Kosmo Online - Sukan |
Tiga individu diminta berundur Posted: Tiga individu diminta berundur
"LETAK jawatan." Demikian reaksi bekas tekong skuad sepak takraw negara, Rommi Suhendra pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. Rommi yang bertindak selaku Presiden Persatuan Bekas-bekas Pemain Sepak Takraw Kebangsaan (PBPSK) menyuarakan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dianggap gagal melaksanakan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin. Justeru, mereka mahukan tiga individu dalam badan induk tersebut - Presiden, Datuk Ahmad Ismail, Setiausaha Agung, Datuk Arshad Yahya dan Penolong Setiausaha I PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin meletakkan jawatan. Rommi, 35, dan rakan-rakannya turut mahukan ketiga-tiga individu terbabit bertanggungjawab ekoran prestasi buruk skuad sepak takraw negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. "Kami memang tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak atasan (PSM). Gantilah dengan orang yang lebih matang dan mempunyai niat yang betul untuk majukan sukan sepak takraw. "Prestasi merudum skuad negara sekarang ini berpunca daripada kredibiliti pihak pengurusan itu sendiri yang membuatkan para pemain bermain dengan tidak bagus. "Masalah dalaman ini secara tidak langsung mengganggu fikiran para pemain. Apabila kalah, kelemahan pihak pengurusan tersorok dengan cara menyalahkan pemain-pemain. "PSM haruslah sedar dengan perkara sebegini. Jangan terlalu mengamalkan sikap kroni dan mempolitikkan sukan sepak takraw," tegasnya. Rommi menjelaskan, PBPK telah diwujudkan bulan lalu atas tujuan mahu kembalikan kebangkitan sukan negara di persada antarabangsa. "Kebajikan bekas-bekas pemain juga tak terjaga. Kami diibaratkan seperti besi karat yang semakin reput di mata PSM. Apa yang peting, kami tiada niat mahu memburukkan atau menjatuhkan PSM. "Memang saya akui kalah menang itu adat permainan tetapi kalau kalah 3-15, itu apa pula? Sekarang ini biar rakyat sendiri tahu apa yang terjadi. Bila kami bersuara, mereka fikir kami mahu menentang mereka. "Kami boleh duduk berbincang bersama-sama. Kami tidak akan mengadap kalau tidak dipanggil, umpama seperti pergi kenduri orang tidak dijemput," katanya yang mewakili negara pada Sukan Asia 1998 dan Sukan SEA 1999. Sementara itu, bekas apit kanan negara, Mohd. Futra Abdul Ghani berkata, sukan sepak takraw negara kini berada pada tahap kritikal. "Prestasi makin teruk. Alasan yang diberikan hanyalah wayang politik semata-mata. Demi kebaikan PSM, eloklah mereka berundur. "Terimalah hakikat ini dengan profesional. Pandanglah kami bukan sebagai pemain tetapi rakyat yang cintakan sukan sepak takraw negara," kata Futra yang memenangi emas pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina. Selain Rommi dan Futra, desakan yang sama turut disuarakan oleh Shaari Hashim, Razaiman Hassan, Rosli Abdul Rahman dan Jamrai Idris. | ||
Posted: 90 peratus hampir pastiOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier. Perkara itu didedahkan oleh satu sumber yang rapat dengan badan induk tersebut kepada Kosmo! semalam. Beliau yang enggan dikenali memberitahu, rundingan bagi menyelesaikan perjanjian antara Troussier dan FAM dijangka selesai dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, Presiden FAM. Sultan Ahmad Shah dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah menemui Troussier di London baru-baru ini. "Troussier telah bertemu dengan Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) di London. "Bagaimanapun, kita akan tahu sehari dua lagi sama ada Troussier atau jurulatih lain yang akan dipilih sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya. "Apa yang boleh saya katakan, 90 peratus hampir pasti (Troussier bakal dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya)," katanya kepada Kosmo! semalam. Troussier turut dikatakan menjadi buruan Persatuan Bola Sepak Tunisia (FTF) yang terdesak untuk melantik jurulatih baharu dalam usaha mempersiapkan pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika September depan. Sebagai rekod, Troussier pernah mengendali tujuh pasukan kebangsaan - Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi. Antara kejayaan terbesar bekas jurulatih kelab FC Ryukyu itu adalah berjaya membimbing Jepun layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2002. Begitupun, FAM dilihat berdepan kos tinggi jika berhajat untuk melantik Troussier yang dikatakan menuntut pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun. Difahamkan, FAM akan beralih perhatian kepada calon No. 2 - bekas jurulatih AS Roma, Zdenak Zeman yang dilihat lebih 'murah' jika mereka gagal memenuhi tuntutan Troussier. FAM turut dikhabarkan telah mengadakan pertemuan dengan ejen Zeman di London baru-baru ini. Sebelum ini, Hamidin memaklumkan bahawa FAM hanya bersedia untuk mengumumkan nama jurulatih baharu Harimau Malaya selewat-lewatnya bulan depan. Ketika ini, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee ditugaskan menjadi jurulatih sementara Harimau Malaya. | ||
Posted: Ghaddar, Forkey Doe berentapOleh YATIMIN ABDULLAH FORKEY DOE (kiri) muka baharu yang menyertai Kelantan musim ini. DUA peledak import Kelantan - Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe perlu bersaing sesama sendiri jika mahu membarisi kesebelasan utama bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Pengendali Kelantan, Steve Darby berkata, beliau masih belum membuat keputusan, siapakah di antara kedua-dua pemain itu yang bakal menjadi pilihan untuk mengetuai jentera serangan The Red Warriors. Menurutnya, baik Ghaddar mahupun Forkey Doe, mereka mempunyai kelebihan masing-masing sehingga menyukarkan beliau untuk membuat keputusan. "Hanya Obinna Nwaneri dan Mohammed Shawky hampir pasti berada dalam senarai utama pasukan selepas kedua-duanya memperagakan aksi mantap sepanjang aksi persahabatan sebelum ini. "Cuma untuk jentera serangan, Ghaddar dan Forkey Doe perlu berentap untuk merebut tempat. Ini kerana saya mahu pemain tempatan bergandingan dengan salah seorang daripada mereka," katanya. Darby berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat aksi persahabatan antara Kelantan dengan Phattalung FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. Kelantan beraksi cemerlang apabila menang 4-0 menerusi jaringan hatrik Ghaddar selain satu gol sumbangan Ahmad Fakri Saari. Darby memberitahu, Forkey Doe tidak dapat diturunkan pada perlawanan itu selepas mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Perlis minggu lalu. "Bagaimanapun, Darby berharap dia akan pulih sebelum pertemuan sulung Liga Super menentang Sime Darby di gelanggang sendiri Sabtu ini," jelas Darby. Darby turut berpuas hati dengan persembahan barisan pemain yang mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan tersebut. Katanya, gandingan antara Amar Rohidan bersama kapten, Mohd. Badhri Radzi dan Shawky di jentera tengah bertambah baik. "Apa yang dapat saya lihat sepanjang aksi persahabatan ini, semua pemain bekerja keras dan tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik. Ia merupakan sesuatu yang baik buat pasukan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan