Sabtu, 21 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dapat diploma silap mata

Posted:

Dapat diploma silap mata

Dapat diploma silap mata

WAHIDIN SALIM dengan penuh berhati-hati mengira daun terup yang diterimanya daripada seorang ahli silap mata, Kabir Khan Mohamad Reaz.

Dia yang merupakan seorang jurugambar akhbar Kosmo! pasti terdapat sebanyak 10 kad daun terup selepas dia membuat pengiraan.

"Anda pasti. Masukkan semua kad daun terup tersebut ke dalam poket baju kemeja anda," kata Kabir.

Wahidin menuruti arahan Kabir.

Ahli silap mata dan psikik itu kemudian menggosok kad terup itu dengan menggunakan kedua-dua tapak tangannya selama beberapa saat.

Wahidin kemudian diminta mengira semula kad daun terup itu yang terdapat di dalam poket bajunya di pejabat Kabir di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Jurugambar itu terkejut kerana jumlahnya bertambah dari 10 kepada 13 kad daun terup.

Wahidin tergamam sebentar.

Namun, persembahan silap mata itu tidak memberikan kepuasan maksimum kepada kru Jurnal.

Seperti dapat meneka fikiran penulis, Kabir yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang itu melakukan aksi yang berbeza.

Kad terup

Penulis diminta memegang sepuluh kad daun terup tetapi diminta berdiri di sebuah bilik yang pintunya dikunci dengan rapat.

Kabir berdiri berdepan dengan penulis tetapi dihalang dengan cermin bersaiz besar dan panjang.

Dia kemudian menggosok kedua-dua tapak tangannya sebelum meminta penulis mengira kad daun terup yang berada di tangan.

Sekali lagi, jumlahnya bertambah dari 10 menjadi 17 kad daun terup.

Masih tidak berpuas hati, jam tangan Wahidin pula menjadi mangsa.

Kabir yang masih bujang menggenggam jam tangan itu sebelum menggosoknya beberapa kali.

Jarum jam tangan itu menunjukkan pukul 6.30 petang. Namun, setelah digosok jarum jam itu menunjukkan pukul 8.30 malam.

Buku nota Kosmo! yang tidak terdapat sebarang wang kertas hanya direnung oleh Kabir. Selepas sehelai kertas nota itu diselak, terdapat wang kertas RM50 di dalamnya.

Selain silap mata, lelaki yang rambutnya ala penyanyi terkenal, mendiang Elvis Presley itu juga mampu membaca minda seseorang.

Kabir yang agak kepenatan kemudian duduk bersandar di sebuah kerusi sofa sambil menghirup air minuman tin yang dibelinya di sebuah kedai serbaneka berhampiran pejabatnya.

Menurutnya, minat dalam bidang silap mata mula tercetus sejak dia kecil lagi.

"Mungkin kerana bapa saudara saya juga ahli silap mata iaitu George Chan. Ibu bapa kanakkanak lain membelikan hadiah permainan sempena hari jadi anak mereka.

BUKU nota Kosmo! yang mulanya tidak berisi wang kertas.


"Tetapi, kerana saya meminati silap mata, ibu bapa saya membelikan set barangan silap mata," katanya sambil tersenyum.

Dia berjinak-jinak dengan dunia silap mata dengan membuat persembahan di depan rakan-rakan sekelasnya.

"Upahnya bukan mewah pun. Hanya habuan gula-gula atau air minuman di kantin. Tetapi, saya tetap puas," kata Kabir.

Dia kemudian menyambung pengajian peringkat diploma di Universiti Help, Petaling Jaya, Selangor.

Semasa di universiti, Kabir mendapat tawaran untuk membuat persembahan di sebuah hotel di Subang, Selangor.

"Saya sendiri tidak menyangka dapat membuat persembahan di hotel pada setiap Sabtu semasa masih belajar. Walaupun bermula pukul 7 petang sehingga 3 pagi memenatkan badan tetapi saya berasa seronok," ujarnya.

Lelaki yang berumur 28 tahun itu mengambil langkah drastik untuk menambah ilmu dalam dunia silap mata dengan mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang tersebut di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS).

"Saya memperolehi diploma dalam kemahiran silap mata di Chaves Studio of Magic, Los Angeles, California, AS dalam tempoh enam bulan sahaja walaupun tempoh pengajian sebenarnya selama dua tahun.

Teruja

Sebaik sahaja pulang selepas melanjutkan pelajaran, Kabir bertuah kerana mendapat tawaran membuat persembahan di hotel-hotel mewah di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya membuat persembahan di sana selama beberapa bulan dan bayarannya juga agak lumayan," katanya.

Dia juga teruja kerana mendapat peluang membuat persembahan di Hollywood Magic Castle, Los Angeles, California, AS.

"Hanya ahli silap mata terkenal dunia sahaja yang membuat persembahan di kelab itu seperti David Copperfield dan David Blaine," ujarnya.

Dia juga tidak dapat melupakan sisi lucu dan suspen sepanjang membuat persembahan di Abu Dhabi dan AS.

"Semasa melalui pemeriksaan imigresen di sebuah lapangan terbang yang terletak di Abu Dhabi, salah satu barang yang saya bawa ialah kotak silap mata yang boleh mengeluarkan wang kertas.

"Tetapi, saya ditahan oleh imigresen negara itu sebelum diminta duduk di sebuah bilik. Selang beberapa minit kemudian, beberapa pegawai imigresen hadir untuk menyoal saya.

"Mereka mendakwa saya terlibat dengan sindiket mengeluarkan wang palsu serta membiayai kegiatan jenayah," cerita Kabir.

Tidak terbayang langsung ketakutan pada wajah lelaki itu ketika kejadian tersebut berlaku.

"Saya kemudian menerangkan tentang profesion saya sebagai seorang ahli silap mata. Sebagai cara untuk membuktikannya, saya diminta membuat beberapa aksi silap mata.

"Saya kemudian membuat persembahan selama 30 minit. Mulanya, hanya dua orang pegawai yang melihatnya sebelum bertambah menjadi tujuh orang kesemuanya.


KABIR sering membaca buku yang dihasilkan oleh ahli silap mata lain untuk menambah ilmunya.


"Akhirnya, saya dilepaskan. Mungkin kerana mereka bosan (menyoal siasat). Justeru, penahanan saya itu hanya merupakan helah mereka (para pegawai imigrsen) semata-mata (untuk melihat persembahannya)," ujarnya.

Kabir berkata, pengalamannya semasa membuat persembahan di Hollywood Magic Castle itu juga mencuit hatinya.

"Semasa saya sedang asyik membuat persembahan dengan tiba-tiba, seorang wanita pertengahan umur datang berhampiran pentas bertanyakan kepada saya mengenai lokasi tandas.

"Bayangkan, saya berasa terkejut dan tiada pengawal keselamatan yang menghalangnya.

"Lucunya, majoriti penonton ketawa dengan insiden itu kerana menyangka ia telah dirancang," kata Kabir.

Dia juga tidak dapat melupakan pengalaman tentang seluarnya hampir terlucut dari badannya kerana banyak menyimpan barang silap mata di kedua-dua kocek seluar.

"Nasib baik saya dapat mengawalnya dengan baik jika tidak profesion saya berubah daripada seorang ahli silap mata menjadi penari separuh bogel," katanya sambil ketawa.

Siti Hawa jual cadar secara online

Posted:

Siti Hawa jual cadar secara online

Siti Hawa jual cadar secara online

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


SYARIKAT milik Siti Hawa turut menjual cadar untuk kanak-kanak.


WANITA yang bernama Siti Hawa Ismail, 35, merupakan seorang yang peramah ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.

Siti Hawa sanggup bermula dari bawah untuk memajukan perniagaannya walaupun dia sebenarnya pemegang Sarjana Pengajian Aeroangkasa dari Universiti Angkasa Lepas Antarabangsa, Strasbourg, Perancis.

"Dari kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan kerana ayah saya, Ismail Muhammad, 68, dan ibu, Zaiton Jaafar, 58, dari Kampung Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Saya masih ingat lagi, ayah menjual ikan dengan menaiki beca bagi menampung keperluan kami sekeluarga. Malah, saya juga pernah membantu mereka menjalankan perniagaan setiap kali selepas pulang dari sekolah.

"Kami adik-beradik dibesarkan dengan menggunakan hasil jualan itu. Justeru, bidang perniagaan sudah sebati dengan jiwa saya," ujarnya yang berkahwin dengan Ahmad Faisal Hisham, 41, pada tahun 2003.

Ada sahaja barang yang terdetik di dalam pemikiran wanita itu yang mahu dijualnya.

Dia yang merupakan pemilik syarikat Laurea Home Furnishing pernah ditawarkan untuk menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti tempatan.

"Sekembalinya saya ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di Perancis, saya ditawarkan menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Putra Malaysia tetapi ketika itu, minat untuk berniaga sudah membara di dalam diri.

"Saya menyambung pengajian ke peringat PhD dan pada masa yang sama, saya juga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kain pasang, kerongsang dan produk jualan langsung dari rumah.

"Alhamdulillah, keputusan yang paling baik yang dibuat saya adalah apabila saya nekad untuk berhenti melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Saya hanya sempat mengikuti pengajian selama satu tahun enam bulan bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perniagaan," jelas wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang ini.

Pemenang anugerah

Menurutnya, dia dapat merasakan tidak akan memperoleh kejayaan sekiranya belajar dan menjalankan perniagaan secara serentak.

Siti Hawa berkata, keputusannya untuk berhenti belajar itu mendapat tentangan daripada keluarganya.

Namun, katanya, dia nekad memilih bidang perniagaan yang merupakan impiannya sejak kecil.

"Idea untuk menjual cadar itu diperoleh selepas saya terjumpa sebuah kios yang menjual barangan rumah. Bermula dari situlah, tercetusnya ilham untuk mengeluarkan produk sendiri.

"Saya memilih untuk menjual set cadar dan selimut bercorak Inggeris memandangkan ketika itu agak sukar untuk saya memperoleh set cadar tersebut di pasar raya.

"Saya mula membeli cadar secara borong dalam kuantiti yang sedikit bagi menguji pasaran produk itu. Ternyata sambutan yang saya terima amat menggalakkan," ujar ibu kepada tiga orang anak ini.

Melihatkan set cadar itu mendapat permintaan yang tinggi, Siti Hawa memperoleh idea untuk menghasilkan set cadar menggunakan jenamanya sendiri.

"Pembelian secara borong ketika itu menggunakan duit simpanan. Saya kemudian mengeluarkan cadar sendiri.

"Konsep menjual secara borong amat menarik kerana dapat menjual cadar ini dengan kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat.

"Pelanggan juga dapat mengenali jenama Laurea dengan cepat.

"Semua proses pembuatan dilakukan di luar negara mengikut cita rasa dan kualiti yang saya dan suami mahukan," tambahnya.

Menurutnya, set cadar moden rekaannya kini menjadi pilihan pelanggan.

Selain memasarkan set cadar dan selimut di laman web www.laureabedsheet.com, dia juga pernah menyertai pameran jualan di jabatan-jabatan kerajaan.

Siti Hawa memberitahu, nama Laurea diilhamkan oleh suaminya yang pernah menetap dan belajar di Perancis selama 10 tahun.

"Mengambil nama daripada perkataan Perancis iaitu Laureat yang membawa maksud pemenang anugerah yang kemudiannya diolah menjadi Laurea.

"Ada juga rakan-rakan yang mempersoalkan kenapa saya menjual cadar kerana tahap pendidikan yang saya miliki sudah membolehkan saya memegang jawatan yang lebih tinggi di dalam bidang tersebut," ujarnya yang mengeluarkan lebih 50 jenis set cadar terbaharu pada setiap bulan.


SITI Hawa meletakkan sasaran untuk membuka 10 buah cawangan di seluruh Malaysia sebagai perancangannya pada masa depan.


Bekalan kapasiti besar

Siti Hawa berkata, dia mula membuka ruang pameran pertamanya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada tahun 2007.

"Kualiti kain, warna, kepadatan benang dan rekaan memainkan peranan yang penting dalam pemilihan cadar.

"Keunikan produk keluaran syarikat saya terletak pada kualitinya selain penggunaan 100 peratus kain kapas yang selesa, tidak cepat rosak dan warnanya juga tidak mudah luntur.

"Malah, harganya juga jauh lebih murah berbanding jenama dari syarikat lain. Semua rekaan set cadar itu merupakan eksklusif dan terkini selain rekaannya juga tidak sama dengan yang dijual di pasar raya dan pusat beli-belah," katanya.

Siti Hawa berkata, pihaknya mengeluarkan set cadar yang mempunyai pelbagai corak.

"Kita mempunyai kapasiti yang besar dari segi bekalan dengan pelbagai pilihan corak dan rekaan terkini untuk dibekalkan kepada pengedar di seluruh negara.

"Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang berkat usaha saya dan suami.

"Kini, kita meletakkan sasaran untuk membuka 10 cawangan di seluruh Malaysia. Setakat kini, kita sudah mempunyai empat buah cawangan selain pembukaan sebuah cawangan lagi pada bulan Oktober ini di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

"Saya anggap persaingan sebagai salah satu cabaran untuk kita kekal bertahan di dalam industri ini," ujarnya.

Justeru, Siti Hawa memberitahu, penyelidikan dan pembangunan perlu dilakukan supaya pelbagai bentuk cadar dapat dikeluarkan.

Pihaknya turut memasarkan set cadar Laurea dibawah jenama Roselle di 13 buah pasar besar Mydin di seluruh Malaysia bermula pada tahun 2009 sehingga kini.

Dia juga sedang dalam perancangan untuk membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi stokis Laurea di seluruh negara.

Menyentuh tentang para pekerjanya, Siti Hawa berkata: "Para kakitangan merupakan nadi kepada perniagaan dan saya melayan mereka ibarat keluarga. Malah, kebanyakan kakitangan yang diambil bekerja merupakan pasangan adik-beradik.

"Semua kakitangan kita dilatih mengenai produk keluaran syarikat bagi memudahkan mereka memberi maklumat dan cadangan kepada pelanggan.

"Saya dan suami amat terbuka ketika menerima pandangan selain bekerjasama dengan kakitangan bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan ini," jelasnya yang mempunyai pengalaman di dalam bidang perniagaan selama lapan tahun.

Rezeki di bumi orang

Posted:

Rezeki di bumi orang

Rezeki di bumi orang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


LEMAN sanggup menaiki tongkang yang dipenuhi dengan penumpang untuk mencari rezeki di negara ini. - Gambar hiasan


SEORANG lelaki menunggu dengan tenang jika ada lelaki atau wanita yang mahu membaiki kasut di ruang pejalan kaki di tepi sebuah bank di Bangi, Selangor.

Lelaki yang mesra disapa dengan panggilan Abang Leman itu (bukan nama sebenar) duduk dengan tenang di sebuah kerusi plastik ketika menanti kehadiran pelanggan yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Peralatan-peralatan membaiki dan mengilat kasut seperti pisau, tapak kasut, gam, paku dan tukul besi menjadi teman setia lelaki berumur 50 tahun itu.

Kerjayanya sebagai seorang tukang kasut bermula sejak 30 tahun lalu.

Leman menjadi seorang tukang kasut jalanan selepas berhijrah ke negara ini.

Dia turut membaiki kasut penulis yang rosak baru-baru ini.

"Dua ringgit. Tapak kasut masih elok, cuma perlu digam sahaja," kata Leman dengan tenang.

Kami menjadi sahabat baik kerana kerap bertemu di bank itu.

Ketika berada di dalam sebuah kedai makan berhampiran bank itu, Leman yang mempunyai tiga orang zuriat ini membuka cerita tentang kisah hidupnya. Dia meminta penulis tidak mendedahkan nama sebenar dan gambarnya sebagai syarat untuk kisahnya disiarkan.

Sambil menghirup minuman teh ais yang dipesannya, Leman bercerita tentang kisah hidupnya.

"Saya sebenarnya berasal dari Sumatera, Indonesia. Hidup saya sukar kerana ayah dan ibu hanya bekerja sebagai pekebun. Saya juga mempunyai lapan orang adik-beradik.

"Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Leman berharap akan terdapat sinar dalam kehidupannya kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran sehingga memperoleh ijazah dalam bidang perniagaan di sebuah universiti di Yogyakarta, Indonesia.


LEMAN mempunyai kemahiran membaiki dan menggilap kasut yang memberikan pendapatan lumayan kepadanya. - Gambar hiasan


Namun, kejayaan dalam bidang pendidikan itu masih tidak mampu mengubah kehidupannya.

"Pelbagai pekerjaan yang saya pohon tetapi gagal. Jika ingin mendapat pekerjaan di jabatan kerajaan, perlu ada wang pelincirnya (rasuah) selain perlu mempunyai saudara-mara.

"Malah, saya juga gagal untuk menjadi pembantu jualan," katanya.

Namun, ketika dia menempuh kesusahan dalam kehidupannya, seorang rakannya, Suwito (nama samaran) kerap pulang ke kampung dengan gaya seperti seorang lelaki yang telah mengecapi kesenangan dalam kehidupan.

Mewah

Leman berasa hairan kerana setiap kali pulang ke kampung, Suwito akan memakai pakaian mewah dan memberikan sejumlah wang yang banyak kepada keluarganya.

Sejak bekerja di Malaysia selama beberapa tahun, rumah rakannya itu telah diubah suai menjadi seperti sebuah banglo.

Kos pembinaan rumah itu ditanggung Suwito. Rumah rakannya itu turut mempunyai beberapa perabot dan set barangan elektrik moden.

"Suwito menyatakan, dia bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia dan hampir kesemua gaji yang diperolehnya disimpan untuk dihantar ke kampung.

"Justeru, kerana teruja, saya juga mahu berhijrah dan bekerja di Malaysia. Tetapi, kata Suwito, saya perlu menaiki tongkang dan menyediakan bayaran modal yang mahal.

"Saya terus memujuk ibu dan ayah saya dan mereka bersetuju untuk menggadai tanah sebagai bekalan untuk saya ke Malaysia," katanya.

Bermodalkan sebanyak RM10,000, dia datang ke negara ini.

Katanya, dia menaiki bot yang penuh dengan penumpang termasuk kanak-kanak.

"Suasana di dalam tongkang cukup sempit dan mengambil masa selama tiga hari (untuk tiba di Malaysia). Saya hanya minum air mineral dan makan roti sahaja.

"Tidur pun dalam keadaan berdiri. Keadaan semasa itu cukup menyeksakan. Tetapi, kami yakin Malaysia akan menjadi lubuk emas," kata lelaki itu.

Leman bekerja sebagai pekerja kontrak di sebuah kawasan pembinaan manakala Suwito berjaya mendapatkan visa sementara untuknya.


PERALATAN seperti pengilat kasut, pisau dan tukul besi digunakan Leman pada setiap hari.


Berkahwin

Namun, Leman menetap di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Mujurlah, saya tidak pernah ditahan. Saya juga mula berkenalan dengan isteri saya yang merupakan warga tempatan," katanya.

Namun, kata Leman, dia pernah dikenakan denda kerana menetap melebihi tempoh.

Beberapa tahun selepas berkahwin dengan isterinya itu, dia berjaya memperoleh taraf penduduk tetap.

Selepas menjadi buruh binaan, dia mengambil keputusan untuk menyara hidup dengan membaiki kasut.

Keputusan itu dibuat kerana dia mempunyai kemahiran untuk membaiki kasut.

"Saya kini telah pun memiliki rumah dan kereta sendiri. Syukurlah.

"Pendapatan saya antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan isteri saya juga mempunyai perniagaan menjual nasi lemak.

Menurutnya, penduduk negara ini bertuah kerana kehidupan yang agak mewah.

"Cuma, syaratnya jangan malas. Saya sendiri dari negara jiran boleh berjaya mengapa tidak penduduk tempatan sendiri," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved