Rabu, 5 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah

Posted:

Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah

Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah

ISRAK MIKRAJ merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun.

Ia dianggap peristiwa agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.

Ayat di atas merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa.

Sementara Mikraj pula merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa penting

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat.

"Contohnya, Baginda melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung daripadanya.

"Selain itu, apabila Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu.

"Begitu juga dengan solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya," terang Muhammad ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Perkara kedua, ujar beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat.


KAWASAN di dalam Masjid as-Sakhra iaitu lokasi terletaknya batu tergantung dalam peristiwa Israk Mikraj.


Tambahnya, perkara ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil.

Sering berulang-alik ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa.

"Antaranya ialah tempat tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu.

"Semua lokasi ini masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon. Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai sejarah," tegas Muhammad.

Bumi anbiya

Sejak tahun 2009, Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu. Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya.

"Selain bersolat di Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah," ujar beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana.


DI dinding inilah buraq iaitu kenderaan yang dinaiki Rasullulah ke langit ditambat.


Sheikh Yusoff juga tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Sementara itu, Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk menziarahinya.

"Di sana, selain beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di makam-makam para Nabi dan auliya.

"Kawasan sekitar peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan," kata beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Ujar Zulkifli lagi, melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT.


ZULKIFLI (kiri, baris tengah) menziarahi makam ulama dan para auliya di Palestin.


Ziarah musafir

"Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya," ungkap Zulkifli.

Dalam pada itu, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi Palestin.

Beliau yang berada di sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam.

"Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid al-Aqsa atas faktor keselamatan.

"Memang benar ada kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita adalah untuk beribadah di sana," kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya.

Beliau turut membawa isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2, dan Sophea Natasya, empat bulan.

Mon negeri warga emas

Posted:

Mon negeri warga emas

Mon negeri warga emas


BAGI menyara kehidupan, warga emas di Mon mengharapkan kiriman wang daripada anak-anak yang bekerja di Thailand.


KEKANGAN ekonomi menyebabkan hampir semua generasi muda di Mon, sebuah negeri di tenggara Myanmar terpaksa berhijrah mencari rezeki di luar negara.

Ia menyebabkan hanya golongan tua menjadi penghuni Mon sehingga ia sinonim dengan panggilan Tanah Warga Emas. Ia merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai konflik dan masalah ekonomi.

Dengan penubuhan kerajaan baharu, harapan pembangunan sedikit sebanyak mula berputik di Mon.

Penduduk tempatan di Ywarthit memberitahu, isi rumah Mon kehilangan hampir 70 peratus golongan muda hinggakan yang tinggal kini hanyalah kanan-kanak dan orang tua.

Kebanyakan remaja meninggalkan negeri itu selepas mereka tamat persekolahan. Mereka menyeberangi sempadan Thailand untuk mencari pekerjaan di kilang-kilang atau sebagai pembantu rumah di Thailand.

"Hanya golongan ibu, datuk dan nenek menetap Mon yang menjaga anak dan cucu mereka tinggal di sini," ujar Nyein Tin.

Kemiskinan

Nyein Tin mempunyai lima orang anak tetapi kesemuanya bekerja di Thailand.

Menurutnya, dia hanya bergantung kepada wang yang dikirim oleh anak-anaknya itu untuk menjaga lima orang cucu.

"Bagaimana saya hendak meneruskan hidup sekiranya mereka tidak mengirimkan wang?" soalnya yang kini berusia 60 tahun.

Kajian HelpAge International baru- baru ini mendapati, kira-kira satu perempat daripada isi rumah di Mon dihuni oleh datuk, nenek dan cucu.


MON berdepan pelbagai konflik selain bergelut dengan masalah ekonomi.


Kerajaan separa awam yang telah mengambil tampuk pemerintahan pada awal 2011 kemudian mengadakan gencatan senjata dengan puak pemberontak dari Mon dan negeri jiran, Karen tahun lalu.

Ketika berada di bawah pemerintahan majlis itu, Myanmar merupakan salah sebuah negara termiskin di rantau Asia. Justeru, tarikan kewangan di negara asing merupakan salah satu faktor menarik golongan belia bekerja di luar negara.

Menurut aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall, Thailand kini mempunyai hampir 1.7 juta pekerja yang berdaftar dari Myanmar manakala lebih sejuta lagi dikatakan tidak berdaftar.

Pendapatan lebih tinggi

Thailand memerlukan pekerja bergaji rendah untuk meningkatkan sektor pembinaan, pemprosesan makanan dan industri perikanan. Namun, menurut Hall, pendatang asing dari Myanmar terdedah kepada penderaan dan diskriminasi.

"Mereka mahu pulang ke tanah air tetapi perbezaan pendapatan yang tinggi membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu," ujarnya yang membuat anggaran keseluruhan pekerja asing yang mengirim wang kepada keluarga di Myanmar adalah berjumlah AS$300 juta (RM915 juta) hingga AS$2 bilion (RM6.1 bilion) setahun.


PEPERANGAN menyebabkan rakyat Mon hidup dalam keadaan kemiskinan.


Tambahnya lagi, mereka dapat menikmati pendapatan sebanyak AS$200 (RM610) sebulan atau lebih di Thailand.

Terguris hati

Kyaw Thu Ya dan isterinya, Hay Mar bekerja di kilang memproses udang di Mahachai, Thailand. Di kilang itulah dua pekerja asing yang berasal dari Mawlamyine, ibu negeri Mon iaitu berkenalan.

Kawasan kilang tersebut merupakan tempat tinggal dan sumber mencari rezeki bagi ribuan warga Myanmar.

"Hati saya terguris apabila melihat negara sendiri tidak seperti negara lain. Saya amat rindukan keluarga di kampung," keluh Thu Ya.

Jelasnya lagi, keluarganya di Myanmar merupakan petani miskin yang menjalankan kerja-kerja pertanian di sawah padi.

Thu Ya dan isterinya tinggal di bilik sempit bersama rakan-rakan senegaranya kerana tiada pilihan lain.

"Di sini, kami mempunyai pekerjaan. Prasarana seperti jalan raya dan elektrik amat baik. Di Mon, kami tidak mampu membeli televisyen atau komputer. Ia merupakan satu perubahan besar," katanya.

Dalam kunjungan aktivis demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke Thailand tahun lalu, beliau berharap pekerja asing di Mahachai pulang ke tanah air.

Menurut sebuah akhbar tempatan, Than Lwin Times, kebanyakan golongan belia bekerja sebagai buruh di Mon hanya mendapat bayaran AS$3 (RM9) sehari.

"Jumlah itu tidak cukup untuk kehidupan mereka dan itu merupakan faktor utama mereka ke luar negara. Disebabkan itulah, Mon itu hanya dihuni oleh warga emas," ujarnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved