Sabtu, 22 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berenang pakai rambut palsu

Posted:

Berenang pakai rambut palsu

Berenang pakai rambut palsu

TEKSTUR dan warna rambut perlu dirujuk terlebih dahulu agar sesuai dengan pelanggan sebelum ditempah di sebuah kilang di Korea Selatan.


LELAKI yang bertubuh kurus itu bersungguh-sungguh mendapatkan saiz dan bentuk kepala seorang pelanggannya untuk menghasilkan acuan rambut.

Sebagai seorang pengusaha pusat tempahan khas rambut palsu, lelaki itu, Mohd. Nur Firdaus, 40-an mahu menghasilkan rambut yang kelihatan asli untuk pelanggannya.

Menurutnya, rambut yang dihasilkannya itu berbeza berbanding yang terdapat di pasaran.

Mohd. Nur berkata, kebanyakan rambut palsu di pasaran mempunyai hasil kerja yang kelihatan kasar.

"Namun, khidmat yang saya tawarkan ini adalah membuat rambut palsu tempahan khas dengan mengikut imej pelanggan.

"Rambut itu nampak benar-benar semula jadi apabila ia digayakan," katanya kepada Jurnal.

Kebanyakan pelanggannya bukan hanya mahu kelihatan cantik semata-mata.

Sebaliknya, teknik itu merupakan salah satu kaedah kosmetik untuk mengatasi masalah botak dan rambut gugur.

Sebahagian daripada pelangganya itu adalah golongan lelaki yang mempunyai masalah botak di tengah kepala.

Ada juga pelanggannya yang mempunyai masalah rambut jarang sehingga kulit kepala kelihatan selain botak akibat penyakit.

Khidmatnya lebih menjurus kepada meningkatkan keyakinan diri pelanggannya yang mempunyai masalah tersebut.

"Mereka datang dengan perasaan rendah diri. Setelah pulang dengan rambut baharu, mereka semakin yakin pada diri sendiri. Pada kebiasaannya, para pelanggan yang datang adalah mereka yang mengalami botak di bahagian tengah kepala, rerambut nipis, rambut gugur akibat rawatan kemoterapi atau alopesia (bahagian tertentu kepala yang tidak ditumbuhi rambut)," ujarnya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2006.

Meskipun pada suatu ketika dahulu teknik kosmetik tersebut lebih popular dalam kalangan mereka yang telah berusia namun, sejak dua tahun kebelakangan ini Firdaus mula menerima pelanggan yang lebih muda.

"Dahulu hanya pelanggan yang telah berusia yang datang membuat tempahan. Bagaimanapun, kini semakin ramai remaja berusia 19 tahun ke atas yang datang dengan masalah yang sama. Ia sebenarnya menunjukkan perkembangan yang tidak sihat kerana mereka semakin terdedah dengan masalah rambut.

"Kebanyakannya memberi alasan bahawa telah banyak kali melakukan rawatan kimia ke atas rambut dan meluruskan rambut. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan bahan kimia pada rambut agar ia tidak menipis sebelum tua," nasihat Firdaus kepada golongan muda.

Rambut yang dihasilkan oleh Firdaus di pusat rambut palsu Hairsetup Enterprise yang beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur itu dijahit dengan lebih teliti berbanding yang terdapat di pasaran.

Firdaus akan memastikan kesemua aspek termasuk ukuran dan jenis rambut palsu yang digunakan adalah hampir sama dengan rambut asal pelanggannya.

KEBANYAKAN lelaki yang mempunyai masalah botak di bahagian tengah kepala menempah rambut palsu daripada Firdaus.


Buatan Korea

Tujuan penelitian itu dibuat adalah untuk memastikan orang ramai tidak sedar pelanggannya itu sebenarnya memakai rambut palsu.

"Saya perlu menghasilkan rambut baharu di bahagian tertentu sahaja kerana sebahagian daripada rambut asal pelanggan masih ada. Ia merupakan kerja yang agak rumit kerana hasilnya perlu kelihatan sekata apabila rambut tersebut dipakai oleh pelanggan," katanya.

Bagaimanapun, Firdaus tidak menjahit sendiri rambut tersebut. Sebaliknya, dia menghantar maklumat tentang rambut yang hendak dipakai oleh pelanggannya ke sebuah kilang rambut di Seoul, Korea Selatan.

"Setelah ukuran rambut diambil termasuk ketebalan dan warna yang diperlukan, sampel rambut dan maklumat pelanggan tersebut akan dihantar ke kilang pembuatan rambut di Korea Selatan. Dalam tempoh kira-kira 48 hari, rambut pelanggan akan siap dan sedia untuk dipakai.

"Pihak pembuat akan menghantar rambut yang mempunyai tekstur dan warna sama dengan pelanggan tanpa didandan terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, pihak pembekal akan menyiapkan rambut yang panjangnya kira-kira 15 sentimeter untuk disesuaikan dengan wajah pelanggannya.

Firdaus meyakinkan pelanggannya bahawa rambut tersebut kelihatan hampir sama dengan rambut asli.

Jenis kain renda berwarna coklat yang digunakan dalam pembuatan rambut itu membezakannya daripada rambut palsu yang dijual di pasaran.

Struktur tersebut yang berperanan seperti kulit kepala kelihatan begitu nipis dan menjadi penyokong kepada helaian rambut yang dijahitnya.

Lubang pada keseluruhan kain renda itu menyalurkan udara kepada si pemakai. Apabila berpeluh, ia mudah diserap dan tidak memberi sebarang masalah kepada kulit kepala pengguna.

Menurut Firdaus, terdapat tiga cara untuk memasang rambut palsu tersebut pada bahagian kepala yang tidak berambut atau berambut jarang iaitu menerusi teknik menampal, menggantung dan memintal.

"Teknik yang paling berkesan dan praktikal adalah menampal dengan menggunakan pelekat dua muka khas. Ia selamat digunakan dan tidak mudah tertanggal. Pelekat itu begitu kuat sehinggakan pelanggan boleh berenang atau tidur sambil memakai rambut palsu. Ia mampu bertahan sehingga seminggu, tetapi adalah dinasihatkan agar rambut itu ditanggal pada setiap hari.

"Selain itu, teknik memintal yang selalunya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dipasang turut mendapat permintaan daripada pelanggan. Melekatkan rambut palsu dengan menggunakan klip juga boleh digunakan.

Harga

"Namun, ia kurang praktikal berbanding teknik lain. Ia hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai rambut yang tebal agar klip plastik tersebut tidak kelihatan menonjol.

"Strukturnya yang keras juga boleh memberi kecederaan jika si pemakai melakukan aktiviti lasak," ujarnya.

Meskipun terdapat dua jenis tekstur rambut yang digunakan iaitu rambut sebenar dan rambut sintetik, Firdaus menasihati para pelanggannya agar menggunakan rambut sebenar supaya ia kelihatan lebih semula jadi.

"Untuk membezakan rambut asli dengan yang palsu, apabila ditiup angin, rambut sebenar akan berterbangan mengurai berbanding rambut sintetik yang kelihatan kejur.

"Rambut asli itu selalunya diperoleh daripada para peniaga rambut di China, Mongolia dan Vietnam. Kebanyakan rambut untuk pelanggan saya adalah dari Vietnam kerana rupanya lebih menyamai rambut orang Malaysia.

"Jika ramai yang beranggapan bahawa rambut tersebut diperoleh daripada orang mati, sebenarnya ia adalah tanggapan yang silap," jelasnya.

Firdaus berkata, kebanyakan golongan remaja menyara hidup dengan menjual rambut mereka di luar negara.

Dia berkata, rambut palsunya tidak mudah rosak apabila terkena air ataupun disapu gel rambut. Ia juga perlu dicuci dengan menggunakan syampu khas tiga kali seminggu.

Harga bagi setiap set rambut palsu adalah antara RM1,900 hingga RM2,600 bergantung kepada saiz untuk menutup sebahagian kepala yang botak.

Para pelanggan perlu membayar sebanyak RM3,600 jika mahu menggunakan rambut yang menutup keseluruhan kepala.

Silat batin lindungi diri

Posted:

Silat batin lindungi diri

Silat batin lindungi diri

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


NAZARI menunjukkan salah satu jurus dalam silat kebatinan yang digunakan untuk tujuan perubatan.


DALAM suasana kelam pada malam itu yang hanya diterangi cahaya bulan mengambang, sekumpulan pengamal seni silat kebatinan Gerak Halilintar giat menjalani latihan.

Dengusan kasar yang kedengaran dalam kalangan pengamal silat yang berpakaian hitam semasa melakukan latihan itu bukanlah perkara asing buat mereka.

Para pengamal silat itu mengamalkan zikir yang dipercayai boleh mengeluarkan tenaga dalaman untuk dijadikan 'pagar' bagi melindungi tubuh daripada sebarang ancaman musuh.

"Silat Gerak Halilintar itu merupakan gabungan 18 ilmu tauliah dari 18 perguruan berbeza yang dipelajari sebelum ini," ujar pengasas silat kebatinan tersebut, Mohmad Nazari Mat Saad.

Lelaki tersebut banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru dari Terengganu yang dikenali sebagai Guru Murad.

Beliau turut mengupas tentang perbezaan silat fizikal dengan silat kebatinan.

"Silat fizikal menggunakan tenaga luaran untuk menepis, mempertahankan serta melindungi diri daripada ancaman musuh.

"Sebaliknya bagi silat kebatinan, tenaga yang digunakan ialah tenaga dalaman yang dikeluarkan dengan sekali hembusan nafas sahaja.

"Namun, ia sudah mencukupi untuk menghumban si penyerang jauh dari mangsa yang diserang.

"Ia juga dapat melindungi si pengamal daripada mendapat kecelakaan yang tidak disangka-sangka.

"Misalnya, jika berlaku kemalangan ngeri yang pada kebiasaanya si mangsa akan luka parah atau meninggal dunia.

"Bagaimanapun, menerusi amalan kebatinan itu, si mangsa mungkin tidak akan mengalami kecederaan langsung.

"Dengan erti kata mudah, dengan izin Allah, si pengamal mungkin dapat mengelak daripada sebarang musibah, terutamanya dalam keadaan kecemasan," dakwa Mohmad Nazari.

Ketika diajukan soalan mengenai amalan tertentu yang boleh melindungi pengamal, lelaki tersebut memberitahu surah Al-Fatihah perlu dibaca sebanyak tiga kali selain berdoa bagi meminta keselamatan diri dan harta benda daripada Allah.

"Niatkanlah perkara yang kita mahukan seperti keselamatan diri, perjalanan ke tempat kerja, keselamatan rumah, harta benda dan lain-lain lagi.

"Apa yang penting ialah yakin kepada Allah dan jangan sesekali tinggalkan amalan zikrullah,"kata Mohmad Nazari.


SELEPAS ilmu silat kebatinan dipindahkan, ia dapat menjadikan tubuh penulis (kanan) kebal buat sementara waktu.


Pantang

Bagaimanapun, cara terbaik untuk mengusasai silat kebatinan, katanya, adalah dengan mempelajari dahulu silat fizikal.

"Silat fizikal menuntut pengamalnya supaya rajin berlatih untuk memastikan buah pukulan dan pergerakan mereka lebih padu serta mantap.

"Bagi pengamal silat kebatinan pula, mereka perlu beramal dan tidak boleh melanggar syariat Islam.

"Ilmu batin ialah ilmu hati yang membawa pengamalnya mendekati Allah.

"Ia juga menuntut pengamalnya untuk membersihkan diri, menyucikan roh dan akhlak, menguasai nafsu, menjauhi maksiat serta memerangi perkara yang boleh merosakkan hati.

"Tiada pantang larang dalam mendalami ilmu itu. Apa yang dilarang oleh agama itulah yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal silat kebatinan," kata Mohmad Nazari ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Ramai orang yang memperkatakan adalah salah untuk mempelajari silat kebatinan atau ilmu tenaga dalaman lebih-lebih lagi jika seseorang itu boleh menguasai pelbagai teknik silat dalam masa yang singkat.

"Saya tidak menafikan ada pengamal silat kebatinan yang menyalahgunakan amalan itu sehingga dia boleh mengancam dan menggugat keselamatan orang lain.

Roh perisik

"Namun, tidak semua ilmu silat kebatinan itu salah atau sesat.

"Bukan semuanya menggunakan khidmat khadam atau jin.

"Sebaliknya, kebanyakan perguruan silat mewajibkan pelajarnya untuk bersolat dan sentiasa berzikir untuk mengabdikan diri kepada Allah selain menjalankan tanggungjawab kepada keluarga, bangsa serta negara.

"Sebagai orang Islam, jika tidak mempelajari silat pun, kita masih wajib menunaikan solat dan sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.

"Namun, ada juga segelintir pelajar yang belajar separuh jalan dengan mencari cara mudah untuk menguasai ilmu persilatan kebatinan. Merekalah yang memburukkan persilatan itu.

"Sebagai ahli bela diri kebatinan, mereka perlu menjaga tingkah laku dan menghindari perkara yang dilarang syariat," tambahnya.

Menurutnya, menghindari perkara yang dilarang syariat Islam amat penting kerana melakukan dosa kecil dan dosa besar sama ada sengaja ataupun kebetulan boleh merosakkan imej perguruan yang telah diikuti mereka.

Mohmad Nazari berkata, silat kebatinan juga boleh digunakan untuk merisik.

Dengan menggunakan roh sebagai ejen risikan, para pengamal boleh mengetahui dan mendapatkan maklumat, rahsia ataupun strategi terutamanya daripada musuh-musuh Islam.

"Bunyinya mungkin pelik apabila saya katakan roh boleh menjadi perisik, namun itulah hakikat rahsia ketuhanan yang ada pada umat Islam tetapi tidak digunakan sepenuhnya," katanya.

"Bagi yang dikurniakan Allah dengan kelebihan itu, mereka boleh berada di mana-mana tempat dalam sekelip mata.

"Sebelum tidur, niatkan dalam hati untuk pergi ke mana dan mohonlah kepada Allah supaya menghantar roh mereka ke mana tempat sahaja tanpa menggunakan sebarang kenderaan.

"Kelajuan dan kepantasan roh kita cukup hebat malah ia merupakan senjata teknologi yang Allah perturunkan kepada umat Islam," ceritanya.

Pangkin kampung di kafe Arab

Posted:

Pangkin kampung di kafe Arab

Pangkin kampung di kafe Arab

REKAAN Kafe Mukha agak ringkas tetapi sarat dengan elemen tradisional dan antik yang menarik.


ADA aura tersendiri yang cuba ditonjolkan oleh pemilik Kafe Mukha, Sayid Abdul Rahman Sayid Hussin Al Junid yang terletak di Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Kunjungan kru Jurnal di kafe itu pada Khamis minggu lalu disambut dengan beberapa elemen kejutan.

Pertamanya, cara pemakaian Sayid Abdul Rahman sendiri yang memakai kopiah berwarna biru, kemeja putih selain kain pelekat.

"Biasanya, pakaian kerja lebih kepada pakaian korporat yang lengkap bertali leher, cuma pada hari ini tiada urusan kerja menyebabkan saya berpakaian sebegini.

"Namun, ia bukan menggambarkan konsep kafe yang santai dan serba ringkas ini," ujar Sayid Abdul Rahman sebagai membuka bicara.

Konsep santai yang dipertuturkan lelaki yang turut mengusahakan agensi pengiklanan itu ternyata benar.

Kafenya yang baru beroperasi dua tahun itu tampak berbeza.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian luar, pandangan mata akan terarah ke sebuah set pangkin yang dialas dengan tikar plastik.

Kata lelaki yang berkahwin pada umur 20 tahun itu, pangkin itu berfungsi untuk memudahkan pelanggan bersantai bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

"Sebenarnya, konsep sebegini sudah popular di restoran lain kerana pelanggan dapat duduk bersila selain bersandar dengan selesa selepas kenyang menikmati makanan.

"Sama seperti pangkin di kampung, tiada penggunaan meja kecil atau kerusi namun, sudah mencukupi sekadar duduk menikmati makanan sambil dihembus angin yang mendamaikan.

Simen

PANGKIN yang dialas dengan tikar plastik pasti menjadi rebutan pelanggan kafe untuk bersantai.


"Ia cukup sesuai untuk berehat setelah hampir seharian bekerja," ujarnya.

Selain dekorasi yang agak pelik itu, pengunjung pasti dapat menikmati makanan yang dipesan dengan tenang sambil mendengar alunan lagu-lagu sentimental dan rancak yang memenuhi seisi restoran.

Lantai kafe milik lelaki berketurunan Arab Yemen itu bersifat tradisional apabila dia mengekalkan lepaan simen tanpa dicat atau dipasang marmar.

"Sebenarnya, kami mengekalkan lantai bersimen kerana ia mampu mengimbau suasana kediaman pada zaman dahulu.

"Malah, dinding bata merah yang ada di beberapa sudut restoran sengaja tidak diplaster bagi mewujudkan persekitaran semula jadi," ujarnya.

Sedang kami rancak berbual, penulis menyedari kehadiran sebuah sofa lama yang sudah berlubang dan koyak.

"Jangan terkejut kerana kebanyakan kerusi dan meja di kafe ini ialah barangan terpakai yang telah dibuang oleh pemiliknya.

"Namun, fizikal kesemua barangan itu masih elok dan boleh digunakan lagi," jelas Sayid Abdul Rahman.

Uniknya, set sofa di kafe yang ditutup pada setiap Isnin itu hadir dengan variasi warna seperti hijau, coklat dan biru sekali gus memberikan sudut pandang yang berbeza.

Bukan itu sahaja, kerusi yang digunakan pula tidak seragam.

"Pelanggan juga mempunyai cita rasa masing-masing tentang kerusi dan meja yang menjadi kegemaran mereka," terangnya.

Walaupun teruja dengan konsep santai, lelaki itu tidak sekali-kali meminggirkan rekaan kontemporari.

Bagi memenuhi jiwa kontemporari itu, Kafe Mukha menyediakan set sofa mewah ala kolonial.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian dalaman kafe, anda akan melalui transisi dua alam yang berbeza iaitu ala tradisional dan moden.


BAHAGIAN luar Kafe Mukha yang santai dan selesa.


Antik

Malah, terdapat beberapa poster dalam bahasa Arab yang menceritakan mengenai daerah Mokha yang terletak Yemen.

Mokha ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga pengeluar minuman kopi terbaik di negara itu.

Selain berfungsi sebagai kedai makan, Mukha juga kerap mengadakan jualan amal untuk membantu umat Islam yang hidup dalam kemiskinan di Kemboja, Bangladesh dan Vietnam.

"Pada kebiasaannya, program itu dijalankan sebulan sekali. Caranya ialah pelanggan dapat menikmati tiga menu makanan yang disediakan pada harga RM10.

"Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan akan didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih," katanya.

Ukiran kayu penghadang di bahagian dapur kafe itu jelas menonjolkan ciri-ciri Asia Barat dengan motif alam semula jadi.

Sebuah almari antik yang disulami lampu klasik yang memberikan pencahayaan suram berjaya mencetuskan suasana romantik. Ia sesuai bagi mereka yang sedang bermadu kasih.

Barangan antik seperti beg, cawan, teko dan piring tembaga yang disusun kemas di atas meja tidak mencacatkan pemandangan.

Soal makanan pastinya menjadi kegemaran sesiapa sahaja.

Justeru, menu yang disediakan di kafe tersebut boleh dipuji terutamanya roti yang dicecah bersama bebola daging yang lazat.

Menikmati kopi Arab yang dicampur dengan halia juga sudah cukup untuk menyegarkan tubuh yang lesu pada waktu petang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved