Ahad, 5 Januari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


China iktiraf Kai-Shek

Posted:

China iktiraf Kai-Shek

China iktiraf Kai-Shek

KERETA lama yang digunakan oleh Kai-Shek turut dipamerkan di rumah memorial Kai-Shek di wilayah Zhejiang.


PIHAK berkuasa Komunis China telah menyelenggara rumah berusia 80 tahun yang pernah digunakan oleh pemimpin kebangsaan Chiang Kai-Shek. Ia dilakukan sebagai tanda hubungan baik bersama Taiwan sekali gus mengubah seorang musuh kepada tokoh sejarah yang diiktiraf.

Perbezaan politik telah mengubah bandar Nanjing yang juga dikenali sebagai Kuomintang ketika ibu negara China itu berada di bawah pemerintahan Parti Kebangsaan. Kerja-kerja menyelenggara rumah tiga tingkat di kaki bukit itu menelan belanja hampir AS$ 4.9 juta (RM16.17 juta).

Ia merupakan salah sebuah rumah yang pernah didiami oleh Kai-Shek dan isterinya, Soong May-Ling sebelum mereka melarikan diri ke Taiwan pada tahun 1949. Tahun tersebut merupakan tahun penamat kekejaman perang dunia yang telah mengorbankan berjuta-juta nyawa di kedua-dua buah negara.

Kai-Shek pernah mengetuai Taiwan sebagai presiden sehingga kematiannya 26 tahun kemudian dan turut mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah yang adil di China.

Rumah berkenaan digunakan selama beberapa dekad sebagai rumah tumpangan negeri. Ia ditutup kepada orang ramai tetapi dibuka semula setelah kerja baik pulih selama setahun selesai pada bulan Oktober lalu.

"Pengubahsuaian ini telah dipertimbangkan kerana ia mempunyai kegunaan yang sangat penting iaitu pertukaran budaya merentasi selat.

"Kami merasakan bahawa rumah ini merupakan mercu tanda warisan budaya yang sangat penting," kata Liao Jinhan, timbalan ketua agensi pemerintah yang mentadbir kawasan sekitarnya.


RUMAH berusia 80 tahun yang menjadi penempatan Kai-Shek semasa hayatnya.


Pelan asal

Penemuan pelan seni bina asal di dalam almari di rumah tersebut membuatkan pekerja lebih berkeyakinan meneruskan kerja baik pulih bangunan tersebut. Ia termasuk bilik bawah tanah arang batu dan tempat letak kereta di hadapan rumah.

"Kami mengikut sepenuhnya pelan asal rumah tersebut. Anda boleh lihat gambar tersebut, ia sememangnya sama," kata Zhou Zhongxing, pengurus hartanah.

Pemilihan Ma Ying-Jeou dari Kuomintang sebagai Presiden Taiwan pada tahun 2008 telah mengeratkan lagi hubungan dengan Beijing yang tegang pada pertengahan 1990-an.

"Pengubahsuaian ini penting untuk mengenali budaya merentasi selat dan merupakan usaha untuk memelihara warisan sejarah berkaitan Kuomintang.

"Perkara ini membawa hubungan diplomatik dua negara ke hadapan. Ia bermaksud pertukaran pendapat dalam bidang politik dan itulah masalah yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak," kata Tong Liqun, penyelidik Pengajian Antarabangsa di Institut Shanghai, China.

Tahap kepekaan terhadap sejarah dapat dilihat apabila pegawai-pegawai menggelar rumah tersebut sebagai Istana May-Ling, walaupun kediaman itu adalah milik bekas ketua negara China.

May-Ling merupakan salah seorang daripada tiga orang adik-beradik. May-Ling telah berkahwin dengan dua pemimpin tertinggi China dan seorang ahli perniagaan kaya yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.


SEORANG pengunjung melintasi gambar biografi isteri Kai-Shek iaitu May-Ling.


Beberapa keping gambar Kai-Shek dan bapa pengasas Republik China, Sun Yat-Sen dapat dilihat di dalam kediaman tersebut. Tokoh tersebut dihormati oleh kedua-dua parti Komunis dan Nasionalis. Yat-Sen dikebumikan di atas bukit yang dapat dilihat dari rumah itu.

Wilayah China

Terdapat sebuah pameran tentang kehidupan pasangan itu di Taiwan yang bertajuk Bertahun di Pulau Taiwan. Pameran itu cuba menekankan bahawa Taiwan bukan sebuah negara asing tetapi merupakan sebahagian daripada wilayah di China.

Kediaman tersebut memiliki ciri-ciri budaya China seperti bumbung melengkung tetapi hiasan dalamannya memiliki ciri-ciri Barat. Konsep tersebut merujuk kepada May-Ling yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS).

Bangunan tersebut turut menggambarkan gaya hidup pasangan itu.

Kai-Shek mempunyai bilik utama berasingan mencerminkan gaya hidup tentera, manakala May-Ling memiliki ketuhar gaya Barat dan menyimpan bekas abu rokok di dalam bilik untuk merokok. Tabiat tersebut diperolehnya ketika menetap di AS.

Pencapaian bekas Wanita Pertama tersebut dipamerkan bagi memberikan pengiktirafan kepadanya yang memangkin sokongan kepada China ketika menentang Jepun pada tahun 1930-an dan 1940-an. Selain itu, pameran tersebut turut mendedahkan tentang kerja-kerja kebajikan beliau. - AFP

Pengalaman menjalani latihan tentera

Posted:

Pengalaman menjalani latihan tentera

Pengalaman menjalani latihan tentera

Oleh ZAMRI RAMBLI dan MOHD. HAFIZI AHMAD
rencana@kosmo.com.my


ANGGOTA Paskau (kanan) memberikan penerangan cara-cara mengendalikan senjata api kepada peserta.


MENJENGAH masuk ke pintu Kem Pasukan Khas Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bukit Jugra, Selangor kami mempersiapkan diri bak seorang tentera yang bersedia untuk apa juga latihan.

Berada dua hari di kem tersebut sempena penganjuran Lawatan Editor Kanan Media bersama Kementerian Pertahanan dan TUDM baru-baru ini, seramai 67 wakil media tempatan ternyata begitu teruja untuk beraksi.

Apatah lagi pegawai dan anggota-anggota yang bakal memberi latihan kepada kami bukan sembarangan orang. Mereka terdiri daripada skuad elit TUDM atau lebih dikenali dengan Pasukan Khas Udara (Paskau).

Sebaik mendaftar diri dan mendengar taklimat yang diberikan pagi itu, kumpulan pertama media tanpa berlengah masa terus dibawa melakukan aktiviti abseiling dan latihan penerjunan asas payung udara.

Walaupun ketinggian untuk abseiling mencecah 70 kaki (21.3 meter) manakala terjunan asas payung udara setinggi 40 kaki (12.2 meter), ia tidak merendahkan semangat kebanyakan wakil media yang segera memakai pakaian khas tentera dan mendaki anak tangga.

Meletakkan kepercayaan kepada tali dan abah-abah untuk kedua-dua aktiviti tersebut ternyata bukan mudah. Beberapa peserta kelihatan teragak-agak untuk melakukan latihan menara penerjunan asas payung udara kerana gayat.

Setelah tamat melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, kumpulan media dibawa bertempur untuk aktiviti bola cat atau paintball. Wakil Kosmo! berjaya mendapat tempat keempat dalam aktiviti sukan lasak itu.


KUMPULAN media B yang turut disertai wakil Kosmo!, (duduk dari kanan) Nasirruddin Yazid, Mohd. Hafizi dan Zamri menjuarai pertandingan mencari harta karun menggunakan alat NVG.


Peluang menembak

Aktiviti sebelah petang sememangnya dinanti-nantikan ramai peserta kerana diberi peluang menembak di lapang sasar Batu Hampar dan menaiki bot tempur Rigid Hull Inflatable (RHIB).

Peserta diperkenalkan dengan dua jenis senjata pada aktiviti itu iaitu senapang SIG SG553-SB buatan New Zealand dan pistol Glock TB yang hanya digunakan oleh anggota Paskau.

"Pastikan genggaman erat pada pistol dengan menggunakan sokongan tapak tangan. Tetapkan sasaran untuk bidikan tetapi jangan kenyit dengan menutup sebelah mata.

"Lihat bahagian tanda putih di atas pistol, pastikan tidak ada ruang di slot hujung pistol untuk tembakan lebih tepat," terang salah seorang Laskar Udara, Yasrol Mohamad Shah kepada peserta yang tekun mendengar.

Yasrol menambah, kawal pernafasan dan tekan picu dengan hujung jari secara perlahan-lahan.

"Jangan kasar kerana sedikit sentapan akan membuat tembakan anda tersasar," ujarnya.

Yang pasti, saat mengendalikan sendiri senjata-senjata berkenaan menyebabkan jantung berdebar dan adrenalin mengalir laju. Ini mengakibatkan kebanyakan tip yang diberikan oleh Yasrol terlupa begitu sahaja.

Bagaimanapun, apa yang membanggakan pasangan wakil Kosmo!, Mohd. Hafizi dan jurufoto, Nasirruddin Yazid berjaya menjuarai pertandingan menembak itu selepas melakukan tembakan sempurna pada peringkat separuh akhir dan akhir.

Pada sebelah malam, para peserta dibawa ke Bukit Jugra. Aktiviti pada sebelah malam juga sangat mengujakan apabila peserta media diberi peluang menggunakan alat gogal nampak malam atau night vision goggle (NVG).


SKUAD Elit TUDM juga dikenali sebagai Pasukan Khas Udara (Paskau).


Dipecahkan kepada empat kumpulan, setiap peserta diberi peralatan NVG yang khabarnya berharga sekitar RM60,000 seunit untuk digunakan dalam pertandingan mencari harta karun dalam hutan malam itu.

Sambil dipantau anggota Paskau, para peserta dilepaskan dalam hutan Bukit Jugra yang sudah ditanda dengan tali dengan keluasan kira-kira separuh padang bola.

Dalam kepekatan malam, misi mencari kotak yang digantung di pokok serta membaca nota di dalamnya ternyata sungguh mencabar.

Kumpulan media B yang turut disertai Kosmo! berjaya menjuarai pertandingan mencari harta karun menggunakan peralatan NVG itu.

Selesai aktiviti mencari harta karun, peserta berjalan kaki mendaki kira-kira setengah jam ke puncak Bukit Jugra.

Ada di antara peserta memilih untuk tidur di dalam khemah yang disediakan di atas puncak bukit itu, manakala sebahagian lagi pulang untuk bermalam di kem.

Merapatkan hubungan

Majlis perasmian program keesokannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Selepas majlis perasmian, para anggota Paskau menunjukkan kehebatan dan kepakaran mereka melalui demonstrasi serangan ke atas sasaran musuh.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat program, Brigadier Jeneral Datuk Azizon Arifin berkata, penganjuran program itu adalah antara inisiatif pihak kementerian dan TUDM untuk mendekatkan lagi hubungan anggota media dengan tugas unit itu.

"Ini merupakan kali kedua program seumpama ini kami anjurkan bersama kumpulan media.

"Hanya kali ini kami memberi fokus kepada kumpulan editor kanan dengan memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pelbagai aktiviti bersama anggota TUDM," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved