Kosmo Online - Horizon |
Posted: Dimensi berbeza Kuala LumpurMENGEMBARA melalui lensa kamera. Begitulah gambaran satu perjalanan eksklusif demi menyelami setiap ruang ibu kota Kuala Lumpur yang merupakan nadi rakyat Malaysia. Perkara itu tentunya yang bermain di fikiran lebih 1,000 peserta Maraton Foto Canon Malaysia 2013 yang diadakan baru-baru ini. Persaingan sengit itu menyaksikan setiap peserta yang terdiri daripada jurugambar profesional dan amatur dari seluruh negara, berhempas-pulas untuk mencari sisi imej terbaik di sekitar bandar raya ini. Ternyata, ia adalah satu cabaran yang sukar memandangkan setiap peserta perlu mengikut tema yang disediakan penganjur, Canon Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (Canon Malaysia), dalam tempoh tertentu sepanjang pertandingan. Tema-tema yang dipilih secara rawak melalui pusingan roda khas dibahagikan kepada bumi, hitam putih dan perkara kecil tetapi bermakna. Pemilihan tema pada hari pertandingan itu memaksa setiap peserta berfikir dengan lebih kreatif. Walaupun demikian, setiap dimensi kehidupan dan struktur di ibu kota berjaya memberi ilham kepada para peserta untuk menghasilkan karya-karya indah. Antara kawasan tumpuan adalah gerai makanan, pusat beli-belah dan mercu tanda ibu kota.
Penyertaan remaja Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Malaysia, Melvyn Ho berkata, buat julung-julung kalinya pertandingan yang kini memasuki tahun ketujuh itu dibuka kepada peserta di bawah umur 18 tahun bagi kategori junior, selain kategori terbuka yang dikekalkan. "Sebagai satu jenama pengimejan terkemuka, kami mahu mewujudkan peluang dan menyokong usaha dalam perkembangan industri fotografi dengan mencetuskan minat baharu dalam kalangan generasi muda. "Setiap tahun kami dapat melihat bakat-bakat baharu dan berharap peserta-peserta muda ini akan terus mengasah kemahiran mereka, sekali gus menyumbang terhadap pertumbuhan industri ini," ujarnya. Menurut beliau, objektif pertandingan Maraton Foto Canon Malaysia 2013 juga untuk mengumpulkan peminat dunia fotografi dan membolehkan mereka berkongsi pengalaman bersama peserta lain, di samping merebut peluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik yang bernilai lebih RM30,000. Antara hadiah yang ditawarkan adalah sebuah kamera Canon EOS 5D Mark III berserta lensa F4L IS24-70 milimeter dan penyertaan klinik fotografi oleh jurugambar terkemuka, Triston Yeo di Kansai, Jepun. Bagai disuntik adrenalin, ketika Ho menyempurnakan pelepasan maraton fotografi itu, para peserta pantas mencari lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur. Bagi Amir Othman, 29, berfikir di luar kotak merupakan strateginya untuk mendapatkan gambar terbaik dalam pertandingan yang berlangsung selama lapan jam itu. "Antara tema yang dipertandingkan ialah bumi dan saya yakin apa yang penganjur mahu bukanlah gambar tanah atau tumbuh-tumbuhan biasa. "Ia mungkin gambar dinding yang kelihatan seperti tanah atau serangga hidup. Ini secara tidak langsung, masih memenuhi kriteria yang ditentukan penganjur," kata juruprogram komputer ini ketika ditemui Kosmo!. Menggunakan kamera model Canon 5D Mark III dan kali ketiga menyertai acara itu, Amir berkata, peserta tidak perlu menjelajah jauh untuk mendapatkan gambar yang unik dan menarik, sebaliknya harus mempunyai idea yang bernas.
Merencana strategi Lain pula strategi adik-beradik Jamaliah Azlinda Mohd. Ali, 40, dan Jamaliah Azmirakarimah, 36, yang memilih beberapa lokasi tarikan di ibu kota untuk memastikan imej yang dirakam bersesuaian dengan tema yang diberikan. Bagi memenuhi tema bumi dengan memberi fokus terhadap keindahan alam sekitar, mereka ke Tasik Titiwangsa dan Taman Burung Kuala Lumpur. Jamaliah Azlinda berkata, dia menggunakan gambar dengan konsep syot sudut luas manakala adiknya menggunakan syot dekat. "Kami sudah meronda di sekitar pusat beli-belah ini dan membuat keputusan tiada yang menarik dan bersesuaian dengan tema. "Oleh itu, kami bergerak ke taman-taman utama, termasuk taman rekreasi di sekitar kawasan KLCC. "Bagi kami, kerjasama berpasukan adalah penting bagi menghasilkan gambar yang berkualiti. Mungkin kami amatur tetapi saya percaya kata hati yang menentukan sama ada gambar yang dirakamkan itu menarik atau tidak," kata Jamaliah Azlinda. Menggunakan kamera model Canon EOS 450D, dia turut menegaskan, aspek pencahayaan dan kebijaksanaan jurugambar bermain dengan sumber akan menghasilkan sebuah gambar yang menarik. "Saya yakin dalam pertandingan ini tiada gambar yang tidak cantik kerana ia adalah sama seperti hasil seni yang bersifat subjektif," katanya yang pertama kali menyertai pertandingan itu. Jurugambar berpengalaman, Mohd. Faizal Aman, 32, mengakui tercabar apabila perlu berekspresi melalui tema-tema yang digariskan pada hari pertandingan. Sanggup memandu dari Johor Bahru, Johor, dia tidak memikirkan mengenai aspek kemenangan, sebaliknya lebih tertumpu kepada pengalaman berharga yang bakal diperoleh. Mahu bereksperimen dengan ruang dan kehidupan manusia, Mohd. Faizal yang mempunyai minat dalam fotografi landskap, yakin dapat memenuhi setiap keperluan penganjur.
"Lihat sahaja di sekeliling kita, terlalu banyak subjek yang boleh dirakam. Lebih menarik sekiranya sesuatu subjek yang tidak dapat dilihat secara kasar dapat memberikan imej yang luar biasa. "Contohnya, seperti senyuman manis dan ekspresi wajah setiap individu yang lalu-lalang di sini atau mereka yang tidur di kaki lima. Kesemua ini boleh menjadi subjek yang menarik bagi seorang jurugambar," jelasnya. Lagak peserta sepanjang pertandingan, mendapat perhatian masyarakat sekeliling, dengan ada di antara mereka yang sanggup meniarap di tepi-tepi jalan dan bersandar di tangga semata-mata mahu merealisasikan imej yang ingin dirakamkan. Kelibat peserta cilik yang mengambil gambar turut memikat perhatian. Antaranya ialah Shawn Ham Kai Zhong, 10. "Saya datang sini kerana minat dan tidak berharap untuk menang. Saya ingin bertemu kawan-kawan baharu yang berkongsi hobi sama," kata pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Taman Megah, Petaling Jaya ini. | |||
Posted: Eksentrik musim luruh Jeju
BOYS OVER FLOWERS dan Secret Garden merupakan antara dua buah drama bersiri popular Korea yang berjaya mencuri tumpuan penulis untuk menjejakkan kaki ke pulau eksentrik di mata angin selatan Korea Selatan dua minggu lalu. Biarpun pulau itu biasanya menjadi fokus pasangan untuk berbulan madu, keindahan panorama alam dan beberapa keajaiban muka bumi tidak menghalang niat penulis bersama enam rakan lain mengembara ke sana. Kami tidak memperuntukkan tempoh yang terlalu lama di lokasi indah itu memandangkan jadual kami turut merangkumi daerah utama yang paling padat penduduk iaitu Seoul kemudiannya. Cukup sekadar tiga hari dua malam di Jeju. Sedikit berbeza daripada percutian klise yang selalunya berdasarkan pakej yang ditawarkan agensi pelancongan, kali ini kami memilih untuk berdikari dan mengembara sendiri. Beberapa minggu sebelum terbang ke Korea Selatan, salah seorang daripada kumpulan kami telah memohon lesen memandu kenderaan antarabangsa dan sepanjang berada di pulau itu, kami bergerak menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disewa khas. Memang mengelirukan bagi seorang rakyat Malaysia yang pertama kali memandu di sebelah kiri tapi cabaran menjelajah lokasi eksotik tanpa pemandu pelancong bagi kami sememangnya suatu pengalaman yang menyeronokkan. Sepanjang malam pertama di Pulau Jeju, kami menghabiskan masa memandu sekitar bandar utamanya yang terletak berdekatan tempat penginapan kami dan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju. Cuaca waktu malam pada ketika itu sekitar 3 darjah Celsius. Memandangkan iklim tempatan sedang berubah dari musim luruh ke musim dingin, aktiviti malam agak terbatas. Malah, kebanyakan penduduk setempat menghabiskan waktu di rumah. Pada hari kedua, kami sanggup bangkit seawal pukul 4 pagi (3 pagi waktu Malaysia) untuk mengembara ke lokasi Warisan Semula jadi Dunia UNESCO iaitu tapak bekas Gunung Berapi Seongsan Ilchubong di perkampungan terpencil, Seongsan demi melihat matahari terbit. Sememangnya memukau pandangan ketika menyaksikan matahari mula membiaskan warna keemasannya dari celah-celah kepulan awan pagi di puncak tertinggi gunung berapi tersebut.
Kepenatan mendaki 600 anak tangga selama 25 minit ternyata berbaloi apabila berpeluang menyaksikan pemandangan yang tidak tergambar oleh kata-kata itu. Bagi pencinta alam semula jadi yang mahu menyaksikan bekas laluan cairan lava gunung berapi terbesar di dunia, adalah baik untuk meluangkan sedikit masa berkunjung ke Gunung Berapi Manjanggul. Selain itu, lokasi seperti Hallim Park yang terkenal dengan pokok bonsai berusia lebih 150 tahun, Taman Botani Yeomiji yang menghimpunkan pelbagai spesies tumbuhan pelik dan air terjun tiga tingkat yang terkenal, Cheonjiyeon, adalah antara tempat-tempat menarik yang perlu dikunjungi ketika berasa di sini. Berdekatan situ, terletaknya lokasi penggambaran drama popular Korea, All In House. Ia ibarat sebuah muzium yang memaparkan pelbagai item menarik, sejarah dan seni bina yang dibangunkan semata-mata untuk drama berkenaan. Perjalanan kemudiannya diteruskan ke bandar terbesar di Pulau Jeju, Seogwipo yang pernah menjadi saksi penganjuran Piala Dunia FIFA 2002 di Stadium Dunia Jeju. Menariknya, di lokasi yang sama terdapat dua buah muzium iaitu Muzium Sos dan Muzium Eros Dunia yang memaparkan sejarah peradaban seksualiti dalam perkembangan tamadun manusia seluruh dunia. Keunikan Pulau Jeju Suatu pengalaman yang membuka mata, Pulau Jeju sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah dan lokasi bersifat erotik tapi masih membekalkan pengetahuan baharu kepada pelawat. Antaranya Muzium Kesihatan Seks dan Taman Tema Loveland. Hari terakhir sebelum meninggalkan Pulau Jeju, kami sempat melawat Taman Tema Loveland yang memaparkan pelbagai rekaan patung dalam pelbagai posisi seks. Topik ini mungkin dianggap tabu bagi sesetengah masyarakat Asia Tenggara tapi itu antara keunikan Pulau Jeju yang tidak akan disaksikan di tempat-tempat lain. Bersebelahan Taman Tema Loveland, terdapat sebatang jalan raya yang popular dengan tarikan anti-graviti sepanjang 100 meter yang dinamakan Mysterious Road atau nama sebenarnya Jalan Dokkaebi. Kami mencuba momokan orang ramai mengenai lokasi yang akan menyaksikan sebarang objek bulat atau cecair akan bergerak ke atas bukit dengan melawan daya tarikan graviti bumi dengan meletakkan gear kenderaan dalam keadaan neutral dan mematikan enjin. PENGUNJUNG boleh menyaksikan bekas kawah gunung berapi di Seongsan Ilchubong. Ternyata, kenderaan yang dinaiki kami bertujuh bergerak dengan sendirinya tanpa sebarang daya tolakan. Sebenarnya, ceritanya sama seperti lebuh raya Kimanis-Keningau yang terletak di Sabah, cuma mungkin di Malaysia lokasi seperti ini belum pesat diterokai lagi. Bagi penggemar aktiviti pembelajaran bersifat interaktif, muzium-muzium seperti Muzium Tradisional Jeju, Muzium Kemerdekaan Jeju, Muzium Haenyeo, Muzium Beruang Teddy, Muzium Teh Hijau, Muzium Seni Afrika, Muzium Coklat, Muzium Wayang Shinyoung dan Muzium Komputer Nexon antara pilihan terbaik. Pulau Jeju yang popular dengan patung ukiran batu Dol Hareubang, turut menjadi sebutan dengan tarikan buah oren yang ditanam secara meluas di kepulauan itu. Malah, jangan terkejut kerana anda mungkin berkesempatan menyaksikan kelibat wanita pertengahan usia yang mampu menyelam tanpa menggunakan sebarang peralatan selaman (popular dengan panggilan haenyo) untuk mendapatkan hasil dasar laut, terutamanya abalone (siput) pada musim dingin. | |||
Penginapan mewah baharu Permata Kedah Posted: Penginapan mewah baharu Permata KedahOleh NURUL IZZA ROSLY
TIADA apa yang lebih mendamaikan apabila kehadiran disambut desiran bayu laut sambil diiringi senyuman mesra warga Ombak Villa yang merupakan tarikan terbaharu bagi Langkawi Lagoon Resort. Terletak di Padang Matsirat, Langkawi, Kedah, Ombak Villa yang dibina menghadap Laut Andaman menawarkan pengalaman percutian mengujakan dan ia sesuai bagi mereka yang mahu lari daripada hiruk-pikuk kota. Bagi yang sukakan pantai dan laut, Ombak Villa merupakan lokasi yang sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan insan tersayang. Pembinaan Ombak Villa yang menelan belanja kira-kira RM48 juta itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. Pusat peranginan itu mengetengahkan gabungan konsep kontemporari moden dan reka bentuk tradisional Melayu dengan dilengkapi ciri-ciri hotel mewah yang menjanjikan satu lagi penginapan penuh keselesaan kepada para penghuni. Bagi tetamu yang baru pertama kali berkunjung, gambaran keunikan pusat penginapan itu jelas terpapar sebaik melangkah ke ruang lobi. Kedudukannya yang strategik dan terletak pada kedudukan yang lebih tinggi daripada penginapan lain, menggamit setiap tetamu untuk menerokai pemandangan keseluruhan hotel yang cukup indah. "Dengan jumlah keseluruhan 79 buah bilik studio suite, tetamu-tetamu Ombak Villa juga mempunyai pilihan penginapan lain seperti di unit vila eksklusif yang dinamakan Villa Seri Kasturi. Ia dilengkapi dengan kemudahan butler peribadi dan bilik mewah yang luas. "Tidak ketinggalan dua unit suite bulan madu yang dinamakan Seroja Suite yang menerapkan rekaan dalaman yang penuh romantis," kata Pengerusi MK Land Holdings Bhd., Tan Seri Mustapha Kamal Abu Bakar. KAWASAN rehat untuk para tetamu bersantai menghadap Laut Andaman. Cerminan budaya tempatan Menurut Mustapha, setiap penginapan eksklusif yang ditawarkan dilengkapi dengan ruang lanai persendirian yang menghadap laut. Tarikan lain yang cukup menarik selain daripada Restoran Bayu yang terletak bersebelahan dengan kolam renang ialah Bistro Amai. Terletak berhampiran pantai dan menghadap Laut Andaman yang terbentang luas, bistro tersebut menawarkan pengalaman santai penuh kedamaian kepada pengunjung yang sedang menjamu selera mereka. Pengunjung yang meluangkan masa di restoran berkenaan dapat melihat kehadiran bot-bot nelayan tempatan yang berlabuh berhampiran, secara tidak langsung memberikan satu pemandangan indah mencerminkan salah satu budaya Malaysia yang serba unik. Tun Mahathir dalam ucapan perasmiannya memberitahu, Pulau Langkawi kini sudah pesat membangun dan ramai pelancong dari Arab menyukai pulau yang terkenal dengan jolokan Permata Kedah itu. "Pelancong Asia Barat suka melancong ke kawasan tropika kerana cuaca dan suasananya berbeza dengan negara asal mereka yang panas dan kering. "Oleh itu, warga Langkawi perlu menyemarakkan lagi sifat ramah-tamah dan budaya menguntum senyuman agar menarik lebih ramai pengunjung ke sini," ujarnya. Tun Mahathir memaklumkan, tahun lalu, sebanyak tiga juta pelancong datang ke Langkawi dan untuk enam bulan pertama tahun ini, bilangan pelancong sudah mencecah dua juta orang. "Saya berharap jumlah tersebut akan menjangkau angka yang dicapai tahun lalu," katanya yang gemarkan pembangunan reka bentuk kampung yang sarat dengan ciri-ciri tradisional pada Ombak Villa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan