Kosmo Online - Sukan |
- Harimau Malaya tagih 'aura' Kim Swee
- Chong Wei rampas semula juara Terbuka Hong Kong
- Liga M: 4 kuota pemain import
Harimau Malaya tagih 'aura' Kim Swee Posted: Harimau Malaya tagih 'aura' Kim SweeOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
'EPISOD' Datuk K. Rajagobal bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menemui noktah sebaik badan induk persatuan itu telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya. Biarpun FAM enggan mendedahkan perkara sebenar mengapa mereka tidak melanjutkan perjanjian Rajagobal, keputusan itu difahamkan gara-gara beliau gagal memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan. Ini kerana bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu diamanahkan untuk membawa skuad Harimau Malaya ke pentas Piala Asia 2015 di Australia. Begitupun, Rajagobal yang bakal menyaksikan kontraknya tamat pada 31 Disember depan, gagal mengemudi skuad kebangsaan apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 termasuk kekalahan 0-1 ketika menentang Qatar di Stadium Shah Alam, 19 November lalu. Justeru, FAM mengumumkan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee bakal mengambil alih sementara kerusi panas tersebut sebelum menamakan calon sebenar dalam tempoh terdekat. Dalam masa yang sama, FAM turut mengesahkan telah melanjutkan kontrak pengendali kelahiran Melaka itu namun mengambil pendekatan kunci mulut ketika ditanya tempoh perjanjian berkenaan. Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (gambar kecil) memberitahu, pihaknya tetap memberikan perhargaan kepada Rajagobal meskipun tidak berniat untuk menyambung kontraknya. Sebagai rekod, Rajagobal muncul sebagai jurulatih tempatan pertama berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010. "FAM ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rajagobal. Sepanjang lima tahun bersama kami, Rajagobal telah berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010. "Saya percaya Rajagobal akan terus terlibat dalam dunia bola sepak berdasarkan pengalaman yang sedia ada. "Berhubung pengganti Rajagobal, Kim Swee bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh beliau secara sementara," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Tambah Subahan, FAM bakal mengambil masa sekurang-kurang dua bulan untuk menamakan jurulatih baharu skuad kebangsaan. Jelasnya lagi, Kim Swee bakal mengambil alih skuad Harimau Malaya jika FAM masih gagal untuk mencari pengendali baharu sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac tahun depan. "Kami akan mencari pengganti baharu dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Jika masih tiada lagi calon yang sesuai, Kim Swee bakal mengemudi skuad kebangsaan untuk aksi menentang Yemen nanti," katanya. Ketika ditanya adakah Kim Swee bakal dikekalkan jawatan tersebut jika berjaya membimbing skuad Harimau Malaya, Subahan memberitahu: "Kami tidak bincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Exco FAM tadi tetapi kita tunggu dan lihat." Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang dan mengakui bersedia untuk menggalas amanah yang diberikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuanku selaku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengetuai skuad Harimau Malaya. "Biarpun jawatan ini sementara, saya cukup serius dengan tugasan ini dan sudah tentu, saya mahu membantu skuad negara memburu kemenangan menjelang aksi pertemuan menentang Yemen pada Mac depan. "Saya akui tugasan selaku jurulatih Harimau Malaya amat mencabar tetapi saya tetap teruja untuk membantu pasukan kebangsaan kita menikmati kejayaan di pentas antarabangsa," katanya. Sementara itu, Rajagobal yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai kontraknya tidak disambung FAM berkata: "Saya tengah bincang sesuatu. Boleh hubungi saya balik selepas ini." Begitupun, cubaan Kosmo! mendapatkan komen lanjut dari Rajagobal gagal. | |
Chong Wei rampas semula juara Terbuka Hong Kong Posted: Chong Wei rampas semula juara Terbuka Hong KongOleh SHANIKA ABDULLATIB CHONG WEI mengangkat tangan selepas berjaya mengalahkan Sony Dwi Kuncoro pada perlawanan akhir Terbuka Hong Kong semalam. JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus berada pada kelas tersendiri apabila kembali menjulang trofi Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong buat kali ketiga. Menepati sasaran, Chong Wei meraih kemenangan mudah ke atas pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dengan keputusan 21-13, 21-9 dalam pertarungan yang mengambil masa hanya 34 minit. Aksi final semalam menyaksikan pemain perseorangan negara itu sekali lagi berdepan laluan mudah dalam misi merampas kembali gelaran yang diraih pada 2009 dan 2010 selepas mempamerkan aksi bertenaga sejak minit pertama saingan. Kemenangan tersebut sekali gus mengubati kekecewaan yang dialami pemain No. 1 dunia itu apabila gagal melakukannya pada tahun lalu selepas tewas kepada pemain China, Chen Long dengan keputusan 21-19, 21-17. Aksi Chong Wei nyata garang terutama pada set kedua apabila jauh meninggalkan Sony dengan 14-4 sebelum pemain veteran Indonesia itu berjaya mengutip mata kelimanya pada minit ke-29. Untuk seketika, Sony berjaya memperlahankan rentak Chong wei apabila mengutip empat mata berturut-turut ketika kedudukan mata Chong Wei meraih mata ke-18. Bagaimanapun, pengalaman bertemu dengan pilihan kelapan itu nyata memberi kelebihan kepada Chong Wei untuk kembali merampas servis sekali gus mengutip mata penamat. Kemenangan tersebut turut menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu meraih trofi keenam sepanjang tahun ini termasuk Terbuka Korea, Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia serta Terbuka Jepun. Fokus Chong Wei selepas ini adalah aksi Super Siri Dunia Akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 hingga 15 Disember. "Saya masih ada satu lagi kejohanan pada bulan hadapan dan sudah tentu saya berharap untuk memenangi satu lagi gelaran sebelum menutup musim ini," katanya. Sementara itu, menurut jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, Chong Wei berada dalam kelas tersendiri untuk sekali lagi mencipta kemenangan di Hong Kong. "Kemenangan yang telah dijangka terutama dia sangat nekad meraih kemenangan di sini. Dia sangat bersedia dan fokus dalam menghadapi saingan akhir hari ini (semalam). "Bukan itu saja, persembahan yang ditunjukkan dia lebih baik berbanding sewaktu dia beraksi di Eropah," kata Rashid. Rashid juga menjelaskan prestasi dan stamina Chong Wei yang sangat baik turut memberi kelebihan kepadanya untuk bermain pada tahap terbaik. "Secara jujur, saya lihat Sony tidak berupaya membuat pukulan 'maut' dan terpaksa bergantung kepada corak permainan rali. "Sudah tentu keadaan tersebut memberi peluang kepada Chong Wei yang bermain dalam corak permainan pantas dan menyerang dengan pukulan pendek untuk menguasai keseluruhan permainan," tambah Rashid. | |
Posted: Liga M: 4 kuota pemain importOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA SULTAN Ahmad Shah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-9 Musim 2010-2014 di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. BERMULA musim depan, setiap pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan mendaftarkan sehingga empat pemain import berbanding tiga pemain pada musim ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui ahli majlis FAM pada mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di Kelana Jaya semalam. Bagaimanapun beliau berkata, pasukan yang berminat perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan FAM seperti menyenaraikan hanya tiga pemain import untuk beraksi pada satu-satu masa manakala seorang pemain lagi bertindak sebagai pemain simpanan. "Syarat lain, salah seorang daripada empat pemain import yang mahu didaftarkan itu mesti berasal dari Asia Tenggara, sama ada bertaraf pemain kebangsaan atau pernah bermain dalam liga-liga utama di negara masing-masing "Begitu juga bagi pasukan yang berminat mencari pemain import dari benua-benua lain, ia mestilah mematuhi kriteria atau piawaian yang ditetapkan FAM sebelum ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu. Tambah Afandi, biarpun begitu, setiap pasukan bebas membuat pilihan sama ada untuk menggunakan empat pemain import atau tiga pemain pada musim hadapan. "Rasionalisasi kepada penambahan kuota pemain import itu tidak lain ialah untuk merancakkan arena bola sepak tempatan di samping menarik kehadiran penonton ke stadium. "Pada masa yang sama, ia juga membolehkan pemain tempatan menimba pengalaman dan ilmu baharu daripada pemain import di samping mampu memantapkan persediaan pasukan yang terpilih untuk mewakili negara dalam cabaran Piala AFC dan sebagainya nanti," ujarnya. Ditanya mengenai sama ada FAM akan melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pemain import yang ditetapkan pada 4 Disember nanti selepas pengumuman itu, Afandi berkata, ia masih belum diputuskan lagi. "Setakat ini ia kekal pada 4 Disember dan 17 Disember untuk pemain tempatan. Bagaimanapun kita akan mengkajinya, jika ada ruang dan keperluan, berkemungkinan besar tempoh itu akan dilanjutkan ke tarikh baharu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan