Jumaat, 26 Julai 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Belajar buat kek daripada YouTube

Posted:

Belajar buat kek daripada YouTube

Belajar buat kek daripada YouTube

Oleh NIZHA PERIASWAMY

MEMASAK umpama satu terapi. Ia mampu mematangkan kita dan memberikan ruang untuk bereksperimen serta mengisi masa lapang. Jika sesuatu masakan itu berjaya, ia akan memberikan senyuman kepuasan bukan sahaja kepada tukang masak tetapi juga mereka yang menikmati hasil air tangan tersebut.

Berdasarkan kepada trend terkini, aktiviti memasak di rumah semakin meningkat dengan bertambahnya jumlah lelaki yang gemar berbuat demikian. Ia bukan sahaja melibatkan masakan makanan teras seperti nasi dan lauk-pauk, malah masakan kek dan pastri juga semakin diminati seperti yang dipopularkan oleh chef dan pembuat roti terkenal, Jamie Oliver serta Paul Hollywood.

Bagi Razi Arif Mohd. Razali, 28, misalnya, membuat biskut, kek atau sebarang pastri, bukan sesuatu yang baharu bagi lelaki moden sepertinya.

Mula membuat kek dan biskut secara serius sejak empat tahun lalu, Razi mengakui, ia bermula selepas dia dan rakan-rakan di kolej terlibat dalam satu projek mengenai perniagaan dalam talian.

"Kami hanya melakukannya untuk projek, kemudian saya fikir kenapa tidak jika saya mengaplikasi dalam hidup. Saya belajar tentang teknik membuat kek dan biskut dalam internet seperti Youtube. Dari situ, saya mula mengkaji dan bereksperimen sendiri," kata Razi yang mengakui kek coklat moist sebagai kek signaturnya.

Tambah Razi, kek menjadi pilihan paling utama mungkin kerana latar belakang keluarganya.

Semua orang dalam keluarga, bermula daripada neneknya, mak cik dan pak cik serta ibu, pandai membuat kek. Razi juga banyak mendapatkan resipi kek daripada pak cik dan mak ciknya yang banyak membantu dengan kemahiran tersebut pada peringkat awal.


CHEF Kamarul menunjukkan cara menguli doh menggunakan tangan supaya dapat mengenali tekstur doh tersebut dengan lebih mudah.


Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai pegawai bank, Razi berkata, ia tidak pernah menghalangnya daripada membuat kek pelbagai jenis kek. Walaupun sebagai seorang lelaki, Razi tidak melihat ia suatu kelainan.

"Ramai chef terkemuka dan mereka yang memasak di restoran, merupakan lelaki. Jadi, tiada apa yang pelik di sini," katanya.

Menjelang musim raya, Razi berkata, dia akan memberi tumpuan kepada membuat kek eksklusif raya iaitu kek dam, selain resipi biskut baharu seperti biskut perisa ayam, london almond perisa strawberi, epal dan pisang serta tart nanas.

Razi juga memberitahu, selain membuat biskut dan kek, dia juga tidak kekok memasak.

Bengkel Buttercup

Trend global iaitu penerimaan terhadap skil lelaki yang mahir memasak menyerap masuk ke seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia.

"Memasak adalah hobi yang mengujakan dan membawa suatu kepuasan tersendiri.

"Trend baharu menyaksikan lebih ramai lelaki memasak dan salah satu sebab perkembangan trend ini adalah pertambahan rancangan memasak yang dibintangi oleh lelaki sendiri," kongsi Pengurus Besar Kanan Auric Pacific, Chua Kim Leong.

Auric Pacific merupakan pengeluar dan pengedar mentega Buttercup di negara ini.

Berikutan itu, syarikat pembekal mentega terkemuka, Buttercup baru-baru ini menganjurkan bengkel memasak dan membuat biskut raya sempena kedatangan Aidilfitri di The Cooking House, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


RAZI pernah menyertai MasterChef Malaysia sebagai bukti minat mendalamnya dalam dunia masakan.


Menariknya dalam bengkel itu, But- tercup menggalakkan para jejaka membantu yang tersayang dalam membuat persediaan Syawal.

Petua membuat biskut

Bimbingan daripada Chef Kamarul Hasni atau lebih dikenali sebagai Chef Kamarul mengalu-alukan kedatangan wartawan pada sesi membuat biskut semperit dan cip coklat berkacang menggunakan mentega Buttercup.

Beliau turut membekalkan peserta bengkel dengan tip penting dalam memastikan biskut yang dihasilkan enak dan rangup.

Antaranya pemilihan mentega yang betul dan tepat, Buttercup.

Ujarnya lagi, sukatan bahan yang betul serta mentega yang tepat ditambah keghairahan memasak pasti akan membuahkan hasil yang dimahukan.

"Saya sentiasa mencari cara untuk membuat kejutan dan menggembirakan keluarga serta rakan saya dengan resipi biskut hari raya yang berbeza.

"Memasak membangkitkan rasa kasih sayang dan kesucian hati. Hari raya merupakan simbol kepada tradisi memasak yang dihargai," kata Chef Kamarul.

Mengenang memori silam, Chef Kamarul mengakui banyak kenangan manisnya bersama ibu dan nenek yang membuat biskut untuk hari raya.

Malah, resipi warisan turun-temurun dan bahan-bahan tetap dikekalnya sehingga hari ini.

Sebagai pembakar semangat bagi kaum lelaki yang berminat memasak kata Chef Kamarul, mereka seharusnya cuba membuat sesuatu yang mereka sendiri tidak sabar untuk menikmati. Ini kerana ia akan membuatkan mereka teruja melalui setiap proses dari mula hingga akhir.

"Selain itu, disebabkan memasak sangat bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan, pilih bahan terbaik untuk mendapatkan hasil yang hebat," ujar Chef Kamarul.

Dalam pada itu, sambil berkongsi tip dan petua, beliau juga memperkenalkan bahan-bahan untuk membuat biskut semperit.

JAMIE OLIVER antara chef lelaki yang membentuk satu paradigma baharu dalam bidang memasak dalam kalangan lelaki.


Chef Kamarul menunjukkan satu persatu proses membuatnya daripada membentuk adunan, doh dan membakar di dalam ketuhar.

Bagi menambah nilai dan cita rasa baharu semperit, Chef Kamarul turut memperkenalkan penggunaan serbuk koko untuk semperit berperisa coklat.

Mudah dan dihasilkan secara konsisten menggunakan resipi yang dikongsi oleh Chef Kamarul, para peserta media yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan jayanya menghasilkan semperit asli dan semperit coklat.

"Semasa membuat sempirit, ia menggunakan tiga jenis tepung, kalau doh lembut, tambahkan sahaja tepung gandum. Dari segi pemilihan telur, hanya kuning telur sahaja digunakan. Jangan gunakan seluruh telur," terangnya kepada wartawan.

Siap dalam masa kurang setengah jam, resipi kedua, yang banyak menggunakan kekacang serta cip coklat turut dikongsi. Lebih mudah dan lebih cepat dihasilkan, resipi yang hanya menggunakan lapan jenis bahan itu kelihatan sangat senang dilakukan.

Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan masa, media tidak dapat membuat resipi biskut kedua, biskut cip coklat berkacang.

Mengakui kedua-dua resipi bukan sahaja mudah dan enak di makan, Chef Kamarul memberitahu, sudah tiba masanya untuk para jejaka di luar sana menyingsing lengan untuk cuba membuat biskut sempena lebaran ini.

Pesona berkongsi resipi biskut semperit coklat dan biskut cip coklat berkacang Chef Kamarul yang boleh dimanfaatkan para pembaca.

Persiapan raya tanggungjawab suami

Posted:

Persiapan raya tanggungjawab suami

Persiapan raya tanggungjawab suami


NAFKAH zahir berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan yang munasabah merupakan tanggungjawab suami.


SEPERTI yang kita sedia maklum, Ramadan terbahagi kepada tiga fasa iaitu 10 Ramadan pertama adalah rahmat, 10 Ramadan kedua (keampunan) dan 10 Ramadan terakhir (fasa pembebasan daripada api neraka).

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Ramadan kini melalui fasa kedua menghampiri fasa ketiga. Dalam usaha meningkatkan ibadah kepada-Nya, persiapan menyambut hari kemenangan selepas perjuangan sebulan selesai sinonim digelar hari raya, perlu juga diambil peduli.

Isu yang sering dipanjangkan kepada saya ialah ramai kaum lelaki khususnya para suami dan bapa tidak begitu mengambil berat mengenai persiapan menyambut Aidilfitri.

Kalau tidak ambil berat tetapi memberikan wang kepada isteri, boleh diterima lagi, namun ada suami enggan campur tangan langsung.

Perlu difahami, keperluan bagi meraikan hari raya dikira sebagai nafkah zahir yang wajib disediakan suami termasuk untuk anak dalam jagaan bekas isteri (kes pasangan bercerai).

Suami tidak berkemampuan

Mengikut hukum syarak, antara tanggungjawab seorang suami adalah memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.

Menepati firman Allah SWT yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka." - Surah al-Nisa' ayat 34.


MENJADI tanggungjawab bapa menyediakan persiapan raya buat anak-anak. - Gambar hiasan


Berdasarkan huraian itu, ia merangkumi keperluan isteri dan anak-anak bagi menyambut dan meraikan Aidilfitri.

Ini bermaksud, seorang lelaki tidak boleh bersikap lepas tangan. Dia perlu menyediakan segala keperluan yang berkaitan agar isteri dan anak-anak dapat menyambut hari raya dengan ceria dan gembira.

Isu yang kerap menjadi perbahasan adalah suami atau bekas suami tidak mampu. Di Mahkamah Syariah pula, khabarnya apabila bekas suami memberikan alasan tidak mampu, maka hakim akan meminta isteri pertimbangkan semula.

Ketidakmampuan yang dijadikan alasan menggunakan firman Allah yang bermaksud: "Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepada- nya (sekadar yang mampu)." - Surah al-Talaq ayat 7.

Benarlah maksud ayat ini, kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami atau bekas suami.

Bagaimanapun ulama menjelaskan, kemampuan yang diambil kira adalah selepas si suami berusaha sedaya upaya dan tidak membebankan dirinya melebihi kemampuannya yang sebenar.

Sekiranya hanya berserah tanpa usaha tahap maksimum ataupun ketidakmampuan wujud selepas kegagalan mengurus- kan kewangan dengan wajar, sebagai contoh, berhutang untuk perkara yang bukan keperluan, ketidakmampuan itu tidak boleh diterima pakai.

Jika si ayah benar-benar tidak mampu, contohnya sakit yang memaksanya tidak bekerja dan tidak boleh mengusahakan sesuatu?

Jika ia berlaku, maka tanggungjawab menyediakan segala keperluan si anak terletak kepada warisnya seperti datuk atau saudara lelaki si ayah iaitu bapa saudara si anak.

Bagi memperoleh hak peralihan tanggungjawab ini, boleh gunakan peruntu- kan Seksyen 72 (2), Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan atau seksyen serupa bagi enakmen di negeri-negeri lain seluruh Malaysia, menyebut: "Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka".

Sahur walaupun seteguk air

Posted:

Sahur walaupun seteguk air

Sahur walaupun seteguk air


KITA digalakkan bersahur walaupun hanya seteguk air. - Gambar hiasan.


SALAM Ramadan buat semua pembaca setia Kosmo! yang tidak jemu-jemu menatap dan membaca akhbar ini sehingga ke hari ini dan membaca ruangan Tanya Ustaz.

Mudah-mudahan kalian diberkati Allah SWT dan diberi keafiatan zahir dan batin, rohani dan jasmani untuk menjalani perjalanan Ramadan ini.

Diam tak diam kita sudah berada pada hari yang ke-17 bulan Ramadan, masya-Allah terlalu pantas waktu berlalu.

Moga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk beriringan dengan Ramadan agar kita tidak ketinggalan.

Kali ini kita bicara tentang sahur dan mengapa perlu bersahur. Terdapat segelintir umat Islam yang tidak mengambil berat tentang kelebihan bersahur ini. Insya-Allah kita rungkaikan bersama-sama apakah kelebihan bersahur ini.

Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana dalam bersahur itu ada keberkatan".

Ada banyak rahsia di sebalik bersahur. Jika dapat dilakukan akan memberi kesan terhadap pembuatnya.

Nabi bersabda yang bermaksud: Perbezaan antara puasa orang Islam dengan puasa ahli Kitab adalah kita bersahur.

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sebentar) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail. - Hadis daripada Ibnu Abbas.

Hadis diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur.

Subhanallah, sehingga ke tahap ini Allah kurniakan kepada kita umat Muhammad yang memelihara sahur dalam berpuasa dan alangkah besarnya kelebihan walhal ringannya untuk dilakukan.

Sabda Rasulullah lagi: Sentiasalah umatku itu dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan bersahur.

Akhir kata, moga Allah memasukkan kita ke dalam golongan beribadah dan memelihara ibadah agar sentiasa diredai Allah dunia hingga akhirat. Wallahu a'lam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved