Rabu, 23 Oktober 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Metafora mimpi dan imaginasi

Posted:

Metafora mimpi dan imaginasi

Metafora mimpi dan imaginasi

Oleh HAFIZ AHMAD

LOPE bersama lukisan potret berjudul Self Potrait-Self Maintenance.


MIMPI menjadi sandaran untuk lari dari dunia realiti dan membenarkan otak berehat selepas bertungkus lumus dipergunakan seharian. Disebabkan itu, malam dicipta oleh Yang Maha Esa supaya badan dan fungsi dalaman memperlahankan operasi dan mengembalikan tenaga untuk keesokan hari.

Apabila berbicara tentang mimpi, ia sering dikaitkan dengan alam fantasi di mana akal meninggalkan realiti membiarkan ia menerawang memikirkan cerita-cerita indah yang sukar digapai pemikiran waras manusia. Tidak salah jika dikatakan, fantasi-fantasi ini sering dialami pada zaman kanak-kanak. Setiap daripada kita pasti mempunyai ceritera mimpi yang digebangkan penuh ghairah kepada rakan dan ahli keluarga.

Ironinya, rangkaian imaginasi mimpi itu berjaya dipercikkan di atas kanvas oleh pelukis kontemporari, Raja Lope Rasyidi Raja Rozlan, 40, dalam pameran solonya, Lope. Setiap satu daripada 15 lukisannya melingkari tema mainan tidur itu dengan olahan yang kaya dengan unsur-unsur budaya.

Watak-watak yang dicipta kreatif oleh pelukis yang dikenali sebagai Lope itu diselitkan dengan keindahan susur galur kepelbagaian budaya yang terdapat dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Kuda kepang, wayang kulit, wau bulan, naga, burung jentayu dan gasing antara cetusan idea yang dibawa ke medium seni lukisan.

"Penerapan unsur-unsur tradisional sengaja dilakukan. Lihat sahaja senario hari ini ramai generasi muda tidak kenal dengan budaya dan permainan tradisi sendiri. Disebabkan itu, saya mengangkat dan memperkenalkan semula kepada masyarakat ketinggian nilai seni dan budaya bangsa," ujar Raja Lope Rasyidi Lope atau mesra dengan panggilan Lope ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mungkin segelintir peminat seni berasa klise kerana unsur-unsur itu kelihatan biasa dalam kebanyakan karya anak tempatan, juga negara jiran. Tetapi uniknya persembahan Lope apabila watak-watak tersebut diolah menerapkan elemen moden dan kontemporari.


KARYA Lope dapat disaksikan di Galeri Core Design, Subang Jaya sehingga 30 November ini.


Pernahkah anda terbayang apabila watak yang terdapat dalam persembahan wayang kulit sebenarnya dayang-dayang istana berbadan robot? Lenggoknya sama gemalai seperti yang biasa dilihat tetapi bertubuhkan logam-logam. Ia merupakan sesuatu yang baru kepada khayalan akal.

"Tetapi sebenarnya, gaya lukisan ala anime ini sudah lama diperkenalkan di luar lingkungan seni kita. Mereka lebih dahulu menyampaikan imaginasi mereka dalam genre sebegini. Idea itu saya bawa dan terapkan dengan cita rasa orang kita," jelas pemuda berasal dari Beruas, Perak itu.

Di sebalik mainan imaginasi, Lope tegas menyampaikan mesej-mesej kemanusiaan dan alam sekitar yang dirasakannya semakin terhakis dalam diri masyarakat hari ini. Kehadiran pari-pari hijau yang terdapat dalam kebanyakan lukisannya diibaratkan sebagai penyampai mesej kepada hidupan negara imaginasi Lope.

Kebimbangan makhluk mitos itu cuba menggambarkan kemusnahan alam yang semakin ketara. Jika tidak dipelihara, keindahan flora dan fauna hanya tinggal cerita semata-mata.

Mengambil masa setahun setengah untuk menyiapkan keseluruhan koleksi tersebut, Lope percaya setiap lukisannya bakal membawa kegembiraan kepada pengunjung dan penggemar seni kontemporari. Dia berpendapat seni itu sangat subjektif. Ada penggemar seni yang mahu berfikir kritis apabila melalui atau menghayati karya seni, tetapi bagi Lope, dia percaya seni tidak perlu terlalu serius.

"Saya mahukan mereka yang menghayati seni saya pulang dengan senyuman dan mengimbas kembali memori ketika zaman kanak-kanak. Penggunaan warna-warna terang dapat menarik perhatian, khususnya golongan muda.

"Pada awalnya, saya menggambarkan lukisan-lukisan ini boleh bergerak dengan mainan animasi tiga dimensi. Bagi menggantikan idea tersebut, saya banyak bermain dengan warna bagi menghidupkan watak-watak dalam lukisan," ujarnya.

Selain itu, dia menggunakan teknik berus udara yang banyak digunakan dalam proses mewarna aksesori kenderaan bermotor. Jelas Lope, ia menaikkan lagi mood lukisan berbanding menggunakan kaedah lain.

"Ia merupakan eksperimen pertama saya dan nyata memberi hasil yang sangat mengagumkan. Sebagai contoh, efek-efek awan yang menjadi latar belakang lukisan kelihatan jelas dan asli," katanya.

Pencinta seni tempatan dijemput untuk menikmati karya seni Lope di Galeri Core Design, Subang Jaya yang telah bermula 12 Oktober dan berakhir pada 30 November 2013.

Tea Twist papar modifikasi teh

Posted:

Tea Twist papar modifikasi teh

Tea Twist papar modifikasi teh

Oleh ALIF ABU BAKAR


DARI kiri: Rakesh, Nik Michael Imran dan Herry pada majlis pelancaran Tea Twist di Hotel Maya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


TEH ialah minuman ruji masyarakat di seluruh dunia. Perbezaannya di setiap negara terletak pada cara penyediaan, perisa, penambahan bahan lain dan bagaimana ia dihidangkan.

Rakyat di Malaysia juga mempunyai kefahaman tersendiri terhadap teh. Ada yang memilih teh panas kosong atau teh ais iaitu teh yang dicampur bersama susu pekat manis, tidak ketinggalan individu yang menggemari teh herba, teh Cina dan teh berperisa buah-buahan.

Bagaimanapun kita jarang melakukan eksperimen pengubahsuaian ke atas teh. Penambahan bahan di luar jangkaan termasuk hirisan buah, potongan sayur atau serbuk perisa yang bersesuaian, mampu menghasilkan secawan teh yang baharu pada tunas rasa seseorang.

Sekiranya anda mahu belajar teknik-teknik kreatif terhadap modifikasi teh, jangan ketinggalan menonton rancangan masakan berkonsep santai Tea Twist yang dihoskan chef muda yang sedang meningkat naik, Nik Michael Imran Nik Ezar.

Mula bersiaran pada 18 Oktober lalu pada pukul 9.30 malam, program enam episod berdurasi 30 minit itu disiarkan pada saluran Asian Food Channel (AFC) iaitu Saluran Astro 703 dan dapat disaksikan di 12 wilayah Asia yang berbeza.

Pada setiap episod, Nik Michael Imran, 23, bekerjasama dengan jenama teh panas nombor satu di dunia, Lipton bagi berkongsi penyediaan teh gaya baharu menggunakan uncang teh Lipton Yellow Label.

Sebanyak tujuh resipi teh akan dipertontonkan sepanjang rancangan Tea Twist dan pada setiap episod, Nik Michael Imran akan memadankan teh yang bersesuaian mengikut sajian utama dan pencuci mulut yang disediakan.

Rangkaian teh Lipton Yellow Label yang bakal diolah menerusi kreativiti Nik Michael Imran ialah paradise sunrise, teh ais sparkle, teh serai madu (panas dan sejuk), mo-tea-to, lovely berries dan teh latte halia earl grey.

TEH merupakan antara minuman utama masyarakat tempatan.


"Saya jenis individu yang minum teh untuk relaks dan apabila berada dalam keadaan santai, ia mengundang kedamaian dengan bersahaja.

"Secara peribadi, teh juga minuman yang sangat fleksibel. Ia mudah diadun bersama pelbagai perisa, rempah-ratus atau herba yang sering digunakan dalam masakan di Asia.

"Setiap bahan tersebut mampu mencipta rasa yang berbeza dan itu yang ingin kami paparkan dalam Tea Twist. Kami berharap ia dapat memberi ilham kepada penonton untuk melakukan eksperimen terhadap teh dan merasai sendiri keseronokan hasil pengalaman tersebut," kongsi Nik Michael Imran pada majlis pelancaran rancangan Tea Twist di Hotel Maya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kempen

Pengenalan program Tea Twist juga menandakan permulaan terhadap kempen Lipton, A New Twist to Your Lipton Moments di Malaysia. Kempen yang diterajui uncang teh Lipton Yellow Label itu bertujuan memperkenalkan konsep baharu meminum teh.

Menerusi penyediaan dan penyajian menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh di sekeliling kita, Lipton mahu rakyat Malaysia mencipta detik istimewa ketika menjamu minuman teh pada bila-bila masa dan acara.

"Kami mahu menunjukkan nilai versatil yang dimiliki seuncang teh. Lipton merupakan jenama yang sering membawa sesuatu yang positif dan mahu pengguna mereka rasa bersemangat saat menikmati secawan teh.

"Kami juga berharap para pengguna Lipton akan mencuba resipi teh baharu yang dipaparkan dalam Tea Twist," ujar Pengerusi Unilever Malaysia dan Singapura, Rakesh Mohan.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia, Herry Budiazhari berkata, uncang teh Lipton adalah uncang teh nombor satu di Malaysia. Jelasnya: "Uncang teh Lipton Yellow Label diperbuat daripada gabungan bahan terbaik yang dibawa dari Sri Lanka dan Kenya, sekali gus mencipta aroma dan keistimewaan pada seuncang teh Lipton."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved