Selasa, 2 Julai 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Potongan klasik pilihan Kirana

Posted:

Potongan klasik pilihan Kirana

Potongan klasik pilihan Kirana

Oleh HAFIZ AHMAD

MALAM Tenunan Diraja yang memasuki edisi ketiga tahun ini terus memberikan impak positif kepada industri pembuatan fabrik tenun apabila mendapat sentuhan beberapa pereka terkenal melalui rekaan klasik dengan adunan kontemporari.

Setiap busana dihasilkan menggunakan kain tenun Pahang sebagai material asas dan diolah kreatif supaya ia terus relevan dalam peredaran fesyen masa kini.

Pereka prolifik yang sentiasa mengekalkan elemen tradisi dalam rekaannya, Datin Sharifah Kirana Syed Ghazali mempamerkan kepakaran mencipta busana potongan asli baju kurung Riau Pahang, cekak musang, teluk belanga wanita, kebaya labuh Cina Peranakan dan baju belah.

Bukan menolak anjakan modenasi, kata Sharifah Kirana, busana tradisional lebih menangkap perhatiannya.

"Saya melakukan penambahbaikan melalui pemilihan warna, malah corak dan motif dikekalkan menurut aturan sebenar," jelasnya ketika dihubungi.

Keutuhan jati dirinya dalam mengekalkan unsur tradisi dapat dilihat melalui busana yang dihasilkan. Setiap persalinan tampak santun dengan perincian mewah bak seorang puteri Kesultanan Melayu.

Elemen klasik

"Inspirasi di sebalik koleksi ini merupakan penerapan susur galur budaya kita. Potongan lama dikekalkan dalam setiap busana kerana saya mahu menjelaskan peradaban budaya bangsa kita mempunyai nilai estetika yang tinggi," ujar Sharifah Kirana yang pernah mengadakan pertunjukan di beberapa buah negara seperti Indonesia, Pakistan dan England.


RODZIAH menampilkan koleksi kontemporari supaya dapat menarik minat kaum lain terhadap fabrik diraja itu.


Sehubungan itu, beliau sedikit pun tidak terikut-ikut dengan arus semasa yang menghapuskan elemen klasik dalam busana tradisional.

"Kenapa seni nukilan nenek moyang kita seperti tenun Pahang ini perlu diubah secara drastik kerana keindahannya sudah jelas terbukti. Tidak perlu dicampur aduk dengan unsur-unsur luar.

"Sebaliknya, kita harus berbangga kerana ia merupakan warisan berharga untuk tatapan generasi akan datang," tegas Kirana.

Tidak hanya menghasilkan busana daripada fabrik tenun Pahang, beliau turut melengkapinya dengan perincian manik bermotifkan sulaman bunga cengkih, bunga lawang, bunga melor dan bunga cempaka.

"Saya sangat gembira apabila mendapat maklum balas yang positif selepas pertunjukan. Ini membuktikan masih terdapat segelintir masyarakat yang menyanjung sentuhan asli tradisional," ujarnya.

Tahun ini merupakan penyertaan kali ketiga Sharifah Kirana. Beliau amat berbesar hati dengan sokongan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana terus memberi kepercayaan kepadanya menghasilkan busana berteraskan tenun Pahang.

"Hasil usaha Tunku Azizah, kain tenunan Pahang terus kekal sehingga kini," tambah Sharifah Kirana.

Penjenamaan semula tenunan itu pada tahun 2006 telah membawa perubahan kepada industri tenun Pahang apabila semakin ramai orang terutamanya di Pahang melibatkan diri dalam proses penghasilan fabrik itu.

"Sewaktu memulakan projek ini, hanya 15 orang penenun yang meneruskan legasi pembuatan. Kesemua mereka berpusat di sekitar Pekan, Pahang," ujar Tunku Azizah pada malam pertunjukan fesyen itu.

"Seni tenunan ketika itu berada dalam keadaan kritikal kerana kebanyakan kaum wanita menolak melakukan kerja-kerja tradisi ini kerana mereka memilih bekerja di kilang-kilang.

Harta intelek

"Jika tidak dipelihara, seni warisan ini akan terus pupus. Atas sokongan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, ia terus dimartabatkan memandangkan kain tenun Pahang merupakan salah satu kebanggaan negeri dan bangsa," tambah Tengku Puan Pahang.


TENUN Pahang diangkat martabatnya menjadi warisan kebanggaan Pahang dengan penglibatan masyarakat dalam proses pembuatan fabrik itu.


Tenun Pahang telah diangkat sebagai warisan diraja pada 8 Mei 2006 oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Syah. Rentetan itulah, fabrik tersebut telah didaftarkan sebagai harta intelek bagi mengelakkan ia dimanipulasikan oleh segelintir pihak.

"Saya menjangkakan Tenun Pahang Diraja bakal mempunyai 200 orang penenun pada masa hadapan. Kami mempunyai silibus yang betul dan melatih penenun agar mereka dapat menjadikan ia sebagai sumber rezeki," jelas Tunku Azizah.

Penglibatan serius Tunku Azizah juga mendapat sanjungan daripada Pereka Fesyen Kraftangan Malaysia, Rodziah Mohd. Yusoff yang mempamerkan 18 pasang busana kontemporari pada acara yang diadakan selang dua tahun itu.

"Saya masih mengekalkan potongan tradisi. Unsur kontemporari tersebut adalah salah satu usaha kami dalam menarik minat pengguna kaum lain dan pada masa sama ia boleh dipakai untuk ke majlis rasmi dan glamor," ujarnya kepada Stailo baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rodziah berpendapat, martabat tenun Pahang perlu dikekalkan agar aura eksklusifnya terus terpelihara.

"Ia merupakan warisan kebanggaan kita yang tampak mewah ketika dipakai pada acara tertentu seperti perkahwinan, perayaan, acara karpet merah dan lain-lain," jelas Rodziah yang menggunakan tenunan daripada usahawan Kampung Soi, Felda Chini dan Pusat Tenunan Pulau Keladi.

Pada acara yang sama, tiga pemenang diiktiraf melalui pertandingan rekaan Tenun Pahang Diraja yang menobatkan Mohd. Zaidi Hussin dari Kuantan, Pahang sebagai juara. Tenunan bermotifkan kalimah Allah dan Muhammad menghadiahkan dia wang tunai RM14,000 dan piala. Tempat kedua dimenangi oleh Fazuan Zakaria dari Bentong dan Zila Md. Saad dari Syarikat Realistic Attraction, Kuantan.

Tata gaya kasual Waridi

Posted:

Tata gaya kasual Waridi

Tata gaya kasual Waridi

GABUNGAN dua fabrik iaitu polos dan bercorak menampakkan kematangan jejaka dalam bergaya


KERANCAKAN industri fesyen untuk kaum Adam semakin ketara beberapa tahun kebelakangan ini apabila pereka busana hadir dengan variasi pilihan. Tidak sekadar padanan kemeja-T dan seluar jean semata-mata, tata gaya untuk jejaka hari ini lebih menyerlah melalui penataan warna dan potongan terkini.

Bagi yang ingin bergaya dalam acuan tidak terlalu eksentrik, mungkin koleksi pereka muda, Waridi Hamdan cocok dengan cita rasa lelaki maskulin. Koleksi terbaharu pereka kelahiran Ipoh, Perak itu menumpukan gabungan fabrik dan disatukan menjadi sehelai baju kemeja yang tampak moden menurut kehendak fesyen semasa.

Sesekali menukar imej berpakaian boleh menyerlahkan lagi keperibadian dan keyakinan sang pria.

Kemeja rekaan Waridi bermain warna yang pelbagai bagi menampakkan ciri-ciri moden jejaka metropolitan. Kemeja hitam dipadankan bersama rona kuning terang, sesuai digayakan bersama seluar jean potongan ketat dan kasut kulit.

Baju polos warna biru ditekapkan bersama corak berkotak rona senada digayakan kemas dengan seluar hitam untuk ke pejabat. Potongan baju dijahit kemas mengikut susuk tubuh bagi menampakkan biasan mereka yang sasa dan berketrampilan.

Mahu tampil kelainan ketika melangkah ke pejabat, pilih kemeja putih bercorak kotak rona biru kehijauan dan disarungkan bersama seluar jean lusuh. Penampilan seorang eksekutif kini tambah bergaya tetapi masih minimalis.

Seleksi baju kemeja ini juga tidak terhad kepada pemakaian ke pejabat atau acara semi formal kerana ia juga sesuai digayakan secara kasual. Padankan bersama aksesori seperti gelang besi dan kasut sneaker, penampilan maskulin terserlah kala bersiar-siar di pusat beli-belah di sekitar ibu kota. - HAFIZ AHMAD

Sepatu santai kanak-kanak

Posted:

Sepatu santai kanak-kanak

Sepatu santai kanak-kanak

SIFATNYA yang ringan dan terapung menjadikan koleksi Beach Line sesuai dipakai ketika beriadah di tepi pantai.


MUSIM panas merupakan waktu paling sesuai untuk berkelah di pantai. Kanak-kanak antara kelompok paling teruja apabila berada di pantai. Membina istana pasir dan berkejaran di gigi air antara aktiviti kegemaran si cilik tatkala berseronok di tempat percutian tersebut.

Selain memakai pakaian renang yang bersesuaian, keselesaan kaki mereka juga perlu diberi perhatian. Koleksi terbaharu Crocs menjadi pilihan dalam menjamin keselamatan dan keselesaan kaki mereka.

Dilengkapi getah luaran untuk tujuan cengkaman tambahan, Crocs Beach Line menawarkan keselesaan berganda dengan penggunaan material berkualiti tinggi. Penambahan tali yang berfungsi sebagai pengetat kaki menjadikan ia tidak mudah tertanggal ketika kanak-kanak bergerak lasak.

Paling penting, koleksi Crocs Beach Line tersebut ringan dan terapung di dalam air.

Ibu bapa akan terhibur melihat telatah anak-anak bermain dengan selesa sepanjang hari dengan kasut sarung Crocs Beach Line. Tidak perlu gusar jika mereka kotor atau basah.


KOLEKSI baharu Crocs memberi keselesaan kepada kanak-kanak selain menjamin keselamatan mereka.


Si gadis cilik pula akan kelihatan comel ketika menyarungkan kasut sarung Crocs Beach Line. Rekaan klasiknya membuatkan ia sesuai untuk acara santai atau kasual.

Kanak-kanak yang sukakan warna-warna ceria pula pasti tertambat dengan koleksi Crocs Huararche. Meskipun direka berwarna-warni, keselesaan tetap menjadi keutamaan Crocs.

Bagi kanak-kanak yang meningkat remaja, sepatu bertapak rata Crocs Huararche Slingback mampu membentuk imej dewasa kepada mereka. Rona terang dan rekaan comel sepatu itu menyerlahkan penampilan remaja si kecil.

Kasut sarung bertapak lembut Crocs Hover Superman pula sempurna untuk kanak-kanak lelaki yang menggemari adiwira Superman. Selesa dipakai untuk tempoh yang panjang, ia membolehkan kanak-kanak melakukan eksplorasi fantasinya tanpa batasan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved