Jumaat, 10 Jun 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Arca belon hiasi Kota Keriangan

Posted:

Arca belon hiasi Kota Keriangan

Arca belon hiasi Kota Keriangan

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ANTARA hasil kerja Alberto Falcone yang disukai ramai dalam siri pamerannya sebelum ini.


BANJARAN Titiwangsa menyimpan seribu satu khazanah alam tidak ternilai untuk diterokai. Selain keindahan flora dan fauna yang tersergam indah untuk diterokai, tanah tinggi itu juga menyemat keseronokan yang luar biasa.

Tidak lain tidak bukan sudah tentu Genting Highlands yang amat sinonim dengan jolokan Kota Keriangan.

Lokasi yang utuh bertapak di ketinggian 1,800 meter dari aras laut itu mula menggamit kehadiran pelancong dalam dan domestik sejak mula dibuka pada tahun 1971.

Kini, pelbagai tarikan tersedia untuk diterokai pengunjung termasuk taman tema dalam dan luar, gedung beli-belah kelas tinggi, variasi hentian gastronomi hinggalah kepada sensasi istirehat dan belaian diri.

Pendek kata, impian untuk melakar kenangan percutian indah dalam hidup boleh dikecapi di Genting Highlands.

Sempena musim cuti persekolahan kali ini, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menikmati masa berkualiti bersama keluarga tersayang.


ANTARA hasil kerja Alberto Falcone yang disukai ramai dalam siri pamerannya sebelum ini.


Molek kiranya Genting Highlands dicatatkan sebagai destinasi tumpuan tambahan pula dengan adanya Festival Belon Antarabangsa terbesar Asia Tenggara bermula hari Sabtu ini (11 Jun) hingga 26 Jun nanti.

Arca unik

Belon biasanya menjadi penyeri dekorasi majlis atau lokasi yang sering menjadi tumpuan si cilik.

Namun, sedikit kelainan bakal menemui peminat seni gubahan belon sempena festival tersebut.

Penganjuran hebat sulung itu mengambil tempat di tiga lokasi utama iaitu di Universal Walk First World Plaza, Snow World dan Taman Tema Luar Genting.

Menurut Penasihat Projek Balloon Matrix, Chelsea Tan, inisiatif untuk menjemput para seniman belon terkemuka dari Itali, Jepun dan Taiwan turut bertujuan memeriahkan atur cara cuti sekolah kali ini selain membuka perspektif baru kepada orang ramai.

"Kita biasa melihat formasi belon dipamerkan di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya termasuk kehadiran badut yang memintal belon menjadi arca-arca kecil.


TOM BIBO bakal memukau tetamu Genting Highlands dengan aksi humor dan mengejutkan bersama belon-belonnya.


"Namun, kita jarang melihat belon digunakan untuk menghasilkan rekaan bersaiz besar dan bentuk-bentuk yang unik. Itulah tujuan utama festival belon ini diadakan," katanya yang telah berkecimpung selama 20 tahun dalam bidang pembuatan belon kreatif.

Arca mega berkonsepkan makhluk asing akan dipamerkan di ketiga-tiga tempat tersebut hasil daripada penjanaan idea kreatif oleh para seniman seperti Alberto Falcone dan Federico Onida dari Itali, Stone Chang dari Taiwan serta pasangan Azusa Leizumi, Akane Shibata dan Charry dari Jepun.

Azusa yang sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia menyatakan keterujaannya untuk berada lebih lama di Genting Highlands kali ini.


HASIL kreativiti Akane dan Azusa.


"Saya akan menghasilkan sebuah arca makhluk asing yang besar di Genting Highlands. Ini adalah cabaran pertama saya untuk menghasilkan binaan dalam suasana sejuk kurang daripada 8 darjah Celsius," ujarnya ketika ditemu bual dalam sesi persidangan jarak jauh di Wisma Genting baru-baru ini.

Selain pameran arca belon terbesar dengan tema Alien Revolution, pentas peragaan pakaian yang diperbuat daripada belon bakal menemui pengunjung pada majlis pelancaran pada 11 Jun nanti.

Tumpuan juga harus diberikan kepada belon gas terbesar Asia Tenggara yang dikhaskan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah yang memiliki berat badan kurang daripada 30 kilogram.

Untuk merasai pengalaman luar biasa menaiki belon udara panas di tempat tertutup itu, bayaran serendah RM30 dikenakan untuk setiap sesi.

Transformers


AKANE (kiri) dan Azusa juga menjadi seniman jemputan Genting Highlands.


Bagi peminat tegar siri Transformers, replika Bumble Bee dan Optimus Prime setinggi lapan kaki akan turut dibina bersebelahan pentas utama Times Square di samping penjualan barangan ekslusif.

Selain kehadiran enam seniman belon antarabangsa yang sering mendapat pengiktirafan dunia, demonstrasi persembahan belon daripada pereka Belgium, Tom Bibo akan juga diselitkan pada sesi sebelah malam.

Bibo yang diiktiraf sebagai penghibur belon antarabangsa terbaik tahun 2001, 2002 dan 2005 juga akan mengendalikan bengkel seni belon khas buat kanak-kanak yang terhad kepada 15 orang setiap sesi.

Gemarkan acara malam? Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keriangan di Taman Tema Luar bermula dari pukul 7 petang hingga 10 malam setiap hari sepanjang cuti sekolah nanti.

Merancakkan atur cara festival penuh warna-warni itu kelak, tempoh operasi semua gedung beli-belah di First World Plaza juga akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi bermula 28 Mei lalu hingga ke tarikh 25 Jun.

Bukan itu sahaja, potongan harga sehingga 70 peratus juga ditawarkan demi meraikan pengunjung yang bertandang sempena cuti persekolahan kali ini.

Jadi, usah ditunggu lagi. Inilah masanya untuk membawa keluarga menyertai pesta riang-ria di Genting Highlands yang pastinya menjanjikan pengalaman luar biasa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Etnologi Negara Seribu Pagoda

Posted:

Etnologi Negara Seribu Pagoda

Etnologi Negara Seribu Pagoda


ANGKOR WAT memenuhi cita rasa penggemar panorama matahari terbenam.


KEMBOJA? Apabila disebut sahaja nama negara itu, serta-merta gambaran imej Angkor Wat terpacul di benak penulis. Peluang yang diberikan oleh pihak Universiti Sains Malaysia ini perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman di negara orang.

Penulis bersama 14 rakan lain daripada jurusan komunikasi, pengurusan, sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan terpilih untuk mengikuti program yang dikenali sebagai Industrial Internship Attachment (IAA) selama dua minggu di Negara Seribu Pagoda itu.

Dua hari pertama kami diiringi oleh pensyarah, Dr. Sivamurugan Pandian, sebelum disambung pula oleh salah seorang bekas pelajar, Mr. Sokvibol Theam atau lebih mesra dipanggil Mr. Vibol.

Usai penerbangan yang mengambil masa lebih lima jam, irama 'keroncong' yang didendangkan perut masing-masing memaksa mata kami melilau mencari juadah untuk disantap sekitar bandar Phnom Penh.

Mujurlah berdekatan dengan tempat penginapan kami terdapat sebuah restoran makanan halal D'Wau yang diusahakan oleh rakyat Malaysia.

Harga yang berpatutan dan menu menyelerakan sudah memadai buat kami yang ingin merasai kelazatan masakan Malaysia di bumi Kemboja.

Universiti tertua


PERKARANGAN Angkor Wat menyediakan pengalaman menaiki gajah dengan bayaran berpatutan.


Kebanyakan aktiviti kami selama dua minggu itu bertempat di Royal University of Phnom Penh (RUPP), sebuah universiti terbesar dan tertua di Kemboja.

Universiti tersebut terdiri daripada tiga buah kampus yang terletak bersebelahan antara satu sama lain dan mempunyai lebih kurang 12,000 orang pelajar keseluruhannya.

Kami dibawa melawat ke sekeliling kawasan universiti bersejarah itu dengan lebih dekat. Kami juga menyertai program-program berbentuk ilmiah yang diadakan untuk bertukar-tukar pendapat mengenai negara masing-masing.

Selain itu, kami diberi peluang untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama-sama pelajar di sana. Satu perkara yang mengejutkan penulis adalah konsep pembelajaran mereka di universiti masih seperti sesi persekolahan menengah di Malaysia.

Namun, mereka mampu menggunakan bahasa Inggeris dengan baik memandangkan sesi pembelajaran mereka sepenuhnya dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Sejarah gelap

Setiap pelancong yang datang ke Kemboja pasti tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke lokasi bersejarah yang unik iaitu Muzium Tuol Seng atau dikenali sebagai S-21.

Muzium itu dahulunya merupakan bekas sekolah tinggi yang bertukar 'fungsi' sepenuhnya menjadi tempat penyeksaan tahanan oleh ketua rejim Khmer Rouge, Pol Pot ketika dia berkuasa daripada tahun 1975 hingga 1979 .


JALIRAN banir akar pepohon jutaan tahun melengkapkan keunikan Angkor Wat.


Rejim Khmer Rouge yang mengamalkan fahaman Komunisme dan telah membawa sejarah hitam kepada rakyat Kemboja hingga mengorbankan nyawa hampir dua juta penduduknya.

Perasaan sedih, seram dan gementar menyelubungi diri penulis ketika masuk ke pekarangan muzium itu yang memaparkan gambar-gambar mangsa pembunuhan, tempat kurungan banduan dan bilik seksaan yang ditinggalkan.

Di muzium itu juga terdapat 14 kubur yang dikatakan milik mangsa terakhir daripada kira-kira 17,000 banduan. Kaedah pembunuhan yang digunakan pada zaman itu juga amat mengerikan dan sukar dibayangkan oleh penulis sendiri.

Menurut ceritanya, banduan yang dikenal pasti untuk dihukum bunuh dibawa ke Killing Field dan diberi dua pilihan menamatkan hayat. Mereka sama ada dikelar leher dengan pelepah kelapa sawit yang ditajamkan atau buah zakar dihentak dengan kuat sehingga mati.

Mistikal Angkor Wat

Kami meninggalkan tempat yang penuh dengan kesedihan dan kesengsaraan untuk menikmati panorama alam penuh mempesonakan di Angkor Wat.

Terkenal sebagai salah sebuah lokasi ajaib dunia, Angkor Wat terbukti memukau setiap tetamu yang singgah di situ.

Lebih enam jam perjalanan dihabiskan dari Phnom Penh untuk ke Seam Reap iaitu bandar yang penuh elemen estetik dan eksentrik.

Tanah merah masih menjadi nadi penghubung di sana dan kebanyakan premis penduduk termasuk kedai-kedai mengekalkan ciri binaan lama dan kelihatan agak kusam.

Meskipun begitu, keindahan bentangan sawah padi menghijau menggamit dan memukau pengunjung untuk setia berada di situ untuk suatu tempoh waktu yang lebih lama.

Sebaik sahaja tiba di Angkor Wat, kami diserbu kanak-kanak miskin yang datang secara berkumpulan memaksa kami membeli barang-barang yang dijual antaranya poskad, aksesori wanita dan buku-buku pelancongan berkaitan Kemboja.


RUMAH ibadat yang masih mengekalkan seni bina Kemboja.


"Sir, please sir buy from me. If you don't give me money, I can't go to school. Please sir!" ujar salah seorang kanak-kanak serba daif yang memujuk penulis.

Benar atau tidak bukan menjadi halnya, tetapi memikirkan keadaan mereka yang kurang bernasib baik, beberapa cenderamata dibeli daripadanya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebanyak AS$20 (RM60) perlu dibayar untuk mendapatkan pas masuk ke pekarangan Angkor Wat. Bagi penulis, kos bukan isu buat mereka yang gemar menghayati monumen penuh bersejarah itu.

Menurut pemandu pelancong yang bersama kami, Angkor Wat ialah bekas kuil yang dibina oleh seorang raja zaman dahulu kala iaitu Suryavarman II sebagai tempat untuk beribadat.

Semua monumen itu telah dibina pada abad ke-12 dan menjadi antara monumen terbesar di dunia.

Satu perkara yang mengagumkan mengenai Angkor Wat adalah perincian binaannya dan disertai ukiran yang menyimpan penceritaan tersendiri di sebaliknya motifnya.

Kami menunggu sehingga saat matahari berlabuh untuk menikmati pemandangan yang cukup indah di monumen tersebut. Namun, kami perlu terlebih dahulu mendaki ke puncak Angkor Wat sejauh dua kilometer untuk ke destinasi tinjau. Di puncak itulah panorama keindahan alam dapat disaksikan dalam remang warna senja.

Sesungguhnya, indah nian pemandangan dari puncak itu dan pastinya pengalaman ini tidak mungkin dapat dilupakan!

Syurga beli-belah


AKSI seorang kanak-kanak beragama Islam di pinggir jalan Kemboja.


Sebelum pulang ke Malaysia, tidak sah jika tidak membawa pulang cenderamata buat rakan-rakan dan keluarga. Jadi, di Phnom Penh, kami dibawa ke Russian Market dan Central Market.

Di sini, anda boleh mendapati aneka pakaian, cenderamata, aksesori wanita dan lelaki serta bermacam-macam barangan lagi.

Boleh dikatakan semuanya ada di sini! Cuma, anda perlu bijak untuk tawar-menawar kerana biasanya para peniaga akan meletakkan harga yang tinggi kepada pelancong luar.

Penulis sendiri perlu menggunakan pelbagai helah untuk mengurangkan harga yang ditawarkan oleh penjual-penjual di situ.

Namun begitu, imej yang menarik minat penulis adalah baju-T yang tertera tulisan, same-same but different. Penulis tertanya-tanya juga akan maksudnya.

"Kita semua adalah sama dan kita semua adalah dari rumpun yang sama. Namun, yang membezakan kita hanyalah warna kulit," jawab salah seorang peniaga di sebuah kedai.

Sebagai tanda kenangan, pastinya penulis sempat 'menyambar' sehelai baju daripada banyak seleksi di situ.

Bagi penulis, pengalaman di Kemboja memberi erti yang sangat besar buat diri sendiri. Walaupun Kemboja sebuah negara yang kian membangun, namun boleh dikatakan tahap pembangunannya adalah seperti negara Malaysia pada 30 tahun lalu.

Tentu sekali semangat rakyat Kemboja untuk terus berjuang dalam meneruskan kehidupan akan terus diingati penulis. Nihai, Kemboja!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Usikan jiwa Kota Cahaya

Posted:

Usikan jiwa Kota Cahaya

Usikan jiwa Kota Cahaya

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


SITI FADHILATUN bergambar di hadapan Eye On Perth.


BAGI yang tidak pernah menjejakkan kaki ke bahagian barat benua Australia, Perth sebenarnya menjanjikan pelbagai lokasi menarik dan juga pengisian aktivitinya. Pakar astronomi Amerika Syarikat, John Glenn pernah melabelkan kota Perth sebagai Bandar Bercahaya atau City of Light selepas beberapa kali berkunjung ke sana.

Memang benar! Jika diamati sendiri ternyata jarang sekali gemerlapan lampu yang menyiram bumi Perth dipadamkan terutamanya di pinggiran Tasik Swan.

Rata-rata pengunjung yang melihat bandar utama Perth dari seberang Tasik Swan yang memisahkan wilayah urban Perth di bahagian utara dan elemen nostalgianya di selatan, menyifatkan kota itu umpama tidak pernah tidur.

Salah seorang pengunjung dari Malaysia, Siti Fadhilatun Aisyah Abdul Nifa, 22, mengagumi ekspresi cahaya bandar terbesar di Australia itu.


PEMANDANGAN kota Perth yang gemerlapan pada waktu malam.


"Ketika melihat Perth dari tebing Tasik Swan dari Taman Sir James Mitchell pada waktu malam umpama melihat satu pesta yang tidak akan berakhir," ujarnya yang turut berpeluang melawat Zoo Perth di bahagian selatan Perth.

Tambahnya, seri cahaya bandar itu turut disuntik mainan warna yang memancar ke mercu tanda Perth iaitu Menara Loceng Perth atau Perth Bell Tower.

Bentuk unik

Menara berbentuk unik setinggi 82 meter itu tersergam megah di lembah Tasik Swan dan sememangnya menjadi tumpuan pelancong di Perth.

Selain diiktiraf sebagai menara loceng keempat terbesar dan tertinggi dunia, Perth Bell Tower juga menyimpan sejarah silam tersendiri.

Ia mempunyai 18 buah loceng yang digantung secara sistematik untuk menghasilkan bunyi yang mampu berkumandang dalam radius besar. Dalam banyak-banyak loceng itu, terdapat sebuah loceng bersejarah iaitu yang berusia 461 tahun. Khazanah tahun 1550 itu mencatatkan berat 459 kilogram.

Menara itu juga menyimpan beberapa buah loceng St. Martin-in-the-Fields iaitu baki loceng daripada menara loceng di Trafalgar Square di London sebagai memperingati era pemerintahan Bicentennial di bahagian barat Australia itu.

Sejak menara yang direka oleh arkitek Hames Sharley itu dibuka pada 10 Disember 2000, lebih sejuta pelawat telah mengunjunginya.

Uniknya, pengunjung juga berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman membunyikan loceng di Bell Tower sambil menikmati panorama indah tasik Swan dan sebahagian kota Perth dari puncaknya.


SELAIN beruang koala dan kanggaru, wombat juga mempunyai daya penarik sebagai haiwan kebanggaan Australia.


Bersebelahan dengan monumen ikonik tersebut, tersedia sebuah lagi tarikan menarik iaitu Eye On Perth.

Hampir sama seperti struktur dan material Eye On Malaysia yang pernah dibina pada tahun 2008, pengalaman menaiki pusingan roda di Perth itu sedikit mengundang perasaan gayat namun pada masa yang sama amat mengujakan.

Haiwan ikon

Negara Australia pastinya tidak lari daripada ikon utamanya iaitu kanggaru. Selain Zoo Perth, Taman Hidupan Liar Caversham yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Perth adalah lokasi strategik buat pencinta haiwan.

Pengunjung boleh bermesra dengan haiwan-haiwan seperti kanggaru, koala, wombat, llama, emu dan Kookaburra dengan bayaran masuk serendah AU$22 (RM70) bagi dewasa dan AU$9 (RM30) bagi kanak-kanak.

Pengunjung yang menggemari aktiviti santai boleh juga bertandang ke pantai Cottesloe yang sedikit terpisah dari pusat bandar Perth.

Jangan khuatir kerana sistem pengangkutan di ibu kota itu sememangnya tidak akan mengecewakan. Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menaiki bas awam, kereta api, teksi, feri atau kereta sewa khas yang disediakan oleh syarikat konsesi Transperth.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved