Ahad, 19 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Minum air nira mampu menyejukkan badan

Posted:

Minum air nira mampu menyejukkan badan

Minum air nira mampu menyejukkan badan

KEHADIRAN beberapa buah kenderaan memecahkan keheningan pagi di Jalan Yan Besar, Yan, Kedah.

Di satu sudut jalan, terdapat sebuah gerai usang dan seorang wanita berbaju kurung lengkap bertudung, Salehah Cha, 60, asyik memerhati kenderaan yang lalu-lalang.

Segelintir pemandu singgah di gerainya untuk produk berasaskan nira nipah iaitu air nira, cuka dan manisan. Begitulah rutin harian Salehah yang menjalankan perniagaan itu secara kecil-kecilan sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut anak jati Kedah itu, dia mengambil keputusan untuk menjual air nira setelah mendapati minuman tersebut mempunyai permintaan tinggi pelanggan tempatan dan asing.

"Menjual produk nipah ini merupakan punca rezeki saya sekeluarga. Rasa nira nipah yang unik ternyata menarik hati segenap lapisan masyarakat, sama ada golongan bawahan mahupun orang kenamaan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu bagaimanapun memaklumkan, hasil perniagaan itu tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca.

"Saya boleh menjual sehingga 50 bungkus nira sehari jika cuaca panas terik. Jika hujan, lima bungkus air nira pun susah untuk dijual," ujarnya sambil memaklumkan permintaan terhadap air nira akan meningkat sekali ganda pada hari cuti umum atau berlangsungnya acara menarik yang menjadi tumpuan umum di kawasan tersebut.

AIR nira dikumpul menggunakan plastik bagi menjamin kebersihan air tersebut.


Contohnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau tahun lalu, air nira di gerai Salehah menerima permintaan yang sangat menggalakkan terutamanya daripada masyarakat luar yang pertama kali merasai keenakan minuman tersebut.

"Saya menjual air nira pada harga RM2 sebungkus, cuka (RM2 sebotol) dan manisan (RM6 sebotol)," katanya sambil memaklumkan anggaran pendapatan bulanannya sekitar RM500.

Sementara itu, pengusaha nira nipah, Yusoff Sirat, 57, turut menjadikan nira nipah sebagai sumber pendapatan utamanya selepas bersara sebagai pekerja di Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Dia yang terbabit sejak 12 tahun lalu turut mengusahakan tanaman pokok nipah sebanyak 100 pokok di atas tanah berkeluasan 720 meter persegi yang terletak bersebelahan rumahnya di Sedaka, Yan.

Menurut Yusoff, pohon nipah hidup di atas tanah yang berpaya dan lembap sepanjang masa.

"Pohon nipah ini unik kerana ia hanya tumbuh di kawasan berpaya, sama ada di tepi sungai atau laut. Namun, bagi mendapatkan nira terbaik, ia sesuai ditanam di kawasan paya air tawar.

"Ini kerana pohon nira di tepi laut selalunya menghasilkan nira yang payau disebabkan pengaruh air laut yang masin," jelasnya.

Nira berkualiti

Tambahnya, bagi mendapatkan nira berkualiti, hanya mayang nipah matang dipilih untuk dipotong bagi mendapatkan air.

"Selepas mengenal pasti mayang yang sesuai, ia harus diketuk dengan pemukul khas. Pemukul ini diperbuat daripada kayu yang diikat getah tayar lama. Mayang yang dipilih perlu diketuk sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang selama 40 hari secara berterusan," katanya.

Ceritanya lagi, mayang tersebut diketuk bagi memastikan ia dapat mengeluarkan nira yang banyak dan berkualiti.

Ujar bapa kepada lima cahaya mata itu lagi, selain diketuk, mayang tersebut perlu disalut lumpur sepanjang tempoh tersebut sebelum dipotong bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan sejuk.

"Mayang nipah yang berkualiti akan berterusan mengeluarkan airnya selama lebih dua bulan selepas dipotong dengan menggunakan sabit kecil yang ditempah khas," katanya.

Menurut Yusoff, dia menahan air menggunakan plastik kerana bagi menjamin kebersihan air tersebut daripada dihinggapi haiwan sekali gus mencemari nira yang terkumpul.

KEENAKAN dan khasiat air nira membuatkan Bakar mengamalkan meminum air nira sejak berusia 10 tahun.


Haiwan berbisa

Katanya, kawasan nipah sering menjadi tumpuan haiwan berbisa seperti tebuan dan ular. Oleh itu, langkah berjaga-jaga harus diambil setiap kali berada di kawasan pohon nipah.

"Saya juga sudah beberapa kali disengat tebuan semasa memungut hasil nira. Bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang saya untuk meneruskan usaha mengambil air nira," katanya sambil menunjukkan anggota badannya yang disengat.

Dia turut memaklumkan bahawa nira harus dikutip dari pokok sebanyak dua kali sehari, iaitu pada awal pagi dan senja bagi memastikan ia tidak rosak.

Selain mengumpul air nira, Yusoff juga turut menghasilkan manisan dan cuka daripada pohon nipah untuk dijual. Dia juga turut menghasilkan jeli nira, namun hanya dibuat atas permintaan pelanggan.

"Sekiranya musim hujan, air nipah susah untuk dijual. Bagi mengelakkan kerugian, saya akan menghasilkan cuka dan manisan dengan dibantu oleh isteri saya, Salehah Hassan, 51.

"Cuka dihasilkan daripada proses pemeraman air nira selama 44 hari dalam botol, manakala manisan boleh dihasilkan selepas proses memasak air nira tersebut sehingga likat iaitu kira-kira lima jam di atas dapur kayu" katanya.

Yusoff mampu memperoleh sekitar RM1,500 sebulan hasil penjualan produk keluarannya yang turut dipasarkan kepada peniaga-peniaga sekitar daerah Yan.

Peti sejuk

Bagi seorang peminat air nira, Bakar Hamid, 70, berkata, dia mula mengamalkan minuman air nira ini sejak berusia 10 tahun memandangkan bapanya merupakan seorang pengusaha nira nipah di Alor Setar.

"Setiap kali berkunjung ke Yan, saya pasti akan membeli air nira untuk dibawa pulang ke rumah saya di Kulim. Air nira yang dibeli akan disimpan di dalam peti sejuk untuk menjamin kesegarannya.

"Syukur, walaupun saya sering minum air nira yang dianggap manis, namun saya masih dikurniakan taraf kesihatan yang baik tanpa menghidap sebarang penyakit," kata warga emas itu.


SABIT kecil yang digunakan untuk memotong mayang nipah.


Menurutnya, air nira boleh bertahan selama dua jam sekiranya diletakkan dalam suhu bilik, dan sekiranya di dalam peti sejuk, ia mampu bertahan sehingga dua bulan.

Ujar Bakar lagi, menurut kepercayaan orang dahulu, air nira dipercayai dapat membantu menyejukkan badan, membantu merawat demam dan membantu mengurangkan batuk sederhana. Selain itu, air nira juga baik untuk pembuangan air kecil dan mencuci buah pinggang.

Sementara itu, dia turut menasihatkan pembeli agar mendapatkan air nira asli dan berkualiti bagi mengelakkan mendapat sebarang penyakit atau kesan yang tidak diingini.

"Dahulu air nipah sangat wangi dan asli kerana ia ditadah menggunakan buluh yang dikenali sebagai tokey, sekarang saya hanya dapat merasai minuman nira asli apabila berkunjung ke kawasan ini," jelas Bakar.

Katanya, pada hari ini sukar untuk memperoleh nira nipah asli kerana terdapat segelintir pengusaha yang memasukkan gula ke dalamnya demi mengaut keuntungan secara berlebihan.

"Langkah itu bertujuan menambahkan kuantiti air nira yang dijual dengan mudah," katanya.

Dilema pemindahan pasar ikan terbesar dunia

Posted:

Dilema pemindahan pasar ikan terbesar dunia

Dilema pemindahan pasar ikan terbesar dunia


Penduduk Jepun gemar memakan isi ikan segar secara mentah.


TATKALA kebanyakan warga Tokyo sedang nyenyak tidur, segelintir warganya lengkap memakai but getah giat tawar-menawar harga ikan tuna di dewan Pasar Tsukiji.

Bunyi loceng sekitar pukul 5.30 pagi menandakan bermulanya lelongan di pusat dagangan ikan terbesar di dunia itu. Peniaga menunjukkan isyarat tangan dan melaungkan harga bagi urus niaga pembelian dan jualan ikan yang akan dihidangkan di restoran-restoran di sekitar ibu negara Jepun.

Sirip ikan dibuang bagi mendedahkan isi merah ikan segar yang tersusun di atas troli-troli kayu di seluruh pasar.

Secara keseluruhan, hasil laut dan sayur-sayuran yang bernilai kira-kira AS$18 juta (RM58.71 juta) atau lebih 2,900 tan bertukar tangan setiap hari di pasar tersebut.

"Anda lihat bagaimana kami menggunakan isyarat tangan? Caranya sama dengan dagangan saham yang diamalkan suatu ketika dahulu," tanya seorang pembida ikan beberapa saat selepas deringan loceng menandakan permulaan bidaan.

Pasaran saham utama telah beralih kepada perdagangan menerusi komputer, seiring dengan perkembangan Tokyo sebagai salah satu bandar raya terbesar di dunia sejak beberapa dekad lalu. Namun, terdapat sedikit perubahan terhadap cara urus niaga di Pasar Tsukiji sejak pembukaannya pada tahun 1935.

PENIAGA dan pembeli sibuk tawar-menawar harga di Pasar Tsukiji.


Kini, setelah hampir 80 tahun beroperasi, pasar tersebut dijangka dipindahkan ke satu lokasi baharu yang dilengkapi teknologi baharu. Bagaimanapun, bukan semua pihak berpuas hati dengan perpindahan dari kawasan utama yang terletak di tengah-tengah metropolis berkenaan.

Penempatan baharu dan pembinaan kemudahan moden dengan sistem penyejukan terkini yang hampir 40 peratus lebih besar daripada pasar sekarang dianggarkan menelan belanja hampir RM12.39 bilion.

Lokasi baharu yang dijadualkan pada tahun 2016 itu, baru-baru ini menerima tamparan negatif apabila berlakunya kejadian pencemaran tanah. Sebelum ini, tapak yang terletak 2.3 kilometer dari Tokyo itu merupakan kawasan loji gas.

Ekoran itu, pihak berkuasa terpaksa membelanjakan RM1.63 bilion bagi kerja-kerja pembersihan tapak seluas 40 hektar itu.

Pemindahan pasar

Pengerusi Persatuan Pemborong Makanan Laut, Hiroyasu Ito menegaskan pemindahan pasar tersebut penting bagi Pasar Tsukiji untuk memenuhi permintaan moden terhadap makanan segar.

"Landasan kereta api dahulunya digunakan untuk memunggah ikan dan barangan di sini. Keadaan kini berbeza pada hari ini dengan penggunaan trak yang dilengkapi peti sejuk," katanya sambil menunjuk ke arah sebuah gambar besar susun atur pasar tersebut di pejabatnya.

Tambahnya, perkara penting yang harus diambil kira bagi memastikan kesegaran bekalan barangan adalah dengan mengekalkannya dalam suhu yang sekata sehingga barangan tersebut bertukar tangan kepada pembeli.

"Kelengkapan ini tiada di pasar ini. Pelanggan mahukan makanan laut yang segar supaya mereka dapat menikmatinya secara mentah. Hal tersebut memberi tekanan kepada pemborong. Pembekal terpaksa mencari kaedah penyejukan berteknologi tinggi.

Seorang peniaga menunjukkan isi ikan segar yang dijual di Pasar Tsukiji.


"Kami berjaya mengekalkan kesegaran ikan dalam bekas penyejuk berkualiti tinggi, tetapi ia tidak tahan lama kerana Tsukiji kekurangan teknologi moden," katanya.

Penggunaan kemudahan baharu, mereka merancang untuk menutup pengudaraan dari luar dan menyimpan ikan dalam suhu yang stabil. Tetapi perancangan untuk berpindah jauh dari pusat bandar tidak dipersetujui oleh segelintir pembeli.

"Keadaan sesak dan sibuk di Pasar Tsukiji telah menjadikan tempat ini menarik," kata seorang pelancong tempatan, Tetsuya Kojima sambil menambah, dia besar kemungkinan tidak akan mengunjung tapak baharu itu kelak.

Pemimpin persatuan, Makoto Nakazawa, yang mewakili sebahagian peniaga yang membantah pemindahan Pasar Tsukiji mendakwa langkah tersebut dilihat sebagai medium untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Pihak berkuasa mahu memindahkan pasar tersebut demi kepentingan hartanah di sini," tegasnya. -AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved