Selasa, 14 Januari 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Jentera pembersihan pantai pertama di Malaysia

Posted:

Jentera pembersihan pantai pertama di Malaysia

Jentera pembersihan pantai pertama di Malaysia

SWM Environment Sdn. Bhd. menggunakan jentera berteknologi terkini, beach comber dan beach buggy, bagi memastikan kawasan pantai di Port Dickson sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk para pengunjung.


SAMPAH-SARAP yang telah dikutip dibuang ke dalam sebuah lori terbuka untuk proses pelupusan.


BERBEZA dengan kunjungan ke Pantai Saujana, Port Dickson, Negeri Sembilan beberapa bulan sebelum ini, seorang suri rumah, Sarina Salleh dari Cheras, Kuala Lumpur mengakui terkejut melihat sekitar kawasan peranginan tersebut yang lebih bersih dan menarik berbanding dahulu.

Kedatangannya ke pantai tersebut baru-baru ini bersama ahli keluarganya adalah untuk menikmati pemandangan pantai, di samping beriadah untuk menenangkan fikiran daripada kesibukan kehidupan kota.

"Saya akan datang ke sini sekurang-kurangnya sebulan sekali. Saya sukakan Pantai Saujana kerana pantainya yang bersih, pasir yang memutih dan berasa selesa setiap kali membawa anak-anak untuk bermandi-manda dan barbeku.

"Anak-anak saya juga gemar ke sini kerana air laut yang bersih dan persekitaran yang sentiasa dijaga rapi," katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Saujana baru-baru ini.

Sementara itu, seorang peniaga yang menjual pakaian dan peralatan pantai, Ahata Hamzah, 48, berkata, terdapat banyak perbezaan pada persekitaran pantai berkenaan sejak berniaga di situ tujuh tahun lalu.

"Ini jelas dilihat daripada aspek kebersihan. Sepanjang saya di sini, ada kalanya kedengaran keluhan pengunjung terhadap tahap kebersihan pantai ini.

"Mereka berasa tidak selesa mandi di laut kerana kerap terjumpa sampah-sarap seperti botol-botol plastik dan bekas polistirena di persisiran pantai," imbau beliau.

Kini, tambahnya, saya dapat menarik nafas lega kerana masalah ini telah dibendung secara berperingkat-peringkat mulai tahun lalu setelah mendapat kerjasama daripada semua pihak berkaitan.

"Keadaan yang lebih baik ini juga memberi kesan yang memberangsangkan kepada perniagaan saya," kata Ahata.

Pantai Saujana yang terletak di Batu Empat, Jalan Port Dickson merupakan sebuah pantai sepanjang 1.4 kilometer (km) yang bermula dari pusat peranginan popular, Avillion Beach Resort sehingga Pantai Cahaya Negeri.

Tumpuan pengunjung

Terkenal dengan persekitaran yang tenteram, pantai yang terbentang luas ini menjadi tumpuan pengunjung, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum bagi melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti berkelah, sukan air dan bermain layang-layang.

Penyediaan kemudahan yang lengkap seperti tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berturap, deretan gerai makanan dan kraftangan serta tandas awam yang bersih juga merupakan daya tarikan pengunjung ke pantai berkenaan.

Menyedari keperluan dan komitmen untuk sentiasa menambah baik mutu perkhidmatan, syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) telah memperkenalkan jentera berteknologi moden, beach comber dan beach buggy, bagi memastikan kawasan pantai di Port Dickson berada dalam keadaan bersih.

Perasmian penggunaan jentera itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan di sebuah hotel terkemuka Port Dickson pada November lalu.

Jimat masa

Menurut Pengurus Besar Kumpulan SWM, Adnan Ibrahim, pengenalan jentera itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama yang memperkenalkan perkhidmatan pembersihan pantai berteknologi di Malaysia.


JENTERA beach comber berupaya membersihkan permukaan pasir pantai sehingga kedalaman 15 sentimeter.


"Secara kebetulan pengenalannya seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, menambahkan lagi kepentingan penggunaan jentera ini dalam menyediakan satu destinasi percutian yang menarik bagi pengunjung di dalam dan luar negara.

"Jentera ini mampu mempercepatkan proses pembersihan pantai dan menjadikan kawasan lebih bersih berbanding penggunaan tenaga kerja manusia sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mampu membersihkan 2..8 hektar kawasan pantai, Adnan menambah, buat peringkat awal proses pembersihan hanya melibatkan tiga buah pantai iaitu Pantai Saujana, Pantai Bagan Pinang yang sejauh 1.5km dan Pantai Batu (1km) yang berada di bawah perkhidmatan syarikat konsesi berkenaan.

"Beach comber ini dikendalikan seorang pemandu. Ia dapat membersihkan kawasan pantai sehingga kedalaman 15 sentimeter dari permukaan pasir pantai untuk mengorek sampah dan hanyutan dari laut seperti plastik, kaca pecah, puntung rokok, tin minuman, ranting kayu, rumpai laut, daun kering dan batu-batu kecil.

"Setelah pasir pantai digemburkan bagi mengeluarkan sampah, mesin ini akan meratakan semula permukaan bagi keselesaan pengunjung," jelasnya.

Bagi kawasan kecil dan sempit pula, beach buggy akan digunakan untuk membersihkan kawasan tersebut.

Sekali imbas, jentera ini kelihatan sama seperti kenderaan pelbagai permukaan (ATV), namun ia berupaya untuk membersihkan seluruh kawasan pantai dalam masa satu hingga ke dua jam.

Menjelaskan proses-proses pembersihan terlibat menggunakan jentera berkenaan, Adnan berkata, pencakar sampah atau moldboard digunakan untuk memastikan kawasan tersebut dibersihkan dengan sempurna.

"Pencakar sampah yang terdiri daripada besi keluli tahan karat yang runcing diganti pada tali penghadang penyangkut jentera untuk mencakar sampah daripada permukaan pasir.

"Sampah yang telah dikutip akan memantul ke bahagian pemesong pencakar sampah yang terletak di bahagian belakang jentera dan disalurkan ke dalam corong longgokan sampah. Sampah berkenaan kemudian akan dibuang ke dalam sebuah lori untuk dibawa ke tapak pelupusan sampah di Bukit Palong, Lukut, Port Dickson," jelasnya.

Adnan berkata, jumlah sampah yang dikutip semasa proses pembersihan adalah kira-kira satu tan sehari.

Sehingga kini, SWM telah memiliki sebanyak enam unit jentera beach comber yang berharga RM380,000 seunit manakala terdapat 10 unit beach buggy yang melibatkan kos RM27,000 seunit.

Jadual pembersihan

Adnan berkata, kerja-kerja pembersihan pantai dilakukan seawal tujuh pagi yang biasanya memakan masa satu hingga ke dua jam untuk memastikan kawasan pantai benar-benar bersih dan selamat untuk orang ramai.

"Hari Isnin hingga Khamis adalah hari yang ditetapkan untuk menjalankan proses pembersihan pantai. Ia tidak dilakukan pada hari Jumaat hingga Ahad kerana mengganggu aktiviti riadah pengunjung, selain menjaga keselamatan orang awam," ujarnya lagi.

SWM yang dahulunya dikenali sebagai Southern Waste Management Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada tahun 1995.

Ia berperanan mengendalikan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di zon selatan Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sejak 1996 secara interim.

Syarikat ini kemudiannya dilantik sebagai syarikat konsesi selepas Akta 2007 (Akta 672), Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dikuatkuasa bermula 1 September 2011 oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketulan ais redakan cuaca terik

Posted:

Ketulan ais redakan cuaca terik

Ketulan ais redakan cuaca terik

Penghuni di Zoo Rio de Janeiro diberi makanan seperti buah dan daging yang dibekukan bagi meredakan kepanasan yang mereka alami.


TIMBUNAN ais semakin meninggi di Tasik Michigan, Chicago, Amerika Syarikat.


KETIKA beberapa tempat di Hemisfera Utara berada dalam keadaan sejuk membeku, suasana berbeza dirasai di bahagian bumi yang lain. Baik manusia atau haiwan, masing-masing mendambakan ketulan-ketulan ais untuk menyejukkan tubuh.

Antara negara yang mengalami cuaca panas melampau ialah Brazil dengan indeks cuaca mencapai 48 darjah Celsius. Bahang itu menyebabkan penjaga-penjaga Zoo Rio de Janeiro, Brazil runsing dengan keselamatan haiwan-haiwan jagaan mereka.

Bagi meredakan kepanasan, mereka terpaksa membekukan makanan harian seperti daging dan buah-buahan untuk diberi kepada penghuni zoo.

Ketulan ais besar itu mempunyai pelbagai variasi. Bagi harimau atau singa, mereka diberi blok ais berisi daging mentah seberat 30 kilogram (kg). Ze Comeia iaitu beruang coklat yang diselamatkan daripada kumpulan sarkas mendapat ketulan ais buah-buahan manakala Karla, si gajah gergasi mendapat pisang beku.

Sebatang aiskrim yogurt perisa buah strawberi atau mangga menjadi pilihan sekumpulan beruk yang menarik perhatian pengunjung yang berada di suhu panas yang mencecah 34 darjah Celcius di zoo itu.

Menikmati aiskrim

"Apabila saya melihat mereka makan aiskrim, lantas saya meminta ibu membelikan aiskrim yang sama," ujar pengunjung kecil, Damaris Pereira Dias, 11, sambil menikmati ketulan ais manis di tangannya.

Namun, beruk-beruk tersebut masih belum puas untuk menikmati aiskrim yang diberikan. Jari jemari yang panjang membolehkan cimpanzi bernama Paulinho mengambil aiskrim perisa strawberi daripada tangan penjaga zoo, Karla Cunha. Setelah menghabiskannya, ia mengembalikan batang aiskrim itu kepada Cuhna.

Situasi lebih tegang dapat dirasai dalam kandang spesies kucing besar. Singa bernama Simba, 14, dan Neto, 10, harimau Siberia, menjilat rakus ketulan besar ais menggunakan lidah mereka. Sesekali Simba mengaum ganas kepada jurugambar dan pengunjung yang cuba merakam gelagatnya.

Ze Comeia berendam di dalam kolam sambil perlahan-lahan memakan ketulan ais buah-buahan. Di satu sudut zoo, penjaga zoo menyiram tubuh Koala, gajah betina berumur 45 tahun menggunakan hos panjang dan pada masa yang sama, ia diberi pisang yang disuap ke dalam mulutnya.

"Walaupun berdepan dengan cuaca panas, aktiviti memberi makanan ais merupakan ruang masa yang digemari oleh haiwan-haiwan di sini. Ia membolehkan mereka bergerak aktif sambil menjamu selera," ujar Cunha.


PENGHUNI zoo diberi makanan yang dibekukan untuk meredakan bahang kepanasan melampau.


Dalam masa sehari, pihak zoo menyediakan lebih 100 makanan beku untuk diberikan kepada haiwan-haiwan ketika cuaca panas berlanjutan selama 10 hari berturut-turut.

Kumpulan beruk memerlukan sebanyak 70 jenis makanan sehari dengan buah-buahan dan aiskrim yogurt menjadi pilihan utama.

"Yogurt beku sangat popular tahun ini. Mereka sangat menyukainya," jelas Cunha.

Ikan mati

Walaupun Brazil berdepan dengan gelombang panas, media-media di negara itu hanya memberi fokus kepada cuaca sejuk ekstrem di bahagian utama bumi.

Gelombang panas turut berlanjutan ke negara jiran, Argentina yang menyebabkan ratusan ikan-ikan mati dan timbul di sebuah tasik di Buenos Aires.

Ikan keli dan terubuk antara spesies yang terjejas teruk. Pengarah Taman 3 de Febrero, lokasi timbunan ikan-ikan mati itu dijumpai memberitahu, suhu tinggi menyebabkan kehilangan oksigen dalam air tasik.

Pakar Meteorologi, Fabio Rocha menyatakan, gelombang panas tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Pusaran Polar yang sedang berlaku di negara-negara Kutub Utara.

"Terdapat kekurangan litupan awan terutamanya pada bahagian tenggara Brazil. Ia menyebabkan beberapa kawasan terdedah terus kepada sinaran matahari sehingga membawa ke peningkatan suhu.

"Ia akan berterusan dalam beberapa hari lagi. Cuaca mungkin berubah jika terdapat kumpulan awan yang bakal muncul pada hujung minggu," ujar Rocha.

Ze Comeia dan rakan-rakannya yang lain, termasuk peminat mereka amat berharap hujan turun di zoo tersebut.

"Saya banyak berpeluh walaupun tidak mempunyai bulu yang banyak. Bayangkan keadaan haiwan-haiwan dalam zoo, saya sangat bersimpati," ujar pengunjung zoo, Karla Nunes, 55.

Kualiti gambar setanding profesional

Posted:

Kualiti gambar setanding profesional

Kualiti gambar setanding profesional


KAMERA Casio EX-10 dilengkapi dengan keupayaan penghantaran foto melalui WiFi.


IMAGINASI untuk mengambil gambar setaraf jurugambar profesional tidak lagi menjadi impian semata-mata. Ditambah pula dengan harga kamera yang ditawarkan di pasaran jauh lebih berpatutan berbanding item canggih seorang pakar.

Melalui kamera kompak digital, Casio EX-10, penggemar fotografi pasti berpuas hati dengan mutu dan kualiti gambar yang dirakam.

Daya tarikan utama model ini adalah fungsi pendakap dwikombinasi yang melaraskan dua parameter gambar secara automatik. Ia turut merangkumi fokus, bukaan, kecerahan, imbangan putih, kontras dan ketepuan.

Dengan hanya sekali menekan butang pengatup, EX-10 mampu merakam sembilan imej berbeza. Setiap satunya diambil dengan gandingan nilai unik dua parameter rakaman seperti ruang pelarasan fokus dan saiz bukaan.

Ciri-ciri lain adalah binaan logam, skrin paparan hablur cecair (LCD) 3.5 inci (8.9 sentimeter) condong 180 darjah, penstabilan imej berasaskan sensor, keupayaan video definisi tinggi penuh dan sensor CMOS lampu belakang yang merakamkan imej 12 megapiksel dalam nisbah tiga aspek.

EX-10 juga dilengkapi kanta zoom dengan bukaan maksimum F1.8 (lebar) atau F2.5 (hujung telefoto), sensor CMOS prestasi tinggi dan enjin EXILIM terkini untuk mendapatkan tindak balas kelajuan tinggi.

Selang masa antara tangkapan gambar hanya 0.27 saat dan ia boleh dicapai untuk format RAW dan JPEG.

Kamera ini dilengkapi dengan keupayaan penghantaran foto melalui WiFi dan pengatup jarak jauh yang membolehkan pengguna mengendalikan kamera dan mengambil gambar dari jarak jauh. Penghantaran imej menggunakan sambungan WiFi juga lebih pantas ke telefon pintar.

Ciri-ciri tambahan lain termasuk electronic level untuk mengambil gambar yang seimbang dan mod autofokus yang membolehkan gambar objek yang sedang bergerak diambil dengan jelas.

EX-10 dibina dengan rekaan badan bergaya dan kemasan biru kehitaman yang menarik. Panel depan dan belakang diperbuat daripada aloi magnesium ringan yang kukuh, manakala panel atas diperbuat daripada aloi aluminium berkilat.

Badan magnesium diakui sebagai kemasan kualiti premium dalam rangkaian kamera kompak.

Diedarkan oleh Marco Heritage Sdn. Bhd. (Marco Heritage) sebagai pengedar tunggal kamera Casio di Malaysia, model terbaharu ini oleh didapati mulai pertengahan bulan ini pada harga RM2,699 seunit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved