Kosmo Online - Dunia |
Ariel Sharon akhirnya menemui ajal Posted: Ariel Sharon akhirnya menemui ajal
TEL AVIV - Bekas Perdana Menteri ke-11 Israel, Ariel Sharon yang turut dikenali sebagai 'Penyembelih Beirut' akhirnya menemui ajal di Pusat Perubatan Shena di Tel Hashomer semalam semasa berusia 85 tahun, lapan tahun selepas beliau berada dalam keadaan koma. Anggota-anggota keluarganya berkumpul di pusat perubatan tersebut untuk berada bersamanya pada saat-saat akhir kematiannya. Dua anak lelakinya, Omri dan Gilad kerap berada di sisinya sejak 1 Januari lalu selepas beberapa organ dalam tubuhnya tidak lagi berfungsi. Mayat Sharon akan diletakkan di dalam bangunan Parlimen Israel sebelum ditanam di ladang miliknya di Negev di sebelah kubur isterinya, Lily yang meninggal dunia pada tahun 2000. Beberapa organ penting Sharon termasuk ginjal dan paru-parunya gagal berfungsi sebelum beliau meninggal dunia. Menurut akhbar Jerusalem Post, tekanan darah dan degupan jantungnya kembali normal pada Isnin lalu. Namun, tekanan darah dan degupan jantungnya semakin lemah pada Khamis lalu. Sharon diserang koma pada Januari 2006. Sejak itu beliau hidup dengan menggunakan peralatan sokongan hayat. Seorang jururawat yang pernah menjaganya di pusat perubatan itu, Marina Lifshitz memberitahu para pemberita, Sharon pernah menyentuh tangannya dan mengangkat keningnya. Menurutnya, pada satu pagi, jururawat tersebut telah menunjukkan gambar isteri Sharon. "Air matanya kemudian menitis. Sukar untuk melupakan detik itu. "Malangnya, saya tidak mengetahuinya bila beliau menjadi Perdana Menteri. Sharon yang pernah menjadi pegawai tinggi tentera Israel memainkan peranan penting dalam kemenangan regim Zionis di Sinai dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 dan Perang Yom Kippur pada tahun 1973. Ekoran kemenangan itu, beliau diberi gelaran Arik, Raja Israel. Pada tahun 1982, semasa memegang jawatan Menteri Pertahanan, beliau memantau Perang Lebanon yang melibatkan Israel. Namun, beliau terpaksa meletakkan jawatan itu pada tahun 1983 selepas berlakunya kejadian pembunuhan melibatkan 800 dan 2,000 orang pelarian Palestin di kem Sabra serta Shatilla. Penyingkiran itu berlaku selepas Suruhanjaya Siasatan Kahn mendapati, beliau terlibat secara langsung dalam serangan tersebut yang dilakukan kumpulan militan Kristian Phalangist di Lebanon. Sharon menjadi Perdana Menteri Israel pada tahun 2001. Dia bawah kepimpinannya, Israel mula membina tembok keselamatan di Tebing Barat. Sharon menggunakan karier politiknya dan kedudukannya dalam Kabinet untuk membina puluhan penempatan haram di Tebing Barat dan Gaza walaupun terdapat bantahan dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Beliau mendesak peneroka haram Yahudi untuk menduduki tanah di Palestin sebelum perjanjian dicapai dengan para pemimpin Palestin. Sementara itu, penduduk Palestin menyambut dengan gembira kematian Sharon. Seorang pegawai kanan pergerakan Fatah di Palestin, Jibril Rajub berkata, Sharon merupakan seorang penjenayah yang tidak pernah dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. "Sharon merupakan seorang penjenayah dan bertanggungjawab ke atas pembunuhan bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat," katanya. Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Paris pada 11 November 2004. Terdapat dakwaan yang dibuat beberapa pegawai kanan Palestin bahawa Arafat mati kerana terkena bahan radioaktif. Dalam pada itu, pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza turut menyambut baik kematian Sharon dengan menggelarkannya sebagai penjenayah. "Sharon merupakan seorang penjenayah dan beliau merupakan antara orang yang menyebabkan malapetaka berlaku ke atas penduduk Palestin," kata jurucakap pergerakan itu, Salah el-Bardaweel. "Kami berdoa kepada Allah supaya Sharon dan semua pemimpin regim Zionis dihantar ke neraka kerana melakukan pembunuhan ke atas penduduk kami. "Apabila penduduk Palestin mengingati Sharon, mereka akan mengingati kesakitan, darah, penyeksaan dan jenayah. "Kami tidak akan berasa kesal dengan kematiannya," tambah Salah. - Agensi | |
Kecoh gambar bangkai sotong gergasi Posted: Kecoh gambar bangkai sotong gergasiGAMBAR yang disiarkan di laman web The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menunjukkan bangkai seekor sotong gergasi di pantai Santa Monica, California. SANTA MONICA, California – Sekeping gambar dan berita tentang penemuan bangkai seekor sotong gergasi sepanjang 48.76 meter di tepi pantai Santa Monica, California yang disiarkan di laman web The Lightly Braised Turnip telah didapati palsu, lapor akhbar The Epoch Times semalam. Artikel di The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menyatakan, sotong tersebut menjadi besar disebabkan oleh kebocoran radioaktif ke laut di daerah Futaba, Fukushima, Jepun. Kebocoran itu berlaku disebabkan sebuah loji nuklear di Fukushima mengalami kerosakan disebabkan tsunami yang tercetus akibat gempa bumi kuat berskala 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac 2011. Artikel di laman web tersebut yang ditulis oleh Butch Witt menyatakan, sotong tersebut kemudian hanyut ke pantai Amerika Syarikat. Lebih 500,000 orang menghantar mesej dan melihat gambar tersebut di laman rangkaian sosial Twitter selepas ia disiarkan di laman The Lightly Braised Turnip. Bagaimanapun, wartawan akhbar The Epoch Times, Zachary Stieber mendapati berita dan gambar tersebut palsu selepas dia melakukan penyiasatan. Menurut Stieber, dalam artikel sotong di laman web itu, Pengarah Taman Santa Monica, Cynthia Beard berkata, dia berhasrat untuk memotong badan haiwan tersebut untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Scripps untuk tujuan penyelidikan. Namun, wartawan yang melakukan penyiasatan itu kemudian mendapati tiada pengarah di taman tersebut yang bernama Cynthia Beard. Berita palsu itu turut mendapat perhatian portal kajian saintifik yang terkenal iaitu National Geographic. Menurut portal itu, seorang kakitangan laman web gosip, snopes.com memandu kenderaan ke pantai tersebut dan melaporkan tiada tanda-tanda kehadiran sotong gergasi itu. Seorang penulis artikel di laman About.com yang memberikan pelbagai maklumat tentang topik-topik menarik, David Emery berkata, gambar sotong gergasi di akhbar The Lightly Braised Turnip itu sebenarnya sotong gergasi sepanjang sembilan meter yang mati di sebuah pantai Sepanyol pada Oktober 2013. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan