Rabu, 25 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pilih belajar atau bekerja

Posted:

Pilih belajar atau bekerja

Pilih belajar atau bekerja

BEKERJA sambil belajar bukanlah sesuatu yang cukup asing dilakukan oleh masyarakat. Ironinya, ia kini menjadi pilihan sebahagian golongan muda pada hari ini.

Tidak dinafikan sudah banyak institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian secara separuh masa, khusus kepada mereka yang sedang bekerja.

Ada yang berbuat demikian kerana inginkan peningkatan dalam kerjaya atau sekadar mengisi masa lapang, semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.

Dalam industri hiburan pula, perkara sebegini turut menjadi pilihan segelintir artis yang kini menuntut di institut pengajian tinggi dan pada masa sama masih meneruskan karier dalam bidang seni.

Salah seorang artis yang berbuat demikian ialah pelakon Rashidi Ishak yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mula menuntut di universiti berkenaan pada tahun 2004, suami kepada pelakon Vanida Imran itu mengakui ia bukanlah satu langkah yang mudah buat dirinya.

Matlamat utamanya untuk menjadi antara artis yang berpelajaran tinggi, Rashidi menyatakan pelbagai cabaran terpaksa dilalui semata-mata ingin menggenggam segulung ijazah.

"Sudah tentu saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sepanjang pengajian, meskipun saya cuma mengambil pengajian secara separuh masa dan kelas pula dilangsungkan pada hujung minggu.

"Kalau rakan-rakan yang lain menamatkan pengajian mereka selama empat tahun, saya pula berbeza kerana memerlukan masa sehingga tujuh tahun dan sudah tentu ia satu tempoh yang cukup lama," ujarnya yang akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2011.

Ketika ditanya faktor yang menyebabkan dia tidak mampu menamatkan pengajiannya lebih awal, pelakon itu memberitahu jadual kerjaya sebagai pelakon yang tidak tentu masa menjadi penghalang utama.

NELYDIA SENROSE kini sedang berusaha keras untuk menyeimbangi antara pelajaran dan kariernya yang semakin meningkat naik.


Jelasnya, dengan lakonan sebagai punca rezeki utama, biasanya ada tawaran berlakon yang diterima memerlukan dia berada di lokasi dalam tempoh lama sehingga dia tidak dapat hadir ke kelas.

"Selalunya jadual lakonan pasti akan bertembung dengan waktu kelas pengajian. Memandangkan berlakon itu periuk nasi saya, pastinya ia lebih menjadi keutamaan.

"Akibatnya, saya beberapa kali terpaksa menangguhkan semester pengajian. Selain itu, saya pernah gagal dalam beberapa mata pelajaran sehingga terpaksa mendudukinya semula," ujarnya.

Akuinya, dia juga pernah berasa sangat tertekan sehingga tidak mahu menamatkan pengajian, namun sokongan daripada ahli keluarga menjadi kekuatan buat dirinya.

"Untuk melakukan perkara sebegini bukanlah mudah kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Paling penting, seseorang itu perlu bijak dalam pembahagian masa supaya tidak tercicir dalam pelajaran dan kerjaya," ujarnya.

Ternyata kejayaan yang diraih olehnya itu telah menjadi pemangkin buat isterinya untuk mengikut jejak langkahnya. Ketika ini, Vanida juga sedang menyambung pelajaran, namun Rashidi enggan memberitahu tentang universti dan bidang pengajian yang dipilih oleh isterinya itu.

Kata dua

Pada saat karier lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang mencurah-curah, ternyata ia memberi tekanan kepada pelakon Nelydia Senrose yang kini sedang mengikuti pengajian Diploma Psikologi di Kolej SeGi.

Menurut Nelydia, melakukan dua perkara dalam satu masa yang serentak dirasakan sebagai satu bebanan yang agak besar sehingga dia berbelah bahagi sama ada mahu mengutamakan pelajaran atau lakonan.

"Sudah tentu pelajaran itu amat penting buat saya, tetapi tidak sangka pula rezeki saya semakin murah dengan tawaran yang mencurah-curah. Apa yang sedang dilakukan ini iaitu belajar dan berlakon adalah minat saya.

"Begitu juga dengan jadual kehidupan harian saya yang selalu tidak menentu. Adakalanya penggambaran tamat pukul 6 pagi, kemudian saya cuma dapat berehat selama dua jam sebelum pergi ke kelas pula," jelasnya.

RASHIDI ISHAK mengambil masa selama tujuh tahun untuk menamatkan pengajiannya, sekali gus menjadi pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).


Menyedari ia merupakan satu tugas yang berat dan sukar demi mengecap kejayaan dalam kedua-dua bidang, Nelydia akui dia masih lagi mampu untuk berhadapan dengan segala cabaran.

Ungkapnya, dia bersyukur kerana meskipun sibuk dengan lakonan sekarang ini, pelajaran tetap tidak dilupakan serta keputusan peperiksaan yang diterima agak memuaskan setiap semester.

"Dalam perkara ini, pensyarah begitu memahami keadaan saya dan memberikan sedikit kelonggaran, malah rakan-rakan turut memainkan peranan penting membantu saya.

"Biasanya kalau ada kelapangan kami akan mengulangkaji bersama-sama dan mereka membantu menerangkan lebih lanjut tentang topik-topik pelajaran yang saya ketinggalan," ujarnya yang kini sudah berada di tahun kedua.

Hujung minggu

Berbanding pelakon, ternyata kerjaya sebagai penyanyi dilihat lebih mudah kerana biasanya sesuatu persembahan akan berlangsung pada waktu malam atau hujung minggu.

Penyanyi Najwa Latif yang sudah aktif dalam nyanyian sejak di bangku sekolah lagi berkata, ketika mula-mula bergelar penyanyi dahulu dia sudah meletakkan beberapa syarat agar sesi persekolahannya tidak terganggu.

"Saya memberitahu kepada pihak pengurusan yang saya akan menyanyi pada hujung minggu sahaja. Selain itu, mereka turut mengatur segala jadual saya dengan baik.

"Kalau ada persembahan saya akan datang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaat dan pulang ke Batu Pahat, Johor pada hari Ahad. Itulah rutin saya setiap minggu sewaktu bergelar penyanyi dahulu," ujarnya.

Menurut Najwa, semasa mula menyanyi ketika berada di tingkatan empat, dia mengakui pembelajarannya sedikit terganggu dan kerap tidak dapat hadir ke sekolah.

NAJWA LATIF kini merupakan penuntut dalam jurusan Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya, Selangor.


Ternyata ia merupakan cabaran besar yang ditempuhi kerana ia boleh mengakibat dirinya ketinggalan dalam pelajaran.

Namun begitu, lama-kelamaan permasalahan tersebut telah dapat diatasi dengan susunan jadual yang fleksibel dilakukan oleh pihak pengurusannya.

"Kalau menceritakan pengalaman menarik ketika aktif menyanyi zaman sekolah, saya pernah menyiapkan kerja sekolah di dalam bas ketika perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kerana selalunya saya akan membuat kerja sekolah apabila mempunyai masa terluang sebelum persembahan atau ketika berada di rumah kakak," jelasnya yang kini merupakan penuntut Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya sejak Jun lalu.

Biarpun meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berkenaan menyatakan, karier nyanyian masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.

Ujar Najwa, pihak universiti telah memberi kelonggaran kepada dirinya jika tidak dapat hadir ke kelas, asalkan memberi surat kepada pensyarah.

"Sistem pembelajarannya sekarang ini lebih mudah, sekiranya saya tidak dapat hadir ke kelas, pensyarah akan memasukkan semua nota dalam portal pelajar. Ternyata cara tersebut memudahkan saya membuat ulang kaji pelajaran," ujarnya yang akan menuntut selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Posted:

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ROWAN ATKINSON


DALAM lambakan pelakon popular Hollywood, ternyata ada beberapa antaranya yang berpelajaran tinggi dan mempunyai kelulusan yang boleh digunakan untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Ironinya, mereka lebih berminat berkecimpung dalam dunia lakonan dan kini sudah terkenal di seluruh dunia. Berikut merupakan senarai pelakon yang boleh dijadikan sebagai idola berikutan kejayaan mereka dalam pelajaran.

1.Rowan Atkinson

Selama ini penonton sudah melihat aksinya sebagai seorang lelaki 'bodoh' dalam sitkom yang cukup digemari ramai iaitu Mr. Bean. Namun begitu, di sebalik kebodohan yang ditampilkannya itu, mungkin ramai yang tidak tahu tentang tahap pendidikan yang dimiliki Rowan Atkinson.

Dilahirkan di Durham, England, Rowan Sebastian Atkinson mendapat pendidikan awal di Chorister School dan St. Bees School, Durham. Kemudian dia menyambung pengajiannya di Universiti Newcastle dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Selepas tamat pengajian, pelawak tersebut menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama di Universiti Oxford. Semasa di universiti berkenaan, Rowan turut aktif dalam pementasan teater bersama The Experimental Theatre Club.

2. Lucy Liu

Nama pelakon Lucy Alexis Liu mula dikenali ramai setelah membintangi filem Charlie's Angels bersama-sama Drew Barrymore dan Cameron Diaz pada tahun 2002. Ironinya, karier lakonan Lucy sudah bermula lapan tahun sebelum itu.

Sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, Lucy pernah menuntut di Universiti New York selama setahun dan kemudian berpindah ke Universiti Michigan dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Dan Kebudayaan Asia.

Sepanjang pengajiannya di universiti berkenaan, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu aktif dalam bidang seni dan pernah menyertai pementasan teater Alice In Wonderland semasa berada di tahun akhir.

Selain mempunyai kelulusan yang tinggi, Liu juga berkebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Mandarin, Sepanyol, Itali, Jepun dan Perancis.

3. Arnold Schwarzenegger

Bermula sebagai ahli bina badan, lalu berkecimpung dalam dunia lakonan dan akhirnya terpilih sebagai Gabenor California, Arnold Schwarzenegger cukup popular dengan lakonannya dalam filem The Terminator.

Dilahirkan di Styria, Austria pada 30 Julai 1947, dia kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat, meskipun tidak fasih berbahasa Inggeris, dia akhirnya berjaya menjadi ahli bina badan berjaya dan pernah bergelar Mr. Olympia sebanyak tujuh kali.

Kemudian pada tahun 1977, Arnold mengambil kelas Bahasa Inggeris di Kolej Santa Monica dan menyambung pelajarannya di Universiti Wisconsin. Dia berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Dan Ekonomi Antarabangsa.

HUGH JACKMAN


4. Hugh Jackman

Sebelum popular sebagai pelakon, Hugh Jackman menuntut di Universiti Teknologi Sydney dan mengambil Ijazah Sarjana Muda Komunikasi. Menariknya, cita-cita awalnya dahulu adalah mahu menjadi seorang wartawan.

Pada tahun terakhirnya di universiti tersebut, hasratnya tiba-tiba berubah dan mahu bergelar seorang pelakon. Setelah tamat pengajian, dia lantas mengikuti kursus lakonan selama setahun di Actors' Centre di Sydney.

Selepas itu, dia meneruskan usahanya untuk bergelar pelakon dengan menuntut di Western Australian Academy Of Performing Arts (WAAPA) pada 1994 dan banyak diberi peluang berlakon sepanjang berada di akademi tersebut.

5. Natalie Portman

Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dimiliki oleh pelakon Natalie Portman, pastinya ia sesuatu yang cukup mengagumkan.

Selain cantik dan berbakat besar, bintang filem Black Swan itu boleh dikategorikan sebagai antara pelakon yang bijak dan sering mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Ketika menuntut di Sekolah Tinggi Syosset, Long Island, Amerika Syarikat, Natalie berhasil mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 sehingga melayakkannya menyambung pelajaran dalam jurusan Psikologi di Universiti Harvard.

Setelah menamatkan pengajian pelakon berkenaan meneruskan karier lakonannya, tetapi pernah dipilih menjadi pensyarah jemputan di Universiti Columbia. Selain itu, sejak kecil lagi dia sudah menguasai beberapa bahasa asing seperti Hebrew, Perancis, Jerman, Arab dan Jepun.

6. Hugh Grant

Selama ini peminat lebih mengenali wajah tampan pelakon Hugh Grant serta sikap mata keranjang kerana selalu menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita cantik.

Namun begitu, pelakon yang memulakan karier seni pada tahun 1982 menerusi filem Privileged itu merupakan lulusan Universiti Oxford dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris serta aktif dalam beberapa jenis sukan seperti ragbi, kriket dan bola sepak.

Menariknya, dia juga pernah mendapat tawaran untuk melakukan kajian dalam pengkhususan sejarah seni dari Universiti London yang melayakkannya mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD), tetapi terpaksa menolaknya kerana gagal mendapat geran penyelidikan.

7. David Duchovny

Drama bersiri lakonan David Duchovny yang paling diingati ramai sudah tentu The X-Files sekitar tahun 90-an dahulu bersama gandingannya, Gillian Anderson.

Menceritakan tentang tahap pendidikannya, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Princeton kemudian menyambung pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Yale.

Selepas itu, David melakukan tesis dengan memilih tajuk Magic And Technology In Contemporary Poetry And Prose di universiti berkenaan, namun dia tidak dapat meneruskannya dan gagal mendapat PhD.

Nasib kain Pashmina

Posted:

Nasib kain Pashmina

Nasib kain Pashmina


SEORANG wanita menenun sebai di SKUAST.


DI dalam sebuah rumah kayu dua bilik di Lembah Grace, Kashmir, Pakistan, Hidayat Ullah tekun menenun menggunakan alat tenun manual yang digerakkan dengan pedal.

Saat ditanya cara dia mendapat kemahiran tersebut, Hidayat Ullah menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang lemah fizikalnya dan terbatuk-batuk di atas katil di tepi penjuru rumah.

"Saya mendapat kemahiran ini daripada bapa, tetapi anak saya kini tidak mahu mengambil alih pekerjaan ini. Dia lebih gemar bekerja di ladang dan kadang-kadang sebagai buruh, bayaran lebih lumayan berbanding menenun," kata Hidayat Ullah.

Tukang-tukang tenun menghasilkan sebai-sebai (shawl) yang indah di Kashmir selama berabad-abad, namun seni kraf itu diancam kepupusan kerana bersaing dengan barang dari luar negara yang murah selain generasi muda kurang berminat dengan kemahiran tersebut.

Bandar Kashmir memberi nama kain bulu Kashmir yang lembut dan mempunyai nilai yang begitu tinggi di Barat. Kini hanya tinggal 10 buah alat tenun berpedal di kampung Hidayat Ullah yang sebelum ini lebih 100 buah.

Skaf dan baju panas Kashmir dijual pada harga yang mencecah beratus-ratus dolar di dunia membangun tetapi Hidayat Ullah hanya mendapat 3,000 rupee (RM154.68) untuk kerja keras selama 15 hari bagi menyiap sehelai sebai.

Berabad lamanya, penduduk di Lembah Grace (di bawah pemerintahan Pakistan) hidup dengan hasil ternakan. Mereka membawa haiwan ternakan ke padang pada musim panas dan membawa ke tanah rata pada bulan September untuk mengetam dan memintal bulu.

Semasa salji menyeliputi lembah selama berbulan-bulan pada musim sejuk, para penduduk berkurung menenun sebai-sebai, menyulam corak-corak berwarna-warni dengan tangan sebelum menjualnya.


ARTISAN tempatan menenun dengan menggunakan alat tenun tradisional di Srinagar.


Pelajari kemahiran

Tenunan-tenunan itu dijual ketika musim bunga semasa daerah itu kembali hidup semula. Bagaimanapun, permintaan daripada penduduk tempatan semakin merudum.

"Sebai tenunan tangan berharga 10,000 rupee (RM514.82) sementara sebai yang sama boleh didapati di pasar-pasar berharga antara 2,000 hingga 3,000 rupee (RM102.97 hingga RM154.46)," kata seorang tukang tenun, Zeenat Bibi, 32.

Bibi membuat sebai dengan bapa mertuanya, tetapi tiada seorang pun dalam keluarganya yang berminat mempelajari kemahiran itu.

"Saya mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun yang bertanya sebab saya membuang masa melakukan kerja tua dan pelik ini," ceritanya.

"Baju-baju terpakai dengan rekaan terbaharu, bahan yang baik dan harga yang murah mudah didapati, mereka mahu membeli pakaian seperti itu dan tradisi lama semakin kurang hari demi hari," kata pensyarah Seni dan Budaya di Universiti Azad Kashmir, Fatima Yaqoob.

Bantuan kerajaan diperlukan bagi memodenkan industri tersebut terutamanya menukar alat tenun manual kepada yang berkuasa selain menggalakkan lebih ramai menyertainya, katanya.

Di India, pihak pemerintah telah campur tangan dalam minimumkan impak yang memberi kesan kepada para pembuat sebai bulu Pashmina.

Ia telah mempertahan penanda GI (Petunjuk Geografi bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi fabrik dan proses pembuatan sebai selain menubuhkan makmal uji kaji di Srinagar, ibu negara wilayah Kashmir bawah pemerintahan India.

Kambing-kambing Pashmina hidup secara nomad di kawasan Changthang, Ladakh, India di altitud 4,267 meter. Pada ketinggian tersebut suhu boleh jatuh menjunam sehingga negatif 50 darjah Celsius.

Kain bulu Pashmina terbaik dipintal dengan tangan, selalunya dihasilkan oleh golongan wanita. Para artisan pula menyulam kain itu dengan rekaan yang rumit.

Bagi produk siap, ia boleh menelan kos beribu-ribu dolar di Barat.

Pada masa lalu, kawasan terpencil itu membantu tukang kraf tempatan yang sukar membawanya keluar. Para artisan pula menyulam kain itu dengan rekaan yang rumit.

Bagi produk siap, ia boleh menelan kos beribu-ribu dolar di Barat.

Beribu-ribu penduduk Kashmir warganegara India terlibat dalam perdagangan Pashmina, tetapi kesusahan mencari bahan mentah dan ledakan keraguan tidak munasabah dalam kalangan artisan dan pedagang, ramai yang meninggalkan profesion itu.

"Terma Kashmir Pashmina disalah guna oleh ramai orang di seluruh dunia. Kraf Pashmina menjadi sebuah konteks sejarah, keindahan dan keunikan yang didambakan oleh produk-produk lain seluruh dunia.

"GI akan membantu ia kembali kepada masyarakat dan wilayah miliknya. Kashmir Pashmina akan dijenama sebegitu dan dipulihkan kepada pencipta asal kraf itu," kata Ketua Pembangunan Kraf, Institut Srinagar, M. S. Farooqi.

Namun, generasi muda mengabaikan Pashmina untuk bekerja dengan kerajaan atau industri pembinaan di Ladakh.


KETAHANAN kambing Pashmina pada musim sejuk dipercayai faktor sebai kashmir bermutu tinggi.


Terkorban

Pada musim sejuk lalu, hampir 25,000 kambing Pashmina terkorban di Changthang dalam cuaca sejuk luar biasa apabila makanannya membeku di bawah lapisan ais tebal salji, manakala laluan darat ke kawasan tersebut terputus selama berminggu-minggu.

Para saintis di Universiti Sains dan Teknologi Pertanian Sher-i-Kashmir (SKUAST), Kashmir berjaya mencipta klon kambing Pashmina yang dikenali sebagai Noori pada tahun lalu.

Sasaran projek tersebut bagi meningkatkan produktiviti kambing-kambing Pashmina dengan menghantar klon-klon jantan ke persekitarannya untuk membiak secara semula jadi.

Beberapa eksperimen menunjukkan bahawa kambing Pashmina boleh bertahan pada altitud rendah di Kashmir, namun ia tidak menghasilkan kualiti yang sama dengan kain bulu Pashmina biasa.

"Kain bulu Pashmina dihasilkan daripada kambing yang berasal daripada habitat semula jadi, ia sebenarnya tindak balas biologi terhadap cuaca sejuk melampau di altitud tinggi," kata penyelidik SKUAST, Sarfaraz Ahmed.

Namun, tiada sebarang perkara yang jelas jika sains boleh menghentikan trend-trend pasaran.

"Kebanyakan pembeli mendapati amat sukar membezakan antara sebai Pashmina yang palsu dan tulen," kata pedagang dan pengeksport kraftangan Kashmir di Srinagar, Mohammad Sadiq Wani. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved