam negara ini tetapi maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia menunjukkan tiada timun yang diimport dari Jerman atau Sepanyol," ujar beliau.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mengajar muzik di bawah Tugu Negara

Posted:

Mengajar muzik di bawah Tugu Negara

Mengajar muzik di bawah Tugu Negara

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN



UNTUK para pelancong dari luar negara yang datang melancong ke negara ini terutamanya ke Kuala Lumpur, tidak lengkap rasanya kalau mereka tidak dibawa untuk melawat ke salah sebuah tempat bersejarah yang cukup terkenal.

Tempat yang dimaksudkan adalah Tugu Negara, sebuah tugu yang mula dibina dan siap pada 8 Februari 1966. Tugu setinggi 15 meter itu diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix De Weldon.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, tujuan dibina adalah untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada lebih 11 ribu parajurit yang gugur dalam medan peperangan pada Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan semasa darurat.

Bagaimanapun, di sebalik populariti Tugu Negara yang menjadi tempat yang wajib dikunjungi pelancong, ternyata terdapat satu lagi tarikan lain sehingga turut menggamit tumpuan warga tempatan berkunjung ke situ.

Di sekitar kawasan pekarangan tugu berkenaan, orang ramai akan dapat menyaksikan sekumpulan pemain dram dan perkusi jika mereka hadir pada setiap hari Ahad bermula pukul 5.30 petang sehingga 8.30 malam.

Sebenarnya mereka adalah sekumpulan pemuzik yang dikenali sebagai Tugu Drum Circle (TDC). Ia merupakan sebuah kumpulan muzik yang memberi latihan percuma kepada orang ramai untuk mempelajari alat instrumen perkusi dan dram.

Lebih menarik lagi, kumpulan berkenaan sebenarnya telah lama wujud dan bertapak di situ sejak tahun 2002. Ia ditubuhkan oleh dua orang rakan yang begitu meminati seni muzik iaitu Paul Lau dan Salim Dastan.

Menurut Paul, tujuan dia dan rakannya itu menubuhkan TDC adalah untuk memberi pendedahan yang lebih meluas tentang instrumen perkusi kepada masyarakat.

"Tidak dinafikan bahawa masih ramai yang tidak begitu mengenali instrumen ini dan ia juga agak jarang dimainkan. Jadi, kami rasa perlu ada inisiatif untuk mempopularkannya dan akhirnya tertubuhlah TDC.

"Biarpun kumpulan ini hanya bermula dengan dua orang sahaja, namun kini ia sudah mempunyai bilangan ahli yang ramai dan ada yang secara sukarela membantu untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat untuk belajar," ujarnya.

Tambah Paul lagi, setakat ini dia dibantu oleh 10 orang ahli kumpulan tersebut yang sentiasa memberi komitmen mereka untuk hadir pada setiap minggu.

Ujarnya, matlamat TDC ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mendapat keuntungan dari segi wang ringgit kerana apa yang diajar adalah secara percuma dan mereka yang mahu belajar tidak dikenakan sebarang bayaran.

"Kumpulan ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat untuk mempelajari skil dan teknik asas permainan alat perkusi dan dram," jelasnya.


PENGASAS Tugu Drum Circle, Paul Lau (kiri) bersama salah seorang anggota terawal mereka, Terra dan anggota baru mereka, Vic Suppiah.


Mengenai peralatan perkusi yang disediakan pula, Paul memberitahu, semuanya dibawa sendiri oleh ahli kumpulannya. Malah, dia sendiri mempunyai sebanyak 20 alat perkusi yang dibeli dan dikumpul sejak sembilan tahun lalu.

Ujarnya, kebanyakan peralatan tersebut sememangnya popular dimainkan dalam muzik negara-negara Latin dan Afrika seperti Shaker, Cowbell, Cabasa, Gankogui, dan Tamburin.

"Dahulu kalau kami mendapat wang yang dibayar selepas membuat sesuatu persembahan, kesemua wang tersebut akan dibahagikan sama rata kepada semua ahli yang terlibat.

"Bagaimanapun, sejak dua tahun yang lalu kami semua telah sepakat agar sebahagian wang yang diperoleh itu akan disumbangkan kepada kumpulan," ujarnya.

Paul menjelaskan, cara tersebut terpaksa dilakukan supaya kumpulannya itu mempunyai sumber kewangan terutamanya untuk membeli peralatan perkusi yang baru.

Jelasnya, memang ramai yang berminat untuk mempelajari dan bermain alat-alat muzik berkenaan tetapi ada di antaranya yang tidak memiliki peralatan berkenaan.

Sementara itu, biarpun sesetengah pihak melihat mereka sebagai pemuzik jalanan, namun apa yang menggembirakan adalah apa yang dilakukan itu tetap mendapat sokongan ramai termasuk pihak berkuasa tempatan.

"Sepanjang sembilan tahun kumpulan ini ditubuhkan, inilah satu-satunya tempat kami menjalankan aktiviti dan setakat ini tiada masalah kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memberi kebenaran.

"Malah, boleh dikatakan para peniaga di kawasan ini juga gembira dengan apa yang kami lakukan kerana ia dilihat sebagai satu tarikan untuk orang ramai dan pada masa yang sama menambahkan pendapatan mereka," jelasnya.

Selain Paul, seorang lagi individu yang menjadi tulang belakang kepada TDC ialah Jisteraizi Md Fauzi atau lebih dikenali sebagai Terra dalam kalangan ahli kumpulan tersebut.

Menyertai TDC sejak mula ia ditubuhkan, pelajar dalam bidang muzik di Aswara itu turut meluangkan masa pada hujung minggu dengan menjadi salah seorang tenaga pengajar.

"Walaupun apa yang diajarkan hanya merupakan teknik asas, namun saya sendiri sebenarnya turut berminat untuk mengajar tentang nota-nota muzik dengan lebih mendalam.

"Bagaimanapun, saya akan ajar kepada mereka yang benar-benar minat dan mengetahui serba sedikit asas dalam muzik kerana apa yang lebih penting adalah mengajar mereka bermain alat muzik dengan baik," jelasnya.

Perpaduan kaum

Biarpun sudah sembilan tahun bertapak di kawasan Tugu Negara, Paul memberitahu, setiap minggu sambutan yang diterima oleh mereka sememangnya sangat menggalakkan.

Ujarnya, mereka yang datang untuk mempelajari dan bermain alat muzik berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta tanpa mengira umur termasuklah kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

"Pada saya apa yang kami lakukan ini bukan sekadar mengajar muzik semata-mata, malah ia dilihat sebagai satu cara untuk membentuk perpaduan kaum di Malaysia.


TDC juga menerima jemputan membuat persembahan dalam majlis-majlis berkaitan hiburan.


"Ia bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diterapkan kerana tidak kira sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain kaum, di tempat ini semua orang akan berkumpul dan bermain alat muzik bersama-sama," jelasnya.

Menurutnya lagi, selain dapat menarik minat masyarakat tempatan, terdapat ramai pelancong asing yang berkunjung ke situ turut tertarik dan berminat dengan apa yang dilakukan oleh mereka.

Bagaimanapun, Paul menegaskan bahawa apa yang diajar oleh ahli kumpulan berkenaan adalah peringkat asas sahaja agar dapat menanam minat orang ramai terhadap muzik yang dihasilkan melalui peralatan tersebut.

"Sebenarnya apa yang kami lakukan ini lebih menjurus kepada projek komuniti dan tidak mengejar sebarang keuntungan kerana kami tidak mengenakan sebarang bayaran.

"Sekiranya ada yang berminat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam, saya akan memperkenalkan mereka kepada pihak yang lebih pakar terutama guru di sekolah muzik," jelasnya.

Ujarnya, TDC ditubuhkan bukan sekadar hiburan semata-mata, malah matlamat utama setiap ahli kumpulan adalah mahu berkongsi ilmu dan pengalaman serta menjadikan muzik sebagai asas penyatuan kaum.

Bukan sekadar hiburan

Biarpun kini usianya sudah mencecah 46 tahun, namun ia bukan satu penghalang bagi Vic Suppiah untuk bergiat aktif bersama kumpulan TDC sejak menyertai mereka kira-kira lapan bulan lalu.

Menurut Vic, dia sebenarnya amat meminati permainan dram dan telah diberitahu oleh salah seorang rakannya mengenai sebuah kumpulan di Kuala Lumpur yang aktif bermain peralatan tersebut.

"Kemudian saya banyak mencari maklumat mengenai kumpulan ini menerusi Internet dan saya dapati aktiviti yang dilakukan mereka pada setiap hujung minggu sangat menarik.

"Jika sebelum ini hobi seperti menyelam dan bermain golf menjadi kegemaran, tetapi kini masa hujung minggu saya lebih banyak dihabiskan bersama TDC," jelasnya.

Tambah Vic lagi, dia sangat tertarik untuk menyertai kumpulan tersebut disebabkan mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar.

Malah, dia turut kagum kerana merasakan tidak ramai yang mampu untuk menjalankan sesuatu aktiviti yang dilihat mampu untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini tanpa mengira status.

"Apa yang dilakukan oleh TDC ini adalah sesuatu yang cukup unik dan jarang dilakukan. Saya melihat ia bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi yang lebih penting menggunakan muzik untuk menyatupadukan semua kaum," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved