Rabu, 31 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keenakan nasi goreng dabai

Posted:

Keenakan nasi goreng dabai

Keenakan nasi goreng dabai

"NASI goreng dabai...mahu cuba nasi goreng dabai?" Begitulah pelawaan mesra sembilan pekerja Restoran Saif BBQ & Steambot yang terletak di kawasan pelancongan terkenal, D'Cove di Pasir Panjang, Santubong, Sarawak.

Setiap kali berkunjung ke situ, apa yang terlintas dalam fikiran pelanggan ialah nasi goreng dabai.

Rasanya yang enak dan berlemak sudah cukup untuk membuatkan kecur air liur.

Bagi sebahagian besar masyarakat Sarawak, menu yang menyelerakan ini masih menjadi pilihan meskipun negeri ini terkenal dengan laksa Sarawak dan mi kolok.

Bagi masyarakat luar terutamanya penduduk dari Semenanjung dan Sabah, mereka mungkin teringin untuk menikmati kelazatan nasi goreng dabai.

Beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam setiap hari, nasi goreng dabai merupakan menu popular di restoran yang terletak kira-kira 22 kilometer dari pusat bandar raya Kuching itu.

Pemilik restoran, Ahmed Ezi Firhan, 21, ketika ditemui Kosmo! memberitahu, dia menggunakan resipi asli bagi mengekalkan rasa sebenar nasi goreng dabai. Nasi goreng itu dijual pada harga RM7 sepinggan.

BUAH dabai mempunyai isi yang kekuning-kuningan, berkrim dan sedikit masam.


Bermusim

Menurutnya, keaslian menu tersebut dijamin kerana hidangan itu disertakan buah dabai yang hanya boleh didapati di Sarawak.

"Dabai merupakan buah yang bermusim dan tidak ditanam di Semenanjung. Ia popular dan mudah diperoleh di sekitar Sibu, Kapit dan Sarikei.

"Kebiasaannya, buah dabai yang telah dijeruk akan diletakkan ke dalam nasi aruk atau nasi goreng sekali gus membuatkan rasanya berbeza daripada nasi goreng biasa," katanya.

Menariknya tentang nasi goreng ini, warnanya yang seakan-akan nasi dagang itu dimasak tanpa menggunakan perasa dan pewarna makanan.

Buah dabai jeruk digunakan sebagai perasa nasi goreng. Warna yang terhasil pada nasi itu juga bukan disebabkan pewarna tiruan, sebaliknya berpunca daripada buah dabai itu sendiri.

Paling istimewa ujarnya, gabungan ringkas buah dabai yang direndam dengan air panas selama antara 10 hingga 15 minit sebelum disiat-siat isinya akan memperlihatkan keenakan nasi goreng berkenaan.

Menurut Ahmad Ezi, bagi memastikan kelazatan nasi goreng tersebut, nasi perlu disimpan di dalam peti sejuk selama semalaman.

HARGA buah dabai antara RM10 hingga RM40 sekilogram.


"Panaskan minyak, kemudian pecahkan telur dan kacau telur hingga hancur, biarkan ia garing dan masukkan bahan yang telah ditumbuk, kemudian masukkan kacang panjang yang telah dipotong halus serta perisakan dengan garam.

"Langkah seterusnya ialah masukkan nasi sejuk itu dan kacau sehingga sebati dan garing. Akhir sekali, masukkan buah dabai yang telah disiat-siat isinya, goreng lagi sehingga sedikit garing dan sedia dihidang," katanya yang menguruskan restoran itu sejak tiga tahun lalu.

Ahmed Ezi menambah, buah dabai tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana ada cara tertentu untuk memakannya.

Buah dabai muda kelihatan putih di bahagian luar tetapi bertukar menjadi kehitam-hitaman apabila masak.

"Isinya berwarna kuning, bijinya pula berbentuk seperti bola ragbi segi tiga. Buah dabai yang mempunyai isi tebal, lembut, berwarna kuning tua dan lemak sangat diminati dan dijual pada harga yang tinggi.

"Buah dabai dijual antara RM10 hingga RM30 sekilogram bergantung kepada kesegaran dan ketebalan isinya," katanya.

Ikut kreativiti

Ahmed Ezi yang juga seorang chef memberitahu, buah dabai boleh dimakan dengan pelbagai cara mengikut kreativiti masing-masing.

Cara paling popular ujarnya, buah dabai direndam dengan air suam sehingga lembut, kemudian toskan air sebelum dicampurkan sedikit garam.

"Ia juga enak dicicah dengan kicap atau sambal belacan. Hidangan ini amat sesuai untuk jamuan tengah hari atau malam," katanya.


MI kolok tidak dapat menandingi populariti nasi goreng dabai.


Sementara itu, seorang penggemar nasi goreng dabai, Ahmad Zulfardi, 29, berkata, nasi goreng yang menggunakan buah dabai segar agak sukar diperoleh. Selain dabai berbuah mengikut musim, ia hanya boleh ditemui di wilayah tengah Sarawak.

Ahmad tidak akan melepaskan peluang menikmati menu kegemarannya itu setiap kali tiba musim dabai berbuah kerana lazimnya para peniaga hanya menggunakan dabai yang dijeruk untuk memasak nasi goreng.

"Saya tidak makan hidangan itu setiap hari sebaliknya hanya sekali-sekala. Menu ini jarang dijual, namun jika ada, ia laris bak pisang goreng panas. Ramai orang percayakan khasiatnya.

"Saya sanggup berulang-alik dari pusat bandar ke Restoran Saif bersama kawan-kawan semata-mata untuk menikmati keenakan nasi goreng dabai," ujarnya.

Ahli perniagaan itu menambah, penggemar sajian itu pasti singgah membeli nasi goreng dabai di restoran tersebut kerana ia sukar diperoleh di tempat lain.

"Resipi tradisi yang digunakan turut memastikan nasi goreng ini mengekalkan aromanya walaupun disimpan selama tiga atau empat hari di dalam peti sejuk," katanya.

Rozana Mostama, 28, pula memberitahu, buah dabai yang direbus boleh dijadikan menu pembuka selera.

Ceritanya, hidangan lazim yang menjadi kemestian pengunjung ialah sambal belacan bersama kicap di samping aneka lauk-pauk dan makanan laut.

"Meskipun nasi goreng dabai agak masin, ia tidak menghalang saya daripada memakannya sampai habis.

"Kadang-kadang saya tempah nasi ini untuk dijadikan hidangan istimewa kepada tetamu pada Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Makanan mewah untuk gelandangan

Posted:

Makanan mewah untuk gelandangan

Makanan mewah untuk gelandangan


GOLONGAN kurang bernasib baik berpeluang menikmati hidangan daripada restoran mewah menerusi projek kebajikan itu.


SUP ayam dihias sebelum diagihkan kepada orang miskin dan gelandangan yang tinggal di bandar San Benedetto, Itali. Ia merupakan salah satu cara untuk mengelakkan pembaziran makanan dan membantu orang ramai yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi yang melanda negara Eropah itu.

"Makanannya sedap. Ini merupakan dapur untuk orang kaya. Kami mengambil hidangan utama kemudian hidangan kedua diikuti dengan pencuci mulut. Ia seperti kaedah pemakanan orang Itali iaitu trattoria," ujar seorang gelandangan, Alessandro selepas menghabiskan hidangannya di kantin San Benedetto.

Pihak penganjur projek Pasto Buono yang bermaksud 'Makanan Sedap' telah menghubungi beberapa kedai runcit dan restoran yang membuang sisa makanan harian untuk dimasak di kantin yang dikunjungi oleh Alessandro itu.

Pihak yang ingin menyumbang makanan telah diatur seperti restoran mewah, Volpetti sehingga kawasan San Benedetto di Ostiense iaitu bekas tapak perindustrian usang di selatan pusat bandar Rom.

Makanan seperti piza, pasta, daging dan ikan dari seluruh Itali menjadi makanan asas kepada penganggur dan golongan gelandangan di negara itu.

Beberapa bulan lalu, rakyat negara itu terpaksa mengurangkan tiga peratus perbelanjaan makanan mereka. Pada masa yang sama, dianggarkan enam juta tan makanan yang masih elok dibuang setiap tahun.

"Inisiatif ini amat penting. Ia merupakan satu cara untuk para pekedai membantu golongan miskin," kata Fabio Bartoli yang merupakan seorang paderi di San Benedetto dan memberi makan kepada 35 orang miskin dalam sehari.

Sumbangan pelbagai cara

Sebuah restoran, Strabbioni menyediakan sebanyak enam hidangan tiga kali seminggu untuk golongan gelandangan yang tinggal di stesen kereta api Termini.

Dalam pada itu, restoran kelab sukan eksklusif yang beroperasi sejak abad ke-19, Tiro a Volo menyediakan lebihan bufet mewah pada hari Ahad di San Bellarmino pada keesokan harinya.

"Kadangkala hidangan itu tidak mencukupi. Jadi, saya minta mereka menyediakan pinggan biskut istimewa," ujar pengarah kelab itu, Michele Anastasio Pugliese.


SEORANG lelaki sabar menunggu hidangan untuk makan tengah hari.


Di Volpetti, pekerja-pekerja restoran mengasingkan sisa makanan dalam kotak kadbod putih pada setiap malam. Kemudian, van dari Caritas akan mengambil kotak tersebut pada setiap pagi.

"Ia tidak memerlukan belanja yang besar. Hanya menggunakan sedikit masa kami. Makanan itu amat diperlukan. Bilangan golongan miskin semakin meningkat," kata pekerja kantin itu, Donato Sarzarulo.

Sukarelawan di kawasan itu memberitahu, golongan pertengahan di Itali merupakan antara yang terjejas teruk kesan daripada dasar penjimatan kerajaan sehingga menyebabkan mereka jatuh miskin. Golongan tersebut juga merupakan antara pengunjung kantin itu manakala pendatang asing kebanyakannya telah meninggalkan negara tersebut.

Donato, 58, merupakan antara golongan pertengahan yang telah jatuh miskin dan kini menjadi salah seorang pengunjung kantin di San Benedetto.

"Saya sepatutnya menjadi tukang emas tetapi saya sering dibayangi oleh hutang-hutang. Kini, saya telah hilang segala-galanya.

"Dua tahun lalu, saya tinggal di dalam kereta. Saya datang ke sini untuk makan tengah hari. Pada sebelah petang, saya akan ke pusat beli-belah untuk mencuri roti sebagai bekalan makanan saya," ujarnya.

Para penyumbang memberitahu, inisiatif seperti Pasto Buono terhad kerana mereka yang ingin menyumbang perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dengan memakai pita merah sebagai tanda mereka memberi sumbangan itu.

"Restoran yang terlibat dalam projek itu menyediakan makanan yang berkualiti. Mereka pandai memanfaatkan sisa makanan yang tidak terjual di premis," ujar Gregorio Fogliano, pengarah projek Pasto Buono.

Dia juga menyasarkan untuk menyediakan 110,000 hidangan dalam setahun di Rom. Inisiatif itu bermula di sebuah bandar iaitu Genoa yang merupakan bandar keenam terbesar di negara itu pada tahun 2007. Sehingga kini, ia turut dijalankan di bandar Florence.

Projek itu juga sedang dalam perancangan untuk dimulakan di Palermo dan Sicily pada tahun akan datang. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved