Isnin, 16 September 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Tempias populariti di luar padang

Posted:

Tempias populariti di luar padang

Tempias populariti di luar padang

Oleh ALIF ABU BAKAR

IBU lelaki itu pernah berkata: "Rugilah tolak tawaran fotografi. Kalau selalu keluar majalah, nanti popular." Kenyataan seloroh itu diungkapkan ibu kepada seorang pemain bola sepak Selangor yang sedang meningkat naik, Muhammad Afiq Azmi.

"Ibu saya memang suka kalau anak dia masuk majalah," loghat utara jelas kedengaran dalam butir kata Afiq yang berasal dari Kangar, Perlis.

Daripada raut wajah Afiq, tergambar kesenangannya yang memilih untuk hidup sederhana, bebas daripada tempias populariti seperti yang dikecapi bintang-bintang bola sepak tempatan lain.

Tidak dinafikan, dengan rupa paras yang dimiliki lelaki berumur 24 tahun itu, bila-bila masa dia mampu menghiasi muka depan majalah hiburan atau fesyen serta menjadi buruan pereka tempatan.

Tubuh tinggi lampai mencecah 185 sentimeter juga sudah melayakkan Afiq untuk bergelar model pentas peragaan. Namun keengganan anak sulung daripada lima adik-beradik itu menjerumuskan diri dalam cabang glamor, membuatkan dia selesa melalui kehidupan normalnya kini.

"Populariti boleh memudaratkan diri jika kita tidak bijak membahagikan masa. Setakat ini saya tidak pernah menerima tawaran berlakon tetapi undangan sesi fotografi agak banyak. Semuanya saya tolak kerana saya ini pemalu orangnya," jujur Afiq yang berhajat menamatkan zaman bujang kira-kira dua tahun lagi.

Mula menjinakkan diri dalam arena bola sepak usai sekolah menengah, beliau menyertai Liga Perlis bersama Kelab Sentua FC selama setahun. Sejurus kelabnya menjuarai liga negeri itu, jurulatih Perlis bagi kumpulan bawah 21 tahun membawa nya masuk ke dalam skuad negeri.

Bakat semula jadi Afiq dalam sukan itu kemudiannya menarik perhatian pasukan Kuala Lumpur dan dia bernaung di bawah pasukan itu selama dua tahun. Barangkali peminjaman beliau ke pasukan Kelantan selama tiga bulan bagi kempen Piala Malaysia pada tahun lalu telah meledakkan namanya secara komersial.

"Saya menyumbangkan empat gol ketika bersama Kelantan dan selepas itu saya berhijrah ke pasukan Selangor sehingga sekarang," kongsi Afiq yang bertindak sebagai penyerang.

PELEMBAP wajah menjadi teman rapat Bunyamin yang diaplikasikan sebelum tidur.


Tutup aurat

Tidak banyak beza daripada rakan sepasukannya, Mohd. Bunyamin Umar juga menanam pandangan peribadi yang sama terhadap konsep populariti atlet. Baginya, dia tidak pernah berasa popular dan merasakan dirinya sama seperti orang lain apabila di luar padang.

Malah sejak kecil, anak kedua daripada lapan adik-beradik yang kini berumur 25 tahun itu mengimpikan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Cukup bagi dirinya menjejaki kepuasan yang diidamkan selama ini tanpa perlu bonus daripada dunia glamor yang banyak ranjaunya.

Bagaimanapun, sebelum bergelar pemain bola sepak, Bunyamin pernah berdepan tentangan daripada keluarganya. Singkap lelaki dari Sik, Kedah itu, aurat menjadi isu dalam kalangan ahli keluarganya dan memahami hukum tersebut, Bunyamin memakai seluar ketat (tight) agar ia benar-benar menutup aurat lelaki yang bermula dari atas pusat sehingga bawah lutut.

"Alhamdulillah sekarang mereka merestui kerjaya tetap saya ini dan saya bercadang untuk terus aktif bermain sehingga umur 35," rancang Bunyamin yang ingin terjun ke dalam bidang kejurulatihan selepas usia tersebut.

Bakat bola sepak Bunyamin bermula sedikit awal berbanding Afiq. Mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur, kerjaya profesional Bunyamin bermula bersama pasukan Kedah pada tahun 2008.

"Selepas tamat pengajian peringkat matrikulasi di SSBJ selama dua tahun, saya menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia untuk tiga tahun.

"Dalam tempoh pengajian, saya menyertai pasukan UPB-MyTeam dan setelah ia ditutup, saya dipanggil Selangor pada tahun 2010 sehinggalah sekarang," jelas Bunyamin yang mempunyai sebuah restoran di Cyberjaya bernama Umar Yusoff yang diusahakan bersama rakannya sejak lima bulan lalu.

MENGUTAMAKAN keaslian setiap pakaian dan aksesori yang dibeli, cita rasa Afiq terhadap fesyen boleh dipuji.


Jenama asli

Menyorot pandangan pada penampilan luaran dua lelaki yang dilantik sebagai personaliti sukan bagi Cabaran Dashing 2 Futsal Neon musim kedua itu sudah cukup untuk menggambarkan cita rasa fesyen mereka.

Afiq tampil santai dengan baju-T sukan yang dipadankan bersama jean ranggi sambil menggalas beg tali bercerut rona merah jambu. Ringkas dan sememangnya gaya seorang lelaki biasa. Namun apabila menjeling ke arah kasutnya, persepsi 'lelaki biasa' itu harus ditarik balik.

Ini disebabkan sneaker hijau jenama Armani Jeans (AJ) itu merupakan koleksi daripada musim bunga/panas 2013 yang masih hangat di pasaran. Ia membuktikan bahawa atlet lelaki negara ini juga mengambil tahu serba sedikit gaya baharu yang relevan untuk dicuba.

Ujar Afiq: "Saya tidak cerewet dalam soal pemakaian. Baju-T sudah cukup untuk saya keluar rumah. Saya orang yang paling susah untuk memakai kemeja dan dalam koleksi peribadi hanya ada sehelai dua.

"Jadi bila ada majlis yang memerlukan pemakaian kemeja, barulah kelam-kabut beli. Namun apa pun pakaian atau barangan yang saya beli, saya utamakan keaslian jenama."

Dari segi penggayaan rambut pula, pada mata kasar, Afiq memang lelaki yang menitikberatkan kekemasan rambut. Ada sahaja gaya menarik yang ditampilkan meskipun ketika beraksi di atas padang.

"Saya tidak meniru mana-mana personaliti sukan atau selebriti. Selalunya bila saya teringin tampil dengan sesuatu potongan rambut, saya akan cuba dan tengok sama ada ia sesuai atau tidak.

"Untuk rambut memang saya guna dua produk iaitu wax dan penyembur. Kebiasaannya, penyembur saya pakai sewaktu bermain sebab tak mahu rambut berserabut dan mengganggu konsentrasi permainan.

"Memang kadang-kadang bila kita tampil kemas atas padang tetapi tidak mempamerkan aksi cemerlang, ada komen-komen negatif yang dilemparkan daripada peminat.

"Namun saya tak ambil pusing sebab adat bila kalah, mereka akan cari apa jua alasan untuk mengkritik. Semua teguran itu saya terima dan jadikan sebagai pemangkin semangat," jelasnya yang sangat berhati-hati dalam memilih pencuci muka.


DARI kiri: Afiq, Remy, Henry dan Bunyamin pada majlis pelancaran Cabaran Dashing 2, Futsal Neon untuk musim kedua.


Pelembap

Jika Afiq lebih selektif dalam soal penjagaan rambut, Bunyamin pula agak teliti dalam rejim penjagaan wajah. Lelaki berwajah manis dengan lesung pipit itu tidak malu mendedahkan bahawa dia memakai pelembap untuk wajah sebelum tidur.

Selain pencuci muka, produk sebegitu disifatkan Bunyamin sebagai pembantu dalam mengekalkan kesihatan kulit wajah.

Katanya: "Menjaga penampilan diri penting bagi lelaki tidak kiralah apa pekerjaan anda. Bagi saya, setiap lelaki perlu menjaga imej dengan berpenampilan kemas agar kita dapat menghentikan persepsi wanita yang sering menganggap golongan lelaki sebagai kelompok yang selekeh."

Mengutamakan pakaian kemas, Bunyamin juga kini mula bereksperimen dengan gaya rambut baharu. Imej botaknya dulu dibuang selepas merasai penampilan itu membuatkannya tampak bengis.

"Selepas itu, saya simpan rambut yang agak panjang dan kemudiannya memotong mengikut gaya baharu. Itu pun saya lakukan di salon milik Asaruddin Putra Omar yang juga pemain bagi pasukan Selangor di Shah Alam," cerita Bunyamin yang bermain di posisi pertahanan dalam pasukannya.

Pesona gaya kasual

Posted:

Pesona gaya kasual

Pesona gaya kasual

BERSIFAT versatil, busana ini bukan sahaja sesuai digayakan di majlis kasual, malah boleh dipakai ke pejabat.


KASUAL, bergaya dan berani. Itu perkataan yang tepat bagi menggambarkan 30 koleksi pertama dari Butik Bianco Mimosa dalam satu pertunjukan fesyen sempena pelancaran butik itu di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi tersebut dizahirkan oleh para perekanya yang mendapat inspirasi dari jenama terkemuka, Versace dan Roberto Cavalli.

Bianco Mimosa dikendalikan oleh jurusolek popular Deq Sha atau nama sebenarnya Mohamad Shahrul Azlan Abdul Rauf bersama Mohd. Faizal Abdullah dan Jasmi Rejab, selaku pereka fesyen.

Menurut Deq Sha, Bianco Mimosa cuba menonjolkan aspek material pada koleksi sulungnya itu dengan salah satu daripadanya ialah penggunaan batik digital.

Material dari China

"Menggunakan kain-kain eksklusif yang ditempah khas dari China, warna-warna yang digunakan dalam koleksi pertama ini lebih kepada warna oren, merah manggis, hitam, coklat dan warna wajib Bianco Mimosa iaitu kuning diraja.

"Ia menampilkan koleksi sedia pakai dengan suntikan rekaan kasual, futuristik dan tidak ketinggalan fesyen muslimah," katanya sambil memberitahu material yang digunakan terdiri daripada kain sifon, likra dan kulit.

Tambah Deq Sha, kepelbagaian dalam koleksi menunjukkan bahawa Bianco Mimosa mampu menghasilkan atau memenuhi apa sahaja fesyen yang menjadi idaman pelanggan.

"Koleksi sedia pakai menggunakan potongan ringkas yang menjamin keselesaan pemakai.

"Kami tidak meletakkan sasaran umur untuk koleksi ini kerana ia bebas dipakai oleh individu-individu yang berani bereksperimen dengan fesyen," ujarnya.

Secara keseluruhannya, terdapat 30 koleksi yang ditampilkan dengan tiada sebarang perincian manik mahupun renda memandangkan jenama tersebut ingin menonjolkan aspek material yang digunakan.

Rekaan koleksi sedia pakai Bianco Mimosa yang ringkas tetapi elegan ini dijual antara RM200 hingga RM500 sehelai.

Bianco Mimosa yang dinaungi usahawan, Datuk Ida Suraya Mustapha, bakal bekerjasama dengan jenama terkenal Versace dalam melahirkan koleksi fesyen busana Muslimah.

Teknologi penawar masalah kulit

Posted:

Teknologi penawar masalah kulit

Teknologi penawar masalah kulit


EUCERIN dihasilkan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan luaran kulit.


SETIAP orang mahukan kulit yang sihat dan cantik, namun masih ada yang tidak tahu cara-caranya.

Prihatin dengan masalah tersebut, Eucerin telah melancarkan kempen Let's Talk Skin Science di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya yang berakhir pada 1 September lalu.

Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai penjagaan kulit secara perubatan agar mereka dapat memahami dengan lebih dekat tentang kulit dari segi sains.

Pakar dermatologi, Dr. Mohamed Abu Bakar Siddique berkata, masalah jerawat dan parut mampu 'meragut' rasa keyakinan diri seseorang.

Berdasarkan pengalamannya, rawatan penjagaan kulit klinikal telah membantu beliau mengatasi isu-isu tersebut sekali gus mengembalikan keyakinannya.

Beliau telah berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang penjagaan kulit pada Bengkel Media Blogger Eucerin yang diadakan di House+Co pada 29 Julai lalu.

Mohamed juga terlibat pada majlis pelancaran kempen Let's Talk Skin Science bagi memberi pandangannya mengenai kesihatan kulit dari perspektif perubatan.

Eucerin yang telah menjadi pelopor dalam sains perubatan kulit dan inovasi selama lebih 100 tahun, menawarkan penyelesaian masalah kulit secara keseluruhan.

"Mengetahui bagaimana kulit anda berfungsi adalah penting kerana tidak semua produk penjagaan kulit akan memberikan anda kulit yang diingini.

"Namun , masih ramai pengguna yang memahami kepentingan itu dan kempen ini bertujuan mengubah perspektif tersebut," kata Pengurus Negara bagi Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan.

Bagi membuktikan bahawa kempen Let's Talk Skin Science bukan sekadar kempen untuk kepentingan produk, Eucerin berkolaborasi bersama rangkaian penjagaan dan kesihatan diri, Watson's, dalam memberi sokongan terhadap penjagaan kulit secara perubatan.

PENGUNJUNG berpeluang menjalani pemeriksaan kulit sempena siri jelajah Eucerin.


Penjagaan klinikal

Pengarah Dagangan dan Perancangan Ruang Watson's, Caryn Loh memberitahu, Watson's amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Beiersdorf Malaysia dalam menyediakan penjagaan klinikal kulit kepada orang ramai.

"Sebagai gedung peneraju kesihatan dan kecantikan di Asia, Watson's komited dalam menawaran produk kecantikan dan penjagaan diri kepada pengguna," ujarnya.

Eucerin kini menyediakan platform kepada pengguna untuk berkomunikasi dengan pakar-pakar kulit, pada masa yang sama menyediakan kaedah penyelesaian yang terbukti berkesan.

Menggunakan teknologi paten Eucerin baharu, mesin kulit terkini berupaya mengenal pasti masalah kulit pelanggan menerusi analisis terperinci.

Teknologi baharu tersebut telah diuji selama empat minggu dalam cabaran transformasi kulit yang disertai oleh beberapa orang blogger dan selebriti yang menggunakan rangkaian produk Eucerin DermoPurifyer.

Antara selebriti yang terlibat ialah DJ Red FM, Linora Low, pelumba kereta, Natasha Seatter dan pengacara program Football Overload, Michelle Lee.

Kesemuanya hadir pada majlis pelancaran untuk berkongsi pengalaman masing-masing berhubung transformasi kulit mereka.

Siri jelajah Eucerin yang berlangsung selama lima hari itu dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Orang ramai berpeluang melakukan analisis kulit menggunakan teknologi baharu dengan rundingan pakar.

Rawatan wajah percuma menggunakan teknologi terkini dari Amerika Syarikat dan sesi merias kecantikan secara semula jadi itu memberi peluang kepada para pengunjung memanjakan diri mereka.

Selain itu, produk-produk penjagaan kulit Eucerin juga dijual kepada orang ramai sepanjang kempen tersebut berlangsung.

Rangkaian produk Eucerin boleh didapati di rangkaian farmasi, penjagaan diri dan kecantikan utama di seluruh negara termasuk Guardian, Watson's serta Caring.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved