Rabu, 16 Oktober 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Artifak sejarah wang, mata wang menyeluruh

Posted:

Artifak sejarah wang, mata wang menyeluruh

Artifak sejarah wang, mata wang menyeluruh

Oleh ADLAN JAAFAR

KEDATANGAN Ahmad Zaki Rosli ke Sasana Kijang yang terletak di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur pada minggu lalu adalah untuk membuat rujukan bagi tugasannya sebagai seorang pelajar reka bentuk grafik.

Menurutnya, kadangkala idea dapat dijana bukan sahaja melalui pembacaan atau melayari internet tetapi dengan mengunjungi tempat-tempat pameran.

"Gaya pameran di sini unik dan tidak konvensional. Ia dapat dilihat dengan cara maklumat disampaikan dan kepelbagaiannya," cerita Ahmad Zaki ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lelaki yang berusia 20 tahun turut tertarik dengan karya seni di sebalik bahan pameran dan artifak yang dipertontonkan.

Antaranya, corak yang tertera pada kedua-dua muka syiling pada masa lampau serta beberapa jenis peralatan untuk membuat syiling emas dan timah.

Reka bentuk bangunan yang diilhamkan daripada siput gerus, bahagian depan bangunan merupakan penafsiran semula motif songket dan kelarai.

Unsur yang terdapat pada kedua-dua elemen tersebut diberi interpretasi baharu menghasilkan reka bentuk moden, namun masih lagi bercirikan Malaysia.

Sasana Kijang yang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman mempunyai tujuh aras yang menempatkan beberapa ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seri Bank Negara Malaysia.

Barangkali ada dalam kalangan orang ramai yang tertanya-tanya maksud perkataan sasana. Susunan aksara itu daripada bahasa Sanskrit bermaksud pusat, bangunan atau tapak. Kijang pula merupakan logo bagi Bank Negara Malaysia (BNM).


DUIT haiwan yang pernah digunakan oleh pawang untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu.


Tangga berputar

Melangkah kaki ke dalam ruang legar ke galeri-galeri yang terdapat di Sasana Kijang, mata para pengunjung pasti tertancap pada satu binaan tangga berputar di tengah-tengahnya. Tangga tersebut mengambil inspirasi daripada cengkerang siput.

Dikenali sebagai tangga nautilus, ia menghubungkan ketiga-tiga aras di dalam Muzium dan Galeri Seni (MAG) BNM. Semakin tinggi aras, tangga berpusar lebih besar. Uniknya tangga tersebut, tiada sebarang tiang yang menyokong tangga-tangga itu berpusar sehingga ke atas.

Terdapat enam buah galeri di situ iaitu Galeri Seni, Galeri Numismatik, Galeri BNM, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam dan Galeri Kanak-Kanak.

Galeri Numismatik yang sering menjadi tarikan bagi peminat duit antik merupakan yang menarik kerana menempatkan banyak artifak sejarah mengenai wang dan mata wang secara menyeluruh.

Bermula dengan pameran sistem barter sehingga spesimen mata wang dunia, pameran di galeri itu adalah untuk menjana minat pada koleksi BNM.

Di ruang pameran artifak, terdapat pelbagai bentuk wang yang pernah digunakan pada masa lalu seperti wang bentuk haiwan, jongkong timah, wang awal yang digunakan di negeri-negeri Melayu, wang awal Borneo, wang Cina dan Siam terawal yang digunakan di negeri-negeri Melayu.

Bukan sahaja mempunyai bentuk yang menarik tetapi terdapat kisah di sebalik mata wang timah berbentuk haiwan.

Menurut kurator Galeri Numismatik, Rohaya Juli, mata wang itu dibangunkan sekitar abad ke-18 di Perak dan Selangor.

"Pawang membuat jongkong pelbagai bentuk haiwan untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu" jelasnya.

Selain itu, di bahagian Denai Duit Syiling (River of Coin) menyaksikan satu koleksi syiling sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sehingga penjajahan Barat.


MESIN pencetak cek keluaran tahun 1910 ini digunakan untuk melindungi amaun pada sekeping cek daripada diubah.


Pangkalan data

Berhadapan dengan peti-peti yang mempamerkan duit syiling terdapat imej yang dipancarkan dari kiri ke kanan mengikut aliran pergerakan para pengunjung.

"Pelawat boleh memilih salah satu imej syiling bagi membuka pangkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat informasi termasuk sejarah dan penggunaannya dengan menekan butang di depan peti pameran bergelas ini," katanya lagi.

Di Galeri Kewangan Islam, sebuah glob Bumi menjadi pusat tarikan. Pelawat boleh menekan butang pada panel bagi mendapatkan maklumat yang bakal terpapar pada glob tersebut.

Galeri Ekonomi pula, gaya maklumat dipersembahkan mempunyai kepelbagaian supaya sesuai dengan beraneka peringkat usia.

Bagi golongan profesional yang mahu mendapatkan maklumat mengenai perjalanan ekonomi negara, surat khabar gergasi yang tertulis berita-berita mengenai ekonomi menjadi tarikan.

Bagi para pelajar sekolah yang mahu memahami secara ringkas mengenai rakan dagangan utama Malaysia, sebuah replika kapal kontena dibina di galeri itu.

Setiap kontena mempunyai nama negara yang menjadi rakan dagangan dan apabila dibuka, maklumat mengenai barang-barang dagangan dipaparkan dalam bentuk gambar. Ia sangat menarik dan mudah difahami tanpa mengira peringkat usia.

Jangan sangka MAG hanya sesuai untuk kelompok pelajar sehingga profesional, kanak-kanak yang datang juga boleh belajar mengenai wang dengan cara yang sangat menghiburkan.

Galeri Kanak-Kanak di aras bawah pasti mengujakan kanak-kanak mahupun orang dewasa.


BANGUNAN Sasana Kijang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ini mempunyai tujuh aras yang menempatkan ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.


Duit sebenar

Sebaik kaki melangkah, pelawat akan melalui Terowong Satu Juta yang mengandungi duit sebenar sebagai hiasan dinding terowong.

Di galeri itu, semua maklumat disampaikan secara permainan seperti mesin imbas harga barangan, mesin manual membuat duit dan mengesek duit syiling.

Sebuah kaunter bank olok-olok dibuat bagi mewujudkan rasa tanggungjawab menyimpan wang dalam diri kanak-kanak.

Setiap galeri direka dengan mempunyai keunikan tersendiri baik dari segi persembahan maklumat mahupun gaya bahan pameran dibuat.

Pamukalle, Cappadocia tarikan tersembunyi Turki

Posted:

Pamukalle, Cappadocia tarikan tersembunyi Turki

Pamukalle, Cappadocia tarikan tersembunyi Turki


PEMANDANGAN kawasan berbatu di sekitar Uchisar dari belon udara panas.


PENERBANGAN dengan pesawat Pegasus Airline dari Basel, Switzerland ke Izmir, Turki mengambil masa kira-kira lapan jam.

Tiada hotel yang indah untuk saya dan empat rakan sepanjang percutian di bumi Turki, sebaliknya kami telah menyusun jadual untuk percutian bajet di negara itu.

Destinasi pertama kami ialah Pamukalle untuk melihat kewujudan Benteng Putih. Dari Denizli, kami menaiki bas ke Pamukalle yang sejauh tiga kilometer dengan kadar bayaran 30 Lira (RM48) untuk perjalanan pergi dan balik.

Terlelap seketika sewaktu perjalanan menuju ke situ, perasaan bahagia menjengah hati apabila melihat keindahan kawasan itu pada waktu pagi.

Bayaran sebanyak RM32 dicaj untuk pelancong meneroka keunikan Pamukalle.

Nama Pamukalle merupakan gabungan dua perkataan yang unik iaitu kapas (Pamuk) dan istana (Kale) dalam bahasa Turki. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan seperti kawasan bersalji.

Namun, tanggapan tersebut ternyata silap kerana ia bukannya salji sebaliknya sebuah kawasan dipenuhi kapas yang berbentuk istana dan dikategorikan sebagai destinasi ajaib kelapan di dunia.

Terdapat sebuah kolam air panas semula jadi yang bersuhu 35 darjah Celsius di kawasan itu.

Di situ, ramai pelancong terutamanya dari rantau Eropah menikmati rendaman dalam air yang mempunyai kandungan garam kalsium yang tinggi.

Kawasan tamadun awal Byzantine iaitu Hierapolis menjadi tarikan pelancong di Pamukalle kerana mempunyai struktur bangunan yang besar dibina tanpa menggunakan paku mahupun simen.

Asas binaan hanya menggunakan batu-bata dan ia masih kukuh sehingga ke hari ini.


KAFE Sunset menyediakan makanan tradisi Turki kepada pelancong yang berkunjung ke Uchisar.


Lokasi lawatan

Cappadocia merupakan satu lagi kawasan yang kami kunjungi. Di situ, kami berkunjung ke Kapadokya yang mengambil masa sembilan jam perjalanan dari Stesen Bas Nevsehir di Denizli.

Setibanya kami di bandar itu, kami dijemput oleh petugas Hotel Nirvana Cave untuk berehat sebentar sebelum meneruskan penerokaan kami di bumi Turki.

Selesai menunaikan solat, kami meminta jadual perancangan perjalanan yang ditawarkan oleh pihak hotel untuk kami melawat tempat-tempat menarik di situ.

Antara lokasi yang dilawati ialah kawasan rumah batu, Lembah Cinta, Muzium Terbuka Gerome, Bandar Bawah Tanah Derinkyu untuk melihat kehidupan pada zaman batu dan menaiki belon panas pada waktu senja di Uchisar.

Keunikan kota itu terletak pada sudut rumah batu atau dikenali sebagai fiery chimneys oleh penduduk di sana.

Kawasan itu juga digelar rumah para peri kerana ia terdiri daripada batuan unik dari zaman purba.

Kawasan berbatu itu digunakan sebagai tempat Orang Batu berlindung daripada cuaca buruk atau binatang liar.

Kami meluangkan masa selama setengah hari di rumah batu dan Lembah Cinta. Pada waktu makan tengah hari, saya berkesempatan menikmati hidangan pasta dan gozleme iaitu martabak bayam bersama segelas minuman berkarbonat di Kavi Restaurant Avanos.

Hidangan itu cukup mengenyangkan dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Sebelum senja, kami bersiap sedia untuk ke Uchisar bagi menikmati pemandangan waktu senja yang indah seperti yang sering diperkatakan oleh pelancong yang pernah berkunjung ke situ.

Sungguhpun Uchisar terletak berdekatan dengan hotel, kami masih perlu menaiki kereta atau van mini untuk ke sana.

Keesokan harinya, seawal pukul 4.30 pagi kami telah bertolak dari hotel untuk menyaksikan belon udara panas di Uchisar sambil menikmati pemandangan di situ.

Cuaca amat sejuk sewaktu kami tiba di sana. Kami menikmati sarapan ringkas bagi mengalas perut dan mendengar penerangan mengenai aspek keselamatan oleh pengemudi sebelum menaiki belon udara panas.

Panorama kawasan sekitar Uchisar amat indah dari ruang udara dan dari atas, kami juga dapat melihat dengan jelas kawasan-kawasan yang telah dilawati pada hari yang sebelumnya.

SALAH satu tinggalan artifak yang menjadi tumpuan pelancong di Hierapolis.


Pengalaman

Dengan bayaran RM431, pengalaman menaiki belon panas itu suatu yang tidak dapat kami lupakan.

Bagi saya, pengalaman itu mengajar untuk mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.

Pihak Assiana, selaku penganjur aktiviti itu, telah menganugerahkan kami sijil penyertaan atas penglibatan dan keberanian kami menaiki belon udara panas berkenaan.

Usai menaiki belon panas pada pukul 8 pagi, kami bersarapan dan bersiap untuk ke Bandar Bawah Tanah di Derinky dan Istana Chavushin untuk melihat kehidupan pada zaman purba di Turki.

Bayaran sebanyak RM24 dirasakan amat berbaloi kerana kami dapat merasakan pengalaman memasuki gua dan meredah laluan rendah yang gelap tetapi luas.

Bagi saya, Turki merupakan sebuah negara yang indah dan unik selain mempunyai nilai-nilai kebudayaan di setiap bandarnya.

Saya berpendapat Pamukalle dan Cappadocia merupakan destinasi yang wajib dikunjungi oleh rakyat Malaysia di Turki selain Istanbul yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Ini kerana perjalanan dari satu tempat ke tempat lain di Turki amat berbaloi tidak kira sama ada dari aspek masa atau wang.

Ia membolehkan anda menikmati detik-detik indah sepanjang percutian di negara penuh nilai sejarah itu.

Berlibur pada era 1930-an

Posted:

Berlibur pada era 1930-an

Berlibur pada era 1930-an

Oleh ADLAN JAAFAR


CLUB 7 dibuka khas untuk pengunjung Vivatel Kuala Lumpur yang mempunyai keahlian VIP.


MELANGKAH kaki memasuki Club 7 di Aras Lima, Hotel Vivatel, Kuala Lumpur, perasaan seperti berada di sebuah tempat eksklusif untuk ahli perniagaan yang memiliki bisnes besar terus menyerap dalam diri.

Di ruang legar turut menempatkan kerusi-kerusi mewah yang disusun rapi bagi kemudahan para pelanggan menunggu atau beristirehat seketika.

Pintu masuk ke dalam Club 7 berfungsi secara automatik yang terbuka apabila kad akses disentuh pada panel yang disediakan.

Club 7 boleh dikatakan menggunakan tema tahun 1930-an yang boleh dilihat pada penataan warna perabot termasuk kemasan lantai yang kelam seperti coklat, kelabu, merah pulasan dan hitam.

Reka bentuk perabot pula mempunyai sisi-sisi membujur atau dikenali sebagai streamline moderne manakala almari kelihatan seperti diperbuat daripada bahan aluminium dan lampu daripada logam.

Rekaan streamline moderne merupakan sejenis seni bina dan rekaan art deco yang muncul pada tahun 1930-an dengan menekankan rekaan bentuk melengkung, garisan mendatar yang panjang dan kadangkala mempunyai elemen nautika atau pelayaran.

Gaya seni itu terdapat pada seni bina bangunan dan reka bentuk industri seperti produk pembakar roti, kereta, kereta api serta radio.

Penataan cahaya

Penataan cahaya juga memainkan peranan penting bagi membolehkan para pengunjung berasa bersendiri, tenang dan tanpa ada gangguan luar.

"Semua perabot dan perhiasan di Club 7 bukan tempahan khas tetapi konsep dan idea merupakan ilham pemilik hotel.

"Proses mencari kesemua perabot memakan masa lebih tiga bulan bukan setakat di dalam negara malah menjangkau ke luar negara," cerita Pengurus Hotel Vivatel, Bengamin Bong ketika ditemui di Club 7.

Menurut Bong, pemilik hotel amat menggemari hiasan dalaman terutamanya yang unik dan bertema.

Sejak 30 tahun lalu, atas urusan kerja, pemilik hotel dan isterinya telah mengembara ke banyak negara. Kesempatan itu digunakan mereka untuk menikmati beraneka keindahan hiasan dalaman hotel-hotel seluruh dunia.

PENGUNJUNG Club 7 berpeluang merasai pengalaman beristirehat di atas sofa berciri klasik.


Tambahan pula, perniagaan keluarga pemilik hotel pada masa itu berkaitan dengan seni iaitu bidang tekstil.

Club 7 merupakan sebuah kelab eksklusif dengan suasana yang bergaya dibuat khas untuk pengunjung Vivatel Kuala Lumpur yang mempunyai keahlian VIP.

Sebagai ahli, anda boleh menggunakan kemudahan yang disediakan seperti bilik karaoke, bilik hiburan, bilik curut selain permainan pool dan konsul deejay.

Kelab tersebut boleh memuatkan kapasiti maksimum seramai 80 orang pada satu-satu masa.

Sepadan dengan statusnya sebagai sebuah lokasi eksklusif, maka dekorasi dan hiasan dalaman Club 7 sudah pasti memberikan setiap ahlinya berasa begitu istimewa apabila berada di situ.

Sememangnya Vivatel merupakan sebuah hotel yang unik, memiliki dua buah kafe iaitu Retro Cafe dan Retro Lounge menggunakan konsep vintaj melalui padanan warna terang dengan dekorasi perhiasan telefon serta lampu lama.

Penggunaan tema amat ketara pada hiasan dalaman bilik dan ruang koridor melalui dekorasi, penataan cahaya dan barang-barang perhiasan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved