Sabtu, 22 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Andy Lau cintakan filem aksi

Posted:

Andy Lau cintakan filem aksi

Andy Lau cintakan filem aksi

PESONA aktor dan penyanyi terkenal Hong Kong, Andy Lau masih kekal bertahan pada usia 52 tahun sekarang. Umurnya itu memang agak lanjut untuk watak seorang wira di layar perak apatah lagi untuk melakukan aksi lagak ngeri.

Namun begitu, faktor usia bukan masalah besar buat Andy. Sejak berkecimpung dalam industri seni pada tahun 1981, Andy telah berlakon dalam lebih 160 buah filem dan merakam lebih 50 buah album.

Katanya, dia tidak akan berhenti daripada menghambakan diri kepada bidang seni selagi hayat dikandung badan.

Menerusi filem terbaharunya, Switch, Andy memegang watak Xiao Jinhan iaitu seorang perisik yang diberikan tugasan untuk menyelamatkan sebuah lukisan lama.

Bagi merealisasikan karakter tersebut, dia melakukan sendiri kebanyakan aksi lagak ngeri yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal - sesuatu yang agak luar biasa untuk lelaki sebayanya.

"Ya, memang saya agak berusia untuk memegang watak wira dalam filem tetapi itu bukanlah masalah besar. Selagi kesihatan mengizinkan, saya tidak akan menolak watak yang mencabar dan memerlukan saya melakukan aksi lagak ngeri.

"Semuanya bergantung kepada kesihatan. Saya tidak akan melakukan sesuatu yang di luar kemampuan diri.

"Masih banyak filem lain saya boleh berlakon tanpa mencederakan diri akibat aksi lagak ngeri," katanya.

Menariknya dalam satu babak Switch yang dilakukan di Burj Khalifa, Dubai, ramai yang membandingkannya dengan babak dalam filem Mission: Impossible 4 lakonan aktor Hollywood terkenal, Tom Cruise.

Namun, Andy mempunyai jawapan. Katanya: "Perbandingan memang sukar dielakkan. Selagi ada lebih daripada seorang manusia yang hidup di muka bumi ini, pasti akan ada sahaja usaha untuk membanding-bandingkan seseorang atau sesuatu.

"Saya tidak ada masalah jika disamakan dengan Tom Cruise kerana dia seorang pelakon yang hebat. Apa yang pasti, penggambaran sudah selesai dan terjunan telah pun saya lakukan."

Tambahnya: "Sebenarnya, berlakon dalam filem ini tidaklah sukar seperti yang anda bayangkan kerana terdapat banyak kesan khas digunakan apatah lagi ia melibatkan penggambaran di dalam studio.

"Contohnya, babak di Burj Khalifa, di mana saya perlu melompat dari ketinggian 9.31 meter. Latar belakang tempat itu telah dibuat menggunakan teknologi kesan khas sekali gus dapat melindungi pelakon daripada risiko berbahaya.

"Lebih-lebih lagi, bukan semua orang seperti Jet Li atau Jackie Chan yang mampu melakukan sendiri aksi lagak ngeri yang luar biasa," ujarnya.

Meskipun berupaya melakonkan aksi lagak ngeri, Andy mengakui dia masih fobia terhadap ketinggian.

"Bagi saya, babak paling bahaya sudah tentu terjunan di Burj Khalifa. Meskipun hanya pada ketinggian 9.31 meter, saya gementar sepanjang penggambaran. Sebenarnya saya gerun dengan ketinggian. Saya terpaksa lakukan terjunan kerana tiada pilihan. Saya rasa Tom Cruise juga menghadapi dilema yang sama (ketawa).

"Walaupun gayat, saya berjaya mengatasi masalah ini sejak 20 tahun lalu. Namun, ia hanya untuk lakonan.

"Sehingga kini, saya masih gayat jika diminta berdiri di tempat yang tinggi. Saya seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada melakukan aktiviti lasak di tempat tinggi," akuinya.


MENERUSI filem Switch, Andy masih berkemampuan melakukan aksi lagak ngeri dengan terjun dari tempat tinggi pada usia 52 tahun sekarang.


Cedera

Sejujurnya, Andy yang telah berlakon dalam puluhan filem aksi berkata, dia tidak memiliki sebarang kemahiran seni mempertahankan diri.

Katanya, semuanya sekadar lakonan namun dia bangga kerana ramai orang percaya dia pandai berkung fu.

"Saya tidak ada asas seni mempertahankan diri langsung. Apa yang anda tonton hanyalah berdasarkan pengalaman yang saya peroleh sepanjang bergelar pelakon. Saya bukannya Jet Li atau Jackie Chan," ujarnya.

Menyentuh tentang hal peribadinya pula, kehidupan Andy kini semakin lengkap dengan kehadiran seorang anak perempuan hasil pengkongsian hidup bersama isterinya, Carol Chu, yang berasal dari Malaysia.

Sejak itu, Andy lebih berhati-hati apabila memilih watak. Dia tidak mahu masalah kesihatan mengganggu tugasnya sebagai ketua keluarga.

"Ya, saya memang memilih watak sekarang kerana saya ada tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.

"Ketika umur saya sekitar 20-an, saya begitu agresif melakonkan sebarang aksi sehingga saya pernah mengalami masalah tulang belakang.

"Kini, dalam usia sebegini, kesan sampingannya mula terasa. Adakalanya dalam sebulan, tangan saya tiba-tiba berasa kebas akibat masalah saraf. Mujurlah teknik penggambaran filem sekarang lebih moden dan selamat," katanya.

Gosip panas

Selepas hampir tiga dekad bergelumang dalam industri seni, Andy sudah melalui segala macam asam garam sebagai selebriti. Gosip panas, menerima anugerah, mengadakan konsert besar serta dipuja jutaan peminat merupakan takdir hidupnya.

Jika ditoleh kembali perjalanannya, Andy akan tersenyum puas dengan pencapaian yang dinikmatinya hasil usaha kerasnya.

"Saya berasa hebat. Meskipun keupayaan fizikal saya berbeza jika dibandingkan dengan masa lalu, saya percaya penonton menghargai kepelbagaian watak yang saya bawakan.

"Contohnya, filem A Simple Life tidak mempunyai babak aksi, namun penonton masih mengaguminya.

"Filem kaya dengan genre-genre sehinggakan saya tidak perlu mengehadkan diri dengan genre tertentu sahaja.

"Semua orang akan tua, begitu juga saya, tetapi saya lihat ramai pelakon antarabangsa yang masih hebat berlakon dalam filem aksi pada umur 60-an dan 70-an. Jadi selagi saya hidup, saya akan terus berlakon filem aksi," tegasnya.

Meletakkan dirinya sebagai penonton pula, Andy tetap memilih filem aksi sebagai genre kegemarannya. Katanya, dia amat sukakan lakonan Matt Damon dalam filem aksi The Bourne Identity.

"Saya gemarkan The Bourne Identity. Bagi saya, lakonan Matt Damon cukup mantap. Sebagai penonton saya teruja melihat filem sebegitu.

"Jadi, saya rasa amat bertuah kerana saya dapat melakonkan aksi-aksi seperti dalam filem yang saya minati," ulasnya.

Menyentuh soalan adakah filem Switch mampu menandingi filem seperti The Bourne Identity di peringkat antarabangsa, Andy ada jawapannya.

Katanya: "Semuanya bergantung kepada penonton. Banyak masa telah dilaburkan. Teknologi pula telah digabungkan dengan kru yang hebat, kesan khas dan teknologi 3D.

"Namun begitu, pengarah filem ini berada dalam tekanan. Tidak pernah dalam sejarah lakonan saya skrip diubah sebanyak 17 kali.

"Bagi saya, setiap syot sungguh mengasyikkan. Oleh kerana tarikh pelancaran semakin dekat, kami bertungkus-lumus memberikan sentuhan akhir untuk filem ini."

Dalam pada itu, khabarnya, pengarah Switch, Jay Sun amat tertekan sepanjang penggambaran filem ini sehingga memaksa penggambaran di Dubai dipendekkan masanya.

Meskipun begitu, kata Andy, dia tidak mencampuri urusan produksi sebaliknya hanya memberi fokus kepada tugasnya sebagai pelakon.

"Saya cuma melakukan apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang aktor. Memikirkan aspek kewangan, persinggahan kami di Dubai terpaksa disingkatkan.

"Setiap pagi saya habiskan masa dengan berlatih aksi pertarungan manakala pada waktu tengah hari penggambaran dimulakan.

"Cara kami bekerja hampir sama dengan penggambaran siri televisyen dengan beberapa orang pengarah dan penulis skrip bekerjasama memastikan hasil yang terbaik dapat diperoleh.

"Bayangkan jika kami tidak memahami watak-watak, pasti ada masalah yang muncul," ujarnya yang pernah menjadi penerbit filem.

Selain Andy, Switch turut menampilkan pelakon Zhang Jing Chu dan Lin Chi Ling.

Bounce Plan enggan menyerah

Posted:

Bounce Plan enggan menyerah

Bounce Plan enggan menyerah

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


BARISAN juri (dari kiri), Joe, Maple, Jay dan Haw.


TINGGAL harapan. Kru Bounce Plan yang diramalkan bakal menggegarkan pentas akhir Showdown 2013 terpaksa berputih mata apabila mereka tersingkir dalam saingan suku akhir pada hari Ahad lalu.

Menerusi kategori All Star, kru Bounce Plan yang dianggotai oleh lapan orang ahli hasil kolaborasi kumpulan asal Bounce Stepperz dan Plan B hanya sempat berentap dalam dua pusingan sebelum tumpas kepada lima kru lain.

Kru yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Showdown 2013 pada 23 Jun ini ialah The Last Hustler, Katoon Network, Elecoldxhot, Art In Motion dan Rejuvenate Crew.

Menerusi persembahan pusingan pertama Bounce Plan pada malam Sabtu lalu, pujian telah diberikan oleh keempat-empat juri yang mengadili Showdown 2013 iaitu Jay Smooth dari Amerika Syarikat, Haw dari Korea Selatan, serta Joe Flizzow dan Maple Loo dari Malaysia.

"Gadis yang melakukan tarian tap terbukti sangat bagus. Tahap tenaganya luar biasa. Saya tidak pernah menyaksikan rutin sebegitu dipersembahkan sebelum ini," komen Jay Smooth menerusi persembahan pertama kru Bounce Plan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Bounce Plan apabila pergerakan mereka pada persembahan malam kedua menghampakan.

Ujar Jay lagi: "Ada banyak detik menakjubkan yang ditampilkan kali ini. Secara keseluruhannya persembahan kedua lebih bagus tapi malangnya kurang kemas."

Atas alasan itu, Bounce Plan bersama Famous School harus akur dengan keputusan juri untuk berundur daripada pertandingan yang menjanjikan hadiah utama RM75,000 ini.


BOUNCE PLAN sudah mencuba untuk memberikan persembahan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tersingkir awal daripada program Showdown 2013.


All Star adalah satu-satunya kategori dalam Showdown 2013 yang mana peserta bertanding tidak perlu menghadiri sesi uji bakat, sebaliknya dijemput oleh pihak penerbit iaitu 8TV.

Kata ketua kru Bounce Plan, Mohd. Asrulnah Zaini atau lebih dikenali dengan panggilan Aroy, penyingkiran kali ini tidak melemahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan aliran street tradisional cara mereka.

"Tersenarai sebagai kru All Star sudah cukup membuktikan bahawa kami adalah antara kru terbaik di Malaysia.

"Insya-Allah, kami akan terus memperjuangkan tarian yang kami pegang selama ini," katanya yang ditemui usai pertandingan peringkat suku akhir Showdown 2013 di Dewan A, Menara Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Aroy, penggabungan kru Bounce Stepperz dan Plan B menunjukkan kemajuan dan perjuangan baharu dalam mengangkat martabat tarian tradisional dalam versi moden cara Malaysia.

"Bounce Plan membawa satu elemen baharu dalam Showdown 2013. Kami menggabungkan tarian tradisional dan B-Boy dalam kru kami.

"Selama hampir setahun bersama belum pernah ada pergaduhan atau ketidaksefahaman," ujarnya.

Bounce Plan dianggotai oleh Aroy, Raja Nur Aizureen Raja Azahari, Muhamad Zakwan Abdul Rahim, Muhamad Zufar Abdul Rahim, Umar Ali Jening, Luqmanulhakim Yusoff, Siti Nabilah Samat dan Mohd. Az-Zahir Azmi yang berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Kru-kru yang berjaya dalam sesi uji bakat akan mara ke peringkat suku akhir dan separuh akhir. Hanya tiga kru daripada setiap kategori akan beraksi di pentas akhir Showdown 2013 pada 6 Julai depan di Stadium Negara.

Final Showdown 2013 akan disiarkan secara langsung pada pukul 8.30 malam menerusi 8TV. Rancangan ini kini bersiaran setiap hari Sabtu dan Ahad pukul 10.30 malam dan 10 malam di 8TV.

Sarah Sechan masih bersama Neil Furuno

Posted:

Sarah Sechan masih bersama Neil Furuno

Sarah Sechan masih bersama Neil Furuno

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN

SARAH SECHAN memiliki sebuah program bual bicara yang menggunakan namanya sebagai judul.


SIFAT peramah ibu kepada seorang anak lelaki ini sering membuatkan umum menyenangi dirinya.

Bijak berkata-kata dan berjenaka, ditambah pula dengan perwatakannya yang menarik, Sarah Sechan, 39, sering diburu peminat dan wartawan yang ingin mengetahui rutin sehariannya di luar lingkungan kerjayanya sebagai selebriti.

Walaupun begitu, Sarah sangat berhati-hati apabila bercakap mengenai kehidupannya yang kini disifatkan begitu bahagia bersama anak lelakinya, Rajata serta kekasih hati, Neil Furuno, seorang doktor hiropraktik yang juga bekas kekasih penyanyi Agnes Monica.

Sarah mula mendapat perhatian ramai selepas dia menjadi pengacara majlis Anugerah Planet Muzik (APM) pada tahun 2008.

Sejak itu, namanya terus melonjak naik sehingga dia digelar pengacara termahal di Indonesia.

Berkesempatan menemui figura jelita ini pada sidang akhbar Konsert Enjoy Jakarta di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Kosmo! bertanyakan cerita peribadi serta kerjayanya sekarang. Ini memandangkan dia sudah agak lama tidak muncul di dada akhbar.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon dan pengacara kelahiran Bandung, Indonesia itu.


SARAH enggan mengulas secara terperinci tentang hubungan cintanya bersama Neil Furuno.


Kosmo!: Sudah lama cerita anda tidak dipaparkan dalam akhbar. Bagaimana kehidupan anda sekarang?

SARAH: Syukur, saya masih ada dan bernyawa. Bukan tidak keluar dalam media, tetapi saya ini pemalu orangnya (ketawa). Saya sebenarnya ada program temu bual sendiri yang menggunakan nama saya, Sarah Sechan. Ia disiarkan menerusi saluran Net bermula dari hari Isnin hingga Sabtu pada pukul 7 malam.

Program tersebut membincangkan banyak perkara. Ia tidaklah terlalu serius. Saya ada menyelitkan elemen kelakar dan menyeronokkan untuk menghiburkan tetamu dan penonton.

Kepada rakyat Malaysia, anda boleh memuat naik aplikasi Net untuk menonton program itu secara streaming.

Kata-kata anda jelas menunjukkan yang anda gembira menjadi pengacara rancangan tersebut. Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi bersama kekasih? Masih bersama dengan si dia?

Lelaki mana (yang dimaksudkan) ini? Apa yang boleh saya katakan, ya, saya masih bersamanya. Kami okey sahaja dan berkawan seperti biasa. Saya ini cantik orangnya, ramai betul pacar (lelaki) yang ingin mendekati (ketawa).

SARAH bersama anak lelakinya, Rajata.


Menyentuh mengenai kerjaya, jika dulu anda dikenali menerusi APM, tetapi kenapa sekarang anda tidak lagi menjadi pengacara acara anugerah berkenaan?

Saya amat rindu dengan APM, tetapi memandangkan jadual kerja saya yang padat dan kadangkala bertindih, saya tidak dapat menerima tawaran tersebut.

Saya rindukan kru produksi APM yang amat menyenangkan. Kami semua satu kepala - gila-gila. Jadi, terbabit dengan APM merupakan sesesuatu yang sangat menggembirakan.

Terbaharu, anda diberi tanggungjawab untuk menjadi pengacara bagi Konsert Enjoy Jakarta untuk mempromosikan Indonesia di Malaysia. Boleh ceritakan mengenai konsert tersebut?

Konsert itu diadakan khusus untuk peminat muzik Indonesia di Malaysia. Ia merupakan satu platform bagi mengetengahkan tradisi dan budaya Indonesia yang pasti memikat hati pemuzik Malaysia.

Malaysia dipilih kerana negara ini mempunyai potensi pelancongan yang bagus. Penduduknya juga sering datang ke Indonesia untuk membeli-belah. Jadi amat sesuai konsert itu diadakan di sini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved