Rabu, 5 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mahu popular cara sendiri

Posted:

Mahu popular cara sendiri

Mahu popular cara sendiri

CANTIK berbusana merah cili, kedua-dua beradik Emma Maembong dan Chacha Maembong ditemui ketika pertunjukan fesyen Amazing Red Kurung, Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Emma menyarung busana merah rekaan Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha memperagakan sepasang dress rekaan Hazwani Osman.

Diusik soalan nakal berkenaan jodoh serta simbolik warna merah sebagai padanan warna cinta dan romantis, Emma sekadar tertawa disaksikan Chacha.

"Saya memang suka warna merah sebab nampak garang. Orang selalu nampak saya wanita lemah lembut, sekali-sekala pakaian merah boleh memberi keyakinan pada diri. Ya, warna merah juga serasi dengan elemen cinta dan romantis," luncur katanya.

Sesekali ditanya adakah warna merah akan menjadi pilihan sempena hari bahagia suatu masa nanti, jawab Emma tersipu-sipu: "Mungkin juga."

Tidak dapat lari daripada kisah kontroversi cinta yang mengaitkan Emma dan juara Maharaja Lawak, Zizan Razak, terbaharu status BBM (BlackBerry Messenger) dan Whatsapp kedua-dua artis itu menjadi pokok bicara.

Mengulas mengenai perkara itu kata Emma, dia memohon agar peminat tidak membuat spekulasi awal sebelum mendengar kenyataan daripadanya.

"Simbol di status BBM atau Whatsapp adalah perkara peribadi bagi saya. Jadi ia tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Harap semua pihak faham dan memberikan ruang kepada diri saya sendiri," simpul Emma ringkas.

Ruangan pojok sebuah akhbar minggu lalu mengeluarkan kisah terbaharu Emma dan Zizan yang sering bertukar-tukar status di BBM dan Whatsapp merujuk kepada diri masing-masing.

Emma menulis perkataan MRR diikuti lambang hati, sementara Zizan menulis CFR menggunakan format sama seperti Emma. Ramai menafsirkan MRR adalah merujuk kepada nama Mohd. Razizan Razak manakala CFR pula Che Fatimah Rohani iaitu nama sebenar mereka.

Saling menasihati

Larut dalam perbualan mengenai lakonan, Emma, 21, memberitahu kesibukannya berlakon dan menghadiri acara membuatkan masanya bersama keluarga terbatas.

Hal itu diakui adiknya Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail yang kadangkala tidak sempat berjumpa dengan kakaknya, Emma walaupun tinggal serumah bersama ayah mereka, Ismail Embong.

"Kadangkala apabila saya keluar rumah, Emma belum bangun dan begitulah sebaliknya. Hari minggu pun belum tentu dapat meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga lain.


PASANGAN adik-beradik ini kini mampu menyakinkan bapa mereka bahawa mereka serius mahu menjadi pelakon.


"Tapi apabila berpeluang, kami akan berkongsi masalah bersama. Emma bukan sahaja berperanan sebagai seorang kakak bahkan kawan baik dan bak seorang emak bagi saya. Dia sentiasa menasihati setiap perkara saya lakukan.

"Dia bimbang saya tersalah langkah dan enggan saya menerima tempias yang negatif seperti dia pernah lalui sebelum ini," jelas Chacha, 17.

Dalam kesibukan itu, perlahan-lahan kerjaya mereka dalam bidang seni mula mendapat restu ayah mereka yang juga pelukis tersohor negara, Ismail Embong.

"Mula-mula dulu memang ayah selalu marah apabila kami pulang lewat malam. Dia tidak faham kenapa agaknya anak-anaknya selalu balik lambat, padahal kami sibuk dengan penggambaran.

"Sekarang apabila dia sendiri menyaksikan lakonan kami di televisyen dan ramai yang memberikan reaksi positif, ayah sudah boleh menerima kami seorang pelakon. Kadang-kadang kalau kami balik lambat dia yang akan memasak untuk kami," kongsi Emma mencelah.

Persaingan

Selain berkongsi masalah, pasangan adik-beradik itu juga sering berlatih berlakon bersama-sama bagi meningkatkan mutu penghayatan watak.

"Kalau bergaduh, kami akan bergaduh betul-betul! Emma akan jadi teman saya berlatih atau paling tidak pun saya akan ajak sekali kakak kami, Yaya untuk membantu saya terutamanya menjayakan watak sedih," kata bintang drama Kisah cinta Cornetto Uda & Dara itu.

Tidak gusar untuk dibanding-bandingkan kualiti lakonan antara kedua-dua beradik itu, baik Emma ataupun Chacha, masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Kami ada kelebihan masing-masing dan saya tidak cemburu pun dengan populariti Emma yang semakin memuncak, walaupun saya terlebih dahulu memulakan langkah dalam bidang lakonan.

"Malah saya gembira dengan kejayaannya hari ini. Saya percaya pada rezeki masing-masing. Teringin juga suatu hari nanti kami digandingkan berlakon bersama," ujar Chacha yang enggan dikaburi dengan cinta buat masa sekarang.


EMMA (kiri) dan Chacha Maembong mahu membuktikan kemampuan masing-masing sebagai pelapis baharu dunia seni tempatan.


Pengalaman selaman skuba Emma

KETIKA bersua, Emma memberitahu kulit mukanya mengelupas gara-gara berkampung selama seminggu di Pulau Tioman, Pahang, untuk menyertai cabaran selaman skuba bersama pasukan Remaja Ekstrem.

Berkobar-kobar berkongsi pengalaman pertamanya menyelam dalam laut sedalam 18 meter, kata Emma keindahan menikmati panorama dan kehidupan dasar laut tidak ternilai indahnya.

"Mula-mula saya takut untuk melakukan aktiviti yang dianggap ekstrem bagi sesetengah orang itu dan perasaan cuak itu bertambah kerana ini baru kali pertama.

"Tapi sekali sudah lompat masuk ke dalam air, rasa macam tidak puas. Mahu menyelam lagi ke dalam dan sedar-sedar sudah hampir sampai ke dasar.

"Seronok sebenarnya dapat belajar bahasa badan dan isyarat yang penyelam gunakan. Selama ini asyik tengok televisyen saja, tapi kali ini diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman ini," ujarnya teruja.

Bagaimanapun Emma mengakui pada mulanya dia hampir berputus asa sepanjang peringkat latihan awal sebelum praktikal di tengah-tengah laut, namun katanya selagi tidak mencuba dia tidak tahu sejauh manakah kemampuannya.

Ditanya apakah aktiviti ekstrem lain yang ingin dilakukan selepas ini, jawabnya dia takutkan ketinggian, tapi pada masa sama mahu mencuba melakukan aktiviti seperti terjun lelabah (bungee jumping).

Hilangnya sebutir bintang

Posted:

Hilangnya sebutir bintang

Hilangnya sebutir bintang

Oleh HARYATI KARIM

KEHEBATAN lakonan S. Shamsudin yang bersahaja tiada galang gantinya sehingga ke hari ini.


PEMERGIAN pelawak veteran Allahyarham S. Shamsudin semalam benar-benar mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, malam sebelum Allahyarham meninggal dunia, ramai rakyat Malaysia yang tertawa sakan kerana filem lakonannya Bujang Lapok disiarkan di televisyen.

Biarlah seribu kali diulang tayang filem yang sama, lawaknya tetap menggeletek hati. Lakonannya dalam filem tersebut bersama dua lagi sahabat seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Sattar benar-benar hidup.

Begitu juga dengan filem-filem lakonannya yang lain antaranya Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi, semuanya kekal malar segar sehingga ke hari ini.

Kini, semuanya tinggal kenangan. Pemergiannya meninggalkan kesan di hati setiap peminat yang tidak jemu menonton filem lakonannya.

Menurut rakan baiknya, Aziz Sattar atau Pak Aziz, Allahyarham yang mesra disapa dengan nama panggilan Sudin seorang yang cukup merendah diri dan disenangi ramai.

"Kami bertiga agak rapat ketika sama-sama berlakon di studio Jalan Ampas, Singapura. Ini kerana pada waktu itu pelakon semuanya diberikan rumah yang berdekatan antara satu sama lain.

"Jadi, habis kerja kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Saya masih rindu untuk kembali ke zaman P. Ramlee mengarah dan berlakon filem bersama saya dan Sudin.

"Waktu itu sungguh seronok. Tidak sangka gandingan kami bertiga menjadi dan cukup serasi. Sudin suka membuat lawak secara spontan yang tidak ada dalam skrip. Itu adalah kelebihannya," kata Aziz Satar mengenang kembali zaman kegemilangan lakon Allahyarham.

Apabila disoal tentang pemergian rakan baiknya itu, suara Pak Aziz di hujung corong kedengaran sebak.

"Saya sungguh terkejut mendapat berita pemergiannya pada pagi ini (semalam). Agak ralat kerana tidak dapat bertemu dengannya sebelum Sudin meninggal dunia.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya pada awal tahun ini. Itu pun Sudin sudah uzur kerana penyakit paru-paru yang dihidapinya.

"Sekarang ini tinggal saya seorang sahaja, selepas dua sahabat baik saya, Sudin dan P. Ramlee meninggal dunia. Kenangan bekerja bersama ketika muda tidak akan saya lupakan buat selamanya. Mereka merupakan bintang yang sebenar," tuturnya yang segera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor untuk ke Singapura sebaik mendapat berita menyedihkan itu.

S. Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura. Sebelum bergelar seorang pelawak terkenal, Allahyarham bekerja sebagai buruh untuk membantu keluarga.

Namun, tuah menyebelahinya ketika Allahyarham melawat studio Jalan Ampas untuk melihat sendiri pembikinan sebuah filem.

Allahyarham telah diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans.

Seterusnya Allahyarham mendapat kerja sebagai tukang kayu di set studio filem dan pada masa yang sama bekerja sebagai pelakon tambahan. Berlakon dan melakukan kerja produksi merupakan sesuatu yang normal waktu itu untuk menambah pendapatan.

Filem pertama yang memerlukannya melontarkan banyak dialog adalah filem Aloha. Disebabkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, kemudian Allahyarham telah diambil sebagai pelakon tetap bagi filem Melayu bersama Aziz Sattar.

Bintangnya semakin bersinar apabila Allahyarham bergandingan bersama P. Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka bertiga merupakan bintang terkenal era 50-an dan awal 60-an.

Allahyarham bertemu jodoh dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Salah seorang anaknya Ariff Shamsudin juga merupakan seorang pelawak di Singapura.

Selepas melalui zaman kegemilangan dan hidup dalam keadaan harmoni bersama keluarganya, pada usia 84 tahun Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di National University Hospital, Singapura pada 10.43 pagi akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lim Chu Kang, Singapura pada pukul 10 pagi hari ini.

Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?

Posted:

Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?

Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


BARISAN pelakon Bro, Nampak Motor Gua? bergambar dengan David Teo (tengah) selepas sesi pra tonton filem tersebut minggu lalu.


BRO, NAMPAK MOTOR GUA? menambah sebuah lagi filem yang mengetengahkan elemen permotoran dalam arkib industri perfileman Malaysia pada tahun ini.

Sama dengan beberapa filem keluaran terdahulu Metrowealth antaranya Adnan Sempit, Wawa Semput dan Aji Noh Motor, filem terbaharu Bro, Nampak Motor Gua? memberikan kelainan dengan menampilkan beberapa babak daripada filem-filem terdahulu terbitan syarikat itu.

Bagaimanapun, harus diakui bahawa pengarah popular Mamat Khalid yang turut membintangi filem itu telah menyelamatkan Bro, Nampak Motor Gua? daripada terus tenggelam dan mendatar.

Lawak bersahaja Mamat mengembalikan tawa penonton yang hampir layu dibuai lawak-lawak hambar beberapa pelakon lain.

Biarpun Mamat bukan merupakan penggerak utama filem itu, keberkesanan karakter dan dialog yang nampak tidak dibuat-buat memberikan jaminan dan keyakinan kepada penonton untuk tidak berganjak dari tempat duduk.

Mamat menjayakan watak Tan Sri Bakhtiar Karthubi iaitu seorang jutawan yang mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia.

Filem Bro, Nampak Motor Gua? mengisahkan Epol yang mencari motornya yang hilang dilarikan oleh dua orang penyamun. Sepanjang pencarian Epol bersama rakannya Helmi, pelbagai dugaan mereka tempuhi.

Satu insiden telah menemukan Epol dengan Azura iaitu peguam kepada Tan Sri Bakhtiar Karthubi yang ketika itu ditugaskan untuk menghantar dokumen penting kepada bank, namun telah diragut oleh mat rempit.

Tiru Hollywood

Menurut pengarah filem Bro, Nampak Motor Gua?, Razif Rasyid, cabaran utama selain mengarahkan pelakon yang juga pengarah berbakat besar seperti Mamat Khalid, aspek keselamatan sepanjang penggambaran sentiasa diambil berat.

"Hampir setiap hari sepanjang penggambaran membabitkan lagak ngeri dan aksi, insiden-insiden pelik tidak dapat dielakkan daripada berlaku.

"Senang untuk mengarahkan pelakon-pelakon dalam filem ini, tapi susah untuk menjaga mereka sebenarnya. Saya perlu menjaga karakter Along supaya tidak serupa dengan watak Bobby dalam Adnan Sempit dan disebabkan itu saya mengubah penampilannya sedikit," katanya.

Razif yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Bro, Nampak Motor Gua? di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini juga bersedia sekiranya filem arahannya dibandingkan dengan filem Hollywood, Dude Where's My Car.

Dude Where's My Car mengisahkan dua sahabat baik, Jesse (Ashton Kutcher) dan Chester (Seann William Scott), yang telah terlupa lokasi akhir kereta mereka selepas pulang berparti.

Katanya, kebanyakan filem tempatan ada mengambil acuan daripada karya-karya luar negara namun diolah mengikut kesesuaian penonton tempatan.

"Saya mengkaji filem Dude Where's My Car dan 'diMelayukan' mengikut budaya masyarakat kita. Semua orang meniru karya-karya sebelum ini, cuma cara mengolah itu berbeza-beza.

"Saya bersedia berdepan dengan kritikan tapi bukan kutukan. Lagi banyak orang bercakap, bermakna lagi banyak orang menonton filem ini," ujarnya mengenai filem itu yang telah ditayangkan di pawagam bermula 30 Mei lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved