Isnin, 23 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Hanez jadi diri sendiri

Posted:

Hanez jadi diri sendiri

Hanez jadi diri sendiri

FESYEN merupakan perkara yang subjektif. Jika mahu dikatakan seseorang meniru fesyen, maka sukar untuk mentafsirkan bagaimana sebenarnya fesyen yang ditiru itu.

Perkara dibangkitkan itu membuatkan pelakon Hanez Suraya sedikit terkejut. Ini kerana ada gosip tentang seorang artis baharu meniru gaya fesyen seorang artis senior termasuk warna rambut, hangat diperkatakan baru-baru ini.

Bagaimanapun, dakwaan pelakon Hanez Suraya meniru fesyen selebriti lain, agak samar. Ini kerana kita boleh lihat ramai lagi orang lain yang berfesyen sedemikian - kemas, elegan dan ada kelas tersendiri.

Ketika ditebak soalan adakah Hanez atau nama sebenarnya, Hanez Suraya Abd. Aziz meniru fesyen selebriti lain, jawab wanita berusia 28 tahun ini dia terkejut dengan kenyataan seumpama itu.

"Saya tidak tahu mengenai perkara ini serta tidak tahu ia ditujukan kepada siapa. Setakat ini saya rasa tidak meniru sesiapa pun. Saya memang menjadi diri saya sendiri. Untuk pengetahuan, saya seorang yang ringkas dalam berpakaian.

"Saya akan bergaya jika ingin menghadiri sebarang majlis atau acara. Mungkin orang yang berkata begitu (meniru fesyen) tidak mengenali saya sebetulnya. Mungkin juga selebriti tersebut ada mengatakan dakwaan tersebut kepada orang lain, dan orang ramai membuat spekulasi bahawa artis itu ialah saya," jelas Hanez yang nyata terkejut apabila ditebak soalan seumpama itu.

Tambahnya, spekulasi sebegini mampu membuat sesama manusia bergaduh atau lebih khusus sesama artis, walhal hakikatnya tiada masalah yang timbul antara mereka.

HANEZ kini selesa menguruskan kariernya tanpa pengurus.


Tidak berdendam

Selain isu konon dikatakan dia meniru fesyen sesama rakan artis, Hanez juga hangat dengan kes samannya terhadap bekas pengurus peribadi, Dasha Sultan atau nama sebenarnya, Mohd. Fairus Mohd. Lazim kerana dikatakan telah memfitnah dan mengaibkan dirinya.

Tuturnya, ini bukan kali pertama pengurusnya itu membuat onar dengannya. Oleh kerana keterlaluan, dia bertindak membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

"Saya kira, sebagai orang yang pernah rapat dengan saya, dia tidak patut melakukan hal itu.

"Walaupun saya telah meminta dengan baik supaya dia berhenti menyebarkan cerita tidak betul tentang saya, namun dia tetap melakukannya.

"Malah, dia pernah membuat pihak lain bergaduh dengan saya, namun saya mampu mengawalnya. Tapi, apabila dia canang cerita saya dalam media sosial, saya memang tidak boleh kawal lagi. Ini kerana ia melibatkan keluarga, peminat dan itu merupakan supaya dia berhenti menyebarkan fitnah," tuturnya yang enggan memberi komen terlalu banyak kerana dikhuatiri mengganggu kes.

Tambahnya, keadaan menjadi sulit dan berpanjangan kerana Fairus hadir ke mahkamah tanpa peguam.

Walau sedang berhadapan dengan kemelut tersebut, akui Hanez, perasaan dendam tidak pernah wujud dalam dirinya. Cuma terdetik sedih dalam hati kerana orang yang dipercayai dan sudah dianggap seperti keluarga selama ini sanggup mengkhianatinya.

Tuturnya lagi, jika dia memaafkan Fairus, kelak dia bimbang lelaki itu akan mengulang perbuatan yang sama kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali.

BELUM bertemu cinta baharu, Hanez mahu lebih fokus terhadap kariernya yang semakin berkembang.


Namun, bukan niatnya ingin menakutkan serta bermegah diri tapi ini merupakan satu pengajaran kepada bekas pengurusnya itu.

Ekoran itu, walaupun mempunyai jadual yang semakin sibuk, Hanez nekad untuk menguruskan jadual kariernya sendiri.

Akuinya, setelah apa yang berlaku, agak sukar untuk dia mempercayai orang lain untuk menguruskan dirinya apatah lagi untuk rapat dengannya.

Katanya: "Semua orang tahu bila saya rapat dengan seseorang, saya akan setia pada seorang itu. Mengenai pengurus pula, saya dengan dia sudah lama dan jika boleh saya tidak mahu lepaskan dia.

"Setelah kejadian seperti ini berlaku, saya jadi takut. Tidak kiralah sama ada dengan kawan-kawan, atau orang lain. Kini saya uruskan diri sendiri. Saya memang rasa serik kerana pengurus peribadi merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Apa aktiviti kita semua dia tahu. Jadi saya kira buat masa ini, biarlah saya uruskan diri dan karier saya sendiri dahulu."

Ekin AF3, Yazer putus cinta

Posted:

Ekin AF3, Yazer putus cinta

Ekin AF3, Yazer putus cinta

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

MAHU bebas daripada ikatan cinta buat masa ini, Ekin hanya ingin memfokus kepada bidang seni.


SETELAH lapan tahun menyulam cinta, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin Rahman atau Ekin AF3 mendedahkan hubungan cintanya dengan penyanyi Yazer sudah putus awal Disember lalu.

Masih berasa sedih dengan perpisahan tersebut, Ekin mengakui ingin memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya nyanyiannya dan menganggap 2014 sebagai tahun untuknya bangkit dan menyinar sama seperti rakan seangkatannya dalam AF3 seperti Mawi dan Marsha.

Kepada Kosmo! Ekin melanjutkan perbualan mengenai perpisahan dengan Yazer selain bercerita mengenai perancangannya dalam bidang nyanyian pada masa hadapan.

Kosmo!: Kenapa hubungan Ekin dan Yazer boleh putus sedangkan kalian sudah bercinta selama lapan tahun?

EKIN: Ya. Saya bercinta dengan dia selepas keluar Akademi Fantasia pada tahun 2005 lagi. Selama lapan tahun kami bercinta pernah juga putus tetapi sambung kembali. Tetapi kali ini hubungan kami benar-benar sudah putus.

Bila kalian putus cinta dan apa puncanya?

Kami putus awal Disember lalu. Puncanya biarlah kami sahaja yang tahu. Tetapi kami putus secara baik.

Apakah perasaan Ekin bila hubungan dengan Yazer tidak berpanjangan?

Memang sedih sebab kami sudah bercinta selama lapan tahun. Tetapi hendak buat macam mana, jodoh kami sampai setakat ini sahaja.

Apakah perancangan Ekin selepas ini?

Selepas ini saya hanya fokus pada nyanyian. Lebih baik saya solo. Buat masa ini saya tidak fikir ingin bercinta.

EKIN enggan mendedahkan punca perpisahan dia dengan bekas kekasihnya, Yazer.


Adakah Ekin kurang menyerlah selama ini berbanding rakan-rakan AF yang lain kerana larut dalam percintaan bersama Yazer?

Tidak. Kerjaya nyanyian saya okey. Saya sentiasa menerima undangan menyanyi.

Apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang nyanyian?

Saya baru menghasilkan album pertama berjudul Ekin Rahman: Satu Percaturan pada awal Januari lalu. Selepas mempromosikan single pertama, Ceritaku dan Dia, saya bakal muncul dengan single kedua pula. Selain itu, saya juga terlibat dengan projek Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam menyampaikan lagu Zapin Budi. Projek itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Kenapakah Ekin berani muncul dengan album terlebih dahulu sebelum tampilkan single?

Syarikat rakaman saya iaitu Stadium First yang merancang untuk keluarkan album dahulu.

Setakat ini bagaimana sambutan album pertama Ekin itu?

Alhamdulillah, sambutan menggalakkan terutama sekali di Sabah. Ramai peminat di Sabah yang bertanya mengenai album tersebut.

Berapa buah lagu yang dimuatkan dalam album itu dan siapa barisan komposer yang terbabit?

Album saya itu memuatkan tujuh buah lagu yang mendapat sentuhan sepenuhnya komposer tempatan seperti Anjang, Rosli Ahmad, Ajak, Amir Syawal dan ramai lagi.

Khabarnya anda juga kini terlibat dalam bidang lakonan. Benarkah?

Ya. Saya bakal muncul menerusi drama lakonan pertama saya untuk RTM1 berjudul Jimmy Sompoton.

Saya dipecat! - Ellie Suriaty

Posted:

Saya dipecat! - Ellie Suriaty

Saya dipecat! - Ellie Suriaty

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ELLIE mendakwa S. Baldev tidak menyediakan pengangkutan buat dirinya untuk ke lokasi penggambaran filem KL Cinta Mandi Toq.


SETELAH timbul kemelut dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada tahun lalu ketika pembikinan filem Darah Panas, kali ini penerbit sensasi, S. Baldev berhadapan pula kontroversi dengan pelakon dan pengarah filem Penanggal, Ellie Suriaty Omar.

Pada Disember tahun lalu, Baldev dilaporkan mahu menyaman Sharnaaz, gara-gara pelakon itu dikatakan meninggalkan set penggambaran filem Darah Panas kerana ingin bertemu kekasihnya ketika itu, Shila Amzah.

Kini, Baldev mahu mengambil tindakan terhadap Ellie pula yang didakwa tidak memulangkan wang pendahuluan serta menarik diri daripada berlakon dalam filem terbaharu terbitannya, KL Cinta Mandi Toq, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Laporan tersebut menyatakan, Ellie telah menerima wang pendahuluan sebanyak RM4,500 yang merupakan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan RM18,000 yang ditawarkan kepadanya oleh syarikat White Merpati Entertainment Sdn. Bhd.

Memandangkan Baldev sudah membuat kenyataan terhadap akhbar berkenaan, Kosmo! lalu menghubungi Ellie untuk mendapatkan maklum balasnya tentang kontroversi berkenaan.

"Kalau dikatakan saya menarik diri daripada membintangi filem itu, ia perkara yang tidak benar sama sekali. Sebenarnya, Baldev yang mengambil tindakan dengan memecat saya.

"Puncanya kerana saya tidak berpuas hati apabila tidak disediakan pengangkutan untuk mengambil pelakon ke lokasi penggambaran. Jadi, kalau dia sudah pecat, saya tidak boleh berbuat apa-apa," luahnya.

Ketika diminta bercerita lebih lanjut berhubung permasalahan yang ditimbul, Ellie menceritakan semuanya bermula ketika dia hendak menandatangani kontrak perjanjian berlakon dalam filem berkenaan.

Jelasnya, pengurus produksi tersebut telah memintanya supaya terus menandatangani surat kontrak yang diberikan tanpa perlu membaca keseluruhan butiran yang terkandung dalam kontrak.

"Saya diberitahu oleh pengurus produksi itu bahawa terma kontrak itu sama seperti kontrak produksi lain. Jadi, atas kepercayaan terhadapnya saya terus menurunkan tandatangan.

"Kemudian pada hari penggambaran, saya terus menghubunginya dan bertanyakan tentang pengangkutan yang akan ambil saya di rumah, tetapi dia memberitahu pihak produksi tidak menyediakan pengangkutan," ujarnya.

Menurutnya, akibat tidak berpuas hati dia lantas menghubungi Baldev untuk mendapatkan penjelasan. Malangnya, penerbit berkenaan terus memecatnya.

Penindasan

"Sepanjang saya bergelar pelakon, belum pernah ada produksi filem atau drama yang tidak menyediakan pengangkutan untuk pelakon kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka menjaga kebajikan pelakon seperti kami.

"Mungkin ada yang anggap saya 'bodoh' kerana tidak membaca terlebih dahulu kandungan kontrak, namun tindakan saya itu lebih kepada kepercayaan dan tidak sangka pula boleh jadi begini," tegasnya.

Ujar Ellie, sebagai sebuah syarikat produksi mereka seharusnya bersikap dengan lebih telus dan tidak boleh bertindak menyembunyikan apa-apa agar tiada sebarang masalah yang berlaku di kemudian hari.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Baldev yang ingin menyamannya kerana tidak memulangkan wang pendahuluan yang telah diterima, Ellie menyatakan dia telah membuat aduan kepada Biro Aduan dan Undang-Undang Seniman, Zahrin Ishak.

Jelasnya, biarpun ketika ini persatuan Seniman sudah dibubarkan buat sementara waktu, namun biro aduan persatuan terbabit masih lagi memainkan fungsinya.

"Sebenarnya, bukan saya tidak mahu membayar semula wang tersebut, tetapi dalam hal ini saya telah dipecat oleh Baldev dan bukannya menarik diri daripada berlakon dalam filem itu.

"Kalau diikutkan apabila tindakan sedemikian diambil terhadap saya, sepatutnya mereka yang perlu membayar keseluruhan jumlah bayaran lakonan kepada saya. Ia sesuatu yang wajar kerana saya terpaksa menolak tawaran berlakon yang lain," tegasnya.

Berhubung dengan pemulangan bayaran wang pendahuluan itu, Elly menjelaskan semuanya akan diserahkan kepada Seniman untuk tindakan selanjutnya memandangkan syarikat produksi itu juga telah mengemukakan aduan yang sama kepada biro aduan persatuan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved