Rabu, 23 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Noreen, bersemadilah dengan damai

Posted:

Noreen, bersemadilah dengan damai

Noreen, bersemadilah dengan damai


NOREEN NOOR (duduk, kiri) bersama rakan-rakan artis ketika meraikan hari jadi Datuk Shah Reza pada Februari lalu.


AJAL maut di tangan Allah SWT. Tidak kira sama ada tua atau muda kita tetap akan dijemputNya. Semalam, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian sebutir lagi permata seni tanah air iaitu penyanyi dan pelakon terkenal era 80-an, Noreen Noor atau nama sebenarnya, Noraine Mohd. Nor, 54.

Penyanyi dan pelakon yang terkenal dengan sifat manja, pandai bergaya dan mempunyai lirikan mata yang menawan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.50 pagi semalam (Selasa) di Hospital Pakar Ampang Puteri (APSH), Selangor akibat komplikasi buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak iaitu Danial Baharudin, 22, dan Diana, 11.

Berita pemergian Noreen bagai satu mimpi. Banyak pihak yang mendengar berita tersebut pada awal pagi semalam bagai tidak percaya dengan apa yang disampaikan.

Bagai masih basah dalam ingatan juga melihat penampilan Noreen di hadapan media sewaktu muncul dalam akhbar Utusan Malaysia pada tahun 2010 yang menyaksikan beliau berbicara tentang patah hati dan 'keinginan' dijemput Ilahi selepas ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia berturut-turut.

"Ketika itu saya beria-ia mahu mati! Tak sanggup rasanya menghadapi derita jiwa begini. Saya pernah mengalami keruntuhan rumah tangga, namun ia tidak meragut kegembiraan dan hidup saya.

"Namun, apabila saya kehilangan orang yang saya sayang, hanya Tuhan saja yang tahu saya rasa bagaikan nyawa ini sudah jauh melayang, dibawa pergi oleh mereka semua," cerita Noreen sambil air mata bergenang di kelopak mata kepada wartawan senior, Muzalina Abu Bakar dalam artikel yang disiarkan pada bulan Mei 2010 lalu.

Begitulah resam dunia. Setiap yang hidup pasti akan dijemput Ilahi, tidak cepat sesaat atau lambat sesaat seperti yang dijanji.

Mengimbas detik terakhir Noreen sebelum 'berpisah dengan dunia', kawan rapatnya, Monaliza Mohd. Diah, memberitahu, Allahyarham mula menderita penyakit darah tinggi sejak menjaga bapanya yang sakit kira-kira lima tahun lalu.

"Saya dapat tahu dia mula menghidap sakit darah tinggi sejak jaga orang tuanya sakit. Sejak itu dia sentiasa mengawal sakitnya dengan memakan ubat darah tinggi," jelasnya ketika dihubungi semalam.

Merupakan peminat dan akhirnya menjadi rakan paling akrab Noreen, Monaliza memberitahu, kali terakhir dia menghubungi Allahyarham menerusi kiriman WhatsApp di telefon pintarnya ketika Hari Raya Aidiladha.

Ketika itu, kata Monaliza, Noreen mengadu berasa tidak sihat.

"Dia beritahu tidak sihat dan pergi ke hospital seorang diri untuk menerima rawatan lanjut," ujarnya yang sering dianggap kembar Noreen kerana memiliki wajah seperti penyanyi dan pelakon itu.

Monaliza juga mengakui berasa terkejut dengan berita kematian sahabat baiknya itu dan mendoakan Allahyarham Noreen itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Danial ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui mengenai ibunya ditahan di APSH selepas dihubungi oleh pihak hospital tersebut pada petang kelmarin.

"Saya difahamkan, ibu telah memandu sendiri kereta untuk ke hospital tersebut pada pukul 10 pagi Isnin dan saya ketika itu tidak diberitahu apa-apa.

"Bagaimanapun pada petang hari yang sama pihak hospital telah menghubungi saya dan selepas sampai di hospital, ibu sudah berada di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya dalam nada sedih.

Ujar Danial, dia kemudian berada di hospital tersebut bersama ibunya sehingga ibunya menghembuskan nafas terakhir.

Tambah Daniel, sebelum ini ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit kecuali mengalami kesakitan pada bahagian tangan sehingga tidak boleh diangkat.


PERJALANAN terakhir Allahyarham Noreen Noor yang disemadikan di Kampung Pulai, Serkam, Melaka diiringi doa oleh semua pihak yang mengenalinya.


Menawan

Mengenali Noreen, Allahyarham merupakan penyanyi kelahiran Singapura yang mula dicungkil bakatnya melalui pertandingan nyanyian dan berjaya mengadakan persembahan di hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Selesai persembahannya bersama beberapa penyanyi terkenal seperti Salamiah Hassan dan Rohana Jalil, Noreen didatangi wakil syarikat Columbia Broadcast System (CBS) yang menawarkannya peluang untuk merakam album.

Selepas disunting, anak kelima daripada enam beradik itu keluar dengan album pertamanya berjudul Kepastian sekitar tahun 80-an.

Berbekalkan wajah yang menawan dan suara yang merdu, nama Noreen yang merupakan anak pesara polis dari Singapura, Allahyarham Mohd. Nor Ahad berjaya mencuri tumpuan peminat tanah air.

Ia diikuti dengan album-album seterusnya seperti Dariku Untukmu dan Air Mata dan Sunyi. Ketika itu, suara merdu Noreen sering berkumandang di corong-corong radio dan lagu Siang Terbayang Malam Merindu cukup popular dalam kalangan peminat-peminatnya.

Selain daripada menyanyi, Noreen juga berbakat dalam bidang lakonan. Noreen muncul menerusi filem pertamanya berjudul Talak di samping pelakon Dharma Harun al-Rashid pada tahun 1984.

Lakonannya yang menggoda berjaya membuatkan para penerbit berlumba-lumba menawarkannya berlakon. Selepas itu, Noreen mula muncul dalam beberapa buah filem seperti Hantu Siang (1986), Balik Kampung (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Wira Angkasa (1987), Pelumba Malam (1989), Cinta Metropolitan (1996) dan terakhir pada tahun 2011 menerusi filem Raya Tak Jadi.

Hidup tidak indah

Bagaimanapun, hidup Noreen tidak seindah yang di sangka. Selepas menghasilkan album Air Mata, beliau terpaksa menyepikan diri dalam bidang nyanyian dan lakonan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga.

Sejak itu, beberapa insiden mula berlaku dalam hidup Noreen, membantutkannya untuk kembali aktif dalam dunia seni.

Selain kecewa kerana perkahwinan yang gagal dipertahankan, pemergian satu demi satu ahli keluarganya, bermula dengan pemergian abangnya pada tahun 2004, ibunya (2006) dan kemudian bapanya pula (2007), meragut kebahagiaannya.

Kini, beliau dipanggil Ilahi untuk bersama-sama orang-orang yang tersayang di alam 'satu lagi'.

Jenazah Allahyarham Noreen telah dikebumikan di Kampung Pulai, Serkam, Melaka semalam selepas solat Zuhur dengan dihadiri oleh kaum keluarga, sahabat handai dan peminat yang memberi penghormatan terakhir buatnya.

Liyana ikut nasihat keluarga sorok kehamilan

Posted:

Liyana ikut nasihat keluarga sorok kehamilan

Liyana ikut nasihat keluarga sorok kehamilan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

HAMIL DUA BULAN... Liyana kini sedang dalam fasa alahan seperti muntah dan kurang bermaya.


SETELAH mendirikan rumah tangga pada bulan Februari lalu, penantian pelakon Liyana Jasmay untuk bergelar ibu akhirnya terlaksana apabila dia disahkan hamil dua bulan.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh isteri kepada Fathudin Mazlan itu setelah kisah mengenai dirinya sudah berbadan dua tersebar menerusi ruangan gosip sebuah akhbar.

Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi filem Papadom itu menyatakan, dia bukan hendak berahsia mengenai kehamilannya itu kerana beranggapan masih terlalu awal untuk didedahkan kepada pihak media.

Ikuti penjelasan selanjutnya berhubung kisah tentang dirinya setelah disahkan mengandung serta persediaannya untuk bergelar ibu sewaktu dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo!: Tahniah Liyana atas berita baik mengenai kehamilan anda. Apakah yang menyebabkan anda tidak membuka mulut sehinggalah cerita tersebut keluar di ruangan gosip sebuah akhbar?

Liyana: Sebenarnya saya tidak berniat langsung untuk merahsiakannya, sebaliknya saya menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi cerita tentang kehamilan ini.

Menerusi perbincangan yang dilakukan bersama-sama ibu dan ibu mertua saya, mereka menasihati saya supaya memberitahu kepada umum setelah usia kandungan mencapai tiga bulan. Jadi, saya tidak tahu macam mana orang lain boleh dapat tahu dahulu.

Sejak bila anda dapat mengetahui yang diri anda sudah berbadan dua?

Saya mengetahuinya sejak sebulan lalu setelah mendapati diri tidak datang bulan dalam tempoh yang lama. Kemudian, saya membuat temu janji dengan doktor dan ketika pemeriksaan dijalankan, saya disahkan mengandung.

Ketika itu perasaan saya memang amat sukar untuk digambarkan kerana terlalu gembira apabila bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Lagipun itu yang sangat dinantikan oleh saya dan suami.

Setelah disahkan hamil, bagaimanakah dengan perjalanan kehidupan harian anda sekarang?

Sejak berbadan dua ini saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah kerana badan selalu berasa penat dan kerap muntah. Bagi saya, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ia perkara normal untuk peringkat awal kehamilan.

Bagaimanakah pula dengan aktiviti seni anda?

Kalau mengikut perancangan, saya bakal terbabit dengan sebuah drama bersiri pada penghujung tahun ini terbitan syarikat produksi sendiri iaitu Mermaid Studios. Dalam drama berkenaan saya akan melakonkan watak yang agak lasak.

Setelah disahkan hamil, sudah tentu saya tidak dapat meneruskannya dan ketika ini kakak saya sedang mencari pelakon lain yang sesuai untuk menggantikan tempat saya itu.

Adakah anda kini masih sering berjauhan dengan suami?

Sehingga kini kehidupan saya dan suami masih lagi berjauhan seperti biasa. Kalau terbabit dengan sebarang pekerjaan saya akan turun ke Kuala Lumpur, manakala suami pula sibuk menguruskan perniagaannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika ini, suami saya juga sedang dalam proses untuk membeli sebuah apartmen baharu memandangkan kawasan kediaman yang kami menetap sekarang ini agak kurang privasi.

Fathia, Miera dilamar karyawan antarabangsa

Posted:

Fathia, Miera dilamar karyawan antarabangsa

Fathia, Miera dilamar karyawan antarabangsa

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
(Yang mewakili deligasi Malaysia ke Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard dan Minggu Fesyen di Tashkent, Uzbekistan)


FATHIA (kiri) dan Miera Liyana bersama dua orang karyawan antarabangsa pada majlis pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent di Uzbekistan, Sabtu lalu.


BERLANGSUNG meriah di Hotel International Tashkent, Uzbekistan pada malam Sabtu lalu, acara perasmian Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard kali ketiga turut dihadiri oleh dua pelakon terkenal tanah air, Nur Fathia dan Miera Leyana.

Fathia dan Miera menggayakan busana yang direka khas oleh Cosry untuk acara karpet merah dan makan malam gala. Ini secara tidak langsung telah menarik perhatian beberapa pengarah serta selebriti terkenal dari Uzbekistan dan Rusia.

Pelakon Fathia telah ditawarkan untuk muncul dalam klip video penyanyi terkenal Uzbekistan, Atarbak Dotsent Maxashev yang bakal memulakan penggambaran di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Miera pula disunting oleh pengarah filem Rusia, Said Muxtozor untuk membintangi filem terbaharunya, Jealous.

"Memang saya tidak menjangka akan mendapat tawaran daripada produser antarabangsa tapi semuanya masih dalam peringkat perbincangan.

"Paling melucukan apabila ramai artis dari Uzbekistan menyangka saya berasal dari negara mereka dan mula berinteraksi dengan saya dalam bahasa ibunda mereka," ujar Fathia yang ditemui usai acara karpet merah.

Fathia dan Miera diterbangkan ke Uzbekistan oleh The Rafflesia Pearl Centre untuk menyaksikan pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard dan menyertai Minggu Fesyen Tashkent yang mana pereka fesyen Malaysia, Alia Bastamam memperagakan busananya.

Pereka kasut terkenal antarabangsa, Prof. Datuk Jimmy Choo pula diundang selaku tetamu kehormat acara itu. Rombongan ke Uzbekistan diuruskan oleh Bill Bora selaku Pegawai Publisiti The Rafflesia.

Forum Filem Antarabangsa Tashkent kali ketiga itu diadakan lebih santai berbanding penganjuran dua tahun berturut-turut sebelum ini, bagaimanapun masih menjaga kemegahan acara terbesar di Uzbekistan itu.

Untuk mengeratkan jalinan antara peserta yang bertanding dalam tiga kategori utama iaitu filem animasi, filem pendek dan filem cereka tahun ini, penganjur memberikan peluang kepada penggiat filem serta para juri berinteraksi pada malam pembukaan acara itu selain mempersembahkan senarai trofi kepada bakal pemenang tahun ini.

Menarik sempena acara pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent, tetamu dari negara luar antaranya India, Perancis, Brazil, China, Jepun termasuk Malaysia dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional oleh kumpulan Sabo.

Pengarah filem terkenal China, Zhang Yuan, selaku ketua juri tahun ini mengharapkan agar acara itu berlangsung lancar dan mengharapkan persaingan sihat akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

"Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara hebat tahun ini dan dapat bekerjasama dengan penggiat filem dari negara lain.

"Ini kali pertama saya ke Uzbekistan dan sudah jatuh cinta dengan keindahan serta keunikan negara ini. Pernah suatu ketika dulu, Uzbekistan dan China dihubungkan dengan Laluan Sutera, jadi saya mengharapkan haluan itu akan diteruskan menerusi acara ini," katanya.

Dalam pada itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan bintang pertandingan bakat nyanyian Zo'r-Zo'r Star menerusi lagu Skyfall serta repertoir klasikal Andrea Bocelli oleh penyanyi opera Uzbekistan, Ramiz Usmanov dan Shirin Mamatova.

Tahun ini, Forum Filem Antarabangsa Tashkent dianjurkan serentak dengan Style.Uz Art Week yang menampilkan persembahan fesyen serta karya-karya seni berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Sepanjang acara itu, beberapa bengkel perfileman daripada pengarah serta penulis skrip terkenal akan diadakan selain tayangan naskhah filem yang akan dipertandingkan sepanjang acara selama seminggu itu.

Acara penutup bakal berlangsung esok.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved