Ahad, 20 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dulu kaki bola, kini penggubah bunga

Posted:

Dulu kaki bola, kini penggubah bunga

Dulu kaki bola, kini penggubah bunga

LELAKI yang berusia 37 tahun itu bukan calang-calang orangnya. Cita-citanya tinggi dan semangatnya sentiasa membara. Bahkan, kejayaan yang dikecapi bukan untuk dirinya sahaja. Meskipun banyak ranjau berduri yang dilalui, beliau nekad mahu membantu kaumnya.

Prinsip beliau mudah. Semua orang boleh berjaya, yang penting perlu ada kesungguhan.

"Saya ingin bantu orang Melayu, hendak mereka tahu yang setiap orang ada peluang untuk berjaya asalkan ada idea asli, kesungguhan yang tinggi dan ruang serta peluang untuk mencuba," luah Mohd. Azmy Osman atau lebih mesra dengan panggilan Azmy meniup kata-kata semangat.

Hampir tujuh tahun dalam bidang gubahan dan dekorasi, anak jati Selangor itu memegang portfolio pelanggan yang bukan calang-calang. Sentuhan magisnya dapat dilihat pada kebanyakan acara kelolaan Istana Negara.

Bahkan, sentuhannya juga menyebabkan beliau memperoleh kepercayaan sebagai penggubah kegemaran di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, Putrajaya.

Berganti kerjaya

"Dua pihak inilah yang banyak menyokong saya. Sekembalinya dari London, saya menerima jemputan untuk melakukan kerja-kerja gubahan dan dekorasi acara di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Seri Satria. Ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak masih bergelar timbalan. Alhamdulillah sehingga kini sentuhan saya masih menjadi pilihan pihak beliau," ujar Azmy merendah diri.

Menurut Azmy, beliau seorang yang sukakan seni dan melihat setiap perkara sebagai cabang seni yang tersendiri. Bola sepak juga seni cuma bezanya ialah tahap ketekunan bagi mencipta nilai seni tersebut.


PEMILIHAN bahan asas dekorasi Azmy difokuskan kepada tema acara.


"Seperti bunga, saya memilihnya atas dasar yang mudah. Semua orang menyukai bunga dan ia menjadi perlambangan kepada kedamaian dan keharmonian.

"Falsafah saya terhadap bunga juga ringkas. Ia memberikan saya ketenangan dan kedamaian, seolah-olah berada di dalam dunia lain," kongsi Azmy yang amat menggemari bunga teluki (carnation).

Tambahnya, masa yang diambil bagi menjelmakan setiap dekorasi yang unik memerlukan penyelidikan dan pembangunan untuk beberapa bulan sebelum acara berlangsung.

"Bagi mengelakkan sebarang masalah pada hari majlis berlangsung, saya pastikan bahan yang digunakan sesuai mengikut tema acara. Selepas proses perangkaan, barulah saya mencari bahan-bahan yang diperlukan dan melakukan eksperimen awal.

"Gubahan dan dekorasi akhir hanya akan dibuat kurang daripada 24 jam sebelum acara berlangsung.

"Bunga boleh bertahan selama lima jam tanpa air tetapi petua untuk kekalkan kesegaran sehingga enam atau tujuh jam ialah jangan sesekali dedahkan bunga-bunga tersebut kepada cahaya matahari secara langsung," tambah Azmy yang menerima bekalan bunga dari India, China, Belanda dan New Zealand.

Perjalanan karier Azmy bermula sebagai pemain bola sepak dan beraksi di atas padang. Beliau kemudiannya bertugas sebagai penyunting video sebelum menjadi pemilik butik pengantin. Kini, beliau seorang penggubah bunga dan dekorasi yang disegani.

Impian sejak zaman kanak-kanaknya, hanya mahu menjadi atlet bola sepak. Keinginannya itu direalisasikan begitu awal apabila dia terpilih mewakili pasukan Kuala Lumpur bawah 12 tahun. Garis masa remajanya dihabiskan di Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur sehingga usia 17 tahun.

Pemain simpanan

Prestasi cemerlang Azmy melayakkannya untuk diserap ke dalam skuad utama Kuala Lumpur ketika bakatnya masih hijau. Mengisi posisi pertahanan kanan dan tengah, khidmat Azmy kemudiannya ditagih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk liga amatur. Memasuki usia 20 tahun, dia bermain untuk kelab Sinaran Belia dan PKNS dalam Liga Selangor.

"Masa itu juga saya terpilih sebagai pemain simpanan skuad Selangor. Bagaimanapun demi menambah kemajuan, saya berhijrah ke pasukan Kuala Lumpur dalam liga simpanan (Piala Presiden) selama tiga tahun. Sempatlah saya bermain untuk liga utama iaitu Liga Malaysia.


KULIT durian antara bahan hiasan kreatif Azmy yang menarik perhatian ramai.


"Tamat kontrak bersama Kuala Lumpur, saya berubah angin ke skuad NS Cempaka, Melaka dan berakhir di Negeri Sembilan," kongsi Azmy yang terpaksa menguburkan kecintaannya dalam arena bola sepak profesional usai mengalami kecederaan buku lali.

Peristiwa itu benar-benar menguji kecekalan hatinya. Bagi merawat jiwanya, beliau mencari peluang dalam bidang fotografi iaitu cabang seni yang menjadi hobinya sejak sekian lama.

Mengambil upah sebagai jurugambar dan jurugambar video bebas, Azmy mengambil inisiatif menambah pengetahuannya dalam bidang tersebut secara serius. Kursus pendek dalam bidang animasi dan video di The One Academy, Selangor hampir dua tahun memberi laluan kepada Azmy bekerja sebagai penyunting video di sebuah organisasi media tempatan.

Dalam tempoh tersebut, Azmy membina kenalan dalam industri andaman dan dandanan. Populariti industri itu dalam tempoh sedekad lalu menyebabkan Azmy nekad membuka sebuah butik perkahwinan.

"Waktu itu hanya fikir hendak buat duit, jadi idea-idea rekaan busana, hiasan pelamin dan gubahan bunga semua tidak asli, banyak tiru orang lain," luah Azmy mengimbas kisah lama. Namun, rezeki tidak menyebelahinya apabila perniagaan tersebut gagal bertahan.

Berbekalkan wang yang masih berbaki, Azmy ke London untuk mendalami dunia gubahan bunga di sebuah kolej tetapi apa yang mengecewakan ialah beliau hanya diajar prinsip asas.

Perkenalan dengan seorang penggubah bunga prolifik di peringkat antarabangsa, Zita Elze mengubah keseluruhan hidup Azmy. Kelananya ke metropolis itu tidak sia-sia saat dia mendaftar diri di Zita Elze Designer Academy, sekolah gubahan dan dekorasi pimpinan Elze.

"Elze ialah antara pereka dekorasi terbaik di dunia. Peluang belajar dan bekerja dengannya sangat berharga. Selain guru, dia juga ibarat ibu saya di London. Elze mengajar bagaimana untuk berfikir di luar kotak, menghasilkan rekaan tidak realistik tetapi menawan.

Dekorasi di istana

"Fokus ialah pelajaran terpenting dalam kelas Elze. Saya pernah hampir putus asa untuk memahami teori yang diajar. Lama-kelamaan saya berjaya menguasainya dan dipanggil untuk kerja dekorasi resepsi perkahwinan berkonsep taman yang ringkas," ujarnya.

Kesungguhan Azmy membuka mata Elze. Beliau diberi kepercayaan untuk membantu Elze menguruskan dekorasi bagi acara rasmi di Istana Buckingham. Kepercayaan itu jugalah memberi peluang kepadanya bersua muka dengan Ratu Elizabeth II buat julung-julung kalinya.

Kreativiti Azmy kemudiannya terus ditagih masyarakat di bumi Eropah. Antara hasil kerja 'gila' Azmy ialah pada majlis peninggalan Kota Perang di London. Gumpalan tar jalan bersatu aneh dengan lalang yang disusun meliar di atas meja, kasut but yang dipakai perajurit-perajurit negara itu pula dibakar bagi menghidupkan efek dramatik yang kemudiannya dilengkapi lingkaran bunga-bungaan.

"Orang luar sukakan benda-benda pelik. Pernah sekali untuk majlis berkonsep maskulin, saya susun pisau belit di atas kayu di sepanjang meja, lalu saya tambah cili api sebagai penegasan. Mesejnya ringkas, ketiga-tiga item itu mendukung karakteristik lelaki secara fizikal dan dalaman," katanya yang bakal muncul dalam program dekorasi TV yang dikendalikan sendiri di saluran Alhijrah dan RTM.

Pesanan gurunya cukup berbekas di hati Azmy supaya beliau tidak terikat kepada konsep Inggeris, sebaliknya belajar bereksperimen dan tampil dengan sesuatu yang asli.

"Baru saya sedar betapa bertuahnya kita kerana mempunyai manggis, rambutan, durian, petai, semalu dan duit-duit serta bunga-bunga tropika yang tidak terdapat di tempat lain. Dari situ saya olah dekorasi menggunakan barangan tempatan," kata anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu. Apa yang penting katanya ialah fokus, kaji majlis yang dijalankan, lakar konsep dan cari bahan yang signifikan.

Kehebatan perkhidmatan bidan di Sweden

Posted:

Kehebatan perkhidmatan bidan di Sweden

Kehebatan perkhidmatan bidan di Sweden


LAAFTMAN memeriksa kandungan Singelman di klinik Mama Mia, Sweden.


HANYA sekali menjalani ultrabunyi dalam tempoh sembilan bulan dan tidak perlu berjumpa doktor. Itulah gambaran penjagaan ibu-ibu mengandung di Sweden.

Walaupun tidak melakukan prosedur seperti negara-negara Barat lain, gaya penjagaan ibu mengandung di negara itu terbukti membawa kebaikan.

Organisasi Selamatkan Kanak-Kanak menyatakan, Sweden merupakan negara kedua terbaik di dunia untuk bakal ibu selepas Finland.

Menurut Laporan Kesihatan Perinatal Eropah 2010, negara tersebut mencatat kadar kematian terendah selepas Iceland iaitu sebanyak 1.5 kematian daripada 1,000 kelahiran manakala jumlah ibu yang meninggal semasa melahirkan anak ialah 3.1 daripada 100,000 kelahiran.

Di Sweden, bidan-bidan diberi kepercayaan untuk menjaga kesihatan ibu mengandung dan janinnya.

Ia merupakan satu-satunya rawatan yang boleh didapati oleh kaum wanita dan diberikan secara percuma kepada pesakit bawah faedah kesihatan negeri.

"Seorang doktor boleh dipanggil jika bidan mendapati ada sesuatu yang tidak kena kepada ibu yang mengandung," kata seorang bidan di pusat bandar Stockholm, Sofie Laaftman.

Bagi mereka yang biasa dengan rawatan perubatan intensif semasa mengandung, cara masyarakat Sweden mungkin dilihat sebagai rawatan asas sahaja.

Antara rawatan tersebut ialah ujian darah dan air kencing untuk mengesan kekurangan vitamin atau anomali, pemeriksaan tekanan darah ibu dan denyutan jantung janin serta nasihat pemakanan.

Bayi pramatang

Ibu yang mengandung normal tanpa sebarang komplikasi akan menjalani rawatan ultrabunyi sekali sahaja dalam tempoh sembilan bulan.

"Kehamilan adalah keadaan yang biasa dan ia tidak sakit," kata seorang Profesor Penjagaan Kesihatan dan Sains di Universiti Gothenburg, Marie Berg.

Laaftman turut menyokong kenyataan Berg dengan memberitahu kebanyakan wanita ber usia bawah 40 tahun tidak memerlukan rawatan rapi kerana tubuh badan mereka masih sihat dan mampu melahirkan anak. Ia adalah proses semula jadi bagi seorang ibu.

Kajian saintifik Kerjasama Cochrane membuat kesimpulan bahawa kebanyakan wanita yang tidak mempunyai komplikasi kehamilan mendapat banyak kelebihan jika menggunakan khidmat seorang bidan berbanding doktor.


KELAHIRAN bayi juga turut disambut oleh bidan dan doktor cuma akan dipanggil jika berlaku komplikasi. - Gambar hiasan


Penulis kajian itu menyatakan, penjagaan seorang bidan mampu mengurangkan jumlah kelahiran bayi pramatang. Di Sweden, hanya lima peratus kelahiran bayi lahir pramatang.

Segelintir ibu mengandung di negara itu yang kurang berinteraksi bersama bidan atau doktor akan mengalami kesukaran semasa melahirkan bayi mereka.

Seorang ibu mengandung, Christina Singelman, 31, berkongsi pengalaman kandungan pertamanya apabila dia dibelenggu rasa sunyi kerana kurang bertemu dengan doktor.

Singelman berkata, dalam tempoh kandungannya berusia 10 minggu, dia hanya mendapatkan satu rawatan di klinik bagi rawatan ultrabunyi.

Bagi Adina Trunk, 33, dia telah berjumpa dengan dua bidan berbeza untuk kedua-dua kandungannya kerana menghadapi masalah yang sama.

"Bidan-bidan ini sangat berwibawa, tetapi kaedah itu sendiri telah meletakkan mereka dalam kedudukan yang pasif atau kurang bercakap.

"Para ibu mengandung terpaksa mengambil inisiatif untuk bertanya soalan atau berkemungkinan berjumpa dengan pakar lain," katanya.

Kelahiran bayi

Di samping itu, kelahiran bayi juga turut disambut oleh bidan. Doktor akan terlibat sama jika berlakunya komplikasi semasa kelahiran bayi tersebut atau jika ibu mengandung meminta suntikan epidura.

Bidan di Sweden telah diberi kepercayaan penjagaan ibu mengandung sejak abad ke-18 lagi.

Peningkatan profesion perubatan moden pada hari ini turut memberi kesan kepada bidan-bidan apabila mereka terpaksa menyerahkan separuh daripada tanggungjawab kepada doktor.

Namun, bidan di Sweden tetap berterima kasih kepada sokongan yang telah diberikan oleh doktor sekali gus mewujudkan kesatuan yang kukuh.

Sistem itu juga tidak pernah dipersoalkan ekoran rekod prestasi yang kukuh.

Jumlah kelahiran bayi secara pembedahan juga rendah di Sweden dengan kira-kira 17 peratus pada 2011 dan hanya 10 peratus wanita melakukan episiotomi.

Episiotomi adalah pengguntingan kulit dan otot antara faraj dan dubur untuk melebarkan ruang bagi bayi keluar. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved