Sabtu, 21 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ario tak mahu popular

Posted:

Ario tak mahu popular

Ario tak mahu popular

BUAT masa ini nama aktor Ario Bayu begitu hangat ditulis dan diperkatakan oleh media Indonesia. Semuanya gara-gara pemilihan pelakon berusia 28 tahun itu bagi melakonkan karakter Presiden pertama Republik Indonesia iaitu Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.

Pemilihan pelakon yang pernah membawakan watak Lintang dalam filem Laskar Pelangi itu mendapat tentangan dan protes daripada salah seorang anak Soekarno iaitu Rachmawati Soekarnoputri.

Ungkap Rachmawati, Ario tidak memiliki persamaan daripada segi karakter arwah bapanya yang cukup dikenali umum sebagai Bung Karno itu.

Bicara Rachmawati lagi, dia juga sudah menolak pemilihan Ario sebagai Soekarno namun, pengarah filem Soekarno: Indonesia Merdeka iaitu Hanung Bramantyo tetap nekad mahukan aktor yang juga model berasal dari Jakarta, Indonesia itu.

"Saya wawancara Ario, tetap tidak cocok (sesuai). Dia beritahu saya, dia tidak patriotik dan membesar di New Zealand selama 11 tahun. Malah, dia mengakui tidak mengenali Soekarno!.

"Langsung, saya tanya kenapa masih menerima tawaran ini? Dia kata profesional. Saya kata tidak cukup sekadar profesional," luah Rachmawati kepada KapanLagi.com.

Bagaimanapun, Ario mempunyai jawapan yang konkrit berhubung komen Rachmawati itu.

Tegasnya: "Memang ada isu apabila Rachmawati tidak suka saya membawa peranan sebagai Soekarno. Memang tiada siapa yang boleh menjadi sepertinya (Soekarno). Bagi saya, Soekarno tetap Soekarno. Tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk menghidupkan karakter Soekarno. Semangat Soekarno sudah memasuki dalam badan saya. Itu yang paling penting".

ARIO BAYU berpegang teguh kepada kualiti dalam setiap karakter lakonannya.


Homoseksual

Menyingkap sisi Ario, nama aktor itu mula dikenali ramai selepas dia membintangi filem seram Indonesia yang berjudul Kala (2007).

Walaupun filem tersebut tidak begitu sukses dari segi kutipan tiket, namun daya lakonannya sebagai seorang polis homoseksual bernama Eros dalam filem tersebut begitu terkesan.

Sejak itu, perjalanan karier lakonan Ario berterusan dalam filem-filem hebat lain seperti Macabre, Darah Garuda: Merah Putih II, Laskar Pelangi dan filem pertamanya terbitan HBO Asia iaitu Dead Mine.

Bagaimanapun, sebenarnya ramai yang masih belum begitu mengenali sosok sebenar Ario Bayu.

Sehinggalah dia diberi peranan sebagai Soekarno, barulah dia dikenali di peringkat nasional lantaran isu hangat yang sering dipaparkan oleh media Indonesia saat ini.

Diajukan soal itu kepadanya, jujur bicara Ario, dia tidak pernah memikirkan sangat tentang populariti dan tidak mahu menjadi terkenal sejak dari awal kariernya lagi.

"Saya tidak mahu menjadi terkenal. Saya cuma sentiasa berusaha untuk menjadi pelakon yang lebih baik.

"Saya percaya bahawa kualiti kerja adalah hakim muktamad dan berharap perkara ini terserap dalam setiap kerja yang saya lakukan," jelasnya kepada Kosmo! dalam sesi temu bual baru-baru ini khusus untuk drama terbaharu lakonannya, Serangoon Road yang bakal disiarkan menerusi saluran HBO (Astro 411).


ARIO sebagai Soekarno dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka.


Polis Melayu

Berkongsi mengenai Serangoon Road, ujar Ario, kali ini dia membawakan watak sebagai inspektor polis bernama Amran yang berketurunan Melayu.

Mengakui agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana loghat pekat Indonesia yang dimilikinya, bagaimanapun kata Ario, akhirnya dia mampu berdialog seakan-akan lelaki Melayu dalam drama 10 episod itu.

Ario juga memberitahu, biarpun berlakon dengan pelbagai kaum dalam siri drama yang berkait rapat dengan sejarah perang dan tragedi di Singapura itu namun, dia mudah membina keserasian dengan setiap pelakon drama tersebut.

"Secara jujurnya, mereka merupakan orang-orang yang kreatif (barisan pelakon Serangoon Road).

"Amat mudah menjalinkan kerjasama yang profesional dengan mereka. Paling penting, saya buat yang terbaik untuk watak yang didokong saya," jelasnya lagi.

Bicara Ario lanjut: "Walaupun saya tidak ada banyak waktu untuk mendalami apa yang berlaku di Serangoon Road, tetapi bagi saya, mendalami emosi Amran itu adalah paling penting."

Serangoon Road berkisar tentang laluan utama yang dibangunkan di Singapura pada tahun 1960-an yang menghadapi huru-hara apabila kuasa global semakin beralih dan Singapura akhirnya boleh membentuk identitinya sendiri.

Drama tersebut diterbitkan melalui kolaborasi antara HBO Asia dan stesen televisyen Australia, ABC TV itu.

Bercerita sedikit mengenai sinopsis Serangoon Road, cerita bermula apabila Sam Callaghan (lakonan Don Hany) yang berasal dari Australia menghabiskan zaman kanak-kanak di kem tahanan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Apabila meningkat dewasa, Sam kembali untuk berjuang ketika Darurat di Malaya.

Patricia (Joan Chen) meminta bantuan Sam kerana suaminya, Winston yang merupakan pemilik agensi detektif mati dibunuh.

Sam akhirnya bersetuju untuk membantu Patricia selepas suaminya terbunuh semasa mengendalikan sebuah kes.

Walaupun Patricia bukan seorang detektif, dia tahu agensinya memerlukan seorang penyiasat yang baik dengan kenalan dalam masyarakat tempatan, serta di kalangan ekspatriat.

Dari situ, bermula suatu perjalanan yang melihat Sam terjerumus dalam kancah bahaya. Geng Persatuan Rahsia Cina membuat kacau untuk menguasai jalan-jalan di Singapura dalam berebut kuasa.


FIGURA ini kini melebarkan aura dan pengaruh kehebatannya sebagai aktor terbilang di Singapura dan Malaysia.


Bandar itu menjadi sarang kegawatan kaum dan politik manakala siasatan Sam dan Patricia membawa mereka ke dunia istimewa dan dipertemukan dengan Inspektor Amran (Ario Bayu) - satu-satunya pemuda Melayu yang dilantik sebagai polis Singapura pada waktu itu.

Mengulas lanjut, ujar Ario, banyak penggambaran drama tersebut dilakukan di Infinite Studios yang terletak di Nongsa, Batam, Indonesia - bukan di Serangoon Road, Singapura.

Katanya, suasana zaman 60-an di Seranggon Road juga telah dihidupkan semula di sana.

"Selain itu, bagi menggambarkan keadaan ekonomi dan budaya yang puluhan tahun ditinggalkan, deretan bangunan lama, kedai, gerai sayuran, buah-buahan dan makanan telah dibina khas," ujarnya.

Selain Ario, Serangoon Road turut menampilkan pelakon dari Australia dan Singapura. Antaranya, Melody Chen, Randall Tan, Joshua Tan, Chin Han, Alaric Tay, Pamelyn Chee, Maeve Dermody, Rachael Blake, pelakon veteran Singapura, Lim Kay Tong, Tan Kheng Hua, Edmund Chen, Xiang Yu,Priscelia Chan, Bernard Tan, Nurul Huda dan Timothy Nga.

Wajah 'jambu' rezeki buat Farish

Posted:

Wajah 'jambu' rezeki buat Farish

Wajah 'jambu' rezeki buat Farish

FARISH mencuba nasib dalam bidang bisnes dengan membuka butik yang dikenali sebagai 1984 Jesselton.


KARIER Farish Aziz dalam bidang seni bermula sebagai seorang pengacara, kemudian dia menceburkan diri pula dalam lapangan lakonan dan sudah membintangi banyak drama bersiri dan telemovie seperti Gaia, Kau Dan Aku, Dunia Anita dan Gaia.

Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan tenggelam setelah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan mengambil keputusan untuk menetap di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Bertemu dengannya dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Farish mengakui memang ramai yang beranggapan dia sudah tidak lagi terbabit dalam dunia hiburan.

Ujarnya, sekarang ini dia kembali aktif sebagai seorang pengacara dan sering berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur semata-mata memenuhi tawaran yang diterimanya.

Kosmo!: Sudah lama Farish tidak tampil dalam drama bersiri atau telemovie sekarang. Adakah anda enggan lagi terbabit dalam lakonan?

FARISH: Selepas berumah tangga dahulu, saya membuat pilihan untuk menetap di Kota Kinabalu memandangkan isteri saya yang bekerja sebagai peguam tidak dapat berhijrah ke Kuala Lumpur.

Saya anggap ia sebagai suatu pengorbanan yang besar dengan pilihan yang dibuat kerana saya sedar tidak lagi boleh bergiat aktif seperti dahulu.

Sepanjang menetap di Kota Kinabalu, apakah aktiviti yang anda lakukan?

Selama dua tahun saya telah menjadi penyampai radio untuk stesen Suria FM Sabah, namun kontrak saya berakhir sejak awal tahun lalu.

Selain itu, saya telah membuka sebuah butik pakaian yang diberi nama 1984 Jesselton. Butik saya itu menjual pelbagai pakaian untuk lelaki dan wanita.

Setelah tidak lagi menjadi penyampai radio, bagaimanakah dengan perjalanan karier seni anda sekarang?

Buat masa ini saya kerap mendapat tawaran menjadi seorang pengacara. Namun begitu, saya lebih banyak terbabit dalam program kanak-kanak untuk saluran TVi, Tutor TV dan TVIQ.

Sebenarnya saya agak hairan kerana pada usia yang sudah mencecah 29 tahun, banyak pihak yang menawarkan saya mengacara rancangan kanak-kanak. Saya merasakan bahawa dengan memiliki wajah 'jambu' merupakan suatu kelebihan, namun saya tidak mahu menolak rezeki yang diberikan.

Apabila kembali aktif mengacara, adakah Farish akan menetap terus di Kuala Lumpur?

Buat masa ini, saya akan berulang-alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Biasanya dalam tempoh sebulan, saya akan turun sekali ke Kuala Lumpur dan menyelesaikan segala kerja yang ada.

Mungkin ramai yang ingat saya akan berasa penat dengan melakukan cara sebegini tetapi saya sudah terbiasa dengan keadaan yang dilalui sekarang.

Adakah Farish tidak teringin untuk kembali aktif berlakon semula?

Keinginan tersebut memang ada memandangkan kali terakhir saya berlakon kira-kira dua tahun lalu menerusi telemovie Simpang Jalan. Selepas itu, tiada lagi tawaran yang saya terima sehingga ramai yang menyangka saya sudah berhenti berlakon.

Ketika ini, rezeki saya memang mencurah-curah dalam bidang pengacaraan tetapi saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan sekiranya ada nanti. - RONI HIDAYAT RIDWAN

Hans sasar filem tayang di Cannes

Posted:

Hans sasar filem tayang di Cannes

Hans sasar filem tayang di Cannes

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


BARISAN tenaga lakonan utama pementasan Lawak Ker Der 3 (dari kiri), Yus Jambu, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Tauke Jambu.


APABILA mendiang ibunya menghembuskan nafas terakhir pada tahun lalu akibat kanser, ia merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat penerbit, pengarah dan pelakon Hans Isaac.

Tambahan pula, sebagai seorang anak tunggal, Hans memang cukup rapat dengan ibunya, Carmina Anciano Isaac sehingga kecewa kerana tidak dapat menunaikan hasrat ibunya itu untuk melihat dirinya berumah tangga.

Sebagai mengenangkan jasa seorang ibu yang telah membesarkannya selama ini, Hans memberitahu bahawa dia bakal menghasilkan sebuah filem berbahasa Inggeris mengenai riwayat hidup mendiang ibunya yang diberi judul Carmina.

"Filem ini akan mula menjalani penggambaran pada tahun hadapan dan ceritanya berkisarkan kisah benar mengenai diri mendiang ibu saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Itu merupakan antara projek terawal saya untuk tahun hadapan dan buat masa ini saya ingin memberi fokus terhadap pementasan Lawak Ke Der 3 dan teater Supermokh dulu," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita tentang projek filem berkenaan, Hans memberitahu, dia akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi milik seorang rakannya di Singapura dan penggambaran dilakukan di negara tersebut.

Jelasnya, dia sekadar bertindak selaku penerbit, pengarah dan penulis skrip, tetapi tidak akan berlakon serta akan memulakan proses pemilihan pelakon yang sesuai memegang karakter mendiang ibunya itu.

"Saya menghasilkan filem Carmina bukanlah untuk tujuan komersial, sebaliknya ia lebih kepada tayangan untuk festival filem antarabangsa. Selain itu, saya sasar filem ini akan ditayangkan di Festival Filem Cannes.

"Berkenaan dengan kos pula saya akan menggunakan duit sendiri untuk menerbitkannya, cuma saya gunakan syarikat rakan saya itu dan dia telah memberikan persetujuan," jelasnya.

Ketika ditanya tentang keputusannya itu menjalani penggambaran di luar negara, Hans menyatakan, ia terpaksa dilakukan kerana filem berkenaan berkaitan dengan isu sensitiviti.

HANS bersama Nik Kamaruzaman pada sidang akhbar mengenai penangguhan pementasan Lawak Ker Der 3 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jelasnya, kalau penggambaran dilakukan di Malaysia dan untuk pasaran tempatan, dibimbangi akan terdapat banyak potongan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), sedangkan dia tidak mahu sebarang pemotongan terhadap filem tersebut.

"Kalau dihasilkan di Malaysia pastinya saya perlu berhadapan dengan pelbagai sekatan, berbanding di luar negara yang memberikan saya lebih kebebasan untuk berkarya," ujarnya.

Menurut Hans, ia juga sebenarnya berkaitan dengan keputusan yang telah dibuatnya sebelum ini untuk tidak menerbit dan melaburkan wang untuk menghasilkan filem di Malaysia setelah kegagalan filem Lemak Kampung Santan.

Ditangguhkan

Pementasan Lawak Ke Der 3 yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober ini telah ditangguhkan ke bulan Disember.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, penangguhan tersebut terpaksa dilakukan kerana Istana Budaya telah dipilih sebagai lokasi untuk sebuah persembahan kesenian sempena kehadiran Presiden China ke Malaysia pada 4 Oktober ini.

"Penangguhan ini ternyata sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan kepentingan negara. Bagaimanapun, pementasan Lawak Ke Der 3 bukanlah dibatalkan terus, sebaliknya cuma ditangguhkan sahaja ke tarikh yang lain.

"Setelah berbincang dengan pihak penerbit iaitu NRG Enterprises, akhirnya keputusan dibuat untuk memilih 4 hingga 8 Disember ini untuk tarikh pementasan yang baharu," ujarnya dalam satu sidang akhbar semalam.

Jelas Nik Kamaruzaman, bagi mereka yang telah membeli tiket untuk menonton pementasan tersebut boleh menyimpan tiket yang telah dibeli atau memulangkan semula ke pejabat Istana Budaya untuk mendapatkan semula wang.

Sementara itu, Hans Isaac selaku pengarah pula mengakui agak terkejut dengan penangguhan berkenaan setelah dihubungi oleh pihak Istana Budaya pada minggu lalu.

Ujarnya, segala promosi sudah dilakukan dan tenaga produksi telah bersedia untuk pementasan, tetapi mereka akur kerana kepentingan yang melibatkan kerajaan perlu diutamakan terlebih dulu.

"Apabila ditangguhkan, pihak Istana Budaya telah memberi kami dua pilihan untuk tarikh pementasan. Setelah difikirkan semasak-masaknya kami pilih tarikh 4 hingga 8 Disember ini.

"Tidak dinafikan penangguhan ini telah memberi sedikit tekanan, namun saya fikir dari sudut positif. Misalnya, tarikh yang dipilih itu merupakan cuti sekolah dan ia memberi peluang kepada pelawak untuk mengembangkan lagi idea masing-masing," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved