Kosmo Online |
- Tiga maut, 15 cedera bas ekspres terbalik di Yong Peng
- Chong Wei juara Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia untuk kali ke-10
- Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Kerachut disambung esok
Tiga maut, 15 cedera bas ekspres terbalik di Yong Peng Posted: Tiga maut, 15 cedera bas ekspres terbalik di Yong Peng19/01/2014 10:31pm BATU PAHAT - Tiga penumpang maut, 15 cedera apabila sebuah bas ekspres terbalik di Kilometer 107.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng dekat sini hari ini. Mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu dikenal pasti sebagai Mohd Sofwan Nur Hakim Mohd Zaidi, 21; sepupunya, Mohd Amirul Asyraf Yaakob, 20-an; dan Mohammad Zikri Othman, 10. Pemandu bas, Asraf Zainal Abidin, 33, dan tujuh penumpang cedera parah manakala penumpang selebihnya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan terseret sejauh 50 meter serta terbalik ke dalam parit. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam turut membantu mengeluarkan kebanyakan mangsa yang tersepit dengan bantuan orang awam. - Bernama | ||
Chong Wei juara Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia untuk kali ke-10 Posted: Chong Wei juara Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia untuk kali ke-1019/01/2014 10:19pm NAJIB dan isterinya, Rosmah bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Timbalannya, S. Saravanan bergambar dengan Chong Wei selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Terbuka Siri Super Malaysia 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini. - KOSMO!/MOHD NAIM AZIZ KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berada dalam kelas tersendiri apabila menambah koleksi pingat peribadi kesepuluhnya selaku juara Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia 2014 hari ini. Chong Wei mencatat kemenangan bergaya itu dengan menewaskan pemain nombor empat dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan straight set 21-19 dan 21-9 dalam masa 47 minit di Stadium Putra Bukit Jalil. Selaku juara, Chong Wei membawa pulang wang tunai US$37,500 (RM123,637) manakala naib juara, Tommy membawa pulang US$19,000 (RM62,443). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor. Chong Wei merupakan juara Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013. - Bernama | ||
Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Kerachut disambung esok Posted: Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Kerachut disambung esok19/01/2014 10:13pm
GEORGE TOWN - Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang dilapor lemas ketika mandi di Pantai Kerachut, Teluk Bahang dekat sini dihentikan pukul 7.30 malam ini berikutan hari gelap. Pengarah Operasi Wilayah Utara Maritim Malaysia, Kepten Salim Ahmad berkata, operasi hari ini meliputi jarak 10 batu nautika sekitar Pantai Kerachut dan akan diperluas sehingga 15 batu nautika, esok. "Faktor ombak kuat mencecah ketinggian sehingga dua meter dan angin kencang menyukarkan operasi mengesan mangsa yang masih hilang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Tambahnya, Maritim Malaysia akan menambah sebuah lagi helikopter bagi membantu polis marin melakukan operasi mencari dan menyelamat esok. Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi pekerja syarikat pengiklanan, Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, yang hilang selepas dihanyut ombak kuat, dijangka bersambung pada pukul 7.30 pagi esok. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan