Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Ringan, kecil dan mudah lipatBERMULA dengan menonton video seorang individu sedang menunggang sebuah basikal elektrik selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Elizuan Rafys, 35, ternyata kagum dengan rekaan inovasi tersebut. Dia tertanya-tanya, apakah basikal itu merupakan salah satu inovasi terbaharu yang dibikin oleh rakyat tempatan? Ketika dalam perjalanan menaiki kereta ke pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia sekali lagi melihat seorang ekspatriat menunggang basikal tersebut di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Dia melihat individu tersebut memakai sut dan membawa beg bimbit seperti gaya seorang korporat. Ketika itu, dia begitu teruja kerana berpeluang melihat rekaan basikal elektrik itu dengan lebih jelas. "Rekaan basikal Yike Bike seolah-olah kenderaan makhluk asing dalam filem Hollywood yang memukau mata untuk memandangnya. Saya beranggapan harga basikal elektrik itu pasti mahal," ujarnya yang mengetahui jenis basikal tersebut melalui carian di internet. Kunjungan Elizuan ke Festival Antarabangsa Petaling Jaya, Disember lalu memberi peluang kepadanya untuk bertemu dengan komuniti pengguna Yike Bike di Malaysia iaitu Wow Yike Bike. Gerai Wow Yike Bike merupakan antara tumpuan pengunjung sepanjang festival itu. Elizuan juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan tentang basikal elektrik itu. Basikal elektrik Yike Bike merupakan inovasi teknologi dari New Zealand pada tahun 2009 di bawah kendalian YikeBike Ltd. REKA bentuk Yike Bike pasti menarik perhatian orang ramai yang memandangnya. Pengiktirafan Jika dilihat secara fizikal, Yike Bike tidak ubah seperti sebuah basikal klasik Penny Farthing yang dicipta oleh jurutera British, James Starley pada tahun 1871. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai inovasi telah dilakukan dengan reka bentuknya. Yike Bike memperoleh pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai basikal elektrik paling ringan kecil dan mudah lipat di dunia pada tahun 2011. Walaupun hendalnya dicipta dibahagian belakang tempat duduk, ia tetap selesa untuk ditunggang dalam jangka masa lama. Rekaan itu juga memberi imbangan yang sempurna kepada penunggang agar tidak mudah tumbang. Hanya 20 saat diambil untuk melipat sebuah Yike Bike, sebelum memasukannya ke dalam beg. Ia memudahkan pengguna meletakkannya di dalam but kereta mahupun ketika menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan komuter. Menurut seorang pengguna Yike Bike dan ahli Wow Yike Bike sejak setahun lalu, Mohd. Fadzil Muda, 35, dia mula tertarik dengan basikal elektrik itu apabila melihat jirannya menunggang Yike Bike. Menurutnya, ketika dia menunggang basikal itu di sekitar ibu kota, ramai yang tertarik untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai spesifikasi Yike Bike. "Yike Bike merupakan satu inovasi teknologi terkini yang sesuai bagi mereka yang menghargai masa. Saya sering menggunakan LRT terutamanya untuk ke tempat kerja. Saya menunggang Yike Bike untuk ke destinasi-destinasi terdekat. Ia ternyata menjimatkan masa dan tenaga terutamanya ketika berjumpa klien. "Melalui Facebook Wow Yike Bike, kami memperoleh banyak respons positif mengenai basikal ini. Ramai yang berminat dengan Yike Bike. Ia merupakan platform utama untuk kumpulan kami memberi maklumat mengenai basikal ini kepada orang ramai," ujar pengedar Yike Bike di sekitar Lembah Klang dan wilayah Pantai Timur itu.
Kategori Kategori Yike Bike bergantung kepada berat sesebuah basikal. Ia terbahagi kepada tiga jenis iaitu 10 kilogram (kg), 11 kg dan 14 kg. Setiap kategori basikal mempunyai spesifikasi yang sama. Ia juga direka untuk aktiviti tahan lasak. Hanya berat yang membezakan harga dan kemudahan untuk pengguna. Bahagian bingkai badan Yike Bike 10 kg diperbuat sepenuhnya daripada karbon manakala bahan separuh karbon dan fiber untuk basikal seberat 11 kg. Bagi Yike Bike 14 kg pula, ia dibina sepenuhnya daripada aloi atau logam. Menurut Mohd. Fadzil, Wow Yike Bike kini mempunyai seramai 21 orang ahli, kebanyakannya golongan eksekutif berusia 35 tahun keatas. Pengangkutan utama Di New Zealand, Yike Bike merupakan antara pengangkutan utama penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Sebagai contoh, penduduk Pulau Waiheke di Auckland menggunakan Yike Bike untuk ke tempat kerja dan melakukan aktiviti harian. Kelajuan Yike Bike boleh mencecah 23 kilometer sejam. Dua pek bateri litium ion 450 watt yang diletakkan pada kompartmen di bahagian tayar basikal berupaya menggerakkan Yike Bike sejauh 10 kilometer. Yike Bike juga dilengkapi lampu diod pemancar cahaya dan signal di bahagian belakang untuk tujuan keselamatan. Pengarah Urusan YikeBike Ltd. Malaysia dan Indonesia, William Shaw, 32, memberitahu, bateri akan dicaj secara automatik apabila penunggang menekan picu brek pada hendal.
"Apabila menuruni bukit, bateri juga akan dicaj secara automatik. Bateri litium ion 450 watt keluaran syarikat Jepun, Sony Corporation itu juga boleh dicaj sehingga 1,000 kali sebelum dilupuskan. Yike Bike merupakan sebuah pengangkutan mesra alam. "Basikal elektrik ini merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warga kota. Mereka dapat menggabungkan dua cara dalam satu masa iaitu pengangkutan awam dan persendirian tanpa menggunakan sebarang bahan api," ujarnya yang sudah menunggang basikal elektrik itu sejak dua tahun lalu. Jangka hayat sebiji tayar dianggarkan bertahan selama setahun. Kos sebanyak RM110 untuk menukar tayar hadapan Yike Bike. | ||
Posted: Kisah bunga api seluruh duniaDUBAI, yang terkenal dengan pembangunan mewah dan menakjubkan di dunia, memulakan lembaran baharu dengan pertunjukan bunga api yang berjaya mencipta rekod dunia. KEDATANGAN Tahun Baru 2014 tentunya tidak lengkap tanpa pertunjukan bunga api pelbagai corak dan warna yang mengagumkan. Antara yang menjadi tumpuan ialah pertunjukan bunga api di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang memecahkan rekod dunia apabila lebih 500,000 bunga api digunakan pada persembahan yang berlangsung selama enam minit. Meliputi kawasan seluas melebihi 100 kilometer di bandar raya pinggir laut itu, paparan tersebut melibatkan beberapa mercu tanda terkemuka Dubai termasuk gugusan kepulauan buatan manusia, Palm Jumeirah; pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa dan hotel mewah, Burj Al Arab. Pertunjukan bunga api yang direka oleh firma dari Amerika Syarikat, Fireworks by Grucci itu menggunakan 100 buah komputer untuk menyelaraskan bunga api bersama runut bunyi yang telah direka khas. Sementara itu, pertunjukan bunga api juga berjaya menarik perhatian pelancong mengunjungi Las Vegas, Amerika Syarikat yang telah berjaya menarik lebih 335,000 pelancong pada malam perayaan tahun baharu. Berbeza pula kisah pertunjukan bunga api di Abidjan, Ivory Coast. Kerajaan negara tersebut terpaksa melaksanakan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya rempuhan seperti yang berlaku pada sambutan tahun 2013 yang mengakibatkan 60 orang maut dan 48 orang lain cedera. DATARAN Katedral yang terletak di ibu negara Lithuania, Vilnius, menjadi tumpuan ribuan pengunjung yang meraikan kedatangan tahun 2014. Rakyat Jerman menyambut lembaran baharu dengan paparan bunga api mempesonakan di ibu negaranya, Berlin. Dengan Gerbang Brandenburg sebagai latar belakang, sambutan itu berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung. Tarikan Pertunjukan bunga api di Pelabuhan Vieux di Marseille, selatan Perancis, pada malam 31 Disember 2013, merupakan sebahagian daripada sambutan hari terakhir Pertunjukan Budaya Eropah Marseille-Provence 2013. Sementara itu, lebih dua juta pengunjung berhimpun di Sydney Harbour pada malam musim panas untuk menyaksikan persembahan bunga api tahunan terkemuka dan paling mewah di Sydney, Australia. Persembahan penuh warna-warni itu berlangsung selama 11 minit dengan mercun dilancarkan daripada keempat-empat bumbung Sydney Opera House buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad. Mencuri perhatian juga paparan bak air terjun api dari Jambatan Harbour. Di ibu negara Brazil, Rio de Janeiro, lebih dua juta pengunjung telah berkumpulan di sepanjang Pantai Copacabana bagi menyaksikan pertunjukan bunga api yang berlangsung selama 20 minit. Walaupun pertunjukan bunga api pada kebiasaannya menyempurnakan lagi sambutan tahun baru, namun terdapat insiden-insiden yang menyebabkan kecederaan, contohnya di Manila, Filipina apabila seorang disahkan mati dan kira-kira 600 orang lagi cedera akibat terkena bunga api dan mercun sesat. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan