Kosmo Online - Dunia |
Puluhan ribu kepung rumah Yingluck Posted: Puluhan ribu kepung rumah Yingluck
BANGKOK - Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan berarak di pusat bandar raya ini semalam sekali gus melumpuhkan lalu lintas dan mencetuskan konfrontasi dengan pasukan polis yang berkawal di luar kediaman Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. Tunjuk perasaan tersebut merupakan bantahan terbaharu terhadap kerajaan Thailand. Penunjuk perasaan itu berpecah kepada lebih 12 kumpulan termasuk mereka yang mengepung kediaman Yingluck. Beliau tiada di rumah semasa kejadian. Perhimpunan tersebut berlangsung sehari selepas pembangkang utama Thailand, Parti Demokrat mengumumkan akan memulaukan pilihan raya pada 2 Februari depan. Tunjuk perasaan kali ini turut diadakan selepas sokongan kepada beberapa perhimpunan antikerajaan sebelum ini semakin merosot. Pendirian Parti Demokrat seiring dengan permintaan penunjuk perasaan yang mahu Yingluck meletak jawatan menjelang pilihan raya tahun depan. "Saya tidak tahu apa yang bermain di fikiran Yingluck. Namun, apa yang saya tahu dan pasti adalah semua kakitangan kerajaan, tentera dan polis sedar bahawa rakyat kini bangkit menentang kerajaan," kata ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban. Baru-baru ini, Yingluck mengumumkan pilihan raya berkenaan sebagai usaha untuk meredakan krisis politik Thailand. Yingluck dan abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra masih popular di utara dan timur laut Thailand. Namun, gerakan Suthep disokong oleh golongan minoriti berpengaruh di sini termasuk kelompok birokrat, golongan elit dan kalangan jeneral tentera. Golongan pekerja yang setia kepada Thaksin melihat beliau sebagai seorang bilionair yang komited untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Bagaimanapun, musuh politik Thaksin menganggap pemimpin itu sebagai pemerintah kuku besi yang memperalat penduduk miskin dan menyalah guna kuasa untuk membantu perniagaan keluarga dan rakan-rakannya. - Reuters | |
Pawagam filem lucah di Pakistan Posted: Pawagam filem lucah di PakistanGAMBAR yang dirakam pada 19 Disember lalu menunjukkan penjaja dan pejalan kaki berhimpun di luar pawagam Shama di Peshawar. PESHAWAR - Berpuluh-puluh lelaki akan memenuhi sebuah panggung di Pakistan untuk menonton filem lucah yang disajikan sebanyak tiga kali sehari. Dikenali sebagai Shama, ramai tidak menyangka sebuah panggung wayang porno wujud di bandar ini, barat laut Pakistan. Ia berikutan lokasi tersebut sebagai kubu kuat Taliban dan militan Al-Qaeda lain yang memperjuangkan pemerintahan Islam. Namun, selama lebih 30 tahun, pawagam Shama terus beroperasi dengan menyajikan filem-filem lucah untuk keseronokan tontonan mereka. Bimbang dikenali, pelanggan Shama akan menutup muka ketika mengunjungi panggung wayang itu yang tersepit di antara sebuah pasar kambing dan stesen bas. Terdapat tiga tayangan filem porno yang dipaparkan di sebuah bilik gelap pawagam berkenaan manakala layar perak dewan utama pula dikhaskan untuk filem 'biasa'. Pelanggan filem "klasifikasi X" itu perlu membayar wang 200 rupee (RM6.15) dan hanya dibenarkan masuk selepas mereka diperiksa seorang pengawal bersenjatakan raifal AK-47. Di dalam bilik gelap itu pula, bau asap ganja memenuhi ruang yang menempatkan 20 barisan kerusi diperbuat daripada kulit palsu. Semasa satu tayangan filem berkenaan, lebih separuh dewan itu dipenuhi penonton yang terdiri daripada buruh, petani dan pelajar yang datang untuk lari daripada kekangan kehidupan harian di wilayah Islam berkenaan. Kebanyakan penonton datang secara bersendirian dan mahu kekal demikian. Mereka akan memilih kerusi sesuai untuk mengelak daripada duduk bersebelahan penonton lain. Pada hari berkenaan, penonton disajikan dengan filem Dostana yang merupakan produksi separa amatur khusus untuk panggung Shama di bandar Lahore, timur Pakistan. Lahore dianggap bandar raya yang lebih liberal berbanding kota raya ini. Plot Dostana berkisar tentang dilema heronya, Shah Sawar yang sukar untuk memilih sama ada mengahwini kekasihnya, Gulpana atau sepupunya, Doa yang menjadi pilihan keluarga. Kesukaran membuat pilihan mendorong Shah Sawar untuk 'mencuba' kedua-dua wanita tersebut. Sepanjang tayangan filem itu, suasana hening menyelubungi auditorium dengan bunyi nakal di beberapa sudut sekali sekala memecah kesunyian. Formula tayangan filem lucah menjadikan Shama antara panggung wayang paling berjaya di Peshawar ketika banyak pawagam lain terpaksa gulung tikar. Proses Islamisasi di Pakistan sekitar tahun 1980-an mendorong orang ramai meminggir layar perak kerana dianggap boleh merosakkan akhlak orang Islam. Situasi itu yang ditambah dengan kebanjiran video, cakera video digital (DVD) dan internet, banyak menyumbang kepada penutupan panggung wayang di sini dengan kini hanya terdapat tujuh pawagam berbanding 15 premis itu, 20 tahun lalu. Tiga daripadanya menayangkan filem lucah. Panggung Shama yang paling popular antara ketiga-tiga layar perak itu biasanya penuh dengan penonton walaupun tiket dijual tiga kali ganda melebihi harga tiket filem biasa. Kunci kejayaan Sharma adalah tayangan filem lucah buatan tempatan yang sukar ditemui di sini atau di internet yang sarat dengan filem porno Barat. "Seperti kebanyakan orang di sini saya memilih filem yang menampilkan wanita Pakistan. Ia lebih baik, lebih amatur dan lebih asli," kata seorang lelaki berusia 30 tahun, Khaliq Khan yang hadir menonton Dostana untuk kali kedua. Seorang lelaki lain, Janus Khan, 22, mengaku kerap datang ke Shama untuk menghiburkan diri sama ada berseorangan atau ditemani seorang atau dua rakannya. "Saya tidak begitu alim tetapi saya bukan perogol atau kafir," katanya kepada agensi berita AFP. Panggung Shama mencetus kontroversi di Pakistan yang amat tegas berhubung isu seks dan bogel. Sebelum ini, parti politik berasaskan agama paling utama di Pakistan, Jamaat-e-Islami (JI) menuntut supaya panggung Sharma ditutup. Namun, pawagam tersebut mempunyai pemilik yang berkuasa iaitu keluarga Bilour. Keluarga berkenaan adalah yang paling berpengaruh di sini dan merupakan teras parti nasionalis etnik Pashtun, Parti ANP. Pawagam tersebut pernah diserang sebanyak dua kali oleh aktivis Islam termasuk pelajar JI dalam tempoh 10 tahun tetapi premis itu masih beroperasi. Shama pernah dibakar pada September 2012 tetapi ia dibuka semula sebulan kemudian ketika umat Islam menyambut Hari Raya Korban. Panggung tersebut penuh dengan penonton pada hari berkenaan. Bagaimana pawagam itu berjaya mengelak penapisan oleh pihak kerajaan dan gangguan Taliban menjadi misteri sehingga kini. - AFP | |
Posted: Kereta Lego berkuasa udaraDUA pereka kereta Lego Raul Oaida (kiri) dan Steve Sammartino tidak dapat menggambarkan kekaguman ciptaan mereka. CANBERRA - Seorang usahawan muda Australia dan pakar teknologi dari Romania mencipta sebuah kereta daripada bongkah alat permainan Lego yang boleh bergerak seperti kenderaan sebenar. Steve Sammartino dan Raul Oaida menggunakan hampir 500,000 bongkah Lego untuk membina kereta unik tersebut. Kenderaan berwarna kuning dan hitam itu yang dijana menggunakan 256 injap udara boleh bergerak selaju 29 kilometer sejam. Mereka cuba mengekalkan kelajuan perlahan kerana kereta Lego tersebut tidak dilengkapi beg udara. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan