Kosmo Online - Rencana Utama |
Gajah Borneo sudah kenal Farina Posted: Gajah Borneo sudah kenal FarinaOleh SITI NOR AFZAN KASIMAN KEMUNCULAN sekumpulan gajah Borneo dari belukar di tebing Sungai Kinabatangan petang itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Nur Zhafarina Othman. Setelah lebih sejam meranduk air di sungai terpanjang di Sabah itu, peluang di depan mata dimanfaatkan sepenuhnya dengan merakamkan gambar dan mencatat tabiat mamalia tersebut. Nur Zhafarina atau Farina merupakan penuntut ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Cardiff, Britain yang sudah tujuh tahun mengkaji spesies gajah terkecil di dunia itu. Bertugas sebagai penyelidik biologi di Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) yang bekerjasama dengan Universiti Cardiff dan Jabatan Hidupan Liar Sabah, komitmen Farina, 29, terhadap gajah Borneo bukan sekadar memenuhi tuntutan pengajian malah merupakan minatnya. Keakrabannya dengan mamalia tersebut serta jerih payahnya untuk memulihara populasi gajah Borneo yang semakin mengecil, menjadikan Farina sangat terkenal di daerah Kinabatangan. Malah, penduduk di sana menggelar anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sebagai Mamak Gajah atau Puteri Gajah. Nama Farina juga tidak asing dalam kalangan badan sukarela yang terlibat dalam bidang konservasi gajah, kebanyakannya dari luar negara seperti Zoo Houston dan Zoo Columbus di Amerika Syarikat (AS); Elephant Family; Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS; serta Tabung Konservasi Spesies Mohamed Bin Zayed. Kepakaran beliau mengenai gajah Borneo juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menjadi pakar rujuk dalam kalangan rakan-rakan sejawatnya dari AS dan Eropah. Farina juga sering dijemput membentangkan kertas kerja berkaitan penyelidikannya di luar negara. FARINA (kanan) dan rakan penyelidiknya akan memasuki hutan di Kinabatangan sebanyak dua kali sebulan bertujuan memantau tabiat gajah berkenaan. Kelainan "Beliau satu-satunya penyelidik tempatan di sini, beragama Islam dan ibu kepada seorang anak yang masih kecil. "Begitupun, status itu sama sekali tidak menyekat Farina daripada menjadi penyelidik terbaik dan wirawati kepada spesies gajah paling kecil di dunia ini," ujar penulis hidupan liar dan konservasi dari Britain yang pernah menemu bual Farina, Jeremy Hance. Minat Farina terhadap gajah bermula kira-kira sedekad lalu apabila beliau mahu menyiapkan projek tahun akhirnya semasa menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS). "Ketika itu, saya hanya mahu mencari kelainan. Saya inginkan projek kajian yang lain daripada rakan-rakan sekelas. "Demi keinginan itu, saya pergi berjumpa dengan Dr. Sen Nathan, Pengarah Taman Hidupan Liar Lok Kawi. "Beliau mencadangkan saya supaya mengkaji tentang perbandingan morfologi antara gajah di tanah besar dengan gajah di pulau. "Saya pergi ke beberapa zoo di Semenanjung untuk menjalankan kajian. Berkat kerja keras, alhamdulillah, saya mendapat markah A untuk projek itu. "Pada masa yang sama, Dr. Benoit Goosens iaitu penyelia PhD saya sekarang, datang melawat Sabah bersama Geran Inisiatif Darwin untuk menjalankan projek konservasi genetik gajah Borneo. "Beliau mengambil saya sebagai pelajar ijazah sarjana di bawah seliaannya. Semenjak itu, saya sentiasa mencari peluang untuk bekerja dengan spesies gajah ini. "Apabila Goosens menawarkan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dan menjadikan tabiat serta pergerakan gajah Borneo sebagai subjek kajian, saya sahut cabaran itu. "Ia peluang terbaik untuk saya mendekati dan memahami haiwan tersebut di habitat asalnya," ujar Farina yang memilih untuk menyelidik tingkah laku sosial mamalia tersebut sebagai fokus kajiannya. SUDAH hampir tujuh tahun Farina bergelumang dengan selut dan hutan demi spesies gajah yang dikaguminya. Kolar satelit Menurut statistik Jabatan Hidupan Liar Sabah, dianggarkan hanya tinggal 2,000 ekor gajah Borneo yang masih ada di habitat asal, kebanyakannya di timur laut Sabah dan sebilangan kecil pernah ditemui di Kalimantan, Indonesia. Walaupun kerdil, gajah Borneo atau dikenali juga sebagai gajah pygmy, dapat mencapai berat 2,000 kilogram (kg), namun ia jauh lebih kecil berbanding gajah dewasa Afrika yang boleh mencecah 7,000kg. Azam Farina, beliau mahu memahami tingkah laku dan kehidupan sosial gajah, bukan sahaja gajah Borneo, tetapi juga gajah daripada spesies lain yang terdapat di Asia. "Sebelum misi mengesan gajah Borneo dimulakan, saya dan rakan-rakan perlu merancang pergerakan kami berpandukan kepada data daripada kolar satelit yang dipasang pada leher gajah. "Pemasangan kolar satelit ini sangat membantu khususnya dalam mengumpul data tambahan daripada penyelidik berbeza bagi memudahkan usaha mengurus gajah Borneo di kawasan Kinabatangan di samping mengetahui perilaku sosial gajah tersebut melalui alat sistem pengesanan global (GPS). "Melalui pemerhatian saya, gajah yang ditemui di hilir Sungai Kinabatangan tidak bersifat ganas. Belum ada penduduk di sini yang mati akibat serangan gajah seperti di India, Sri Lanka dan Indonesia," ujarnya yang biasa meredah hutan, memanjat pokok dan merentas paya semata-mata untuk mengesan gajah. Sebagai penyelidik, Farina yang menetap bersama suami dan anak perempuannya di Kota Kinabalu akan ke Kinabatangan sekurang-kurangnya dua kali sebulan. "Dari Kota Kinabalu saya akan mengambil pesawat ke Sandakan. Jika menggunakan laluan darat, jaraknya lebih kurang 350 kilometer (km) namun dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan jalan bengkang-bengkok, ia mengambil masa enam jam untuk tiba. "Sebaik sahaja sampai di Sandakan, saya akan meneruskan perjalanan ke pekan Sukau yang meliputi perjalanan sejauh 135km dengan 42km daripadanya melalui jalan batu kerikil yang melintasi ladang kelapa sawit," jelas Farina, anak kedua daripada lima beradik. Menurut isteri kepada pensyarah UMS ini, Sukau merupakan pekan kecil yang semakin membangun. Selain menjadi perkampungan yang menjadi pintu gerbang kepada kepelbagaian hidupan liar seperti monyet Bangakatan dan gajah Borneo, ia juga menjadi pusat penuaian sarang burung di Gua Gomantong serta lokasi terletaknya perkuburan kuno Batu Tulung. SEKUMPULAN 10 ekor gajah Borneo ditemui mati di Tawau, Januari lalu. Dianggarkan terdapat 2,000 ekor sahaja gajah kerdil di Sabah sekarang. Sukau "Dengan kekayaan flora dan fauna, Sukau semakin dikenali terutamanya dalam kalangan pelancong asing yang gemarkan pelancongan lasak," katanya. Perjalanan Farina untuk menjejak kumpulan gajah kerdil tidak berakhir di pekan Sukau. "Tiba di pekan Sukau, perjalanan diteruskan dengan menaiki bot untuk ke kawasan habitat gajah Borneo yang mengambil masa antara satu hingga dua jam. Kalau ada kawanan gajah yang sedang bermain-main di tebing sungai, itu memang rezeki kami. "Jika tidak, saya dan rakan-rakan akan meredah hutan belukar untuk menjejak tapak gajah Borneo berpandukan data daripada GPS," ujar Farina yang mengakui sudah mengenal gajah-gajah di Kinabatangan, malah dalam kalangan gajah, haiwan itu juga sudah mengenali Farina. "Setakat ini sudah lapan ekor gajah yang dipasang dengan kolar satelit. Setiap satunya mempunyai nama seperti Gading, Putut, Elvis dan sebagainya. Malah, ada seekor gajah betina yang saya namakan sempena nama anak saya iaitu Aqeela," ujar Farina. Dalam satu rakaman video dokumentari berkenaan misi mengesan gajah-gajah Borneo, Farina dilihat begitu berani berdepan dengan gajah liar. Malah isteri kepada Fauzie Sarjono, 32, ini tidak kekok berkomunikasi dengan gajah-gajah yang ditemuinya. Menariknya, ada gajah yang berhenti membuat bising selepas Farina menyuruhnya senyap! "Penyelidikan tentang gajah Borneo adalah sesuatu yang sangat menarik, apatah lagi populasi mamalia ini sangat sedikit dan unik kerana gajah kerdil ini hanya boleh ditemui di sini," jelas Farina. | ||
Anak manja jadi penembak tepat Posted: Anak manja jadi penembak tepatOleh ZULHILMI JALIL
BIARPUN sudah 15 tahun berlalu, Koperal Nor Azila Abd. Latip, masih tidak mampu melupakan insiden bagaimana nyawanya hampir melayang. Pada waktu itu wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini diarahkan mengawal perhimpunan haram pada tahun 1998 di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. "Pada masa itu, saya sedang berusaha menangkap seorang peserta perhimpunan wanita yang cuba menimbulkan huru-hara. "Maka, berlaku sedikit pergelutan antara saya dan wanita itu ketika cuba menangkapnya. "Tiba-tiba seorang lelaki yang membawa pisau datang dari arah belakang dan cuba menikam saya. "Mujurlah ada anggota polis lain yang perasan sebelum menjerit memberitahu ada orang ingin menikam saya," ceritanya yang bersyukur diberi kesempatan mencurahkan bakti bersama Polis Diraja Malaysia sehingga kini. PGA Tahun ini, genaplah 17 tahun ibu kepada empat orang anak ini terlibat dalam profesion unit beruniform. Menurut Nor Azila, minat terhadap kerjaya beruniform itu timbul sejak beliau di bangku sekolah lagi. Apatah lagi, arwah bapanya juga seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor sebelum pencen. "Pada mulanya arwah ayah tidak bersetuju apabila saya mahu menjadi anggota polis. "Mungkin sebab dia menyangkakan saya tidak akan tahan dengan latihan yang akan dijalani kelak. Lebih-lebih lagi saya anak manja dalam keluarga," kongsi anak kedua daripada empat beradik ini. Namun, atas iltizam yang tinggi itu jugalah, Nor Azila tekad untuk meninggalkan kerjaya lamanya sebagai kerani akaun di DRB-Hicom sebaik sahaja dipanggil mengikuti latihan kepolisan pada tahun 1996. Sebaik sahaja tamat latihan, Nor Azila ditugaskan di Unit Komputer dan Perlesenan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL). Selepas tujuh tahun di IPKKL, wanita berkulit sawo matang ini ditugaskan di unit Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur. Menyentuh mengenai kerjaya yang menjadi periuk nasinya itu, Nor Azila yang meminati aktiviti lasak sememangnya ada auranya tersendiri dalam unit PGA.
Kalahkan lelaki Selain menjalankan tugas-tugas hakiki di pejabat, Nor Azila antara anggota polis wanita yang boleh dianggap sebagai penembak tepat PGA Briged Tengah. Maka, tidak hairanlah apabila Nor Azila selalu mewakili pasukannya dalam mana-mana pertandingan menembak. "Semua orang boleh menembak, tapi untuk jadi penembak tepat ia bukanlah mudah. Ada seni yang harus dipelajari. "Ia memerlukan latihan dan kemahiran tertentu bagi memastikan seseorang itu dapat menembak dengan tepat," katanya. Ujar beliau, untuk menjadi seorang penembak tepat, kawalan pernafasan, stamina dan teknik pegangan senjata antara faktor yang dititikberatkan. Jika tersilap langkah, katanya, ia akan mencederakan diri sendiri. "Ada teknik tertentu kalau ingin menembak. Semasa ingin melepaskan tembakan, kita tidak boleh bernafas macam biasa. "Paling penting, senjata api yang digunakan perlu dipegang kemas. Jika tidak, tembakan akan teralih sama ada ke bawah atau ke atas. Itu yang bahaya," ceritanya ketika ditemui di Padang Sasar Tembak, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini. Nor Azila pernah mengendalikan senjata api jenis Walther P99, Yavuz, .38, HK MP5, M-16 dan Berreta. Kebiasaannya beliau akan melakukan latihan secara intensif seminggu sebelum hari pertandingan. "Selalunya orang akan rasa gugup kalau nak menembak. Perkara itu yang selalunya mengganggu tumpuan nanti," katanya yang mengakui senjata api jenis Walther P99 buatan Jerman antara yang sukar dikendalikan. Bagi Nor Azila, menembak dapat memberikan kepuasan kepada peminat sukan menembak. "Jarang orang dengar penembak tepat wanita. Sebab itulah, setiap kali pertandingan saya dan pasukan akan berasa bangga dan puas hati kalau dapat kalahkan pasukan lelaki," katanya yang baru sahaja selesai menyertai Kejohanan Menembak Piala Ketua Polis Negara 2013 di Kota Tinggi, Johor, bulan lepas. | ||
Posted: Keajaiban Tepung HairanOleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
KETIKA mula mengetahui produk keluaran Roazura Bahari, 36, yang dikenali Tepung Hairan, kru Jurnal membayangkan yang produk ciptaannya itu disediakan dalam bentuk campuran tepung kek, air dan minyak. Tetapi sangkaan meleset apabila melihat formulasi tepung kek yang diolah sendiri oleh ibu kepada tiga orang anak ini. Malah, kru Jurnal turut berpeluang merasai keenakan tepung kek yang dipasarkan oleh wanita ini. Ternyata kek yang dihasilkan sedap, lembap dan lembut ditambah lagi dengan topping yang pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur memandangnya. "Idea untuk menjalankan perniagaan ini diperoleh pada tahun 2010 kerana anak-anak saya gemar makan kek tetapi saya lebih suka membuatnya sendiri berbanding membeli di kedai-kedai kek. "Selepas berhenti kerja dalam bidang pemasaran, saya menjalankan pelbagai perniagaan untuk menambah pendapatan keluarga. "Sebagai permulaan, saya tidak percaya dengan berniaga dari rumah mampu menjana pendapatan yang lumayan tetapi alhamdulillah, selepas mencuba pelbagai jenis perniagaan, akhirnya saya temui formulasi tepung kek yang jarang diketengahkan ini," ujarnya yang berasal dari Hulu Langat, Selangor. Jelasnya, dia juga menyertai kelas membuat kek bagi meningkatkan kemahirannya tetapi kesemua resipi membuat kek memerlukan penggunaan bahan asas yang agak rumit. Resipi "Saya memperoleh satu resipi membuat kek tetapi apabila melihat bahan-bahan yang diperlukan, niat untuk membuat kek itu terbantut seketika kerana tidak mudah untuk menghasilkannya. "Untuk itu, saya mencari idea untuk menghasilkan kek dengan mudah, cepat dan sedap. "Hampir berkilo-kilo tepung juga dibazirkan untuk mencari resipi kek yang terbaik dan mudah," tambahnya yang melakukan lebih daripada 10 percubaan untuk menghasilkan Tepung Hairan. Beritahu beliau, ketika melakukan percubaan, ada resipi yang tidak sedap, keras dan menjadi muak apabila dimakan menyebabkan dia tidak berputus asa untuk terus mencuba. "Untuk menghasilkan formula tepung kek yang benar-benar unik ini memerlukan kesabaran yang tinggi apatah lagi pada mulanya saya tidak percaya yang menjual tepung kek boleh berjaya.
"Bagi menghasilkan resipi yang unik ini, kita perlu mengetahui sifat bahan-bahan asas untuk membuat kek seperti tepung, susu dan gula. "Ramai pelanggan yang tidak percaya dengan hanya mencampurkan air dan minyak, mereka boleh menghasilkan kek yang mudah dan sedap," katanya yang kini maju setapak lagi dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai untuk memudahkan operasi perniagaan. Tambahnya, melihatkan belum ada produk seumpamanya di pasaran, dia mengambil keputusan untuk meletakkan jenama pada tepung kek keluarannya. Katanya, rata-rata pelanggan seakan-akan tidak percaya apabila mengetahui formulasi tepung kek yang digunakannya sehinggalah mereka mencuba sendiri di rumah. "Apabila bercakap mengenai produk ini, sudah tentu kebanyakan individu akan berasa hairan dengan formula yang saya ketengahkan. Kualiti "Oleh sebab itulah, saya meletakkan nama Tepung Hairan kerana selain mudah diingati, ia juga dapat membantu dari segi pemasaran. "Malah, saya tidak menggunakan sebarang bahan pengawet dan telur selain produk ini tidak mengandungi kolesterol serta boleh bertahan selama setahun," beritahu beliau yang turut menjual produk itu secara online di laman sosial Facebook dengan carian, Tepung Hairan. Jelasnya, setakat ini, tiada sebarang aduan diajukan pelanggan dari segi rasa cuma pada awal perniagaan dahulu, kuantiti tepung dan topping yang ditawarkan agak sedikit menyebabkan dia menambah kuantiti tepung dan topping demi kepuasan pelanggan. Roazura memberitahu, terdapat enam jenis produk tepung kek yang diketengahkannya iaitu red velvet, marble, oreo lemon cheese, choc moist tiramisu, choc moist dan choc moist cheese. Jelasnya, lingkungan harga antara RM12 hingga RM27 ditawarkan kepada pelanggan mengikut jenis tepung kek yang digunakan. "Setakat ini, choc moist, choc moist cheese dan red velvet mendapat permintaan yang tinggi. "Saya sangat cerewet dalam memastikan kualiti produk. Saya akan pastikan berat timbangan setiap tepung diuji terlebih dulu bagi mengekalkan rasanya. "Ini kerana sekiranya tersalah timbangan, kek yang dibuat tidak akan menjadi," tambahnya yang turut mendapat sokongan daripada suami, Shamsuddin Ahmad, 42. Katanya, dia bercita-cita mahu menjadi pelopor kepada perniagaan tepung kek yang mudah disediakan selain berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara sebagai perancangan akan datang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan