Ahad, 24 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kepercayaan jangan didesak - Fasha

Posted:

Kepercayaan jangan didesak - Fasha

Kepercayaan jangan didesak - Fasha

HATI wanitanya pernah berdetik, usai bergelar ibu, pastinya segala perhatian dan tumpuan industri glamor akan beralih menjauhi wajahnya. Namun, tumbuh melata atau memanjat junjung, sudah adat menjadi orang popular, setiap langkah yang diatur pesonanya tetap mencuri perhatian.

Fasha Sandha barangkali satu nama yang sedang memasuki fasa sedemikian. Berkahwin dan sudahpun tujuh bulan menimang cahaya mata, tetapi dalam tempoh yang sama, karier seninya sedang menari atas tempo baharu. Ritmanya mungkin tidak serancak sewaktu bergerak solo tetapi kesinambungannya berhasil memecahkan semula ingatan orang.

"Saya ingat selepas berkahwin, bersalin dan bergelar ibu, industri sudah boleh melupakan saya, rupa-rupanya tidak. Saya masih di sini dan boleh meneruskan kecintaan saya ini ikut kemampuan saya sendiri.

"Lebih seronoknya, saya tidak mengejar banyak benda sebaliknya bekerja atas dasar minat mendalam saya terhadap bidang seni bukan atas tuntutan kewangan semata-mata," ujarnya yang boleh hidup selesa atas kestabilan kewangan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai.

Suami nombor satu

Di samping menjadi juri tetap sebuah program realiti pencarian wartawan penyiaran sehingga pertengahan Disember nanti, Fasha juga bakal membintangi drama bersiri berjudul Miranda. Miranda akan disiarkan menerusi slot Samarinda dan akan memulakan penggambaran minggu hadapan.

"Mulanya berat juga hati apabila terpaksa meninggalkan anak kecil yang sudah pandai hendak bermain di rumah bersama pembantu dan keluarga, sedangkan saya kena keluar bekerja.

"Tapi kena buat juga, sebab saya tak mahu sekadar menjadi 'mem' dalam rumah. Saya suka bekerja, masa hamil pun saya akan pastikan salun saya terurus dengan baik.

"Sekarang, memanglah suami dan anak perkara nombor satu, tapi saya kerja demi kepuasan saya sebagai anak seni. Duit daripada suami tetap ada tetapi saya lebih puas hati apabila dapat berbelanja dengan hasil duit gaji sendiri," katanya yang kini sibuk dalam rangka promosi filem terbaharunya bertajuk Penanggal.

FASHA SANDHA anggap status isteri dan ibu yang disandangnya kini sebagai anugerah terbaik dalam hidup.


Sambil melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam sebuah karya yang disifatkan berbaloi menjadi bahan tontonan penggemar filem itu, Fasha layak dipuji kerana tampil berdialog bahasa Arab sebagai Sharifah Zahrah dalam filem arahan Ellie Suriaty Omar itu.

"Saya dedikasikan kesungguhan itu untuk Kak Ellie. Dia pengarah yang bersungguh-sungguh memastikan filem pertamanya mencapai tahap yang dimahukan. Setelah melihat sendiri hasilnya ketika sesi pratonton baru-baru ini, saya lega.

Curiga

"Memang ada beberapa babak lakonan saya yang dipotong atas faktor durasi, tapi saya sendiri rasa besar hati kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam filem seram itu," ucap Fasha tentang filem yang bakal ke pawagam 28 November nanti.

Kami kembali bercanda tentang kehidupan sebagai wanita, isteri dan ibu yang sedang dijalaninya. Kisah Fasha dan Jejai pernah menggegarkan persada hiburan.

Tidak hairanlah jika khalayak sangat maklum mengenai susur perjalanan yang pernah dilewati pasangan itu sebelum mereka bergelar suami isteri pada 27 April 2012.

Lebih setahun mengenal erti hidup berkelamin, zaman berkasih masih segar mengulit hari-hari Fasha dan Jejai yang kini tambah bahagia dengan kehadiran Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan.

"Saya anggap fasa menjadi isteri dan ibu sebagai anugerah paling hebat yang pernah saya peroleh sebagai wanita. Ini semua macam magis buat saya. Saya serahkan seluruh hidup dan kepercayaan saya kepada kehidupan ini sekarang," katanya lunak saat diminta menterjemah kisah kehidupannya ketika ini.

Kehidupan berumah tangga juga menjadikan Fasha seorang wanita yang lebih matang. Bicaranya konkrit sama seperti kepercayaan yang ditumpahkan buat si suami yang barangkali pernah meninggalkan skeptikal kepada umum.

MELAKONKAN watak Sharifah Zahrah dalam Penanggal yang memulakan penggambaran sebulan sebelum bergelar isteri tahun lepas merupakan filem terakhir Fasha.


"Apa yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Dalam hubungan saya dan Jejai, kami seolah-olah masih di alam berkasih-kasihan dahulu. Hubungan suami isteri tidak perlu terlalu dikongkong oleh perasaan curiga.

"Saya letakkan kepercayaan saya terhadap Jejai begitu juga Jejai terhadap saya. Saya kena percaya dia, jika selalu ada perasaan curiga hubungan tidak akan menjadi enak," tutur Fasha faham persoalan yang masih berlegar di minda umum.

Bercerita tentang mahligai yang mahu dibaja dengan limpah kasih sayang itu, Fasha tersenyum mengenangkan Jejai yang masih melayaninya tidak ubah seperti kekasih di alam percintaan.

"Saya kenal Jejai sudah lama, dan sampai sekarang rasanya dia masih seperti seorang kekasih, status suami tidak mengubah dia menjadi seorang yang berlainan layanannya terhadap saya bahkan lebih baik.

"Lebih setahun kahwin, rasanya kami masih dalam tempoh bulan madu," lentur Fasha tentang kebahagiaan yang sedang ditempuhi.

Kembara pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu cukup berliku, cukup banyak kontroversi sudah ditelan dan ditepisnya sepanjang bergelar pelakon sejak berusia 17 tahun.

Pada usia 29 tahun, Fasha yakin sepenuh hati bahawa disiplin ialah kata kunci kepada kesinambungan penerimaan khalayak terhadap dirinya.

"Saya tidak pandai beri nasihat kepada artis baharu tetapi pengalaman banyak mengajar saya. Biarlah dikritik dan tidak habis-habis dengan cerita kontroversi, tetapi jangan sekali-kali kita ambil mudah soal disiplin. Jangan datang lambat atau tidak pegang pada janji, itu prinsip saya.

"Seperkara lagi yang penting juga ialah hubungan dengan media. Soal kontroversi itu hal yang lain, tapi bagaimana kebijaksanaan seseorang artis menangani kontroversi itu yang paling penting.

"Saya tak boleh ubah masa lalu tetapi syukurlah saya masih diterima sehingga hari ini," tutup Fasha.

Farid belum jumpa mertua

Posted:

Farid belum jumpa mertua

Farid belum jumpa mertua


WAJAH ceria Diana Danielle memeluk ibunya Norsiah selepas majlis akad nikah tahun lepas.


USAHKAN gambar terbaharu, nama bayi sulungnya pun masih tersimpan kemas dalam simpanan Farid Kamil dan Diana Danielle. Biarpun nama bukanlah persoalan yang besar namun sudah menjadi etika dalam penulisan dan kewartawanan, nama itu sesuatu yang lazim kecualilah jika boleh mendatangkan darurat.

Dalam kes pasangan selebriti terkenal, Farid dan Diana itu, mereka sekadar berkongsi pangkal nama anak lelaki mereka iaitu Muhammad sahaja. Selebihnya harus menunggu izin gara-gara terikat untuk muncul secara eksklusif dalam sebuah program terbitan Astro.

Tegas pelakon dengan nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, dia harus menghormati perjanjian yang telah dibuat bersama stesen penyiaran berbayar berkenaan.

"Pihak Astro mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi saya kelak," ujarnya.

Bukan itu sahaja, kata Farid, majlis pengumuman nama penuh Muhammad juga akan dilangsungkan sekali gus dengan majlis khatam al-Quran isterinya Diana dan majlis akikah untuk bayinya itu.

Soal tarikh majlis itu dapat dilangsungkan, semuanya terpulang kepada Diana yang sedang belajar membaca al-Quran.

"Proses Diana untuk khatam al-Quran akan mengambil masa. Semuanya terpulang kepada Diana kerana ini merupakan keinginannya untuk melunaskan janji dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya tidak mendesak dia untuk belajar dalam temoh yang singkat.

"Sejujurnya saya tidak sabar untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran daripada Diana kerana itu hadiah yang dijanjikannya kepada saya.

"Diana belum bersedia untuk memperdengarkan bacaannya, namun saya tidak mahu menambah tekanan terhadapnya.

"Saya akui Diana tiada asas dalam mempelajari al-Quran tetapi saya percaya dia akan berjaya khatam al-Quran," ujarnya ketika ditemui pada majlis siaran langsung episod terakhir drama Jodoh Itu Milik Kita di Kuala Lumpur Selasa lalu.

FARID KAMIL kini sibuk dengan penggambaran filem terbaharu berjudul Kitai.


Farid turut memperbetulkan laporan terdahulu yang menyebut bahawa majlis pengumuman nama anaknya itu akan dilakukan dalam sebuah majlis cukur jambul.

Menurutnya, bukan majlis cukur jambul yang akan diadakan sebaliknya kenduri doa selamat berserta majlis akikah.

"Keluarga saya tidak mengamalkan adat mencukur jambul, cukup dengan majlis akikah sahaja," kata Farid berhubung anaknya yang dilahirkan di Australia itu.

Beralih kepada isu perang dingin dengan ibu mertuanya, Norsiah Ramli, Farid pernah mengatakan bahawa dia dalam proses mahu menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara mereka.

Ditanyakan semula isu itu kepadanya, ternyata kesibukan bersama isteri, anak dan lakonan belum mengizinkan Farid untuk bertemu dengan ibu mertuanya itu.

"Saya tidak tahu di mana ibu mertua saya tinggal sekarang, jadi rancangan untuk bertemu dengannya belum kesampaian," tutur Farid yang membawa anak isterinya pulang ke Malaysia sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tidak mahu memanjangkan cerita, Farid seronok bercerita tentang pernikahannya yang sudah mencecah usia setahun itu.

Anak pertama sudah ditimang, kini terserah pula kepada Diana jika ada perancangan menambah bilangan ahli keluarga.

"Saya terbuka dalam soal jumlah anak. Saya beri kebebasan kepada Diana untuk membuat perancangan keluarga dan selebihnya berserah kepada rezeki yang telah Tuhan tentukan kepada kami," cerita Farid yang kini dalam penggambaran filem berjudul Kitai arahan Amirul Rozali.

Hidup dan mati Noah

Posted:

Hidup dan mati Noah

Hidup dan mati Noah

GANDINGAN utuh kumpulan Noah yang dianggotai oleh (dari kiri) Lukman, Reza, Ariel, Uki dan David sewaktu pelancaran filem Awal Semula di XXI Epicentrum, Jakarta, dua minggu lalu.


"SUATU hari nanti, pasti semua ini diingat dengan tertawa. Suatu hari, setiap masalah itu pasti jadi bahan ketawa buat yang mengenangnya.

"Sepuluh tahun lagi saya pasti ketawa-ketawa mengingatnya, soalnya yang dahulu juga begitu, mentertawakan kebodohan, mentertawakan kelucuan."

Itu sebuah pernyataan yang pernah keluar daripada mulut Ariel ketika ditemu ramah majalah Indonesia sewaktu dia di dalam penjara.

Tidak lama masa yang diambil oleh Ariel mahupun Noah untuk tersenyum kembali. Usai 'hibernasi' Ariel di Penjara Kebonwaru, Bandung selepas menjalani hukuman penjara kerana kes video lucahnya, gabungan Ariel, Uki, Lukman, Reza dan ditambah kini dengan kehadiran David, Noah kembali mengganas di persada muzik Indonesia. Malah disebut-sebut sebagai grup paling sibuk dan laris di pasaran.

Ini semua hasil penantian yang disalut kesabaran selama setahun setengah dengan berdiam diri dan menjalani kehidupan normal masing-masing sementara menunggu Ariel bebas.

Depan kamera

Kata Ariel yang ditemu bual selepas menonton filem baharu yang menampilkan perjalanan hidup Noah, magis yang tersalut dalam kemeriahan Noah kini merupakan hasil kerja berpasukan. Semuanya terangkum dalam satu pakej yang meletakkan mereka pada satu titik kejayaan.

Mereka berjaya hidup kembali dalam industri muzik selepas menukar nama grup Peter Pan kepada Noah.

Menurut Putrama Tuta, sang sutradara yang menghimpunkan rentetan peristiwa tanpa skrip Noah dalam satu layar, semuanya dipertontonkan secara jujur.

Pengarah filem dokumentari Awal Semula ini menghimpunkan gambaran kesibukan, kesunyian, kegembiraan dan pasrah Noah dalam berkelana menjadi anak band lalu dipadatkan dengan baik dan kemas.

Lebih menambat hati ialah pertuturan dari hati setiap anggota grup, kru dan orang yang dekat dengan Noah. Mereka berbicara daripada skrip hati dan bukan hasil tulisan atau kendalian siapa-siapa.

Tuta sendiri menganggap ini sebagai 'kesempatan kedua' buat Noah. Ungkapnya, dia bukan bercerita tentang kisah di sebalik layar konsert-konsert Noah tetapi bagaimana setiap anggota hingga kru menjalani masa-masa sukar dan memanfaatkan kesempatan kedua yang mereka miliki.

"Saya lihat mereka berusaha setiap hari untuk jatuh cinta dengan muzik," ujar Tuta.

Menariknya juga ialah terdapat satu sedutan Noah bersama Idris Sardi, iaitu maestro muzik yang sudi bekerjasama dengan Noah untuk sebuah projek tanpa Ariel.

Pada waktu itu, Ariel masih menjalani hidup sebagai banduan. Kata Idris mudah tetapi padat: "Apa yang pernah hitam pada masa lalu, Insya-Allah akan menjadi putih."

Lalu filem Awal Semula yang dilancarkan pada 11 November lalu di XXI Epicentrum, Jakarta mempamerkan hitam dan putih itu. Inti pati yang jelas ialah sebuah kebangkitan Noah.


MENUKAR nama daripada Peter Pan kepada Noah, kumpulan ini tidak pernah jauh daripada sokongan peminat dan tumpuan media.


Bermula dengan bebasnya Ariel dari penjara dan perginya dua anggota asal Peter Pan, ada alasan di sebalik nama Noah itu.

"Nama Noah memberi berkat buat kami. Ini juga menjurus kepada konsep peluang kedua dalam hidup kami," ujar Ariel yang keletihan selepas menjalani jadual padat bergelar anak band paling sibuk di Indonesia.

Watak sebenar

"Setahun yang lalu, ramai yang menawarkan kami untuk berlakon filem tetapi arah kami tidak ke sana waktu itu.

"Jadi, apabila ada idea mengenai dokumentari ini, kami bersetuju tetapi meminta untuk menonton filem itu terlebih dulu sebelum ditayangkan," ujar Reza si pemain dram.

"Ini yang pertama dan salah satu daripada perancangan kami yang akhirnya terlaksana. Masih banyak hal yang mahu kami lakukan," tambah Uki yang menganggap filem ini sebagai penanda aras bagi karier Noah.

Filem yang dihasilkan oleh 700 Pictures, Berlian Entertainment dan Musica Studio ini, jelas Reza, dilakukan dengan mengikuti siri jelajah konsert Noah selama enam bulan.

"Kami tidak perlu berlakon malah kami tidak sedar akan kehadiran kamera. Jadi semuanya lebih semula jadi.

"Khalayak melihat semuanya sampailah kepada masalah kebersamaan dan solusinya," jelas Reza yang menganggap kesempatan kedua sebagai sesuatu yang lebih spiritual.

Ditanya Ariel tentang adegan yang paling mencuit perasaannya dalam filem itu, jawabnya dengan tenang: "Ketika melihat adegan Uki, Reza, Lukman dan David bercanda.

"Begitu juga adegan selepas saya keluar penjara. Saya sangat berterima kasih kepada orang yang bersama kami selama ini khususnya pada saat kami menghadapi tekanan.

"Yang mengusik perasaan juga ialah apabila melihat kami seperti tiada semangat lagi tetapi akhirnya bangkit bersama," celah Reza ketika Ariel mengambil masa untuk mengingati adegan yang mengusik hatinya.

Sebelum usai temu bual yang diadakan sebelum persembahan akustik Noah selepas tontonan filem, penulis bertanyakan Ariel tentang istilah 'perhatian'.

Kala ini mata-mata melihatnya secara ekstrem. Perhatian yang diberikan kepada Ariel telah beralih kepada tahap puja dan minat yang boleh dikatakan melampau.

Peminat perempuan terutamanya jauh lebih 'gila' daripada sebelum dia memasuki penjara. Perhatian umum yang satu ketika dahulu melihat dengan mata cerca kerana kesilapan lampau kini berubah menjadi cinta gila. Sekelip mata perhatian juga berubah arah dan warna.

"Saya beradaptasi dengan perhatian tersebut. Tidak ada perasaan lain malah masih sama seperti dahulu," ujar Ariel jelas.

"Mudah-mudahan apa pun yang terjadi, kerja keras maksimum ini boleh memberi manfaat buat ramai orang," jelas Ariel yang mengaku sukar mendapat rehat panjang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved