Selasa, 14 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bukan sekadar Raja Soundtrack

Posted:

Bukan sekadar Raja Soundtrack

Bukan sekadar Raja Soundtrack

BARISAN anggota Hyper Act terdiri daripada (dari kiri), Etan, Freddy, Ronnie, Toi, Akir dan Labib.


SERING dilabel penyanyi runut bunyi (OST), band Hyper Act tidak mudah melatah. Malah, mereka selesa dilabelkan sebegitu dan melihat penilaian peminat melangkaui ekspektasi dari sudut positif.

Mengakui kebenaran situasi tersebut, ujar vokalis band itu, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein, karya-karya yang dipilih untuk menjadi runut bunyi beberapa buah drama rantaian popular televisyen sedikit sebanyak membantu memberikan publisiti dan populariti pantas.

"Kebetulan sebenarnya apabila lagu-lagu yang kami cipta dipilih untuk menjadi runut bunyi beberapa buah drama popular dan usaha sama ini melibatkan matlamat kedua-dua belah pihak.

"Kami sebagai band yang menghasilkan lagu-lagu tersebut mendapat platform untuk dikenali dan pada masa sama karyawan drama memerlukan lagu yang sedap untuk didengar dan dimuatkan dalam drama mereka," ujarnya.

Tidak kisah andai dilabelkan Raja Soundtrack, Ronnie bagaimanapun menjelaskan, bukan strategi utama bandnya untuk menyumbangkan lagu untuk runut bunyi semata- mata.

"Lagu yang dicipta juga bergantung kepada kualitinya, kalau lagu itu berkualiti ia akan diterima baik oleh pendengar, Alhamdulillah dipilih menjadi lagu runut bunyi adalah peringkat promosi awal sebelum menembusi corong radio.

"Kami bergantung kepada permintaan pihak produksi drama yang inginkan kami menyumbangkan lagu untuk mereka, bukan main terima saja kerana kami pun ada strategi sendiri untuk memasarkan produk kami.

"Sasaran kami sebenarnya hanya sebuah lagu runut bunyi dalam tempoh setahun," katanya yang mengakui kini masih disunting oleh beberapa buah rumah produksi untuk memainkan lagu ciptaan mereka dalam masa terdekat.

Lagu Inggeris

Hyper Act yang ditubuhkan pada tahun 2009 di Johor asalnya hanya memainkan lagu-lagu berbahasa Inggeris sebelum disunting untuk merakam alabum dan mula berjinak berkarya dalam arus muzik semasa bahasa Melayu.

"Bermula daripada lagu Harapan, permintaan untuk kami mencipta lagu bahasa Melayu semakin bertambah dan kami mulai selesa.

"Malah, sekarang pun kami menilai progres band kami dalam meneroka pasaran muzik bahasa Melayu sebagai satu eksperimen yang mungkin ada sahaja risiko pada masa akan datang," tambahnya.


HYPER ACT bercita-cita mahu mencipta nama dan populariti setanding Wings dan Search.


Hyper Act pernah menghasilkan lima buah single bahasa Inggeris antaranya Shine, Battle dan Memories.

Ditanya mengenai sasaran jangka panjang dan kekuatan Hyper Act sebagai sebuah band yang mampu mengekalkan kerjasama sebagai sebuah pasukan, mereka kekal optimis.

"Kami mahu berkarya selagi mampu dan selagi boleh diterima ramai. Seboleh-bolehnya kami mahu menjadi seperti kumpulan Wings atau Search yang mana muzik mereka boleh didengar dalam jangka masa yang panjang

"Masing-masing sudah faham peranan masing-masing, jadi tidak timbul isu kumpulan ini mudah goyah dan senang berpecah.

"Lagipun, sudah lima tahun kami bersama-sama cuma yang berubah adalah konsep serta jiwa kepada muzik," ujarnya yang pernah mencipta lagu untuk Asmidar, Mohd. (Mentor) dan band Kristal.

Selain Ronnie, band Hyper Act dianggotai oleh lima anak muda berusia antara 25 hingga 37 tahun iaitu Toi atau nama sebenarnya Khairul Nizam Baharom selaku pemain bass, Etan (Shahrizan Syarifudin, gitaris), Labib (Zamri Haron, dram), Akir (Md. Zakir Rahizan, keyboard) dan Beby (Freddy Ady Putra Adnan, gitar utama).

AJL 28

Selain Harapan, lagu Ku Tiba Lagi terpilih sebagai OST dalam setiap episod drama Bunga April di TV3 manakala lagu Cinta untuk drama Antara Kita lakonan Anne Ngasri dan Aliff Aziz di TV1.

Sedang hangat diputarkan di radio, lagu Kayangan yang menjadi OST filem Laga dan single hits Hanya Aku yang pernah menjadi runut bunyi drama bersiri Teduhan Kasih lakonan mantap Adi Putra dan Sherry Ibrahim.

Malah, single Hanya Aku berjaya mendapat tempat untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas percubaan pertama tahun lalu menerusi lagu Harapan gagal.

"Kami bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat bertanding pentas akhir AJL selepas percubaan kali kedua, memang gemuruh kerana pentas ini berprestij dan menjadi kayu pengukur kecemerlangan sesebuah lagu atau penyanyi.

"Kelainan kali ini adalah kami akan beraksi bersama-sama 48 orang pemain orkestra dan sedang sibuk berlatih bersama, malah kami tidak akan tampil dengan gimik membawa hero dan heroin drama Teduhan Kasih pun sebab pasti penonton sudah menjangkakannya," celah Toi.

Menerapkan elemen Game On untuk konsep persembahan AJL 28 tahun ini, tambah Toi, mereka akan lebih memfokuskan manipulasi grafik dan pencahayaan pentas.

Selain sibuk dengan persiapan menjelang AJL 28, Hyper Act kini sedang menyiapkan album pertama mereka yang memuatkan lapan buah lagu antaranya Harapan, Impian, Ku Ikat Setia dan Kayangan.

Album itu dijangka siap pada hujung bulan Januari ini dan dilancarkan pada Februari depan.

AJL 28 bertemakan Game On

Posted:

AJL 28 bertemakan Game On

AJL 28 bertemakan Game On


SEBANYAK 12 pencalonan akhir AJL 28 bersedia untuk bertanding pada final yang berlangsung pada 26 Januari ini.


BERBEZA daripada penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun-tahun terdahulu, kali ini anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik lagu tempatan memperkenalkan konsep Game On sebagai tema utama.

Elemen Game On kata Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Mohamed Nordin, akan direalisasikan menerusi grafik dan susunan imej bersama persembahan 12 finalis yang akan berentap pada peringkat akhir nanti.

"Tema tahun ini menarik sebenarnya untuk dilaksanakan dan mencabar kreativiti finalis agar lebih berimaginasi. Walaupun pertama kali tema sebegini diperkenalkan, rasanya tiada masalah untuk kesemua finalis mengikut tema yang telah ditetapkan.

"Tema ini tiada kena mengena dengan muzik tapi lebih pada konsep persembahan finalis, kami membenarkan kreativiti asalkan bersesuaian," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) di Hotel Empire, Subang, Selangor baru-baru ini.

Ujarnya, tiada bantahan dibangkitkan berhubung tema Game On yang telah ditetapkan untuk AJL 28 kali ini dan perbincangan dengan finalis juga telah dilaksanakan dan dipersetujui sepenuhnya.

Dalam pada itu, Sherina menegaskan, tiada juri jemputan dari luar negara untuk mengadili peringkat akhir AJL 28 tahun ini dan pihaknya tidak merancang untuk menjemput juri luar seperti yang dilaksanakan tahun lepas dengan menjemput Hetty Koes Endang.

"Tiada isu perlu dibangkitkan berhubung penjurian kali ini kerana AJL 28 menggunakan khidmat juri tempatan sepenuhnya.

"Lagipun, industri kita sudah cukup barisan penggiat seni yang mampu mengadili sendiri persembahan artis-artis tempatan," tambahnya.

AJL 28 juga menampilkan muka baharu sebagai hos utama sepanjang acara berlangsung iaitu AG dan Scha Al-Yahya.

Ujar Sherina lagi, penambahbaikan itu dibuat memandangkan kesesuaian dan kebolehan yang ditonjolkan kedua-dua pengacara tersebut sepanjang mengendalikan Muzik Muzik sepanjang tahun 2013.

"AG dan Scha Al-Yahya telah mengendalikan Muzik Muzik dengan berjaya dan menghiburkan, malah kedua-duanya selesa bersama dan tahu latar belakang produk dengan mendalam," katanya.

AJL pernah dihoskan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad, Ally Iskandar dan Fara Fauzana sebelum ini manakala AG dan Scha Al-Yahya mula mengacarakan rancangan Muzik Muzik bermula awal tahun 2013 hingga sekarang.

Menarik mengenai AJL 28 tahun ini, persembahan pembukaan akan dibawakan secara konsep battle vokal dan tarian oleh Shila Amzah dan Mus May manakala segmen interlude mengetengahkan muzik hip hop menggandingkan penyanyi baharu dan lama antarnaya W.A.R.I.S, Datuk M. Daud Kilau, Ziana Zain, Ahli Fiqir dan One Nation Emcees.

Juara Lagu 28 akan memenangi trofi dan wang tunai RM35,000 manakala naib juara dan tempat ketiga akan meraih wang tunai RM15,000 dan RM10,000. Persembahan terbaik pula akan memenangi RM10,000 dan vokal terbaik RM10,000.

AJL 28 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Stadium Putra, Bukit Jalil bermula pukul 9 malam pada 26 Januari nanti. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Ubat rindu Ning

Posted:

Ubat rindu Ning

Ubat rindu Ning

SETELAH kecundang dengan album eksperimentalnya yang berjudul Dewa pada tahun 2011, Ning Baizura kembali mengubati rindu peminat menerusi album kompilasi lagu-lagu hit berjudul Kekal.

Mempertaruhkan 11 buah lagu termasuk empat lagu baharu, Ning begitu teliti dalam menyampaikan koleksi lagu-lagu terbaiknya dalam sebuah album.

Trek Pelangi Untukmu merupakan sebuah lagu saduran yang dialih bahasa daripada lagu Inggeris popular, Somewhere Over The Rainbow. Lagu yang khas ditujukan untuk anak lelakinya ini kedengaran begitu lembut dan sangat sesuai untuk dijadikan lagu dodoian anak kecil.

Bukan Wanita Sempurna hasil ciptaan sepenuhnya Alwin Santiago ternyata memberikan dimensi baharu buat Ning bagi memperdengarkan sisi berbeza dalam dirinya.

Bijak bermain dengan emosi, lagu ini kedengaran sempurna pertama kali diperdengarkan sebagai halwa telinga.

Lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini termasuklah Curiga, Pasti, Kau Dan Aku, Ke Sayup Bintang, Penjara Kasih, Dugaanku, In Another Life dan Antara Kita (menampilkan Russell Curtis).

Bagi peminat tegar Ning, album kompilasi yang mengandungi lagu-lagu hit malar segar penyanyi berkulit hitam manis ini pasti membuai perasaan anda dalam mengenang memori indah yang ada pada setiap lagu. - IZWAN MOHD. ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved