Rabu, 18 September 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Pengaruh kreativiti sekeping gambar

Posted:

Pengaruh kreativiti sekeping gambar

Pengaruh kreativiti sekeping gambar

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

PADA 13 September lalu, Nordiyana Abdul Aziz, 24, dari Subang Jaya, Selangor selamat dinikahkan dengan jejaka pilihan keluarganya, Syed Hazrat Shah Sadeik Husin Shah, 28 manakala majlis bersanding pula bakal diadakan pada 6 Oktober ini.

Antara persediaan yang telah dilakukan pasangan ini ialah membuat penggambaran praperkahwinan untuk cetakan kad jemputan majlis resepsi.

Tidak seperti penggambaran praperkahwinan lain yang lazimnya menggayakan baju pengantin dan berlatar belakang taman bunga, Nordiyana memilih sesuatu yang ringkas.

Dengan seluar legging, baju T dan jaket, penggambaran dijalankan di bangunan-bangunan, kawasan taman dan siar kaki sekitar Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Nordiyana dan suaminya yang berkahwin atas dasar persetujuan keluarga, maka istilah janji temu berdua tidak ada.

Justeru, tema yang digunakan untuk penggambaran praperkahwinannya ialah janji temu dengan fesyen jalanan yang dipakai, lokasi dan gaya yang diberikan memenuhi tema tersebut.

"Sebenarnya kami mahu membuat penggambaran di lokasi yang lain tetapi disebabkan terlambat sampai, maka tempat penggambaran diubah supaya sesuai dengan pencahayaan yang ada," katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai pemilihan tema yang santai, Nordiyana menjelaskan, majlis perkahwinan sememangnya memerlukan banyak perbelanjaan. Justeru, cara itu dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Lagipun, penggambaran bertema romantik tidak sesuai dengan personaliti saya. Gaya yang kelihatan bebas begini sepadan," katanya diikuti hilai tawa.


TEMA yang dibawa Nordiyana tampa terlalu santai kerana mahu mengikut personalitinya.


Ujar Nordiyana, sahabatnya ada membuat penggambaran praperkahwinan dengan mengambil inspirasi filem Indonesia, Radit dan Jani. Sehubungan itu, pakaian, cara bergaya dan lokasi sedaya-upaya direka untuk mirip dengan filem itu.

Lokasi dan cuaca

Lain pula ceritanya dengan Balqis Musa, 29, yang mengadakan penggambaran praperkahwinan kerana sesi itu termasuk dalam pakej yang disediakan oleh pihak jurufoto, Finger Touch Photographer.

"Ia percuma dengan pakej gambar perkahwinan yang kami ambil, jadi kami bersetuju untuk membuat penggambaran lagi pun seronok mengambil gambar sebenarnya," katanya tersenyum lebar.

Konsep yang dimahukan wanita ini adalah urban dan tidak nampak seperti majlis perkahwinan. Sebab itulah, jurufoto mencadangkan sesi pengambaran dibuat di sebuah bangunan di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Penggambaran dimulakan sekitar pukul 8 pagi untuk mendapatkan sinaran cahaya. Tiada sebarang jalan cerita atau filem yang cuba dimimik, Balqis dan bakal suaminya, Mira Aidil Izzafizz Mira Hussein, 25, cukup sekadar memberikan gaya mesra.

"Sepatutnya jika mahu mengadakan sebarang sesi penggambaran di situ perlu meminta kebenaran dan sejumlah bayaran perlu dijelaskan.


LIAW berpengalaman dalam bidang fotografi perkahwinan selama dua dekad.


"Kami tidak berbuat demikian, jadi pada akhir-akhir sesi datang pengawal mengganggu. Mujur sempat menghabiskannya," ceritanya.

Sebenarnya, terdapat banyak perbezaan antara penggambaran praperkahwinan dengan majlis perkahwinan kerana ia sebagai persediaan untuk majlis resepsi, kata Balqis.

Ini termasuk menjaga tatasusila pasangan seperti tidak berpegangan tangan memandangkan mereka perlu bernikah.

"Bagi saya ia perlu ringkas dan tidak terlalu melampau. Barangkali boleh menunjuk romantik sebagai sepasang kekasih, tetapi tidak berlebihan," terang wanita yang bekerja sebagai guru pendidikan khas itu.

Pemilihan lokasi penggambaran sememangnya diakui dapat menaikkan mood dan memberi impak kepada tema yang dipilih.

Jalan cerita

Jurufoto perkahwinan dan potret, Jim Liaw Photography Studio, Jim Liaw, 45, berpendapat bahawa pemilihan lokasi dalam mengadakan penggambaran praperkahwinan sangat penting.

Liaw telah pergi ke banyak negara bersama-sama bakal pasangan pengantin yang mahu mengadakan penggambaran praperkahwinan seperti ke Makati, Filipina, Yogyakarta, Indonesia dan akan ke Istanbul, Turki serta Myanmar dengan tujuan yang sama.

"Lokasi yang menarik dan tidak diduga mengilhamkan banyak idea bergantung kepada suasana, lokasi, landskap dan masyarakat," terangnya ketika ditemui di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur.

Dalam karya-karya Liaw, dia mahukan setiap keping mempunyai jalan cerita dan konsep. Contohnya, ketika dia mengadakan penggambaran di Candi Sewu, Indonesia.

JIKA dilihat sekali imbas, foto-foto Nordiyana tidak kelihatan seperti tipikal praperkahwinan.


"Penggambaran dibuat pada pukul 6 pagi. Pengantin perempuan dengan gaun panjang berjalan ke arah candi dengan layah dilayangkan ke atas sambil penggambaran dijalankan.

"Sudah pasti untuk pengambaran sebegini, latihan beberapa kali dibuat sehingga sempurna," tutur Liaw lagi yang gemar bermain dengan warna alam semula jadi.

Biarkan sifat keanak-anakan dalam diri anda bebas, ungkap Liaw sambil memberitahu, sifat itu boleh membuatkan jurufoto menjadi lebih kreatif dan berani mencuba pelbagai idea yang bermain dalam fikirannya.

Liaw berpengalaman dalam bidang fotografi kira-kira dua dekad dan mempunyai dua buah studio di London dan Kuala Lumpur serta bakal membuka cawangan baharu di Australia.

Ujarnya, lokasi penggambaran sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana pun waima di belakang rumah selagi seorang jurufoto itu mengetahui dengan jelas mengenai konsep, pemilihan masa dan alatan yang dimiliki.

Namun, tempat yang cantik dan terbaik daripada lokasi tempat yang pernah dilawati oleh Liaw ialah New Zealand dan Maghribi.

Menurutnya, New Zealand terutamanya di bahagian South Island mempunyai banyak tempat yang menarik dengan landskap flora dan fauna yang pelbagai, sementara Maghribi menampilkan persekitaran yang mencabar dan memukau.

Liaw turut berkongsi tip untuk mengadakan sesi fotografi praperkahwinan. Antaranya, adakan penggambaran seawal pagi antara pukul 6 hingga 9 pagi atau sekitar pukul 5.30 hingga 7.30 petang.

Masa tersebut adalah yang terbaik untuk pencahayaan dan keadaan bandar pada ketika itu kosong serta sepi.

Keindahan lembah di Pakistan

Posted:

Keindahan lembah di Pakistan

Keindahan lembah di Pakistan


HOTEL dan kediaman penduduk yang terletak di lereng bukit Pekan Gupis.


BARU-BARU ini penulis berpeluang ke Pakistan untuk meneroka keunikan dan tarikan pelancongan di negara tersebut.

Pakistan terletak berdekatan Laut Arab. Beberapa banjaran di negara itu antaranya, banjaran Hindiga telah mengangkat Pakistan sebagai negara yang mempunyai landskap terindah di Asia.

Penulis mengembara ke Pakistan secara solo. Pakistan menjadi destinasi wajib bagi pengembara dari luar negara yang gemar mendaki gunung, dan berbasikal di sepanjang lebuh raya Karakarum. Kawasan itu juga menjadi tumpuan untuk mereka yang gemar melakukan ekspedisi melihat haiwan buas (safari) dengan menaiki jip.

Selain aktiviti lasak, Pakistan juga kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan bahasa mengikut kawasan dan daerah yang berbeza.

Industri pelancongan di Pakistan jatuh merudum sejak insiden serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Selain itu, keadaan politik dalaman yang kurang stabil merupakan salah satu faktor lain yang memburukkan lagi industri tersebut.

Terdorong dengan sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu, penulis menjejakkan kaki di bumi Pakistan dan sempat meneroka Lembah Ghizer yang pada hemat penulis merupakan antara tempat tercantik yang pernah dikunjungi setakat ini.

Lembah itu terletak di bahagian barat daerah Gilgit-Baltistan yang didiami oleh pelbagai etnik dengan bahasa pertuturan yang berbeza. Khowar, Shina dan Burushaski merupakan tiga bahasa utama yang digunakan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Lokasi lembah itu yang terletak di antara dua banjaran gunung Hindu Kush dan Karakarum dengan keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang, sungai dan tasik yang tersendiri.

Perjalanan ke lembah itu bermula dari bandar Gilgit dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke destinasi pertama sebelum tiba di Pekan Gupis.

Pemandangan indah gunung-ganang dan air sungai yang jernih di tepi jalan merupakan peneman setia sepanjang perjalanan. Jambatan besar yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk menyeberangi Sungai Gilgit ternyata mencuri tumpuan penulis.


PENULIS sempat bergambar dengan kanak-kanak yang memancing ikan di Tasik Khalti.


Dirikan khemah

Kira-kira 20 minit dari pekan Gupis, kami sempat singgah di Tasik Khalti yang menjadi kawasan tumpuan penduduk tempatan memancing ikan salmon. Pengembara juga berpeluang mendirikan khemah di tapak-tapak yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan secara percuma.

Bagi mereka yang mahu menginap di hotel, penginapan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Pakistan (PTDC) di Pekan Gupis merupakan pilihan terbaik.

Selain memancing, pengembara juga boleh mendaki di bukit berdekatan dengan tasik itu. Pendakian ke puncak yang mengambil masa selama 30 minit itu melalui pohon-pohon ceri, aprikot dan kacang walnut. Jika bernasib baik, anda berpeluang bertemu dengan penduduk tempatan yang tidak lokek berkongsi hasil tanaman mereka dengan pelancong.

Hari berikutnya penulis bersama pengembara lain ke Lembah Yassin. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan air sungai yang jernih sehingga membuatkan kami sempat singgah untuk beristirehat di sebatang sungai.

Sumber air bersih dari sungai di Pakistan mudah diperoleh di mana-mana sahaja. Kami berpeluang menikmati air yang menyegarkan itu, mungkin kerana ia datang dari sumber semula jadi.

Di Lembah Yassin, pengembara boleh melakukan aktiviti merentas hutan atau memilih untuk bersantai di tepi sungai. Selain itu, kami berpeluang memasuki kawasan kampung-kampung kecil dengan berjalan kaki dan melihat sendiri kehidupan penduduk tempatan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Ketika merentas hutan, kami terserempak dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang berjalan kaki seorang diri sambil membawa sebotol jus yogurt untuk neneknya. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Yusra, 10, itu memenuhi pelawaan kami untuk berjalan bersama. Yusra seorang penghafaz al-Quran juga berkebolehan berbicara mengenai politik dan isu-isu semasa.


PERTEMUAN dengan Yusra ketika merentas hutan di Lembah Yassin telah membawa kami ke kediaman gadis berumur 10 tahun itu.


Apabila sampai di rumah neneknya, kami dipelawa untuk singgah sambil membasahkan tekak terlebih dulu. Kami disajikan dengan yogurt dan teh. Kami menghabiskan masa selama satu jam berbicara mengenai pelbagai topik bersama Yusra dan neneknya sebelum meneruskan kembali aktiviti merentas hutan.

Kami melalui sebatang sungai yang sangat jernih tetapi arusnya amat deras. Cuaca sejuk dan nyaman membuatkan kami sedikit pun tidak berasa letih walaupun telah berjalan selama beberapa jam.

Pada hari ketiga, kami meneruskan perjalanan ke Lembah Phandar. Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Lembah Yassin dengan kenderaan. Seorang rakan pengembara turut berhenti di kawasan sungai di tepi jalan untuk mencuba nasib memancing ikan. Cuaca sejuk dan berangin merupakan faktor utama dia tidak memperoleh sebarang tangkapan pada hari itu.

Perjalanan kami terhenti apabila melalui kawasan tanah runtuh lalu menyebabkan jalan raya terpaksa ditutup. Menurut penduduk tempatan, jalan tersebut telah ditutup selama beberapa minggu.

Kami terpaksa meninggalkan kenderaan di sebuah kawasan yang selamat untuk berjalan kaki merentas kawasan tanah runtuh itu.

Berjalan kaki selama 20 minit membawa kami ke Sungai Pingal. Di situ, kami menyewa sebuah kereta daripada penduduk tempatan untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ke Lembah Phandar.

Lembah Phandar merupakan destinasi terbaik untuk pengembara dan pelancong yang meminati aktiviti memancing. Kami berjaya menjinakkan ikan salmon yang akhirnya menjadi hidangan makan malam buat kami pada malam itu.

Sepanjang mengembara di bumi Pakistan, berada di Lembah Ghizer merupakan antara pengalaman manis dalam diari kehidupan saya. Melalui pengembaraan ini, saya bersyukur kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi di Pakistan yang jarang diterokai oleh pengembara-pengembara lain.

Menikmati kopi gaya Itali

Posted:

Menikmati kopi gaya Itali

Menikmati kopi gaya Itali

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my



TERLETAK sejauh 22 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, Baci Italian Cafe (Baci) memberi pilihan terbaharu kepada peminat tegar kopi.

Melangkah kaki ke dalam premis tersebut, suasana santai begitu terasa terutama pada penggunaan perabot dan susun letaknya.

Menggunakan tema minimalis, warna yang digunakan berona gelap seperti hitam dan kelabu, manakala barang-barang perhiasan pula mempunyai reka bentuk ringkas.

Mirip kafe-kafe di Itali, Baci memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati kopi seperti berada di negara itu.

Ruang membuat kopi terletak di tengah-tengah restoran termasuk tempat penyediaan makanan seperti kek dan pastri. Reka bentuk kaunter dapur dan kopi ringkas dengan permukaan binaan kaunter cukup sekadar simen tanpa sebarang marmar atau mozek. Terpampang papan menu seakan-akan papan hitam yang menyatakan menu utama harian.

Ruang makan terbahagi kepada dua iaitu dalam dan luar, bergantung kepada keinginan pengunjung sama ada mahu menikmati sajian dalam kedinginan pendingin hawa atau udara semula jadi.


SENI latte terbahagi kepada tuangan bebas dan goresan.


Baci menyediakan semua jenis kopi termasuk pelbagai pilihan latte , mocha, macchiato dan cappuccino, menjadikannya antara lokasi kegemaran penggemar kopi.

Hirupan kopi terasa tidak lengkap tanpa pastri atau sepotong kek dengan tiga pilihan berbeza iaitu kek red velvet, kek keju dan kek lapis pisang untuk dinikmati.

Promosi

Sempena Hari Kopi Antarabangsa yang disambut pada 29 September setiap tahun, Baci mengadakan promosi secawan kopi dan satu pilihan kek atau pastri pada harga RM19.90 selama sebulan.

Pada tarikh tersebut, para pengunjung yang datang antara pukul 10 pagi hingga 2 petang dan makan di restoran boleh menikmati kopi sepuas-puasnya pada harga secawan kopi.


KAUNTER pembayaran dan dapur di Baci direka begitu ringkas dengan permukaan simen terdedah menaikkan mood kedai kopi jalanan di Eropah.


Pada majlis taklimat khas yang diadakan baru-baru ini, pelatih barista, Baci, Boyd Yap, 35, turut melakukan demonstrasi membuat kopi yang mempunyai seni tersendiri.

"Buih dan cecair susu yang dibiarkan boleh menjadi dua lapisan, ia perlu kerap dikacau. Begitu juga kopi pekat espresso yang perlu dikacau," ujarnya yang ditemui di Ara Damansara, Selangor.

Corak-corak yang ada pada setiap hidangan kopi bukan saja menggembirakan diri si peminum, tetapi menurut Yap, ia sekadar faktor pelaris kerana pembuatan kopi sebenar bergantung pada suhu yang tepat dan cara kawalan menuang buih susu ke dalam espresso.

"Secawan kopi yang dibuat pada suhu yang tepat dengan corak yang terhasil di permukaannya tanpa dikacau boleh kekal walaupun kopi dihirup," ungkapnya.

Jika anda tiada sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, berkunjunglah ke Baci dan nikmati secangkir kopi dengan penuh elegan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved