Rabu, 5 Jun 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Rambang mata di kedai jalanan popular

Posted:

Rambang mata di kedai jalanan popular

Rambang mata di kedai jalanan popular

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

SUASANA lalu lintas di Singapura sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun pada waktu puncak. Pemandangan itu merupakan satu pemandangan yang jarang kita lihat di Kuala Lumpur.

Namun, panorama berlainan dapat dilihat ketika melangkah ke Bugis Street yang terletak di tengah-tengah Kota Singa itu. Kemeriahan sinaran cahaya lampu pada waktu malam dan tarikan pelbagai pilihan barang jualan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tumpuan utama pelancong tempatan dan luar negara.

Pelanggan mula membanjiri Bugis Street seawal pukul 11 pagi hingga 10 malam bagi mendapatkan barangan seperti pakaian, jam tangan, beg dan cenderamata pada harga rendah. Keadaan di Bugis Street tidak ubah seperti deretan kedai yang ada di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Terdapat kira-kira 800 buah premis beroperasi di pusat beli-belah jalanan terbesar di Singapura itu. Rata-rata perniagaan mereka tertumpu kepada pakaian fesyen terkini buat pengunjung wanita dan cenderamata seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, barangan piuter dan baju T.


TUGU Merlion merupakan maskot kebangsaan yang amat sinonim dengan Singapura.


Seorang pelancong, Nor Emila Mohd. Yusof berkata, kunjungannya ke Singapura baru-baru ini turut memasukkan Bugis Street sebagai salah satu destinasi yang perlu dikunjungi kerana ia menawarkan harga barangan jauh lebih rendah berbanding pusat beli-belah lain di Singapura.

"Saya suka berbelanja di sini terutamanya barangan cenderamata kerana ia sangat murah. Para peniaga pula melayan mesra kehendak pelanggan yang tawar-menawar sebelum membeli.

"Kawasan Bugis Street yang terletak di pusat bandar dan berdekatan dengan beberapa pusat beli-belah lain memudahkan pelanggan membuat pilihan atau sekadar mahu melihat-lihat," katanya yang berasal dari Raub, Pahang.

Pembangunan semula

Bugis Street mula terkenal di peringkat antarabangsa pada tahun 1950. Sejak itu ia menjadi salah sebuah destinasi pelancongan utama di Singapura.

Pada pertengahan tahun 1980-an, kawasan tersebut menjalani proses pembangunan semula kerana lokasinya yang strategik di kawasan bandar utama. Pembangunan tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf kepada kompleks beli-belah moden termasuklah premis perniagaan lorong belakang kompleks itu.


MALAY STREET yang terletak di seberang jalan bertentangan Bugis Street turut menjadi tumpuan orang ramai ketika berkunjung ke Singapura.


Perubahan tersebut membantu meningkatkan imej antarabangsa Singapura kerana ia mula diiktiraf di peringkat global.

Kini, Bugis Street berubah kepada struktur bangunan yang lebih kukuh, laluan yang luas walaupun 'terhimpit' di celah kompleks beli-belah berdekatan termasuk Bugis Junction.

Tambah Nor Emila, kunjungan ke Bugis Street tambah menarik kerana ia berdekatan dengan kompleks beli-belah moden, Bugis Junction dan Bugis Village yang terletak bersebelahan.

"Bagi mereka yang tidak suka bersesak-sesak ketika menjamu mata di sini, mereka boleh berjalan kaki ke Malay Street atau Hylem Street yang lebih santai dan redup," katanya.

Jangan banding mata wang

Dalam pada itu, seorang lagi pelancong Malaysia, Muhammad Hafizuddin Mohd. Sanip sempat berkongsi tip untuk berbelanja di Bugis Street.


PANORAMA menarik pada waktu malam yang menjadi tarikan utama pengunjung ke Marina Bay Sands.


Katanya, barang yang dijual di sana dirasakan berbaloi dan murah jika pelancong asing tidak membandingkan harga tersebut dengan mata wang negara sendiri.

"Anda boleh mendapatkan dua helai baju T orang dewasa (bertemakan Singapura) pada harga S$10. Ia sudah cukup murah walaupun nilainya di Malaysia bersamaan dengan RM25.

"Jika anda menganggap S$1 itu sama dengan RM1, perbandingan harga ketika berbelanja akan jadi lebih mudah. Bagaimanapun, jika anda menukarnya mengikut mata wang yang sebenar, kemungkinan besar anda tidak membeli apa-apa di sini," jelasnya ringkas.

Menariknya, pengunjung boleh berjalan kaki ke kawasan Esplanade sejauh 1.6 kilometer dari Bugis Street atau menggunakan transit laju massa (MRT) bawah tanah untuk melihat bangunan ikonik Singapura iaitu Marina Bay Sands Singapore (MBSS).

Tugu singa berbentuk ikan duyung yang dipanggil Merlion juga menjadi kemestian bagi pelancong untuk merakam gambar kenangan kerana bentuknya yang sinonim dengan negara Singa berkenaan.

Keriangan kosmopolitan Hong Kong

Posted:

Keriangan kosmopolitan Hong Kong

Keriangan kosmopolitan Hong Kong


PENULIS (dua dari kiri) bergambar kenangan dengan rakan sepejabat yang turut serta ke Hong Kong baru-baru ini.


PENGALAMAN menjejakkan kaki ke kota tumpuan ekonomi utama dunia, Hong Kong pada bulan Februari lalu ternyata memberikan pengalaman percutian menakjubkan kepada saya dan rakan-rakan sepejabat.

Sebaik pesawat Malaysia Airlines yang dinaiki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tiba di pulau tersebut, kaki seakan-akan kaku melangkah disebabkan kedinginan cuaca tempatan yang serendah 9 darjah Celsius.

Rombongan kami sepakat untuk terus menuju ke destinasi impian iaitu Disneyland Hong Kong yang terletak kira-kira 17 kilometer (km) dari lapangan terbang.

Penerbangan selama tiga jam sejauh 2,410km itu akhirnya terbayar selepas kami berpeluang melihat dengan dekat kemegahan taman tema Disneyland Hong Kong.

Seluruh kawasan tersebut ceria dihiasi dekorasi bunga berwarna-warni bertemakan sambutan Tahun Baru Cina.

Selepas meluangkan masa selama dua jam bersiar-siar di Disneyland, kami bergerak menuju ke hotel penginapan iaitu Hotel Disney Holywood untuk berehat seketika sementara menunggu pertunjukan bunga api pada pukul 8 malam di istana Disneyland.

Pertunjukan tersebut merupakan acara signatur Disneyland yang menjadi tarikan utama pengunjung ke sana dan ia diadakan pada setiap malam. Pertunjukan yang berlangsung selama setengah jam itu benar-benar mengagumkan saya kerana ia salin tidak tumpah seperti apa yang pernah ditonton di kaca televisyen.

Mata pengunjung terpaku tatkala menonton persembahan percikan bunga api diselang-selikan dengan mainan cahaya lampu yang dilatari istana fantasi yang terkenal itu. Sedikit sebanyak ia mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya yang membesar dengan kartun-kartun Disney.

MUZIUM Madame Tussauds Hong Kong merupakan salah satu rangkaian muzium lilin yang diasaskan oleh Marie Tussaud dari Perancis.


Karakter kartun

Mengimbas kembali kenangan menginap di Hotel Disney Hollywood yang berkonsepkan karakter kartun kegemaran kanak-kanak, Mickey Mouse, reka bentuk hiasan dalaman di segenap sudut hotel itu juga bermotifkan karakter tersebut.

Tema hotel berkenaan dicetuskan daripada idea zaman emas Motion Pictures yang jelas dilihat pada keindahan taman bunga yang padat dan berwarna-warni. Saya berasa seperti berada dalam era kegemilangan bintang Hollywood ternama seperti Marilyn Monroe, Elizabeth Taylor, Charles Chaplin dan Ronald Reagan.

Hati turut tercuit tatkala melihat lipatan comel tuala yang disediakan di bilik menyerupai pelbagai jenis karakter kartun Disney.

Sementara itu, di pekarangan hotel tersebut pula terdapat beberapa buah kereta klasik mewah yang tidak terkecuali mencuri perhatian pengunjung. Kami tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan berlatar belakangkan kereta antik tersebut kerana ia jarang ditemui.

Taman permainan ekstrem

Keesokannya, kami bertolak menuju ke bandar Wong Chuk Hang di selatan Hong Kong untuk melawat taman laut yang dipanggil Ocean Park Hong Kong. Kunjungan ke taman itu kami rasakan lebih seronok berbanding Disneyland.

Taman laut tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu The Waterfront dan The Summit. Kedua-dua bahagian tersebut menyediakan sebanyak 56 jenis tarikan aktiviti kepada pengunjung.


PENGUNJUNG berpeluang melihat aksi panda yang melucukan ketika melawat Ocean Park.


Saya sempat mencuba salah satu aktiviti ekstrem iaitu permainan roller coaster yang dinamakan Hair Raiser. Ia bergerak dengan kelajuan luar biasa dan memiliki laluan yang curam sehingga membuatkan semua penumpang yang menaikinya menjerit ketakutan.

Sebelum mencuba sebuah lagi aktiviti ekstrem iaitu The Flash di The Summit, saya terdengar jeritan pengunjung dari jarak yang jauh sekali gus menarik minat saya untuk turut mencubanya. Ia dikatakan sebagai aktiviti paling ekstrem yang terdapat di seluruh taman laut tersebut.

The Flash membawa saya naik ke udara setinggi kira-kira 22 meter dengan hayunan 360 darjah serta berkelajuan 60 kilometer sejam.

Saya dapat merasakan angin kencang menerpa ke seluruh badan dan setiap saat diibaratkan seperti sebuah mimpi ngeri. Namun, pada masa sama saya masih mahu mencubanya sekali lagi pada masa akan datang.

Patung lilin

Selain itu, antara perkara yang tidak dapat dilupakan sewaktu berkunjung ke sana adalah melihat beruang panda secara dekat buat kali pertama. Haiwan tersebut tinggal di taman Amazing Asian Animals yang terletak dalam kawasan The Waterfront.


HONG KONG adalah antara kota yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di dunia.


Aktiviti-aktiviti di taman tersebut sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada taman tema Genting Highlands dan Universal Studio Singapura.

Pada sebelah malamnya pula, saya dan rakan-rakan berpeluang menyaksikan keindahan pemandangan keseluruhan bandar raya Hong Kong yang meriah dengan sinaran lampu di atas menara puncak Bukit Victoria, Hong Kong.

Kunjungan ke menara tersebut juga meninggalkan kenangan yang manis kepada kami semua kerana berpeluang melawat muzium patung lilin terkenal, Madame Tussauds Hong Kong.

Ia merupakan muzium Madame Tussauds pertama yang dibuka di Asia dan menempatkan lebih daripada 100 buah replika figura awam dan selebriti terkenal antarabangsa.

Beberapa orang selebriti telah diabadikan di sana antaranya seperti penyanyi legenda Elvis Presley, Anita Mui, Lady Gaga; pelakon veteran Bollywood, Amitabh Bachan dan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Vila mewah tepi pantai

Posted:

Vila mewah tepi pantai

Vila mewah tepi pantai

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my


BEREHAT sambil menikmati pemandangan pantai yang indah.


DERUAN ombak memecah pantai umpama satu nyanyian yang menghiburkan. Keluh kesah jiwa lantas berganti dengan ketenangan dengan keasyikan tersendiri.

Suasana pagi di tepi pantai dengan kecantikan matahari terbit membuatkan percutian di Batu Ferringhi, Pulau Pinang terpahat kemas di ingatan.

Batu Ferringhi terletak di bahagian utara Pulau Pinang iaitu antara Teluk Bahang dan Tanjung Bungah terkenal dalam kalangan pelancong yang ingin menikmati percutian di pantai yang indah dan kepelbagaian aktiviti air.

Bagi yang teringin menikmati percutian tersebut dan mempunyai bajet yang lebih, Rumah Perak Boutique Villa pastinya pilihan yang paling sesuai.

Vila mewah tiga tingkat dengan enam buah bilik, kesemuanya menghadap laut serta balkoni yang luas membolehkan pengunjung menikmati sepuas-puasnya keindahan pantai yang terkenal di Pulau Mutiara itu.

Bilik-bilik di tingkat atas kesemuanya mempunyai balkoni yang menawarkan peluang menikmati keindahan matahari terbenam.

Karakter tersendiri

Menjejak kaki memasuki vila ini, para tetamu pasti terpegun melihat hiasan dalaman yang mewah, cantik dan unik.


SETIAP bilik bercita rasa tinggi dan mempunyai susun atur serta hiasan yang mewah.


Bahagian tingkat bawah menempatkan ruang tamu yang luas serta meja makan bersaiz panjang sesuai bagi mereka yang datang bersama keluarga atau kumpulan besar. Terdapat dua bilik di bahagian ini yang dipanggil Kamar Alandra dan Kamar Jasmine.

Vila tersebut mempunyai karakter tersendiri, hal itu tidak menghairankan kerana ia mempunyai sejarah lampau yang istimewa. Dipercayai bangunan itu dibina pada tahun 1950-an dengan konsep rumah moden British. Rumah Perak Boutique Villa pernah didiami golongan ternama dan kerabat diraja

"Rumah ini kami tambah baik dengan menaik taraf daripada rumah penginapan biasa kepada vila. Ia dilakukan bermula pada penghujung tahun lepas. Ia berkonsepkan kediaman Eropah.

"Reka bentuk rumah ini asalnya hanya dua tingkat tetapi kami telah ubah suai menjadi tiga tingkat. Vila ini serba lengkap dengan setiap bilik mempunyai katil bersaiz king, bilik tidur berasingan dan ruang makan. Setiap bilik bercita rasa tinggi dengan susun atur dan hiasan mewah serta suasana yang menyenangkan," kata Elhan Wan Hassan, pengarah vila tersebut.

Apabila menaiki tangga ke tingkat dua, mata para tetamu dijamu dengan lukisan-lukisan cantik yang tergantung di dinding yang merupakan hasil seni pelukis tempatan. Mereka yang berminat boleh membeli lukisan tersebut.


RUANG bilik air yang menggunakan konsep minimalis.


Bebas berlari

Di bahagian tingkat dua, terdapat tiga buah bilik dikenali sebagai Kamar Akasia, Kamar Lavender dan Kamar Citrus. Kamar Citrus mempunyai balkoni sendiri manakala dua kamar lain berkongsi balkoni. Setiap balkoni disediakan tempat duduk serta payung besar sesuai untuk bersantai.

Di tingkat tiga hanya terdapat sebuah bilik dipanggil Kamar Rossa. Suasana bilik yang tenang dan cantik membuatkan kaki berasa berat ingin meninggalkannya. Bilik serba lengkap dengan katil yang besar membuatkan tidur lena sepanjang malam.

Untuk aktiviti seperti barbeku juga tidak perlu risau kerana kawasan vila tersebut mempunyai keluasan 2,300 meter persegi. Anak-anak bebas berlari di laman yang luas itu. Kawasan pantai pula hanya dipisahkan oleh pagar vila tersebut.

Anda juga boleh berjemur di bawah matahari atau mencuba aktiviti seperti meluncur angin, berkayak atau parasailing.

Suasana malam di Batu Ferringhi juga meriah dengan kewujudan bazar-bazar menjual pelbagai barangan perhiasan dan cenderahati.

Luangkan masa untuk menyaksikan artis tempatan membuat demonstrasi kraf dan melukis batik. Dikenali dengan nama Feringghi Walk, bazar-bazar di situ menjual pelbagai barangan yang menarik untuk pengunjung.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved