Khamis, 19 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ella gembira rock gegar DFP

Posted:

Ella gembira rock gegar DFP

Ella gembira rock gegar DFP

SEPANJANG bergelar penyanyi rock wanita selama 30 tahun, sudah pelbagai konsert dijayakan oleh Ella sejak mula dikenali ketika bersama-sama dengan kumpulan Ella & The Boys dahulu.

Sudah berpengalaman menghiburkan peminat dalam konsert-konsert yang berskala besar, namun untuk konsert terbaharu ini pastinya memberikan kelainan buat penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu.

Tanggal 21 September ini (Sabtu) para peminat akan berpeluang menyaksikan persembahan istimewa Ella sempena Konsert MPO Rocks bersama Mus May dan Man Kidal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Ditemui semasa acara makan malam eksklusif bersamanya di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, Ella meluahkan rasa terujanya kerana beraksi di pentas DFP merupakan satu peluang yang tidak harus dlepaskan sama sekali.

"Saya rasa begitu berbangga dengan konsert yang bakal berlangsung ini, apatah lagi persembahan saya nanti akan diiringi oleh pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

"Ia merupakan suatu kelainan yang akan ditampil- kan berbanding konsert sebelum ini. Tambahan pula bergabung dengan pemuzik hebat seperti MPO, pastinya ia memberi kenangan tersendiri kepada penonton," jelasnya tentang konsert sulungnya di DFP.

Menyedari tentang kesukaran untuk menembusi pentas DFP, terutamanya buat penyanyi rock seperti dirinya, pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin itu meluahkan kegembiraannya kerana pihak DFP telah membuka pintu buat muzik rock.

Ujarnya, peluang yang diraihnya itu juga dianggap sebagai suatu cabaran yang cukup besar kerana membuat persembahan diiringi oleh orkestra sesuatu yang cukup asing buat dirinya sepanjang bergelar penyanyi.

"Kita semua sedia maklum DFP merupakan sebuah pentas yang cukup berprestij dan mereka cukup selektif untuk memilih artis-artis yang membuat persembahan di situ.

"Jadi, konsert ini dilihat sebagai suatu penghargaan buat muzik rock. Lagipun saya diberitahu pemuzik di MPO begitu teruja dan tercabar memandangkan mereka belum pernah memainkan muzik rock sebelum ini," luahnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert MPO Rocks yang bakal dijayakannya itu, penyanyi tersebut menyatakan, semuanya bermula dengan tawaran yang diterima kira-kira tiga bulan lalu.

FIGURA ini sedang meniti kebahagiaan dalam alam rumah tangganya.


Setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan dengan pihak MPO, akhir- nya Ella telah memberikan persetujuan pada bulan lalu untuk membuat persembahan di DFP.

"Perbincangan berlangsung dengan cukup lancar dan mereka telah memberikan kebebasan kepada saya. Misalnya, menggunakan pemuzik tambahan yang akan mengiringi konsert saya nanti.

"Mereka telah bersetuju untuk saya menggunakan khidmat pemuzik seperti Man Kidal, Rody Kristal Acis dan Ahamd Muriz manakala lagu-lagu nyanyian saya pula merupakan pilihan MPO," jelasnya.

Bakal membuat persembahan selama 45 minit, Ella akan mempersembahkan lagu- lagu malar segarnya seperti Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In The Eyes Of The World, Dua Insan dan Sembilu.

Pembedahan

Di sebalik keterujaannya bercerita tentang konsert yang akan dijayakannya itu, terdapat cerita tersendiri yang belum diketahui umum mengenai tahap kesihatannya.

Tutur Ella, kira-kira tiga minggu lalu dia telah menjalani pembedahan akibat apendiks setelah mengalami kesakitan yang agak teruk di bahagian perut selepas menjayakan sebuah persembahan.

"Sehari sebelum saya menjalani pembedahan keadaan saya agak teruk kerana menahan kesakitan yang agak luar biasa sehinggalah pemeriksaan di buat di hospital.

"Kemudian saya didapati mengalami masalah apendiks yang cukup serius dan doktor menyatakan saya perlu dibedah segera. Saya bersyukur kerana pembedahan berjalan dengan lancar," jelasnya.

Luah Ella, biarpun keadaannya sudah semakin pulih sekarang ini, namun kerisauan tetap dirasainya kerana bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik semasa konsertnya itu.

JARANG bertemu suami, Ella mengakui dirinya dirundung perasaan rindu.


Ujarnya, selepas melakukan pembedahan dia telah dinasihatkan oleh doktor supaya tidak terlalu aktif dan bergerak. Bagaimanapun, dia berharap keadaannya itu bukanlah suatu penghalang besar buat dirinya untuk menghiburkan peminat.

"Saya yakin dapat membuat persembahan dengan baik dan tidak mahu keadaan yang dialami ini mengganggu fokus saya. Lebih penting saya mahu para peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada konsert MPO Rocks nanti," ujarnya.

Jarang bertemu

Selain asyik bercerita tentang konsert yang bakal dijayakannya itu, Ella tidak terlepas daripada diajukan persoalan berkenaan dengan kehidupan rumah tangganya setelah lebih setahun bergelar isteri kepada Azhar Husaini Ghazali.

Menurut Ella, melayari kehidupan sebagai seorang isteri sesuatu yang cukup menggembirakan, meskipun jarang bertemu dengan suami tercinta yang bertugas sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan Firefly.

"Adakalanya perasaan rindu itu pastinya menjelma dalam diri apabila jarang bertemu, namun sebagai isteri saya perlu memahami kerjaya Azhar selaku juruterbang.

"Kalau ada masa terluang kami akan gunakan sebaik-baik mungkin untuk bersama.

"Sekiranya masing-masing tidak sibuk, kami akan pergi bercuti bersama-sama yang akan turut disertai ahli keluarga yang lain," jelasnya.

Akuinya, sepanjang bergelar isteri kehidupannya kini sudah jauh berbeza.

Sebagai contohnya, Ella tidak boleh terlalu bebas melakukan apa sahaja seperti sebelum berkahwin tetapi dia menganggapnya sebagai perubahan yang positif.

"Saya dan suami selalu berbincang dan akan memberikan pandangan masing-masing sekiranya timbul sesuatu perkara. Setakat ini tidak berlaku sebarang perselisihan faham yang besar, setakat gaduh-gaduh manja itu biasalah," ujarnya.

Mitos Viking bikinan Yusry

Posted:

Mitos Viking bikinan Yusry

Mitos Viking bikinan Yusry

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com


PENGGUNAAN kostum amat bersesuaian bagi setiap watak yang ditampilkan dalam Vikingdom.


JIKA tidak mengetahui fakta bahawa Vikingdom merupakan buah tangan daripada pengarah Malaysia iaitu Yusry Abdul Halim, pastinya ramai yang menganggap filem yang menelan bajet sebanyak RM20 juta itu adalah filem luar negara yang ditayangkan di Malaysia.

Ini kerana kesemua pelakon yang membintangi Vikingdom merupakan pelakon luar negara, malah filem itu juga seolah-olah dirakamkan di luar negara sedangkan semua babak dilaku- kan di Malaysia.

Itu kelebihan Yusry yang bijak menggunakan kesan khas visual (CGI) untuk filem terbaharu arahannya itu biarpun ada beberapa babak yang dianggap tidak realistik.

Babak tidak realistik itu, terutamanya ketika tunjang utamanya iaitu Irick Bloodletter (Dominic Purcell) berdepan dengan cabaran sekumpulan kuda untuk berenang ke dasar laut bagi mendapatkan tanduk yang mampu menghapuskan musuh ketatnya, Thor (Conan Stevens).

Lebih realistik jika Yusry menggunakan makhluk-makhluk berwajah hodoh berbanding kuda-kuda normal yang kita sedia maklum habitatnya adalah di darat! Babak itu sedikit sebanyak menggelikan hati.

Begitu juga cabaran akhir yang perlu diharungi Irick iaitu bertembung dengan anjing gergasi. Anjing tersebut juga tidak kelihatan realistik, malah langsung tidak menggerunkan apabila ia cuba mengejar dan memakan Irick. Timbul juga rasa geli hati di situ.

Bagaimanapun, sejujurnya apa yang amat membanggakan adalah Yusry berani menghasilkan filem berkisarkan tentang Thor (Dewa Petir) yang dianggap antagonis dalam kepercayaan orang-orang Viking.


FANTASI... Siapa sangka filem Vikingdom ini merupakan hasil arahan seorang anak jati Malaysia.


Suami kepada pelakon jelita, Lisa Surihani itu juga kreatif kerana mengolah jalan cerita tersebut supaya tidak menyamai cerita-cerita tentang Viking yang sedia ada khususnya yang pernah dihasilkan Hollywood.

Vikingdom mengisahkan seorang raja bernama Irick Bloodletter yang mati tetapi dihidupkan semula oleh dewa. Dia dihidupkan atas amanah yang perlu dilaksanakan iaitu membunuh Thor dan konco-konconya yang merancang untuk memusnahkan dunia.

Misinya itu tidak dapat dilaksanakan seorang diri apabila dia perlu mengumpulkan tenteranya bagi menghapuskan Thor dan konco-konconya. Irick bersama teman baiknya iaitu Sven (Craig Fairbrass), akhirnya disertai oleh Yang (Jon Foo), Brynna (Natassia Malthe) dan lain-lain lagi.

Taruhan Yusry memilih Dominic Purcell sebagai tunjang utama pada dasar- nya agak menarik dan ia juga mampu menarik penonton kerana ramai mengenali hero tersebut menerusi siri TV popular, Prison Break.

Malangnya, lakonan Dominic ibarat seperti kata pepatah 'melepaskan batuk di tangga'. Lontaran dialog, memek muka dan aksi lawan yang ditonjolkan kaku dan tiada jiwa!

Begitupun, pujian harus diberikan kepada watak Thor lakonan Conan Stevens, heroinnya Natassia Malthe dan juga watak hamba abdi dari China, Jon Foo yang cukup menghidupkan watak dalam filem tersebut.


VIKINGDOM banyak dibantu dengan penggunaan CGI.


Secara keseluruhannya, Vikingdom tidak rugi ditonton kerana ia membukti- kan kemampuan rakyat Malaysia dalam menghasilkan filem yang hampir menyamai standard produksi antarabangsa, malah tenaga kerjanya juga adalah 100 peratus dari Malaysia.

Biarpun jalan ceritanya agak membosankan kerana tegang dan tidak diselitkan dengan sebarang humor, selain beberapa babak tidak realistik yang begitu ketara, namun ada juga babak- babak menarik dalam Vikingdom.

Antaranya, babak pertarungan yang membabitkan Brynna dan Jon Foo bersama dengan konco-konco Thor. Aksi pergaduhan dan wajah dua pelakon itu mampu menarik penonton melekat lama di kerusi pawagam.

Begitu juga, penggunaan kostum- kostum yang bersesuaian dengan setiap watak. Buat Yusry, Vikingdom merupakan satu percubaan yang bagus untuk meniti anak tangga keja- yaan dalam menghasilkan filem bertaraf global pada masa hadapan.

Ika anggap perbuatan minta gambar bogel biadab

Posted:

Ika anggap perbuatan minta gambar bogel biadab

Ika anggap perbuatan minta gambar bogel biadab

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

BEKAS peserta Akademi Fantasia musim keenam ini bakal muncul dengan single terbaharu berjudul, Tiada Rasa.


PADA bulan lalu, pelakon Ika Nabila telah dikritik ramai kerana tindakannya yang menghamburkan kata-kata yang agak kesat di laman sosial Instagram miliknya.

Perkara tersebut berlaku gara-gara ada individu yang tidak bertanggungjawab telah meminta gambar bogelnya sewaktu dia pergi bercuti ke Krabi, Thailand baru-baru ini.

Bertemu dengan bintang Akademi Fantasia musim keenam itu dalam sebuah pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ika lantas memberikan penjelasan.

Ujarnya, tindakan yang dilakukannya itu bukanlah disengajakan, namun ia lebih kepada luahan kekecewaan sehingga telah mengganggu mood percutiannya itu.

Kosmo!: Boleh jelaskan lebih lanjut tentang isu gambar bogel yang melanda diri Ika?

IKA NABILA: Sebenarnya saya sangat hairan apabila ada individu yang menjadi pengikut saya di Instagram telah melakukan tindakan di luar batasan yang mahu meminta gambar bogel saya.

Ia sesuatu yang mengejutkan kerana sepanjang percutian saya tidak pernah memakai yang menjolok mata, seksi atau berbikini. Itu yang telah membuatkan saya sangat marah.

Ayat-ayat yang diluahkan oleh anda itu nampak agak keterlaluan. Kenapa anda sanggup meluahkan ayat yang sedemikian?

Saya sedar perbuatan tersebut memang nampak biadap sehingga mendapat kritikan ramai, namun saya rasa perbuatan yang biadab harus dibalas dengan cara sama.

Lagipun saya menjadi mangsa keadaan atas perbuatan tidak bermoral oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak dinafikan saya terlalu beremosi ketika menulisnya.

IKA NABILA berpendapat perbuatan biadab individu yang meminta gambar bogelnya harus dibalas dengan cara yang sama.


Adakah Ika ingin mengambil sebarang tindakan terhadap individu berkenaan?

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu yang timbul dan menganggap apa yang dilakukan oleh individu itu sebagai perbuatan yang hanya membuang masa.

Selain itu, saya ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf kepada semua pihak, terutamanya para peminat atas ketelanjuran menulis kata-kata yang kurang baik di Instagram.

Adakah isu yang timbul ini telah memberikan tekanan kepada diri Ika?

Setakat ini saya tidaklah berhadapan dengan sebarang tekanan, malah ada juga yang menyokong tindakan tersebut kerana mereka faham dengan situasi yang saya lalui.

Selain itu, saya sangat bersyukur apabila masih ramai orang di sekeliling yang mengambil berat terhadap diri saya. Namun begitu, saya berharap supaya isu sebegini tidak lagi timbul.

Ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Ika sekarang?

Filem lakonan saya iaitu Tanda Putera baru sahaja ditayangkan dan bulan lalu saya selesai menjalani penggambaran filem Gangster Superstar arahan Khabir Bhatia.

Tidak lama lagi saya akan muncul dengan single terbaharu setelah kali terakhir merakamkan lagu berjudul Tiada Rasa yang menjadi lagu tema untuk drama bersiri Julia pada tahun lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved