Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Rakam sendiri video beritaKETUA Koresponden Antarabangsa dari Cabel News Network (CNN), Christiane Amanpour pernah berkata, wartawan yang luar biasa adalah mereka yang sanggup merisikokan nyawa sendiri demi menyampaikan berita yang luar biasa. Beliau menyampaikan ucapan penuh emosi tersebut pada majlis Anugerah Kewartawanan Satria Antarabangsa 2012 yang berlangsung awal tahun ini. Katanya, wartawan bukan sekadar keluar mencari dan menulis berita tetapi usaha mereka seharusnya mampu mengajar masyarakat tentang sistem pemerintahan, nilai-nilai kemanusiaan dan mendidik masyarakat menjadi bangsa yang kuat. Kepada koresponden TV3 di England, Haliza Hashim Doyle, pengalaman selama dua dekad berkhidmat di England banyak mendedahkannya tentang pengalaman baharu. Meskipun tanpa berlatar belakang dalam dunia kewartawanan, ibu kepada dua anak yang mesra dengan panggilan Haliza itu membenarkan kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Mengimbas pembabitan awalnya, figura dunia penyiaran itu bertugas di England sejak tahun 1993 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan di TV3. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke England kerana sudah lama berhajat untuk bekerja di sana. Haliza memberanikan diri bertanya kepada pihak pengurusan sama ada berminat untuk menjadikannya koresponden di England. "Saya sedar bahawa saya tidak banyak pengalaman bekerja, tetapi saya tetap beranikan diri bertanya adakah bos mahu saya jadi koresponden di England?" cerita Haliza. Takdir menyebelahinya apabila majikan Haliza bersetuju dengan cadangan tersebut. Berhijrah ke luar negara dan menjadi koresponden bermakna Haliza perlu menguruskan segala-galanya sendiri. HALIZA bersama anak perempuannya, Emma Suraya Doyle, 18 (kiri), suaminya, Jonathan Doyle dan anak lelakinya, Edward Iskandar, 15 pada sambutan hari raya lalu di Kemensah, Kuala Lumpur. Beliau bekerjasama dengan jurukamera agensi berita antarabangsa Reuters untuk menghasilkan visual yang dikehendaki. Hari ini, pengalaman yang diperoleh selama dua dekad membolehkan Haliza merakam visual, menulis dan menyunting berita tersebut tanpa bantuan sesiapa. Pihak syarikat akan membayar gaji mengikut berita yang dihasilkan. Bagi melancarkan urusan pekerjaannya, Haliza akan bertanya kepada pihak syarikat sama ada dia perlu atau tidak membuat liputan satu-satu tugasan di London. Kebanyakan liputan yang dibuat adalah hal-hal yang berkaitan dengan Malaysia seperti lawatan rasmi kerajaan Malaysia, persidangan yang diwakili negara, isu semasa melibatkan Malaysia dan keputusan pilihan raya yang diperoleh melalui undi pos di England. Sumbang berita "Saya perlu tanya pejabat di Kuala Lumpur sebelum buat liputan supaya tidak membazir masa dan tenaga. Kadang-kadang isu yang kita nak buat itu sudah disiarkan. "Kalau menteri datang untuk lawatan rasmi ke England, saya perlu tahu jadualnya secara terperinci untuk mendapatkan nilai berita yang sesuai disiarkan," jelas Haliza yang dilahirkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan dibesarkan di Rawang, Selangor. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Haliza meneruskan pengajian Diploma Perniagaan di Institut Teknologi Mara dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Cardiff di Wales, England dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Menurut Haliza, dia tidak pernah bercita-cita menjadi wartawan tetapi jatuh cinta dengan kerjaya tersebut selepas menyumbangkan artikel untuk akhbar pelajar di Universiti Cardiff. Semasa mengikuti pengajian ekonomi di sana, beliau memilih beberapa subjek elektif seperti media, kaji jenayah dan undang-undang jenayah. Sebaik menamatkan pengajian, Haliza mencuba nasib untuk menjadi wartawan di TV3. Ketika itu, terdapat beratus calon temu duga lain yang hadir dan hanya 14 daripada mereka berjaya diserap untuk berkhidmat di TV3. ISTERI Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor ditemu bual Haliza sewaktu beliau melakukan lawatan ke sekolah di Islington, London. "Saya ingat lagi sewaktu ditemu duga, panel penemuduga bertanya tentang politik di England dan hal berkaitan Perang Teluk. Kebetulan saya baru pulang dari sana, dapatlah saya jawab soalan tersebut, agaknya sebab itu saya diterima," kata Haliza sambil berseloroh. Sepanjang berkhidmat menjadi koresponden, Haliza melibatkan diri dalam pelbagai bentuk persatuan untuk membina rangkaian dan kenalan baik dengan semua golongan masyarakat. Jika terpaksa membuat liputan di Eropah pula, beliau akan menggunakan perkhidmatan agensi tempatan di sana. Kadang-kadang, Haliza tanpa segan silu mendekati pengamal media tempatan yang dikenalinya. Kebanyakan wartawan di England mampu melakukan pelbagai tugas seperti membuat liputan mengenai fesyen, politik dan perniagaan. Haliza mengakui bahawa tidak semua perkara diketahuinya, jadi beliau akan menghubungi kenalan yang boleh membantunya mendalami isu berkenaan. Ketika ditanya mengenai pengalaman manisnya sepanjang bergelar wartawan penyiaran, Haliza merupakan seorang yang mudah gembira dengan tugasannya. Baginya, kenangan manis adalah apabila beliau dapat menemu bual orang yang sukar ditemui. "Saya ingat lagi yang saya bekerja pada hari raya pertama Aidilfitri semasa tahun pertama berkhidmat di TV3 (tahun 1991). Saya kena buat liputan pada sebelah pagi di rumah terbuka Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pada petang tersebut hujan turun lebat, terpaksalah saya bergegas buat liputan dalam air. "Wartawan hari ini tak boleh bagi alasan tidak buat rujukan sebelum keluar tugasan kerana semuanya boleh dicapai melalui internet. Pada hari anda hilang minat dalam dunia ini, baik berhenti sahaja kerana ia sudah tidak membawa manfaat lagi," pesannya kepada wartawan baharu menceburkan diri dalam dunia tersebut. Sepenuh hati Haliza tidak lokek berkongsi pengalaman kepada golongan pelapis. Wartawan perlu melakukan pelbagai tugas walaupun dicampak ke agensi surat khabar, penerbitan majalah mahupun televisyen. Pada pandangan beliau, rata-rata wartawan baharu sekadar bekerja dan pulang ke rumah usai menyiapkan tugasan. Namun, tidak ramai yang melaksanakan tugas mereka sepenuh hati. UNIK. Pondok telefon awam dijadikan perpustakaan mini di Little Hadham, Hertfordshire di England. Menurut Haliza, wartawan generasi terdahulu perlu banyak berusaha kerana tiada kemudahan seperti internet. Hari ini, semuanya di hujung jari dan hanya sedikit usaha diperlukan untuk berjaya. Haliza sempat berkongsi kisah sahabat baiknya yang berjaya menjadi wartawan walaupun tanpa latar belakang dalam bidang komunikasi massa. "Sahabat saya adalah seorang guru tapi berjaya diserap menjadi wartawan di TV3. Dia lebih berjaya disebabkan kerja kerasnya. "Dia merupakan individu yang menubuhkan stesen TV AlHijrah dan sampai sekarang saya dan kawan-kawan lain panggil beliau dengan gelaran cikgu," ujarnya yang pulang ke Malaysia selama sebulan setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Cabaran lain yang biasa dihadapinya ialah ketinggalan berita dan Haliza tidak akan senang duduk selagi hasil kerjanya tidak disiarkan. Menurut Haliza, kedua-dua ibu bapanya menggalakkan anak-anak untuk menguasai bahasa Inggeris kerana menyedari kepentingan bahasa tersebut yang digunakan secara global. Galakan tersebut menjadi pendorong kepada Haliza untuk meneruskan pengajian di negara penutur asli bahasa itu. Pada masa sama, hidup terasing dari Malaysia tidak langsung menghilangkan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu. |
Kesederhanaan hidup bintang snuker Pakistan Posted: Kesederhanaan hidup bintang snuker PakistanASIF merupakan warga Pakistan kedua yang memegang gelaran dunia selepas Mohammed Yousuf. BINTANG sukan yang meningkat naik sering memberitahu, kejayaan tidak akan mengubah diri mereka. Adaptasi prinsip itu jarang disempurnakan kelompok tersebut tetapi satu-satunya juara snuker amatur dunia dari Pakistan, Mohammad Asif membuktikan dia setia pada kehidupan asalnya. Kepulangan lelaki berusia 31 tahun itu selepas menjuarai kejohanan dunia tahun lalu diraikan bagai wira. Kisahnya dicanang pihak media, malah ahli-ahli politik Pakistan turut berbangga atas kejayaan Asif. Namun status itu tidak mengubah cara hidup Asif. Dia selesa untuk terus menetap di rumah kecil yang terletak di Faisalabad, sebuah bandar perindustrian dalam wilayah Punjab. Malah, latihan snukernya tetap dijalankan di kelab bawah tanah yang terperuk lokasinya. Asif mendedahkan bahawa dia tidak menerima ganjaran bernilai PKR100,000 (RM2,967) yang dijanjikan oleh pihak pemerintah kepadanya. Bagaimanapun, dia tidak kecewa atau menuntut bonus tersebut. Kejayaan tersebut telah menjadikannya seorang bintang di bandar yang pernah dikenali dengan gelaran Manchester of Pakistan itu dan penghargaan sebegitu sudah amat besar baginya. "Ke mana pun saya pergi, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana ramai orang menyayangi, mengambil berat dan berdoa untuk saya. "Kini semua orang di bandar ini mengenali saya dan ia memberikan kepuasan yang amat indah," kongsinya. MESKIPUN bergelar juara snuker dunia, Asif merupakan seorang lelaki yang pemalu. Kenderaan Perubahan terbesar dalam hidup Asif dapat dilihat pada kenderaannya. Dulu dia hanya menunggang motosikal tua tetapi kini dia memandu Toyota Corolla hitam lengkap tertera ayat M. Asif -- World Champion pada plat keretanya. Ia merupakan hadiah pemberian individu terkaya di Pakistan yang juga taikun hartanah, Malik Riaz. Asif merupakan warga Pakistan kedua yang memegang gelaran dunia selepas Mohammed Yousuf yang memenangi kejuaraan yang sama hampir dua dekad lalu. Bagaimanapun karier Yousuf terkubur sebelum sempat menyinar. Kekurangan dana yang dialami Persekutuan Biliard dan Snuker Pakistan (PBSF) memaksa mereka melupakan hasrat untuk menghantar pemain negara itu ke kejohanan tahun lalu di Bulgaria. Namun, sumbangan peribadi daripada beberapa pihak berjaya menerbangkan Asif ke kejohanan itu. Lelaki pemalu dan kaya budi bahasa itu memastikan jasa pihak yang membiayai penyertaannya pada tahun lalu tidak sia-sia. Bagaikan kisah dongeng, Asif berjaya menewaskan pemain England, Gary Wilson dengan mata 10-8 pada pusingan akhir. Kini dia bercadang untuk menyamakan pencapaian seperti rakan saingan bagi kategori profesional, Ronnie O'Sullivan yang berjaya mempertahankan gelaran juara dunia pada bulan Mei lalu selepas memenanginya pada tahun 2012. "Saya telah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan dan yakin untuk menang," ujar Asif yang bakal beraksi pada kejohanan yang akan diadakan di Latvia bermula 27 November ini. Lelaki itu juga membantu Pakistan memenangi kejohanan berpasukan dunia pada bulan lalu di Ireland dan menyatakan pengalaman tersebut mengajarnya erti ketahanan mental. "Kemenangan baru-baru ini telah menyuntik semangat dan mematangkan corak permainan saya. Saya belajar cara-cara menangani tekanan yang merupakan kunci utama dalam snuker," kongsinya. Perjalanan hidupnya berjalan sempurna, perancangan Asif untuk bergelar pemain profesional menjelang tahun depan bakal terlaksana. Impiannya itu dicapai hasil kontrak tajaan bernilai PKR20,000 (RM593) daripada usahawan negara itu, Nadeem Omar. ASIF tidak kekok berjalan bersendirian di sekitar tempat kediamannya di Faisalabad. Sandang gelaran Nama-nama ulung seperti Jimmy White, James Wattana dan Ken Doherty semuanya tersenarai sebagai bekas juara amatur. Setakat ini, hanya pemain Ireland, Doherty, yang pernah menyandang kedua-dua gelaran juara amatur dan profesional. Biarpun sedang menikmati populariti luar biasa pada peringkat amatur di sekitar Pakistan, bintang snuker itu masih bergelut untuk menerima tajaan dan pendedahan di negara yang obses terhadap sukan kriket. Bintang-bintang kriket negara itu hidup serba mewah, menerima bayaran tinggi dan kontrak tajaan untuk pelbagai syarikat dan jenama daripada bank sehingga produk penjagaan peribadi, sementara snuker pula terus dianaktirikan. Namun, usaha pemain-pemain amatur menaikkan sukan itu harus diberi pujian. Bagi Asif, tidak wujud sebarang perbandingan antara kriket dan snuker. "Snuker merupakan permainan yang baik. Secara teknikal, ia memberikan keseronokan yang tidak terkira. Anda perlu menewaskan musuh berseorangan tetapi di dalam kriket anda perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli pasukan," katanya yang menyatakan bahawa sukan itu juga mempunyai sejarah yang gemilang di Pakistan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan