Isnin, 13 Januari 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Memenuhi segenap kehendak wanita

Posted:

Memenuhi segenap kehendak wanita

Memenuhi segenap kehendak wanita

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PELBAGAI kasut
yang siap turut
disediakan kepada
pelanggan.


SEPASANG sepatu yang cantik dan menepati cita rasa fesyen serta selesa dipakai sememangnya menjadi impian setiap wanita. Lebih-lebih lagi, dalam kalangan penggemar fesyen yang bukan sekadar inginkan sepasang sepatu, malah cuba memadankannya dengan setiap pakaian yang dimiliki.

Ini sekali gus menambah dan mempelbagaikan koleksi kasut, menjadikan ia sebagai aksesori wajib bukan sekadar satu mahupun dua pasang, sebaliknya beberapa pasang dalam warna dan rekaan yang berbeza.

Wanita bertubuh kecil, Norazira Pudzir, 31, dari Kuala Lumpur, juga tidak ketinggalan mendapatkan kasut yang disukainya. Sedia membelanjakan wang lebih supaya tapak kakinya sentiasa terjaga tanpa mengabaikan fesyen terkini, Norazira yang lebih dikenali Zira masih terasa ada kekurangan setiap kali ingin membeli kasut baharu.

Sambil menayangkan kakinya, Zira mencebik bibir dan berkata, "Setiap kali saya menyukai suatu rekaan, saya tentu tidak dapat memilikinya. Ini kerana, saya sukar mendapat saiz kasut yang sesuai dengan kaki saya. Ini memaksa saya membeli apa yang ada di rak dan kebanyakannya yang ditawarkan bukanlah saiz yang diperlukan," ujarnya yang memakai kasut bersaiz dua atau tiga.

Masalah saiz

Selama ini, Zira hanya memilih kasut yang terbuka di bahagian belakang kerana saiz kasut paling kecil yang sering ditemuinya hanya bersaiz tiga atau empat.

Menurutnya, dia akan menghadapi masalah kasut longgar yang ketara apabila berjalan jika kasut tertutup dipilih.

Ini terus menyebabkan dia tidak berpeluang membeli kasut yang diminatinya.

Bahkan, semua kasut yang dibeli selama ini juga lebih besar daripada saiz kaki beliau. Ini menyebabkan Zira seakan-akan putus harapan untuk memperoleh kasut yang selesa dan disukainya.

Namun, baru-baru ini, wanita tersebut dapat menarik nafas lega apabila dia mendapat tahu tentang kewujudan sebuah butik yang menawarkan kasut bersaiz kecil dan boleh ditempah mengikut rekaan yang diminati.

"Saya sangat teruja apabila mengetahui tentang butik Natasha Handmade melalui satu laporan akhbar tempatan. Tanpa melengahkan masa, saya telah membuat panggilan dan mengatur temujanji untuk ke butik ini pada minggu berikutnya.

"Bukan sahaja saya kini lega kerana memiliki sepasang kasut yang bersesuaian dengan saiz kaki tetapi saya juga boleh menyarungkan kasut dengan rekaan terkini dan yang tertutup di bahagian belakang tanpa rasa gentar sama ada ia akan kelihatan longgar apabila berjalan," katanya.

Selesa


NATASHA HANDMADE memberi penekanan terhadap penghasilan kasut selesa yang menepati cita rasa fesyen pelanggan.


Natasha Handmade merupakan sebuah butik kasut yang menawarkan perkhidmatan tempahan kasut mengikut saiz kaki, warna pilihan dan rekaan pelanggan.

"Walau bagaimanapun, Natasha Handmade bukan sekadar itu sahaja. Ramai berpendapat kasut tempahan hanya untuk individu yang mempunyai masalah kaki, namun demikian mereka mungkin tidak sedar mengapa sesetengah pihak lebih menggemari kasut yang ditempah," terang pemilik Natasha Handmade, Sherlina Doraimani, 50-an, ketika ditemui di Plaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, wanita yang memiliki saiz kaki yang kecil seperti saiz dua dan tiga mahupun yang besar seperti saiz 12 hingga 14 sering menghadapi masalah untuk mendapatkan kasut yang sesuai dari kedai-kedai biasa.

"Oleh itu, apabila Natasha Handmade menyediakan khidmat tempahan kasut, ia membuka lembaran baharu kepada mereka mendapatkan sepasang sepatu yang selesa dan disukai.

"Pelanggan dengan saiz kaki yang unik sememangnya sebahagian besar daripada pelanggan kami," ujarnya.

Bagi Zira misalnya, kunjungan sulung beliau ke butik berkenaan terus menarik perhatiannya. Tanpa rasa ragu-ragu wanita tersebut terus membeli tiga pasang kasut yang sedia dijual di situ. Tidak cukup dengan itu, dia turut menempah sepasang kasut lagi.

"Saya amat gembira. Kebetulan saya bakal melangsungkan majlis perkahwinan tidak lama lagi, jadi saya fikir ia tepat pada masanya untuk membuat sepasang kasut istimewa," jelasnya.

Selain saiz yang menjadi tuntutan utama, Sherlina akui terdapat banyak sebab pelanggan memilih kasut ditempah khas.

"Misalnya untuk mengatasi masalah bunion pada bahagian sisi kaki yang merupakan satu keadaan biasa yang dialami dalam kalangan pengguna kasut bertumit tinggi," jelasnya.

Mengelakkan rasa sakit

Sherlina berkata, mereka dengan masalah bunion lazimnya bersikap memaksa dengan memakai kasut biasa dan sedia menghadapi rasa sakit. Tetapi, apabila kasut ditempah, ukuran kaki diambil dan kasut dijahit mengikut struktur bentuk kaki, sekali gus membantu pengguna mengelakkan rasa sakit yang dialami.

"Ada juga yang mempunyai kaki kanan atau kiri yang lebih besar daripada yang satu lagi. Tidak ketinggalan, ada pelanggan yang ke sini tanpa masalah besar tetapi hanya inginkan kasut yang sesuai untuk kaki masing-masing atau mereka yang peka terhadap kesihatan tapak kaki," ujarnya.

Daripada rekaan, warna dan padanan material, kasut-kasut yang ditempah di Natasha Handmade dihasilkan dengan teliti agar mengikut keselesaan pengguna.

Menurut pengusaha ini, penghasilan kasut dilakukan selepas sesi perbincangan rapi dengan pelanggan.

"Kami akan saling memberi dan menerima pendapat pelanggan. Ada di antara mereka yang lebih gemar menerima nasihat saya dan ramai juga yang sudah mempunyai buah fikiran sendiri.

"Ini sekali gus membuktikan kepekaan pelanggan terhadap fesyen," katanya.

Kasut-kasut tempahan khas Natasha Handmade ditawarkan pada harga serendah RM100 sehingga RM2,000 sepasang, bergantung kepada rekaan dan keperluan pelanggan.

Daripada pensyarah kepada pereka kasut

Posted:

Daripada pensyarah kepada pereka kasut

Daripada pensyarah kepada pereka kasut


SHERLINA sedia memberikan khidmat terbaik dengan menyediakan sepasang kasut yang paling selesa untuk pelanggan Natasha Handmade.


SHERLINA Doraimani, tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia rekaan kasut kecuali minat dalam bidang perniagaan yang telah mendorongnya ke tahap yang dicapai masa ini.

Perniagaan dalam butik kasut, Natasha Handmade, dilihat sebagai hanya satu kebetulan selepas dia memilih untuk berkecimpung dalam arena perniagaan.

"Saya tidak belajar apa-apa mengenai dunia rekaan fesyen, khususnya kasut sebelum itu.

"Hanya kerana tidak mahu makan gaji dan mahu menjalankan perniagaan sendiri, saya membeli kedai kasut ini yang pada ketika itu terletak di Dayabumi daripada seorang wanita kira-kira 20 tahun yang lalu" ujarnya membuka bicara.

Merupakan seorang bekas pensyarah sains komputer di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Sherlina berkata, dia bernasib baik kerana wanita yang menjual kedai tersebut bersedia mengajarnya selok-belok perniagaan dan seni rekaan kasut.

"Rentetan itu, saya menubuhkan butik ini menggunakan nama anak saya, Natasha," jelas ibu kepada dua orang anak yang bernama Natasha dan Nathaniel ini.

Menariknya, nama anak-anak beliau juga digunakan untuk kasut tempahan wanita dan lelaki di butiknya.

"Saya puas hati apabila dapat menyediakan kasut pilihan pelanggan.

"Rata-rata pelanggan saya akan kembali kepada saya kerana mereka berpendapat kasut Natasha Handmade tahan lama dan menepati kehendak," katanya.

Tidak setakat menyediakan kasut impian pelanggan, Sherlina memberitahu bahawa perniagaan itu juga menyediakan khidmat nasihat penjagaan kasut, khidmat selepas jualan dan nasihat fesyen mengenai padanan kasut dengan pakaian.

"Pengalaman saya dalam bidang ini membantu saya mengetahui kehendak pelanggan dengan mudah.

"Ini juga membuka peluang kepada saya bekerjasama dengan pihak-pihak penganjur acara ratu cantik seperti Miss Malaysia Kebaya dan Miss Malaysia Sari yang diadakan baru-baru ini," katanya.

Aksesori diraja Britain di Starhill

Posted:

Aksesori diraja Britain di Starhill

Aksesori diraja Britain di Starhill


GARRARD tersergam indah di Starhill Gallery.


MENJADI aksesori pilihan perhiasan kerabat diraja Britain sejak berabad-abad lamanya, Garrard yang menjadi tarikan penggemar barangan kemas mewah bertaraf antarabangsa, kini membuka pintunya di Malaysia.

Menerusi pameran yang diadakan di pusat beli-belah Starhill Gallery, A Journey Through Time VII, Garrard memukau pengunjung dengan koleksi baharunya, Tudor Rose.

Koleksi tersebut terdiri daripada 30 jenis aksesori, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan barang kemas dengan ciri-ciri klasik.

Pada majlis prebiu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Garrard, Eric Deardorff berkongsi mengenai keagungan jenama Garrard dengan memberikan tumpuan utama kepada koleksi Tudor Rose, tanpa mengetepikan koleksi High Jewellery dan tiara mereka.

"Koleksi pertama yang direka oleh Ketua Pereka Garrard, Sara Prentice memang satu permulaan yang menakjubkan. Kami mahu pelanggan berpeluang memilih keperibadian tersendiri menerusi koleksi ini.

"Ia bukan saja sesuaian dengan diri seseorang, tetapi mengubah personaliti si pemakai," katanya.

Apa yang menarik mengenai tukang emas terkenal ini ialah beliau sentiasa mempunyai hubungan jarak jauh dengan Malaysia dan ia dibuktikan apabila Garrard merupakan antara jenama barangan kemas pilihan keluarga diraja di negara ini.

"Garrard juga turut membuat trofi rasmi untuk World Match Racing Tour yang diadakan pada Piala Monsun di Terengganu, November lalu," ujar Deardorff.


GARRARD menawarkan koleksi barangan kemas diraja.


Barang kemas tertua

Sejarah pusat barangan kemas yang tertua di dunia itu bermula sejak tahun 1735 oleh pengasasnya, George Wickes di London. Tidak lama selepas perniagaan itu bertapak, beliau telah dipilih sebagai tukang emas Putera Wales. Pada tahun 1802, nama Garrard telah diperkukuh apabila Robert Garrard mengambil alih perniagaan tersebut dengan legasinya diteruskan oleh anak-anak beliau iaitu Robert Garrard II, James dan Sebastian selepas kematiannya pada tahun 1818.

Tumpuan terhadap kemewahan, keindahan dan keperincian rekaan telah meneruskan kejayaan jenama itu pada abad ke-19 dengan tempahan-tempahan daripada golongan diraja dan bangsawan. Bahkan, ada antara hasil kerja Garrard dipaparkan di muzium-muzium, institusi nasional dan koleksi peribadi penting di seluruh dunia.

Semenjak tahun 1843 apabila Ratu Victoria melantik Garrard sebagai tukang emas diraja, ia telah memberi khidmat kepada enam pemerintah diraja berturut-turut. Antara rekaan agung jenama tersebut ialah mahkota kecil yang digayakan Ratu Victoria pada tahun 1870, mahkota Ratu Mary pada majlis kemahkotaan beliau dan Mahkota Empayar India yang dipakai Raja George V pada tahun 1911.

Pada upacara kemahkotaan Raja George VI pada tahun 1937, tukang emas diraja itu telah menyediakan mahkota yang meletakkan Berlian Koh-i-Noor untuk Ratu Elizabeth atau Queen Mother dan menyesuaikannya untuk Ratu Elizabeth II bagi upacara kemahkotaan beliau pada tahun 1953.

Satu lagi kejayaan Garrard ialah penciptaan cincin pertunangan nilam dan berlian berbentuk bujur oleh Putera Charles kepada Puteri Diana pada tahun 1981. Cincin yang sama telah diberikan kepada anak lelaki mereka, Putera William kepada Kate Middleton, sebagai cincin pertunangan mereka.

Garrard telah mencipta barangan kemas dan koleksi-koleksi barang kemas ulung, tiara dan cincin pertunangan untuk dipakai oleh wanita yang benar-benar memilih untuk tampil lain daripada yang lain.

Kini, jenama warisan itu telah memilih pusat beli-belah premium, Starhill Gallery yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai butik pertamanya di Malaysia. - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved