Jumaat, 26 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chong Wei sedia hadapi Lin Dan

Posted:

Chong Wei sedia hadapi Lin Dan

Chong Wei sedia hadapi Lin Dan

CHONG WEI (kanan) mengakui sudah lali dengan taktikal psikologi yang dilancarkan musuh ketatnya, Lin Dan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei tidak gentar dengan serangan psikologi yang bakal dicetuskan pencabarnya, Lin Dan dari China dalam misi merangkul kejuaraan sulung pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China dari 5 hingga 11 Ogos depan.

Bagi pemain berpengalaman negara itu, taktikal psikologi yang dilancarkan musuh ketatnya itu dan beberapa pemain terkemuka lain bukanlah perkara baharu.

Sebaliknya beliau yakin dengan persiapan rapi dan akan memberi tumpuan sepenuhnya pada kejohanan yang mampu melakar kejayaan itu.

"Taktik psikologi yang sering digunakan China bukan masalah bagi saya. Apa yang penting adalah fokus pada perlawanan. Kali ini saya lebih yakin untuk beraksi berbanding pada kejohanan dunia sebelum ini.

"Saya juga berpuas hati dengan persediaan kali ini. Selepas pulang daripada menyertai Terbuka Indonesia (bulan lepas), saya memang memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan bagi menghadapi kejohanan ini.

"Saya mempunyai pengalaman beraksi di Guangzhou, jadi tiada tekanan kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Chong Wei bersama-sama 28 pemain Malaysia lain berlepas ke Hong Kong untuk menjalani latihan fasa akhir selama 10 hari sebelum ke Guangzhou.

Turut hadir di KLIA ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengurus Besar BAM Kenny Goh.

Chong Wei turut mengharapkan sokongan daripada peminat badminton tempatan untuk menaikkan semangat beliau dan rakan sepasukan bagi meraih kejayaan pada kejohanan berprestij itu.

Pemain nombor satu dunia itu juga berharap Liew Darren dan Chong Wei Feng menggunakan peluang beraksi di Guangzhou sebagai platform menimba pengalaman berharga untuk menghadapi kejohanan penting tahun depan seperti Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Wei Feng dan Darren, mereka bukan remaja lagi. Umur mereka sudah 26 tahun dan mereka perlu guna peluang di Guangzhou sebaik-baiknya bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman.

"Peluang meraih kejuaraan pada kejohanan dunia memang susah tetapi saya harap mereka termasuk pemain remaja lain dapat memberikan aksi terbaik dengan mara ke suku akhir atau separuh akhir," katanya.

Pada kejohanan Dunia 2011 di London, Chong Wei tewas kepada Lin Dan di pentas akhir.

Sementara itu, pemain beregu utama negara, Koo Kien Keat yakin beliau dan pasangannya, Tan Boon Heong dapat membuktikan kemampuan mereka untuk meraih kejuaraan pada kejohanan itu.

"Saya akan memberi yang terbaik dan buktikan kepada semua bahawa kami masih boleh dipercayai untuk menggalas cabaran di Guangzhou. Sasaran saya ialah menjadi juara. Bagi saya, kalau hanya mara ke akhir tetapi tidak menjadi juara, tidak memberi apa-apa makna," kata Kien Keat. - Bernama

FAM komited lonjak ranking

Posted:

FAM komited lonjak ranking

FAM komited lonjak ranking

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


HAMIDIN (kiri) dan Irmohizam menunjukkan lilitan lengan yang bakal dipakai pemain-pemain kebangsaan pada aksi menentang Barcelona dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan bahawa pasukan Harimau Malaya dijadual menentang pasukan kebangsaan China pada 10 September depan.

Hamidin berkata, kira-kira tiga minggu lalu, beliau telah menubuhkan satu sekretariat khas bagi mengkaji aksi perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad negara selepas ini.

Sekretariat itu bertanggungjawab mendapatkan aksi perlawanan bertaraf kelas A serta hanya bermain dengan pasukan kebangsaan menjelang 2014.

"Hasil kerja keras pihak sekretariat tersebut, kami telah berjaya menempah satu aksi persahabatan dengan pasukan kebangsaan China pada 10 September depan.

"Lebih manis, segala perbelanjaan untuk aksi tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak China. Bagaimanapun, saya masih meneliti pasukan yang sesuai untuk satu lagi tarikh pada 6 September yang masih lagi kosong.

"Kami sudah mula bergerak (mencari aksi-aksi kelas A) sejak beberapa minggu lalu dan ini adalah hasil pertama kami," kata Hamidin dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menyediakan aksi persahabatan dengan pasukan bertaraf kelab bermula pada tahun 2014.

Hamidin berkata, ia diibarat sebagai langkah permulaan dalam usaha pihaknya memperbaiki rangking pasukan Harimau Malaya yang merudum di tangga ke-159 dunia ketika ini.

"Pihak media, peminat-peminat bola sepak negara serta penyokong ingin melihat pasukan negara beraksi dalam perlawanan persahabatan kelas A.

"Justeru, saya bersama ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan pengurus, Datuk Seri Subahan Kamal telah duduk berbincang secara serius mengenai perkara ini.

"Sasaran pertama saya adalah untuk mengisi sembilan tarikh dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) pada 2014 bagi bertemu dengan pasukan kebangsaan lain serta aksi kelas A.

"Namun, perkara ini belum dapat saya sahkan lagi kerana saya hanya akan mendapat maklum balas mengenai permohonan itu dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi," ujar Hamidin semalam.

Sementara itu, Hamidin turut mengulas kenyataan Subahan beberapa hari lepas yang menyasarkan skuad Harimau Malaya untuk menghuni tangga bawah 100 sebelum 2016.

"Pada saya, pendapat beliau (Subahan) itu adalah sesuatu yang positif dan kami perlu bergerak ke arah itu.

"Itu merupakan pendapat peribadinya namun perkara itu berjaya dicapai atau tidak bergantung kepada sejauh mana usaha kita ke arah perkara tersebut," kata Hamidin lagi.

Selangor idam julang satu trofi

Posted:

Selangor idam julang satu trofi

Selangor idam julang satu trofi

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

IRFAH memiliki tugasan berat untuk memastikan Selangor layak ke final Piala Malaysia tahun ini.


TIADA niat untuk berlagak tetapi Selangor berazam untuk menutup saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan menjulang sekurang-kurang satu trofi.

Justeru, skuad Gergasi Merah tiada pilihan lain, selain berjuang mati-matian untuk melayakkan diri ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, barisan pemain Selangor kini terdesak untuk memulihkan reputasi skuad Gergasi Merah selaku salah sebuah pasukan yang perlu disegani.

Selepas sekadar muncul naib juara Liga Super musim ini, pengendali kelahiran Perak itu menegaskan, beliau memiliki tugasan berat untuk memastikan Selangor layak ke final seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia untuk dijadikan sebagai penutup tirai Liga M tahun ini.

Untuk rekod, Selangor bersama 15 pasukan Liga Super dan Liga Premier bakal diundi untuk penentuan kumpulan esok sebelum memulakan kempen pada 20 Ogos depan.

"Tiada pilihan lain, kami mahu layak ke pentas final Piala Malaysia. Itulah sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Undian akan diadakan lusa (esok) dan saya yakin setiap pasukan memiliki kemampuan yang tersendiri.

"Namun, saya menganggap pretasi kami belum cukup bagus selepas beraksi hambar pada kempen Liga Super. Jadi, kami akan berusaha untuk mengakhiri musim ini dengan mendakap sekurang-kurang satu trofi iaitu Piala Malaysia.

"Mungkin kelebihan pada undian Piala Malaysia adalah kami tidak akan berdepan dengan Lions XII, Johor Darul Takzim dan Kelantan pada peringkat kumpulan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan lain, Irfan turut mengucapkan tahniah kepada Rosman Mohd. Ibrahim yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS yang baharu semalam.

Jelasnya, beliau percaya kredibiliti Rosman mampu mengangkat imej Selangor selain yakin dengan bekas penolong Setiausaha Agung FAS itu untuk meneruskan kegemilangan yang ditinggalkan oleh bekas Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang kini dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1 Julai lalu.

"Saya gembira kerana Rosman telah dipilih sebagai Setiausaha Agung FAS yang baharu dan saya yakin beliau tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kegemilangan Selangor pada masa akan datang," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved