Kosmo Online - Pemotoran |
Kolaborasi sulung Chevrolet, UIP dan Hasbro Posted: Kolaborasi sulung Chevrolet, UIP dan HasbroOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN BUMBLEBEE yang berada dalam keadaan asalnya iaitu sebuah Chevrolet Camaro SS. TIDAK kira sama ada anda peminat tegar filem Transformers, barangan watak filem tersebut atau kenderaan Chevrolet, pusat beli-belah One Utama mungkin menjadi lokasi paling tepat untuk dikunjungi sekarang. Walaupun ruang pamerannya tidak sebesar mana, namun di sana anda boleh melihat secara dekat model Chevrolet yang menjadi watak Bumblebee dalam filem Transformers, Chevrolet Camaro SS. Francais filem Transformers yang sudah memasuki edisi ketiga nyata melonjakkan lagi populariti jentera berwarna kuning itu ke seluruh dunia. Pernah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada tahun lalu, Camaro SS itu menjadi tarikan utama untuk pengunjung meluangkan masa di sana selama beberapa ketika. Dikenali sebagai siri jelajah Chevrolet Transformers 3, pameran yang berlangsung selama enam hari (7 hingga 12 Jun 2011) itu dianjurkan oleh pengedar jenama Chevrolet di Malaysia, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest). Menjadi pilihan Ia bekerjasama dengan pihak pengedar filem United International Pictures (UIP) dan Hasbro Malaysia yang bertanggungjawab ke atas produk-produk barangan Transformers. Pengarah Pemasaran UIP, Kara Lee menyatakan Transformers 3 - Dark of the Moon akan menjadi filem terbesar pada tahun ini. Buat masa sekarang, Transformers 2 - Revenge of the Fallen masih berada di tempat pertama di Malaysia berdasarkan kepada kutipannya. "Kami yakin filem terbaru Transformers ini mampu menyaingi rekod tersebut," katanya. Mengangkat tema "Transform the Future - Get Intimate with Chevrolet", ia jelas mengambil kesempatan keterujaan orang ramai terhadap filem Transformers 3 - Dark of the Moon yang bakal ditayangkan pada 29 Jun nanti. Kenderaan Chevrolet sering menjadi pilihan untuk dipaparkan dalam filem terbitan Hollywood. Misalnya, filem Meet the Little Fockers dan Mechanic. Tidak terkecuali siri televisyen terbitan FOX Channel seperti Hawaii-Five O serta Blue Blood. DARI kiri: Pengarah Negara General Motors, Kittichai Jarus/Rojpoka, Kara Lee, Maruan dan Pengurus Negara Hasbro, Ng Chai Lee bersama trak pikap Chevrolet Colorado yang bakal memasuki pasaran pada Disember depan. Sebagai satu kempen promosi yang kena pada tempat dan masanya, Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd. Said mengakui pameran ini bukan sekadar menayangkan beberapa model yang diedarkannya seperti SUV Captiva dan edisi terhad sedan popularnya, Cruze. Malah produk yang bakal diperkenalkan menjelang akhir tahun ini. "Ini merupakan Cruze edisi terhad yang lebih sporty. Walaupun didatangkan dengan nilai tambah, harganya dikekalkan ketika ia mula dilancarkan pada Jun tahun lalu iaitu RM97,888 seunit. Kami hanya menghasilkan sebanyak 300 unit dan kebanyakannya sudah pun dijual," jelas Maruan. Namun, model yang paling mendapat perhatian pastinya trak pikap Chevrolet Colorado. Memulakan debut antarabangsanya di Bangkok Motor Show ke-32 pada awal tahun lalu, model yang dipamerkan itu hanyalah sebuah trak pertunjukan. Warisan pengalaman 100 tahun Maksudnya, Colorado itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan dan hanya ada dua buah seumpamanya di dunia. Sehinggakan pengacara majlis pada hari itu meminta kami semua supaya tidak terlalu ghairah memegang trak tersebut bagi memastikan tidak ada apa yang akan tertanggal nanti. Harus tahu bahawa Chevrolet Colorado memiliki warisan pengalaman pembuatan trak Chevrolet selama hampir 100 tahun. Dibangunkan di atas Platform Global Chevrolet, Colorado menyerlah menerusi rekabentuknya yang maskulin dan ekspresif. Trak dengan kapasiti dua tempat duduk itu mempunyai bukaan pintu yang unik, sama seperti model Nissan Navara King Cab dan Mazda BT-50 Freestyle Cab. Trak itu turut menggunakan rim bersaiz 20 inci dan tayar untuk kegunaan off-road. Chevrolet dijangka menawarkan Colorado dengan varian enjin turbo diesel bersesaran 2.5 dan 2.8 liter. Didakwa mampu menghasilkan kuasa dan tork yang mengagumkan, enjin itu juga tidak hauskan bahan api. Dengan pelbagai ciri penambahbaikan, sistem keselamatan dan kemampuan mendahului kelasnya, Colorado dilihat menjadi model yang sesuai untuk pasaran global. Ditanya mengenai harganya, Maruan menyatakan Colorado akan ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif. Rancangan untuk membawa masuk Colorado ke pasaran tempatan dibuat kerana wujud permintaan terhadapnya. Apatah lagi, Naza Quest turut memiliki rangkaian pengedarnya di Sabah dan Sarawak yang merupakan pasaran penting untuk trak pikap. BEBERAPA orang pengunjung asyik memilih baju yang dicetak dengan grafik watak filem Transformers. Kini, terdapat 16,000 pemilik Chevrolet di seluruh negara. Sejak mengambil alih jenama tersebut daripada DRB Hicom, Naza Quest komited dalam memperkenalkan model-model terbaik Chevrolet kepada pengguna tempatan. Kembangkan portfolio pengedar Buktinya, model-model seperti Captiva dan Cruze mendapat sambutan hangat daripada khalayak. Di samping trak pikap Colorado yang dijangka menjengah pasaran pada Disember tahun ini, Naza Quest juga merancang memperkenalkan model MPV, Orlando. Bagi mengukuhkan lagi jenama Chevrolet, anak syarikat Kumpulan Naza itu juga merancang mengembangkan portfolio pengedarnya ke seluruh negara. Sebanyak sepuluh pengedar baru akan dilantik menjelang akhir tahun ini, tambahan kepada 18 pengedar sedia ada. Buat masa sekarang model paling laris ialah Cruze. Naza Quest cukup komited untuk membangunkan jenamanya. Ia dilihat aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti dan penajaan. Sebagai contoh, orang ramai berpeluang melihat kelibat kenderaan Chevrolet terutama Captiva dalam program Jelajah 1Malaysia, Formula 1 dan terbaru Sukan Malaysia (Sukma), selain Pertandingan Band Dunia yang bakal diadakan pada Julai depan. Cabaran paling besar yang harus didepani oleh Naza Quest adalah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Chevrolet. "Kami perlu memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan. Antara langkah yang diambil adalah dengan meningkatkan sistem pembekalan alat ganti dan rangkaian pengedar yang seimbang. Kami mahu pengguna di luar bandar boleh mendapatkan produk Chevrolet dan mudah untuk membuat penyelenggaraan," tambahnya. Berdasarkan maklum balas yang diterima, Maruan mengakui keyakinan pengguna sudah kembali. Beliau juga yakin jenama Chevrolet akan lebih kukuh dari aspek jumlah jualan dan rangkaian pengedarnya pada tahun-tahun mendatang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: EcoBoost FordECOBOOST menawarkan lebih kuasa tanpa berkompromi dengan aspek penjimatan bahan api. FORD Motor Company (Ford) bakal menawarkan enjin EcoBoost dalam pasaran tempatan menerusi dua model kenderaannya menjelang pertengahan tahun ini. Dua model tersebut ialah kereta sedan/salon Ford Mondeo Titanium dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Ford S-Max. Enjin EcoBoost Ford berupaya menghasilkan kuasa dan prestasi terbaik dalam kelasnya secara efisien. Ia juga mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan bakar sehingga 20 peratus dan merendahkan kadar emisi kepada 15 peratus. Enjin 2.0L I-4 EcoBoost dilengkapi pengecas turbo tunggal dengan sistem pancitan terus bahan bakar. Ciri itu sama seperti enjin asal binaan Ford iaitu 3.5-Liter EcoBoost V-6. Enjin itu menawarkan kuasa tambahan, pecutan pantas dan kelajuan tinggi selain hadir bersama teknologi Ti-VCT (Twin Independent Variable Camshaft). Secara amnya, pengecas turbo menyalurkan lebih banyak aliran udara ke dalam enjin untuk meningkatkan kuasa. Sumber udara yang disalurkan pengecas turbo diperoleh daripada ekzos. Untuk menyejukkan semula sumber udara ekzos yang semestinya panas, sistem pendingin digunakan. Pancitan terus pula membolehkan pembakaran bahan api yang lebih efisien. Sistem pembakaran telah direka semula untuk disesuaikan dengan peningkatan prestasi enjin. Pam bahan api bertekanan tinggi beroperasi sehingga 2,200psi, iaitu lebih 50 kali ganda norma enjin konvensional I-4. Pam bahan api itu dipacu secara mekanikal menerusi sebuah omboh tunggal. Sementara injap elektronik pula mengawal berapa banyak petrol disalurkan kepada penyuntik bahan api. Operasi pengecas turbo dengan padanan sistem pancitan terus membantu menghapuskan turbo lag. Pengecas turbo berputar sehingga 200,000rpm dan memiliki jangka hayat sehingga 10 tahun atau jarak melebihi 150,000 kilometer. Pengurus Serantau Asia Pasifik Operasi Eksport Ford, David Westerman berkata, pihaknya gembira mengenai kemasukan enjin EcoBoost dalam model baru Ford Mondeo Titanium dan S-Max untuk pasaran tempatan. "Enjin EcoBoost akan menawarkan penggunaan bahan bakar lebih ekonomikal dan mengurangkan kadar pelepasan karbon. Ia juga memberikan prestasi seperti sebuah enjin yang besar," katanya dalam satu kenyataan. Berperanan sebagai kunci utama dalam rangka tindakan Ford, syarikat itu rancang untuk menawarkan penggunaan enjin tersebut sehingga 80 peratus kenderaannya. Jumlah itu menyokong jualan global kenderaan EcoBoost sebanyak 1.5 juta setahun. "Komitmen Ford adalah untuk mengaplikasikan teknologi ini ke dalam pelbagai jenis kenderaan agar lebih ramai pelanggan dapat merasai sendiri keunikan enjin EcoBoost," katanya. Sebagai sokongan terhadap enjin EcoBoost di negara ini, satu laman web disediakan di alamat: www.ecoboost.com.my. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: V untuk VersatilitiOleh MUHAMMAD MD TAJUDIN PRIUS V pasti mendapat sambutan hangat daripada pengguna yang mementingkan penjimatan bahan api dan mahu membantu menjaga alam sekitar. KENDERAAN segmen wagon seperti Toyota Wish, Perodua Alza dan Nissan Grand Livina memang popular dalam pasaran domestik. Walaupun kenderaan jenis itu lebih glamor dikenali sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV), hakikatnya ia tetap sebuah wagon iaitu kereta yang terbukti praktikal. Lazimnya, wagon lebih ideal untuk keluarga kecil kerana format kerusinya adalah 5+2 dan bukan tujuh tempat duduk penuh. Namun di pasaran Jepun misalnya, Honda Stream RSZ hanya mempunyai lima tempat duduk. Barisan ketiga dibiarkan kosong untuk ruang kargo. Saya sebenarnya keliru kenapa wagon begitu masyhur. Sedangkan kerusi barisan ketiganya sempit dan harganya pula tidak murah. Mungkin faktor gaya, saiz yang kompak dan ekonomikal berjaya mengimbangi kekurangan dari aspek saiznya. Bercakap mengenai ekonomikal, Toyota tampil dengan model dengan idea bijak. Toyota Prius memang popular sebagai kereta yang menjimatkan bahan api, tetapi apa akan jadi jika enjin hibrid Prius disumbatkan ke dalam wagon seperti Toyota Wish? Hasilnya ialah Toyota Prius v, sebuah kenderaan yang saiznya tidak jauh beza dengan Toyota Wish, bersama enjin hibrid yang terkenal menjimatkan. Huruf v pada pangkal nama model itu merujuk kepada versatiliti atau serba boleh. "Prius v membawa teknologi hibrid kepada pelanggan yang mahukan ruang dan kargo lebih besar. Oleh kerana ia sebuah Prius, emisinya lebih rendah berbanding kenderaan lain. Penggunaan bahan api juga lebih jimat berbanding SUV atau crossover yang dijual di Amerika. Kami yakin ia situasi menang-menang untuk semua," jelas Pengurus Besar Toyota Amerika Syarikat (AS), Bob Carter. Hybrid Synergy Drive Prius v menggunakan sistem Hybrid Synergy Drive, sama seperti Prius generasi ketiga bersama beberapa kelebihan seperti penjimatan bahan api, kurang emisi dan tidak perlu pengecasan semula. Sistem hibrid itu menggunakan dua motor dengan output tinggi. Unit motor utama berkuasa 60 kw (80 hp) yang menggerakkan transgandar yang kompak dan ringan. Sementara sebuah lagi motor yang lebih kecil berfungsi sebagai sumber tenaga elektrik. Pek bateri nickel-metal hydride yang ada padanya sama seperti Prius generasi ketiga, kecuali salur penyejukan diletakkan di bawah kerusi belakang. Hybrid Synergy Drive adalah sistem yang mampu menggerakkan kenderaan sama ada melalui enjin, motor atau kedua-duanya sekali. Komputer kawalan hibrid menguruskan sistem supaya kuasa optimum dapat dijana mengikut pilihan pemandu. Ia menggunakan sistem start/stop dan brek jana semula (regenerative) yang dapat menjimatkan bahan api. Standard, Eco, Ev dan Power Sistem itu juga bertanggungjawab mengecaj semula bateri semasa nyah pecutan. Hybrid Synergy Drive berpaksi kepada enjin 1.8 liter berkuasa 98 hp kitaran Atkinson dengan kuasa total 134hp. Komponen utamanya terdiri daripada pam air elektrik tanpa pemasa (belt) dan sistem exhaust gas recirculation (EGR) yang membantu memanaskan enjin dengan pantas dan mengurangkan penggunaan bahan api semasa enjin sejuk. Kompak dan ringan, enjin itu turut mengeluarkan bunyi dan getaran yang minimum. Standard untuk kereta hibrid, Prius v mempunyai beberapa mode pilihan pemanduan iaitu Standard, Eco, EV dan Power. Dalam mode Power, kuasa digunakan untuk membantu kenderaan dalam keadaan jalan yang curam dan tinggi. REKAAN ruang kabin Prius v yang canggih dan mengutamakan aspek ergonomik. Mode EV pula membolehkan Prius v bergerak menggunakan kuasa bateri untuk perjalanan singkat dengan kelajuan perlahan dalam jarak kira-kira 1.6 kilometer. Dalam mode Eco, sistem pengurusan enjin mengutamakan penjimatan bahan api, menguruskan respon pendikit dan menghadkan penggunaan kuasa daripada penyaman udara. Selain enjin yang ekonomikal, Prius v turut mengutamakan aspek keluasan dan keanjalan untuk keluarga yang aktif. Ruang dalamannya selesa dan penglihatan yang bagus. Ia terhasil daripada kedudukan kerusi yang tinggi, kelegaan ruang kepala dan ruang kaki penumpang. Kerusi baris kedua pula boleh dilaras untuk memudahkan urusan keluar dan masuk kereta, selain keupayaan untuk dibaringkan sehingga 45 darjah untuk lebih keselesaan. Kerusi baris ketiga pula adalah jenis boleh lipat 60/40. Ia juga boleh disimpan ke lantai untuk lebih ruang barangan. Rebat cukai Toyota menggunakan bahan baru untuk kerusi Prius v iaitu SofTex yang direka supaya senang dicuci, kalis tumpahan dan susah rosak yang sangat sesuai untuk sebuah kereta keluarga. Dengan keseimbangan antara keluasan, gaya dan aerodinamik, Prius v mempunyai pekali seret yang rendah iaitu 0.29, faktor yang penting untuk kereta hibrid. Harus tahu bahawa Prius v bukan versi Prius yang dipanjangkan. Tetapi kenderaan baru yang direka daripada lakaran asal dengan bentuknya dievolusikan daripada Prius. Prius sudah sinonim sebagai simbol kenderaan Toyota yang menjimatkan, jadi kenapa ia tidak dieksploitasi. Tambahan pula Prius sudah terjual sebanyak tiga juta unit sejak diperkenalkan 14 tahun lalu. Toyota Prius v bakal dipasarkan di AS pada pertengahan tahun ini. Saya optimis ia bakal dipasarkan ke serata dunia bagi mengukuhkan lagi pengaruh teknologi hibrid Toyota. Harganya pasti premium. Usah risau kerana banyak negara memberi rebat bagi membolehkan kenderaan mesra alam dapat dimiliki segenap lapisan masyarakat. Jika ditanya tentang pasaran domestik, tiada jawapan pasti boleh diberikan. Sebabnya, rebat cukai untuk kereta hibrid bakal luput pada penghujung tahun ini. Kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, statistik jualan kereta hibrid seperti Honda Insight yang kukuh serta harga bahan api yang tidak menentu adalah bukti jelas kenapa kerajaan perlu melanjutkan rebat cukai hingga ke tahun-tahun seterusnya. Jika Toyota Wish bersepah-sepah di atas jalan raya, saya dapat bayangkan senario yang sama untuk Prius v. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan