Selasa, 21 Januari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pameran Seni Landskap 2014

Posted:

Pameran Seni Landskap 2014

Pameran Seni Landskap 2014

KARYA seni ini antara yang akan dipamerkan sepanjang Pameran Seni Landskap 2014 di Galeri Artelier, Kuala Lumpur.


SENI landskap yang menarik bukan sahaja dapat menjadikan sesebuah kawasan itu tampak mempesona, malah memberi ketenangan dan ilham kepada yang melihatnya.

Selain itu, hiasan landskap kini menjadi satu ikutan dalam kalangan pemilik-pemilik rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar. Ia menjadi koleksi seni yang menarik bagi menyerlahkan lagi tempat kediaman mereka dengan lukisan tersebut.

Jika anda masih lagi mencari ilham seni bina landskap untuk menghias tempat kediaman baharu atau ingin mengubah suai landskap yang sudah lama tidak diganti, Pameran Seni Landskap 2014 adalah jawapan bagi merungkai segala persoalan anda selama ini.

Pameran yang mengangkat konsep landskap Malaysia ini bakal berlangsung selama sebulan bermula 29 Januari ini menghimpunkan hampir 30 hasil karya daripada empat pelukis tempatan terkemuka dari pelbagai latar belakang dan pengalaman yang berbeza.

Antaranya, Fauzin Mustafa, Zainal Abidin Musa, Johan Marjunid dan Alan Ng. Mereka bakal menonjolkan pelbagai idea baharu dan segar melalui karya lukisan daripada gubahan alam.

Menurut Fauzin, karya seni dihasilkannya untuk pameran itu adalah bersifat minimal dan mengandungi unsur nostalgia yang tersendiri.

"Selain itu, karya seni yang dihasilkan dijadikan antara tarikan pelancongan selain memartabatkan industri seni di peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Galeri Artelier, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pada pameran tersebut beliau akan mempamerkan siri-siri hasil karyanya yang mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya sewaktu bermain di padang permainan.


FAUZIN mengajak pengunjung mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya sewaktu bermain di padang permainan melalui lukisan yang dihasilkannya.


"Terdapat objek seperti batu-batu kecil, daun, selipar dan bola yang saya zahirkan pada lukisan tersebut. Di sebalik setiap lukisan yang dihasilkan mengandungi maksud dan ceritanya yang tersendiri.

"Saya berkarya bukan hanya untuk menjual lukisan sahaja malah saya ingin berkongsi senario kehidupan sebagai seorang anak seni kepada umum," katanya.

Panorama

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, beliau mengambil masa selama seminggu bagi menyiapkan kesemua karya tersebut.

"Antara lukisan ini ada yang diilhamkan daripada panorama menarik musim tengkujuh dan persisiran pantai di sekitar Pulau Langkawi, Kedah.

"Selain itu, setiap lukisan mempunyai seni keindahan tersendiri dan turut mengambarkan diri saya sebagai pelukis," katanya.

Pengarah Galeri Artelier, Ahmad Khairo Othman berkata, pameran yang berlangsung selama sebulan itu memberi peluang terutamanya kepada penggemar seni landskap untuk menghayati dan menjiwai karya-karya tersebut.

"Ilham dan keindahan hasil sentuhan pelukis tersohor pada pameran ini sudah tentu memberikan kepuasan kepada peminat-peminat seni.

"Tambahan pula, ia bakal mempersembahkan pelbagai karya luar biasa yang mengajak pengunjung melihat daripada luar kotak pemikiran mengenai hubungan yang terjalin sesama manusia dan alam semula jadi," katanya.

Di samping itu, kreativiti para pelukis dizahirkan secara visual melalui pelbagai bahan antaranya, teknik pengolahan dan elemen-elemen seni cat yang memperlihatkan dimensi kreativiti pelukis terlibat.

Ahmad Khairo turut memaklumkan lukisan-lukisan yang dipamerkan sepanjang tempoh pameran tersebut turut dijual kepada orang ramai. Harga setiap lukisan ditawarkan pada harga RM1,500 sehingga RM115,000 mengikut saiz lukisan.

Festival motosikal berkuasa tinggi

Posted:

Festival motosikal berkuasa tinggi

Festival motosikal berkuasa tinggi

MOTO Guzzi buatan Itali ini antara model motosikal berkuasa tinggi yang menjadi tumpuan pengunjung.


2 Wheels Festival berjaya mengumpulkan hampir 90 peratus usahawan motosikal berkuasa tinggi dalam kalangan bumiputera di bawah satu bumbung di SpaceU8, Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Malah, ia juga menjadi satu-satunya festival tunggal berkaitan pameran motosikal berkuasa tinggi yang diadakan dalam sebuah premis bangunan bertujuan memberi keselesaan kepada setiap pengunjung dan peserta.

Acara yang bakal menjadi acara tahunan anjuran bersama WSF Travel, Sangria's Bikers dan Bikers Club itu menyediakan 78 gerai pameran terdiri daripada motosikal berkuasa tinggi, kelas memandu, insurans, alat ganti motosikal berkuasa tinggi termasuk agensi pelancongan.

Walaupun mengenakan caj kemasukan sebanyak RM2, ia berbaloi untuk dilawati terutama dalam kalangan peminat motosikal berkuasa tinggi khususnya golongan amatur dalam dunia permotoran itu.

Penganjur yang juga penyelaras festival, Wan Shairi Wan Ahmad berkata, festival selama tiga hari itu mencatatkan kedatangan pengunjung yang memberangsangkan sejak hari pertama ia dibuka kepada orang awam.

"Sasaran awal ialah 3,000 pengunjung namun, jumlahnya hampir 5,000 orang.

"Acara ini dijalankan secara kerjasama kerana kami mahu mengumpulkan seberapa ramai usahawan motosikal berkuasa tinggi khususnya dalam kalangan bumiputera.

"Kami percaya festival ini menjadi satu-satunya acara dalam negara yang mengumpulkan semua jenama motosikal berkuasa tinggi termasuk Harley Davidson dan Moto Guzzi dalam sebuah bangunan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


SELAIN pameran motosikal berkuasa tinggi, alat ganti motosikal turut dipamerkan.


Kagum

Peserta yang juga Naib Presiden Jualan dan Operasi Moto Guzzi, Ahmad Azhar Khairuddin berkata, dia berasa kagum dengan penganjuran tersebut yang berjaya mengumpulkan pelbagai jenama motosikal berkuasa tinggi di bawah satu bumbung.

"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali terlibat dalam pameran motosikal berkuasa tinggi tetapi lazimnya diberi ruang minimum kerana berkongsi pentas bersama kereta-kereta mewah.

"Jika adapun kebanyakan pameran motosikal berkuasa tinggi diadakan di luar bangunan," jelasnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Adib Mohd. Abdul Nasir, 27, mula melibatkan diri dalam dunia motosikal berkuasa tinggi kira-kira tiga tahun lalu, rasa teruja apabila menerima maklumat daripada rakan di laman sosial Facebook mengenai pameran itu.

"Sejak meminati motosikal berkuasa tinggi, saya selalu mengunjungi pelbagai pameran motosikal seumpama ini di seluruh Malaysia tetapi semuanya diadakan di luar bangunan.

"Apabila diberitahu rakan pameran ia diadakan dalam bangunan, saya terus datang tanpa berfikir dua kali," tuturnya yang bertugas sebagai jurutera di Damansara selain memiliki motosikal jenis Kawasaki ER6F.

Jelasnya, festival tersebut turut menyediakan pelbagai informasi yang berguna untuk pengunjung dan peminat motosikal berkuasa tinggi seperti isu keselamatan termasuk keperluan memiliki insurans dan alat keselamatan ketika menunggang motosikal.

Dalam pada itu, tidak mahu dikaitkan dengan mencari keuntungan semata-mata, keseluruhan caj kemasukan sebanyak RM2 yang dikumpul daripada setiap pengunjung akan disumbangkan oleh penganjur kepada Yayasan Kanser Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved