Khamis, 26 September 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Azraai dipanggil beri keterangan

Posted:

Azraai dipanggil beri keterangan

Azraai dipanggil beri keterangan

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

AZRAAI tiba di pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam bagi memberi keterangan.


SIASATAN terhadap tuduhan rasuah membabitkan pasukan Perak sampai ke kemuncaknya apabila ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam.

Azraai yang memandu sendirian kereta Myvi berwarna jingga masuk ke kompleks agensi berkenaan kira-kira pukul 3 petang.

Namun, pada pukul 4.20 petang, Azraai dilihat keluar dari kompleks terbabit ke satu lokasi menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama tiga pegawai SPRM.

Azraai kemudiannya masuk semula ke bangunan tersebut pada pukul 5.40 petang.

Sehingga pukul 9.30 malam semalam, Azraai masih berada di pejabat SPRM dan usaha menghubunginya tidak membuahkan hasil.

Sumber SPRM Perak pula ketika dihubungi memaklumkan proses mengambil keterangan daripada Azraai selesai sebelum tengah malam tadi.

"Kita telah ambil keterangan semua pemain dan (keterangan) Azraai masih direkodkan. Beliau akan dibenarkan pulang selewat-lewatnya malam ini (semalam)," katanya.

Terdahulu, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha diikuti pemain tengah, M. Yoganathan serta pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat dilihat masuk untuk memberi keterangan.

Shahrulnizam ketika ditemui selepas memberi keterangan berkata, siasatan itu tidak menjejaskan tumpuannya dan barisan pemain Perak yang lain.

"Siasatan kes ini tidak mengganggu tumpuan kami untuk menghadapi perlawanan.

"Pada saya, kalau mereka (SPRM) panggil beri keterangan, kita bagi kerjasamalah," katanya yang mengakui memberi keterangan lebih empat jam bermula pukul 2 petang hingga 6.15 petang.

Ditanya mengenai siasatan terhadapnya, Shahrulnizam menjelaskan, SPRM meminta dia memberi reaksi berdasarkan pengamatan prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Mereka tanya ada rasa apa-apa atau nampak apa-apa," katanya.

Kelmarin, 12 pemain Perak selain penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan masing-masing.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa Isnin lalu.

Gergasi Eropah tumbang

Posted:

Gergasi Eropah tumbang

Gergasi Eropah tumbang

Oleh TAUFIK SALIMIN
sukan@kosmo.com.my


TONGGAK Malaysia, Muhammad Firhan Ashari (kiri) bersaing dengan pemain England pada aksi di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.


MALAYSIA semakin hampir mengesahkan slot final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013.

Selepas melakar dua kemenangan berturut-turut, Malaysia meneruskan momentum sedia ada apabila membenam gergasi Eropah, England 3-1 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mula memasang impian beraksi di pentas final selepas terlebih dulu meraih kemenangan ke atas Argentina 4-2 dan Korea Selatan 5-1.

Pada aksi semalam, Malaysia mencipta jaringan pembukaan apabila pukulan sudut penalti pada minit kelapan disempurnakan oleh Muhd. Shahril Saabah.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-42.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohd. Izad Hakimi Jamaluddin untuk meletakkan tuan rumah selesa di hadapan.

Shahril menambah jaringan ketiga Malaysia pada minit ke-56 selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-59, England memperoleh gol sagu hati selepas kapten, Andrew Bull menyudahkan pukulan sudut penalti.

Pengendali Malaysia, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, biarpun barisan pemainnya mempamerkan aksi kurang memuaskan, namun pukulan sudut penalti ternyata menjadi.

"Situasi itu juga membolehkan Malaysia memperoleh tiga gol hasil pukulan sudut penalti tersebut.

"Pada separuh masa pertama, pemain saya beraksi agak perlahan tetapi selepas memperoleh jaringan pertama, mereka mula agresif untuk terus mencari gol," katanya.

Mengulas lanjut mengenai peluang Malaysia pada kejohanan kali ini, beliau optimis skuad kendaliannya mampu melangkah ke pentas final.

"Saya berharap para pemain dapat mengharungi perlawanan bertemu India dan Pakistan nanti dengan sehabis baik.

"Tidak dinafikan kedua-dua pasukan itu bagus dan mempunyai pemain-pemain berpengalaman luas. Saya berharap pasukan saya boleh mengutip mata untuk membolehkan Malaysia ke final," katanya.

Sementara itu, Argentina dan Korea Selatan terikat dengan keputusan seri 2-2.

India pula meraih kemenangan besar selepas membelasah Pakistan 4-0.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia kini memimpin saingan apabila mengutip sembilan mata.

India yang turut mengutip sembilan mata berada di tangga kedua manakala Pakistan di tangga ketiga dengan enam mata.

Tunggu kempen kelayakan tamat

Posted:

Tunggu kempen kelayakan tamat

Tunggu kempen kelayakan tamat

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIEhidayat.azmie@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (kiri) kini hanya memberi tumpuan membimbing Harimau Malaya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Asia 2015.


SEBARANG spekulasi mengenai calon bagi menggantikan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal hanya akan dipertimbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebaik kempen kelayakan Piala Asia 2015 berakhir pada bulan Mac tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, spekulasi sedemikian sewajarnya dihentikan segera bagi mengelak fokus Harimau Malaya mengharungi baki aksi kelayakan Piala Asia selepas ini terjejas.

"Sebarang spekulasi berhubung senarai calon (pengganti Rajagobal) selama ini bukannya dikeluarkan oleh FAM.

"Jadi, ada baiknya menunggu kempen kelayakan Piala Asia berakhir terlebih dahulu (sebelum membuat keputusan) sama ada kontrak Rajagobal disambung atau tidak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Hamidin juga menegaskan, pihaknya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang enggan menjanjikan sebarang kemewahan kepada pengganti Rajagobal selepas ini.

"Berhubung perkara ini, pihak FAM sentiasa senada dengan Tengku Abdullah.

"Jadi, setiap persoalan berhubung perkara itu hanya akan dipertimbangkan FAM sebaik kempen kelayakan Piala Asia berakhir," jelas beliau.

Kelmarin, Tengku Abdullah enggan menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada mana-mana peneraju Harimau Malaya selepas ini sekiranya kontrak Rajagobal yang bakal tamat Disember depan tidak lagi disambung FAM.

Selain bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller yang menyatakan kesediaan untuk mengambil alih tempat Rajagobal, bekas pengendali Jepun, Phillippe Trouisser dan legenda Jerman, Rudi Voller turut menjadi antara calon hangat menerajui Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Troussier dikatakan hanya bersedia membimbing Harimau Malaya sekiranya memperoleh gaji bulanan sebanyak AS$126,805 (kira-kira RM416,000).

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kesediaan FAM yang difahamkan hanya mampu mengeluarkan 'dana' sebanyak AS$18,000 (RM59,500) sebulan.

Dalam perkembangan lain, Hamidin menegaskan, beliau masih belum menerima maklum balas daripada Rajagobal dan juga pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal berhubung sesi latihan Harimau Malaya yang dikatakan bakal diadakan di lokasi 'rahsia' menjelang aksi berdepan Bahrain pada 15 Oktober depan.

"Mungkin ia hanya satu salah faham. Saya tidak rasa ia diadakan secara tertutup (bagi mengelak tekanan) daripada media.

"Mungkin kenyataan itu di salah erti, namun saya akan menunggu makluman daripada mereka (Rajagobal dan Subahan) terlebih dahulu sebelum memberikan kenyataan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved