Jumaat, 3 Januari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sarawak ungguli FTM 2013

Posted:

Sarawak ungguli FTM 2013

Sarawak ungguli FTM 2013

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

PASUKAN Anak Dalam Gading gembira apabila diumumkan muncul juara FTM 2013.


EDISI ke-15 penganjuran Festival Tari Malaysia (FTM) memperlihatkan satu revolusi dengan kemasukan kategori moden untuk menarik minat penyertaan generasi muda.

Bagaimanapun, perubahan itu secara kasarnya telah mencemarkan kualiti tarian tradisional yang telah sekian lama menerajui pergerakan festival yang diadakan dua tahun sekali itu.

Ini kerana, pada penganjuran lepas, para peserta hanya mempersembahkan tarian tradisional asli tanpa campuran moden.

Sebaliknya, kemasukan kategori moden sedikit sebanyak menenggelamkan kategori tradisional yang hanya mampu melayakkan sebuah kumpulan saja iaitu Nyala Dance Theatre Kuala Lumpur berentap di pusingan akhir di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu.

Nyala Dance Theatre mempersembahkan tarian rampaian zapin dan joget pada pusingan akhir. Bagaimanapun, kumpulan itu gagal memperoleh sebarang kedudukan tertinggi walaupun untuk kategori tradisional.

Kategori tradisional FTM 2013 dijuarai oleh pasukan Anak Dalam Gading (ADG) dari Sarawak yang mempersembahkan tarian ciptaan etnik Bidayuh Sarawak berjudul Chapan.

Menerusi kemenangan itu, ADG membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Jagoan kampung dari daerah Lundu itu juga memenangi kategori busana terbaik dan koreografi terbaik yang masing-masing bernilai RM3,000.

Ujar koreografer pasukan itu, Fred anak Kamea, 30, pasukannya berlatih dalam durasi masa tiga hari sahaja untuk menghasilkan karya yang dipersembahkan pada malam final itu.

"Selepas diumumkan layak ke final, kami terus berlatih dan akhirnya tarian ini berjaya disiapkan dalam masa tiga hari. Syukur rezeki berpihak kepada kami tahun ini," ujarnya yang bertugas sebagai kerani sepenuh masa di Universiti Teknologi Mara, Samarahan, Sarawak.


PASUKAN Nyala Dance Theatre Kuala Lumpur satu-satunya kumpulan yang mempersembahkan tarian tradisional.


ADG ditubuhkan pada tahun 2005 dianggotai oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Tempat kedua kategori tradisional dimenangi oleh Prima Dansa, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Sabah yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000, trofi dan sijil penyertaan.

Berputih mata

Kumpulan harapan kategori tradisional disandang oleh Busak Lawai dari Sabah yang membawa pulang RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Nyala Dance Theatre Kuala Lumpur satu-satunya kumpulan yang mempersembahkan tarian tradisional bagaimanapun terpaksa berputih mata dan pulang dengan tangan kosong.

Sementara itu, kategori moden digondol oleh Stop Reverse Crew dari Melaka yang membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Pasukan itu turut memenangi kategori busana terbaik dan koreografi terbaik.

Kitta Move dari Sabah sekadar menduduki tempat naib johan kategori moden manakala Humble First dari Perak diiktiraf sebagai Pasukan Harapan.

Destar Limar, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak yang menjadi pasukan pilihan audiens menerusi persembahan memukau pada malam separuh akhir bagaimanapun gagal meraih sebarang anugerah.

"Alhamdulillah, kami gembira kerana kerja keras selama sebulan berlatih berbaloi dan sejujurnya tanpa peserta lain tiadalah kami di sini," kata wakil pasukan Stop Reverse Crew, Himsak Putra Saipul Anuar, 18.

Persembahan malam gala FTM 2013 turut diserikan oleh penyanyi undangan Noraniza Idris mempersembahkan lagu Ngajat Tampi dan One Nation Emcees.

FTM 2013 melibatkan 16 buah penyertaan terbaik dari seluruh negara yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan menjalani uji bakat di peringkat negeri dari bulan April hingga Jun tahun lalu dan cuma lapan pasukan daripada setiap kategori terpilih untuk peringkat separuh akhir pada 5 dan 6 Disember lalu.

Kepentingan 1,000mg kalsium

Posted:

Kepentingan 1,000mg kalsium

Kepentingan 1,000mg kalsium


PRESIDEN IOF, Prof. John A. Kanis (tiga dari kanan) bersama barisan penulis Laporan Audit Rantau Asia Pasifik: Epidemiologi, Kos dan Beban Osteoporosis tahun 2013.


YAYASAN Osteoporosis Antarabangsa (IOF) baru-baru ini mendedahkan bahawa rakyat Malaysia hanya mengambil separuh daripada kalsium yang diperlukan bagi mengekalkan kesihatan tulang.

Perkara itu didedahkan menerusi laporannya yang bertajuk Audit Rantau Asia Pasifik: Epidemiologi, Kos dan Beban Osteoporosis tahun 2013. Laporan tersebut telah dihasilkan dengan sokongan geran pendidikan daripada Fonterra Co-operative Group Limited (Fonterra).

Ia bertujuan mewujudkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai status kesihatan tulang penduduk di Asia Pasifik dan impak kesihatan tulang yang semakin meningkat di rantau ini.

Antara yang didedahkan dalam laporan tersebut ialah rakyat Malaysia sememangnya sedar risiko osteoporosis, namun mereka tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk mencegah penyakit tersebut.

Saranan WHO

Walaupun rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai risiko osteoporosis, namun secara purata mereka hanya mengambil kurang daripada 500 miligram (mg) kalsium setiap hari.

Jumlah itu lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang mengesyorkan sekurang-kurangnya 1,000 miligram sehari.

Dalam pada itu, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa hampir sembilan daripada 10 penduduk di Malaysia sedar mengenai osteoporosis.

Osteoporosis merupakan sejenis penyakit tulang yang ditentukan berdasarkan pengurangan jisim dan kepadatan tulang. Ia boleh menyebabkan keretakan tulang dan mengehadkan mobiliti seseorang dengan ketara.

Golongan yang berisiko menghidap penyakit ini adalah mereka yang berusia melebihi 50 tahun, wanita yang sudah menopaus, mempunyai sejarah keluarga yang mengalami osteoperosis, pengambilan kalsium dan vitamin D yang tidak mencukupi, mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif dan perokok.


PERUBAHAN tulang belakang akibat osteoporisis mengikut peringkat usia. - Gambar hiasan


Hampir semua penduduk boleh mengenalpasti secara tepat bahawa pengambilan kalsium yang rendah sebagai salah satu faktor risiko osteoporosis.

Ketua Pegawai Eksekutif IOF, Judy Stenmark berkata, prevalens osteoporosis adalah tinggi dan semakin meluas di rantau ini. Namun, pengesanan, rawatan dan peruntukan sumber masih kurang. Ini telah menjadi suatu beban yang serius kepada manusia, sosial dan ekonomi di Malaysia dan semua negara Asia yang lain.

"Kes-kes keretakan tulang pinggul meningkat antara dua hingga tiga kali ganda di kebanyakan negara Asia dalam tempoh tiga dekad ini. Menjelang tahun 2050, lebih 50 peratus daripada keseluruhan keretakan tulang pinggul osteoporotik berlaku di Asia.

"Melalui laporan ini, IOF menyeru agar tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kerugian sosioekonomi, kesakitan, penderitaan dan kematian yang mungkin melibatkan berjuta-juta manusia pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Inovasi Fonterra, Joanne Todd berkata, syarikat itu beriltizam meningkatkan kesedaran kesihatan tulang di Malaysia dan lebih meluas di seluruh Asia.

Todd berkata, Fonterra telah bekerjasama dengan IOF selama tujuh tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai prevalens dan kesan negatif osteoporosis di seluruh rantau ini.

"Kami menggalakkan diet yang kaya dengan kalsium dan protein, vitamin D yang mencukupi serta senaman untuk mengurangkan risiko osteoporosis dan keretakan tulang pinggul," katanya.

Kepentingan vitamin D

Tinjauan IOF juga mendedahkan, secara purata, pengambilan vitamin D dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sangat rendah. Dianggarkan, hanya 59 peratus lelaki dan 13 peratus wanita dewasa mengambil vitamin D yang mencukupi.

Sementara itu, hanya dua pertiga daripada kanak-kanak Malaysia mempunyai status vitamin D yang mencukupi.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana peringkat kanak-kanak dan remaja adalah masa yang penting dalam pembinaan jisim tulang.

Vitamin D memainkan peranan untuk mengawal penyerapan kalsium dan fosforus dalam tulang dan membantu dalam komunikasi sel dalam badan.

Ujar Todd, jisim tulang akan mencapai kemuncaknya pada usia 30 tahun. Apabila mencapai usia ini, kekurangan kalsium dan senaman yang tetap, tulang mula kehilangan jisim.

"Adalah penting bagi orang ramai mengetahui langkah-langkah untuk mencegah osteoporosis," katanya lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved