Rabu, 23 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kontrak, antara fleksibel dan 'terikat'

Posted:

Kontrak, antara fleksibel dan 'terikat'

Kontrak, antara fleksibel dan 'terikat'

ISU perlanggaran kontrak bukan satu perkara baharu di seluruh dunia, khususnya dalam dunia hiburan. Kebiasaannya, pihak pengurusan akan mengeluarkan kontrak untuk ditandatangani oleh artis yang ingin bernaung di bawah syarikat mereka. Biasanya, isi butiran kontrak yang diberi kebanyakan syarikat meliputi beberapa etika am yang lazimnya serupa dengan mana-mana kontrak di seluruh dunia.

Misalnya, jika seseorang artis itu penyanyi, kontrak yang harus dipatuhi meliputi tahun menghasilkan album, tidak boleh membuat kolaborasi dengan artis syarikat rakaman lain dan sebagainya.

Jika pelakon pula, dia perlu terbabit dalam produk yang dikeluarkan rumah produksi serta beberapa perkara lain yang termaktub di dalam kontrak yang diberi.

Namun, apa yang menjadi isu ialah bagaimana pihak pengurusan memuatkan syarat untuk diberikan kepada artis serta pemahaman pihak artis itu sendiri untuk mengikut garis panduan yang telah mereka tandatangani.

Metrowealth International Group (MIG) misalnya, merupakan salah satu syarikat pengurusan dan penerbitan yang terbesar di Malaysia. Namun, seperti yang semua sedia maklum, antara syarat yang termaktub di bawah kontrak MIG Talents seperti yang sering didakwa ialah larangan artis residen mereka dilarang bercinta.

Memang ia kedengaran seperti 'zalim' menghalang artis residen untuk menjalinkan hubungan cinta kerana perkara tersebut dilihat sebagai terlalu mengongkong sehingga melanggar hak peribadi.

Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo, ada sebab tertentu perkara tersebut dimasukkan sebagai syarat dalam kontrak syarikatnya.

"Kami ada sembilan garis panduan berhubung kontrak itu termasuk mengelak daripada gejala maksiat, artis ditangkap khalwat dan anak luar nikah, menimbulkan cemburu di lokasi dan kontroversi serta syak wasangka.

"Selain itu, ia juga bertujuan mengelak daripada difitnah, diambil kesempatan oleh pihak lain, kehancuran rumah tangga, mengekalkan ikon kepada masyarakat dan mempertahankan maruah artis, keluarga serta syarikat," jelasnya kepada sebuah portal tempatan mempertahankan kontrak syarikatnya.


AERIL ZAFREL dan Wawa Zainal mencetuskan polemik tentang kontrak artis apabila mendakwa 'takut' melanggar kontrak dan terpaksa menipu semua pihak tentang perkahwinan mereka.


Walaupun telah 13 tahun menggunakan kontrak yang hampir serupa kepada kesemua artis yang ingin bernaung di bawah syarikat produksinya, bagaimanapun ia menjadi panas selepas pelakon Wawa Zainal mendakwa merahsiakan percintaan sekali gus perkahwinannya bersama Aeril Zafrel kerana bimbang dimarahi David atas kesilapan mereka melanggar kontrak yang telah dipersetujui.

Kontrak perlu

Pada awal kemunculan, pelakon jelita, Lisa Surihani juga pernah menjadi artis naungan MIG Talents selama lima tahun sejak 2008. Namun, setelah itu, Lisa mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan memberi lebih ruang bagi dirinya menguruskan karier sendiri.

Bagaimanapun, ketika ditebak soalan tentang kewajaran pihak pengurusan memasukkan klausa tentang larangan tersebut, jelas Lisa, ia perlu jika untuk menjaga kelakuan seseorang artis.

"Saya faham mengapa sesetengah syarikat meletakkan syarat tersebut kerana tidak mahu benda buruk berlaku pada masa hadapan. Pada masa yang sama juga ia merupakan tanggungjawab artis itu sendiri untuk menjaga perangai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," tutur Lisa memberi pendapat peribadi.

Akui Lisa, lima tahun bernaung di bawah pihak pengurusan MIG, syarikat tersebut memang banyak membantu dari segi karier sebagai seorang pelakon. Malah katanya, perkara yang paling penting ialah artis itu sendiri perlu meneliti dan memahami kontrak yang diberi sebelum bersetuju.

"Jujurnya, ketika saya tandatangan kontrak bersama MIG, saya mempunyai hubungan dengan seseorang dan jika saya berbuat demikian saya akan dianggap melanggar kontrak. Jadi, sebelum saya turunkan tandatangan, saya telah berbincang dan minta ia diubah.

"Kita sepatutnya berkomunikasi dengan pihak pengurusan. Kita harus jelaskan kepada mereka serta berani tampil menceritakan hal sebenar. Kita harus menjaga jenama yang mengikat kita dan untuk itu kita perlu mempunyai kesedaran bahawa kita mempunyai tanggungjawab sebagai artis," bicara isteri kepada komposer serta penerbit terkenal, Yusry Abdul Halim itu.


KETUA Pegawai Eksekutif MIG, David Teo tidak menyembunyikan fakta tentang kontrak syarikatnya yang mempunyai sembilan perjanjian yang perlu dipersetujui.


Sementara itu, bagi penyanyi bersuara lunak Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan pula, kini dia lebih selesa dan gembira menguruskan diri sendiri.

Bagaimanapun, dia yang mempunyai syarikat pengurusan sendiri, Like Music bagaimanapun, pernah suatu ketika dahulu bernaung di bawah syarikat rakaman EMI sekitar tahun 2003.

Mengimbau pengalamannya bersama pihak EMI, cerita Alyah, selain banyak membantu dalam karier sebagai seorang penyanyi, syarikat tersebut juga tidak pernah menghalang keputusan yang dibuatnya.

"Alhamdulillah, sewaktu bernaung di bawah syarikat rakaman EMI, mereka banyak membantu saya dan ketika ingin keluar, mereka bersetuju dan memberikan kerjasama yang baik. Ia sebenarnya terpulang kepada seseorang artis itu sendiri.

"Saya telah melepasi zaman (terikat dengan kontrak) tersebut. Apa yang penting, sebagai seorang artis, mereka perlu tahu apa yang dimahukan sebelum tandatangani kontrak. Ini kerana, situasi yang dialami setiap orang berbeza," katanya.

Tambah penyanyi itu lagi, syarikat rakaman atau pengurusan itu umpama tauke kedai yang mampu menentukan apa sahaja. Namun, jika perlu atau ingin mengubah kontrak yang diberikan, jangan takut untuk berbincang.

Katanya: "Kesimpulannya, seseorang artis itu harus berfikir masak-masak untuk buat keputusan dan tahu apa yang mereka mahu sebenarnya. Mungkin jika mahukan sesuatu, perlu bawa berbincang dengan baik."

Kontrak bersifat fleksibel

Bagi pemilik syarikat pengurusan artis, Indigital Sdn. Bhd., Nana Mohamad Rom yang telah hampir lima tahun mengendalikan syarikat tersebut bersama suami, klausa yang termaktub di dalam kontrak sebenarnya boleh dibawa berbincang.

"Ini kerana bagi saya kontrak yang dibuat itu bersifat fleksibel. Sebelum menandatangani kontrak, ia tentang persetujuan bersama dan seseorang artis itu ada hak untuk pinda. Namun, sebagai pengurus, kami tahu apa yang terbaik untuk artis yang kami jaga.

"Justeru, sebelum tandatangan kontrak, fikir apa yang dimahukan dan baca dahulu ia dengan betul. Jangan ghairah sebab dapat peluang jadi artis dan kemudian akan timbul perkara berbangkit pada kemudian hari.

"Pokoknya di sini, apa juga perkara yang rasa kurang puas hati tentang kontrak, boleh dibawa bincang secara baik," kata Nana ketika dihubungi Kosmo!.

LISA menegaskan seseorang artis jangan bimbang untuk berbincang tentang kontrak yang bakal ditandatangani dengan sesebuah syarikat yang dinaungi.


Perlu faham

Tambahnya lagi, bagaimanapun, pihak pengurusan tidak perlu untuk menyekat rezeki artis dengan 'menahan' mereka di bawah kontrak yang diberi. Jika mungkin pada pertengahan jalan, artis tidak berpuas hati dengan pengurusan yang diberikan, maka mereka boleh ambil keputusan untuk keluar setelah bersemuka secara baik.

Kesimpulannya, tutur Nana, apa yang penting, artis tersebut perlu faham 'bahasa kontrak' atau 'bahasa undang-undang' yang ditulis dalam sesebuah kontrak itu.

"Saya sering kali akan bertanya kepada artis tersebut sama ada mereka faham atau tidak dengan klausa yang dibaca. Mungkin kebanyakan mereka yang kurang faham, dan akibatnya, mereka terperangkap dengan kontrak yang ditandatangani oleh diri sendiri," jelasnya yang menyeru artis baharu mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap klausa sesebuah kontrak yang dimeterai," katanya.

Kontrak pelik selebriti Hollywood

Posted:

Kontrak pelik selebriti Hollywood

Kontrak pelik selebriti Hollywood


JENNIFER LOPEZ


MUNGKIN perlanggaran kontrak menjadi isu besar dalam industri hiburan tempatan. Jarang sekali kita mendengar ada artis yang meminta untuk menambah klausa yang bersifat peribadi di dalam kontrak yang diberi.

Namun, di Hollywood, perkara sebaliknya berlaku apabila selebriti mereka menambah pelbagai perkara pelik dimasukkan ke dalam kontrak mereka, terutama sewaktu melakukan siri konsert jelajah.

Apa yang menariknya, keinginan 'diva' selebriti-selebriti Hollywood ini sering ditunaikan oleh syarikat pengurusan, rakaman mahupun orang yang bertanggungjawab menjaga kehendak besar mereka.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan, seiring dengan perangai diva mereka, kejayaan yang dikecapi atau diperolehi mereka juga sangat tinggi.

Oleh itu, mereka merasakan jika telah bersusah payah untuk mencapai tahap sekarang, tiada salah jika apa yang dimahukan harus ditunaikan.

Jennifer Lopez

Bagi penyanyi bertaraf diva, Jennifer Lopez, setiap kali terlibat dengan sesuatu aktiviti, bintang tersebut pasti meminta perkara yang di luar dugaan. Misalnya, pernah sekali ketika dirinya terlibat dengan pembikinan video amal bagi membantu masyarakat Afrika, dia benar-benar menuntut beberapa perkara untuk memenuhi kehendak dirinya yang pelik itu.

Ketika itu, dia meminta bunga berwarna putih, perabot putih serta langsir putih termasuk masakan Cuba. Pada hakikatnya, penglibatan Lopez menerusi video tersebut hanya sebagai penampilan istimewa yang memerlukan dia selama kurang dari sejam.

MARY J. BLIGE sering menggunakan nama yang tidak dikenali sewaktu mendaftar masuk ke hotel.


Mary J. Blige

Bagi ratu hip-hop ini pula, setiap kali terlibat dalam siri jelajah atau persembahan, nama daftar masuknya di hotel pasti dikenali sebagai Puan Jefferson. Selain itu, wanita kelahiran New York, Amerika Syarikat ini mahukan pihak pengurusan menukar tempat duduk tandas yang baharu untuk kegunaannya seorang.

Christina Aguilera

Penyanyi genit yang bersuara lantang ini pula merupakan seorang wanita yang sangat mementingkan kesihatan diri. Dia akan membuat permintaan sentiasa mahu disediakan kopi. Bagaimanapun, ia bukan kopi biasa, sebaliknya kopi tersebut perlu dicampur dengan susu dan keju yang diperbuat dari soya, Echinacea, vitamin C serta vitamin kunyah Flintstones.

John Mayer

Penyanyi tinggi lampai John Mayer ini pula merupakan penggemar gigi yang sempurna. Oleh itu, biasanya Mayer meminta empat batang berus gigi yang mempunyai berus lembut serta pencuci mulut Listerine.

Bukan itu sahaja, dia juga telah meminta ubat gigi Sensodyne berperisa pudina atau ubat gigi berjenama Tom's Of Maine termasuk penyegar mulut berjenama Altoids.

Selain itu, Mayer hanya memakan buah-buahan organik serta susu soya, ketika siri jelajahnya pada tahun 2005.

Malah, sewaktu kemaruk bercinta pada tahun 1008, Mayer meminta klausa kontrak perlu memasukkan percutian buat dia dan kekasihnya sekali!

Unit kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen

Posted:

Unit kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen

Unit kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen

MASALAH perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan seseorang bertindak di luar batasan.


INSIDEN tragis melibatkan seorang anggota polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak dirinya sendiri di Ledang, Johor baru-baru ini menunjukkan soal tekanan mental yang dialami anggota keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

Tekanan jiwa yang mereka hadapi, baik soal peribadi mahupun profesion wajar diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak bertindak di luar jangkaan ekoran stres yang melampau. Lebih-lebih lagi membabitkan mereka yang berpakaian seragam biru dan memegang senjata api.

Satu hasil kaji selidik yang dijalankan dari tahun 2007 hingga 2009 oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati, 53.7 peratus daripada 453 anggota pasukan keselamatan di enam balai polis di Wilayah Persekutuan mengalami stres di tempat kerja.

Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) dan doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian itu juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota biasa iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.

Insiden di Johor itu bukan pertama kali direkodkan. Dalam satu kejadian menyedihkan pada 26 April 2012, Konstabel Mohamad Sobri Md. Sidik, 22, yang bertugas di Istana Anak Bukit, Kedah, maut di tepi pintu pagar istana itu akibat ditembak rakan setugas dipercayai akibat perselisihan faham.

Pada April 2011, seorang konstabel ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala dalam biliknya di kuarters Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pada bulan Februari 2011 seorang sarjan ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Jalan Mahang, Puncak Alam 2, Selangor.

Pada Disember 2009, seorang sub inspektor pula ditemui mati dengan kesan tembakan di pejabat cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Dalam ketiga-tiga kejadian itu, tekanan jiwa disebabkan masalah keluarga atau kerja tidak dapat ditolak.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang konstabel untuk membayar ganti rugi sebanyak RM585,000 kepada bekas isteri dan abang iparnya selepas cedera ditembak lelaki itu, tiga tahun lalu di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.


TUGAS kepolisan amat mencabar dan menuntut ketahanan mental dan fizikal.


Kesemua kejadian itu jelas menunjukkan bahawa isu tekanan mental anggota polis perlu diberi perhatian serius termasuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan mental menyeluruh dan mengambil langkah pencegahan serta pemulihan bagi mengelak perkara tidak diingini.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini menyarankan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan sebuah unit khas kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen (IPK) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anggotanya.

Lam Thye yang juga anggota Majlis Penasihat Penggalakan Kesihatan Mental berpendapat, masalah mental perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan anggota pasukan keselamatan melakukan tindakan di luar batasan. Unit kaunseling atau psikologi bertindak sebagai pencegahan awal dengan memberi nasihat, pandangan dan mengenali tanda-tanda masalah mental yang dihadapi anggota.

Buat masa ini, Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) telah diwujudkan di setiap kontinjen, namun peranan unit itu terlalu umum dan tidak memberi pengkhususan terhadap masalah mental semata-mata, kata Lam Thye.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah mewujudkan unit kaunseling itu wajar dipertimbang bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti anggota pasukan.

Beliau turut mencadangkan agar jawatan kaunselor atau doktor pakar kesihatan mental diwujudkan bagi tujuan itu.

Proses pengambilan

"Saya setuju dan ia merupakan satu cadangan yang baik.

"Saya melihat kewujudan unit khas itu perlu, selari dengan bebanan kerja yang bertambah. Ia mungkin boleh menyebabkan timbul isu tekanan mental dalam kalangan anggota," kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar pula mencadangkan PDRM memperketatkan proses pengambilan anggota dengan menyelitkan ujian psikologi atau stres bagi mengesan peringkat awal masalah kesihatan mental yang adakalanya disebabkan keturunan.

"Sebelum pengambilan anggota, perlu dibuat pemeriksaan latar belakang dan ujian tekanan oleh pakar bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah dari segi mental kerana tugas kepolisan ini amat mencabar dan menuntut ketahanan mental dan fizikal.

"Jika sejak awal mereka tidak mampu menangani stres, sudah tentu mereka tidak sesuai untuk menyarung uniform biru," katanya.


ANGGOTA keluarga Koperal Fadzly Omar, 29, tidak dapat menahan sebak melihat jenazah Fadzly ketika ditemui di rumah mayat Hospital Tangkak,Johor. Fadzly bertindak menembak mati isteri dan bapa mertuanya sebelum menembak dirinya sendiri.


Bagaimanapun, bagi anggota sedia ada, PDRM perlu memperbanyakkan latihan atau aktiviti seperti kursus ketenangan jiwa dan kursus mengatasi stres bagi menangani masalah suasana kerja dan kehidupan.

Akhbar juga mencadangkan supaya diwujudkan unit khas kaunseling.

"Anggota polis yang berasakan mereka mempunyai masalah pula perlu bersikap lebih terbuka untuk ke kaunseling. Ada anggota yang mungkin enggan dan segan suarakan tekanan yang dihadapi, membuatkan apa yang disimpan itu akhirnya 'meletup' dan berlaku sesuatu di luar jangkaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar masalah mental dalam kalangan anggota polis sebenarnya belum mencapai tahap serius tetapi kelihatan seperti ramai yang terlibat disebabkan bilangan keanggotaannya yang semakin bertambah.

Punca stres

Bagaimanapun, ia perlu diberi perhatian segera dan dicari jalan penyelesaian terbaik supaya masalah seperti kemurungan, penyakit mental dan gangguan jiwa dapat dielakkan agar insiden di luar jangka tidak berulang.

Akhbar berkata, stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab utama iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi yang ketat dalam organisasi dan masalah individu itu sendiri.

"Mungkin ada faktor keturunan tetapi kebanyakkannya faktor alam sekeliling seperti bebanan tugas yang banyak kerana kekurangan nisbah anggota polis dan memerlukan masa yang cepat untuk menyelesaikan kes yang banyak, penangguhan kes di mahkamah selain berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat terhadap polis.

"Ia juga mungkin kerana anggota itu menanggung banyak hutang selain tertekan dengan masalah keluarga seperti isteri yang mendesak, tabiat buruk diri, gaji yang kecil dan juga pengalaman buruk berhadapan dengan penjenayah yang mungkin menyaksikan rakan sepasukan terbunuh. Ini semua mewujudkan stres," katanya.

Anggota polis yang mengalami stres dan terus mendiamkan masalah mereka dikhuatiri berisiko berdepan dengan penyakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku termasuk menyebabkan nyawa orang lain terancam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin pula berkata, PDRM akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaan dapat dibantu dari awal.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksana segera untuk memastikan tiada anggota atau warga PDRM hilang pertimbangan lalu bertindak di luar batasan.

"Kita perlu membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah. Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya.

Justeru dalam usaha pasukan itu menjaga keselamatan negara dan awam, kesihatan mental warganya tidak sesekali diabaikan, sekali gus meningkatkan motivasi dan prestasi kerja mereka. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved