Kosmo Online - Sukan |
- Pahang dapat tajaan Puma
- 'Jangan hampakan rakyat Sabah'
- Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri Sembilan
Posted: Pahang dapat tajaan Puma
JUARA Piala Malaysia 2013, Pahang menandatangani perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan jenama sukan terkemuka dunia, Puma yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta setahun. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan itu bakal menyuntik semangat pemain-pemain untuk melakar kejayaan lebih gemilang pada musim akan datang. "Saya teruja dengan kesudian Puma untuk tampil sebagai penaja bagi tempoh yang panjang. Ikatan ini mampu menjulang Pahang ke puncak kejayaan pada musim ini. "Kali terakhir kami memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 1992 lalu dan saya telah menunggu tempoh yang terlalu lama untuk Pahang menjuarainya semula apabila berjaya melakukan musim lalu. "Dengan sokongan penuh daripada Puma, kami akan melakukan segala-galanya untuk meneruskan kegemilangan ini," katanya semasa majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Pahang di Hotel One World, Kuala Lumpur, semalam. Pahang yang menjuarai Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, November lalu melengkapkan tiga gelaran domestik setelah merangkul Liga Super pada 2004 dan Piala FA dua tahun selepas itu. Mengulas lanjut mengenai penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel Andrade menjelaskan ia adalah lebih daripada sekadar hubungan perniagaan dengan Pahang. "Kami gembira dapat bekerjasama dengan Pahang dan akan menyediakan persiapan yang sempurna buat Pahang untuk musim-musim akan datang. "Kami juga turut yakin bahawa Pahang adalah duta terbaik buat jenama kami," katanya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim, Ketua Pemasaran Puma Malaysia, Gabriel Yap, pegawai, jurulatih dan pemain-pemain Pahang. Tok Gajah masih mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan dikuatkan dengan kehadiran dua pemain import baharu, Dickson Nwakaeme dan bekas pertahanan Fulham, Zesh Rahman selain tonggak import sedia ada, Matias Conti dan Damion Stewart. Pada musim ini juga menyaksikan bekas penganalisis skuad antarabangsa Australia, Ronald Smith mengambil alih tugas jurulatih daripada Dollah Salleh yang telah memilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim ini. Tok Gajah akan bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions XII bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Jumaat ini. | |
'Jangan hampakan rakyat Sabah' Posted: 'Jangan hampakan rakyat Sabah'Oleh MUSTAPA LAKAWA BARISAN pemain dan pegawai skuad Sabah bergambar kenangan dengan Musa Aman (berdiri tujuh dari kanan) selepas majlis memperkenalkan pemain di Kota Kinabalu, semalam. DI sebalik segala persiapan yang dilakukan, ada 'hutang' yang perlu dilangsaikan para pemain Sabah pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Bukan semata-mata untuk mempamerkan permainan terbaik, namun tanggungjawab lebih besar perlu dipikul skuad kendalian Seslija Milomir itu untuk membayar segala kesetiaan yang ditunjukkan rakyat Sabah terhadap pasukan negeri di bawah bayu itu. Malah, Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman turut mencabar skuad Sabahawks dengan menuntut semua pemain agar berjuang habisan-habisan sepanjang musim ini. "Kita pernah menjadi antara pasukan elit dalam bola sepak negara dan tiada alasan untuk kita gagal melakukannya sekali lagi. "Pihak persatuan dan penaja telah bersungguh-sungguh mencari dana dan begitu juga para penyokong yang tidak pernah jemu menyokong pasukan ini. "Kini tibalah masanya untuk para pemain membalas jasa mereka dan lebih penting lagi, jangan kecewakan seluruh rakyat Sabah," katanya pada majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan Liga FAM Sabah di Kota Kinabalu semalam. Enggan terlalu memberi tekanan, Musa sebaliknya memberi tips kepada para pemain mengenai resepi kejayaan dalam sukan. "Saya percaya semua pemain yang ada dalam pasukan ini merupakan pemain berbakat dan berkemahiran. Namun, satu perkara paling penting yang menentukan kejayaan pasukan adalah disiplin. "Elakkan pengambilan dadah dan jangan sesekali terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan. Sebagai pemain profesional, jagalah kerjaya anda," ujarnya. Bagi kempen Liga Premier musim ini, Sabah berjaya mendapatkan tajaan jersi daripada Ararat, iaitu syarikat pakaian sukan terkemuka di negeri berkenaan. Dalam pada itu, antara pemain yang membarisi pasukan Sabah termasuklah penyerang sensasi Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman, bekas pemain kebangsaan, Zainizam Marjan dan bekas pemain Harimau Muda B, Maxsius Musa. "Sasaran kita adalah untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan memastikan Sabah kembali beraksi dalam kempen Liga Super musim depan," tambah Musa. | |
Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri Sembilan Posted: Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri SembilanPRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan para pemain bola sepak negeri ini agar menjauhi skandal rasuah pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN. Peringatan keras itu juga ditujukan kepada kepimpinan PBNS termasuk pengurus pasukan kerana gejala tidak sihat itu mampu merosakkan imej bola sepak selain menghancurkan industri bola sepak Malaysia. Mohamad berkata, dengan wujudnya Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri, ia dapat memantau segala perlakuan negatif dan pihaknya akan memastikan tindakan segera diambil sebelum ia menjadi barah. "Insya-Allah, jawatankuasa integriti ini akan menjadi satu jawatankuasa memantau segala perlakuan yang tidak betul dan kita akan pastikan supaya tindakan diambil segera supaya penyakit yang boleh disifatkan sebagai barah ini dapat ditangani dengan segera. "Kepada para pemain, saya nasihatkan beraksi seperti biasa. Kalau kita mempunyai rekod yang bersih maka tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis aku janji dan sumpah integriti bersama kepimpinan PBNS serta pemain-pemain bola sepak Negeri Sembilan di Klana Resort di Seremban semalam. Dengan upacara dan angkat sumpah ikrar itu, beliau yakin dan percaya pasukan Negeri Sembilan mampu mengelak daripada terjebak dengan gejala tidak sihat itu. Tambahnya, jika didapati ada dalam kalangan pemain terlibat dalam gejala rasuah, PBNS akan menyerahkan perkara terbabit kepada Jawatankuasa Integriti dan jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan lanjut. "Jawatankuasa Integriti juga akan memantau perlawanan dengan merakamkan gambar dan filem dan kita juga akan memantau perlakuan para penonton," ujarnya. Mohamad turut berharap pasukan bola sepak Negeri Sembilan dapat bersaing dan memberikan saingan dalam Liga Perdana ini selain berharap pasukan itu layak memasuki semula dalam persaingan Liga Super pada tahun 2015 "Saya meminta para penyokong bola sepak Negeri Sembilan dapat beramai-ramai datang ke stadium untuk memberi semangat kepada pasukan kita agar para pemain kita dapat beraksi dengan lebih bersemangat," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan