Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Posted:

Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my

MATA merupakan deria penglihatan yang amat berharga bagi setiap manusia. Namun malangnya, tidak ramai yang mengambil berat tentang penjagaannya kerana merasakan bahawa sudah dilahirkan dengan upaya penglihatan yang sempurna.

Lazimnya, kita hanya merujuk ke klinik apabila berhadapan dengan masalah sakit mata atau pandangan yang mula kabur. Perkara tersebut diakui seorang pesakit glaukoma yang hanya mahu dikenali sebagai Mei.

Cerita kakitangan swasta itu yang kini berusia 55 tahun, dia juga seperti individu lain yang jarang mengambil berat mengenai pancaindera mata walaupun sewaktu remaja dia sudah menggunakan kanta mata setinggi 400.

Episod duka mula melanda dalam kehidupan Mei ketika dia berusia 49 tahun apabila dia berdepan dengan simptom masalah penglihatan berganda atau melihat sesuatu objek seperti berbayang. Melihatkan kesihatan mata Mei semakin teruk, salah seorang saudara terdekat yang juga merupakan doktor telah menasihatkannya supaya menjalani pemeriksaan mata.

Selepas menjalani beberapa ujian, akhirnya Mei disahkan menghidap penyakit glaukoma.

"Pada masa itu, saya tidak mengetahui apa itu glaukoma tetapi selepas doktor menerangkan penyakit itu, barulah saya lebih memahaminya," jelasnya yang sedikit terkejut apabila menerima berita itu.

Penyakit glaukoma terjadi disebabkan kerosakan saraf optik dan boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang simptom yang ketara.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu terkesima seketika kerana tidak menyangka dirinya menghidap penyakit terebut.

Begitupun, wanita separuh abad itu mengakui neneknya juga menghidap penyakit yang sama.

"Tidak sangka saya mewarisi penyakitnya itu," kata Mei.

Tambahnya, memandangkan rawatan peringkat pertama bagi glaukoma ialah ubat titisan mata, jadi dia bergantung kepada ubat tersebut sahaja.

Ubat titis

Sejak hari itu, Mei terpaksa membelanjakan lebih RM100 setiap bulan untuk membeli ubat cecair yang perlu dititiskan ke dalam mata sebanyak dua kali iaitu sebelah pagi dan petang.

Namun, gara-gara sibuk dengan rutin harian di tempat kerja dan rumah, Mei kerap kali mengabaikan pengambilan ubat-ubatan.

Dia hanya meletakkan ubat titis itu ke dalam mata apabila dia teringat untuk melakukannya. Sikap itu berlarutan hampir enam bulan sehingga dia menjalani rawatan susulan di sebuah hospital sekitar Kuala Lumpur selepas penglihatannya bertambah teruk.


RAWATAN peringkat awal penyakit glaukoma ialah ubat titis mata.


"Jika seseorang berdiri di sebelah saya atau terdapat objek yang kedudukannya tinggi di atas kepala, saya sememangnya tidak dapat nampak apa-apa," katanya dengan nada kesal.

Sejurus doktor menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan Mei berisiko menjadi buta jika terus mengambil mudah pengambilan ubat dan penjagaan mata.

Khuatir menjadi buta, Mei tidak lagi mengabaikan pengambilan ubat-ubatan. Kini, dia mengambil ubat mengikut waktu dan menuruti segala nasihat doktor.

Dalam pada itu, Pakar Bedah Mata dan Okuloplastik, Klinik Pakar Mata Centre For Sight Petaling Jaya, Dr. Zurina Zainal Abidin berkata, penyakit glaukoma berlaku apabila tekanan intraokular meningkat sehingga menyebabkan saraf belakang mata rosak.

Apabila keadaan itu berlaku, ia akan mengakibatkan penurunan daya penglihatan terutamanya di bahagian sisi skop penglihatan mata.

"Ia merupakan penyakit senyap yang boleh menyebabkan buta secara perlahan-lahan dan jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, seseorang itu akan menjadi buta sepenuhnya.

"Oleh itu, setiap orang perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit mata terutamanya glaukoma," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pada kebiasaannya, penyakit tersebut lebih berisiko berlaku terhadap individu yang berusia 40 tahun ke atas. Lebih menakutkan, ia jarang menunjukkan sebarang simptom ketara.

Maka, tidak ramai yang menyedarinya sehingga kehilangan deria penglihatan yang serius.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit itu termasuk sejarah keluarga , diabetes dan miopia (rabun jauh).

"Oleh itu, lebih elok setiap individu menjalani pemeriksaan mata, tidak kira tua atau muda," tegasnya.

Tekanan dalam mata

Mengulas lanjut mengenai jenis penyakit itu, Zurina berkata, terdapat empat jenis iaitu glaukoma sudut terbuka, glaukoma sudut tertutup, glaukoma akut dan glaukoma kongenital.

Jelasnya, glaukoma sudut terbuka jenis paling lazim berlaku. Ia disebabkan saluran keluar cecair mata kurang berkesan.


BEBERAPA ujian menggunakan teknologi terkini mampu mengesan glaukoma pada peringkat awal seterusnya mengelakkan seseorang itu kehilangan penglihatan.


Justeru, tekanan dalam mata meningkat secara beransur-ansur hingga mengakibatkan kerosakan saraf optik. Pada kebiasaan, jenis glaukoma ini tidak menunjukkan simptom awal dan penglihatan kekal seperti biasa.

Bagi glaukoma sudut tertutup pula, ia berlaku kepada individu yang mengalami rabun dekat manakala glaukoma akut pula menunjukkan simptom seperti sakit mata, mata merah, kesukaran melihat secara tiba-tiba.

Sementara itu, glaukoma kongenital pula berlaku selepas beberapa bulan bayi dilahirkan. Walaupun jarang terjadi, ia merujuk kepada keadaan bayi atau anak kecil yang mengalami perkembangan yang tidak lengkap lalu menyebabkan tekanan pada bahagian matanya hingga membentuk glaukoma.

"Selain itu, glaukoma juga boleh berlaku kepada individu yang terlibat dalam kemalangan, jangkitan, ketumbuhan dan masalah katarak," ujarnya.

Walau bagaimanapun, penyakit tersebut masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan.

Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Posted:

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my


JELAS terserlah kemesraan yang ditunjukkan oleh pasangan suami isteri ini kepada anak-anak angkat mereka.


KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini apabila masing-masing disapa mesra Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pernah bersua dalam beberapa pertemuan secara formal mahu pun santai yang diadakan sebelum ini, keakraban yang sedia terjalin membuatkan anak berkenaan tidak kekok bermesra dengan pemimpin nombor satu kerajaan negeri Perak itu.

Mereka merupakan antara ratusan anak-anak angkat Menteri Besar Perak yang dipilih daripada keluarga miskin atau anak yatim pelbagai kaum dan agama di seluruh negeri tersebut.

Mereka terpilih menyertai program Anak Angkat Menteri Besar yang dikendalikan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Pada petang itu, anak-anak angkat Menteri Besar Perak berkenaan berkumpul pada majlis khas iaitu penyampaian barangan persekolahan di AEON, Kinta City, Ipoh, Perak.

MASING-MASING begitu teruja selepas berpeluang melawat Zoo Taiping.


Ia merupakan sebahagian daripada program dan aktiviti secara berkala Program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang bertujuan membantu murid terbabit cemerlang dalam pelajaran.

Menurut Zambry, anak-anak angkatnya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi diberi kelas tuisyen percuma.

"Selain itu semangat mereka dipertingkat menerusi program-program motivasi di samping keputusan peperiksaan mereka sentiasa dipantau.

"Saya harap biarpun mempunyai latar belakang keluarga kurang berkemampuan, suatu hari nanti anak-anak ini akan menjadi manusia berjaya yang menjadi kebanggaan Perak," katanya.

Tambah Zambry, program yang dimulakan sejak 2010 itu juga bertujuan meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit dalam menguruskan persekolahan anak-anak mereka.

Imbau masa kanak-kanak

Justeru tidak hairanlah apabila anak-anak angkat berkenaan sebelum ini pernah dibawa Zambry untuk pakaian raya baharu dan rombongan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur.

"Melalui bantuan ini, kita harap ia dapat memotivasikan setiap kanak-kanak terlibat agar lebih bersemangat untuk menempuh sesi persekolahan akan datang.


LAWATAN sambil belajar ke Putrajaya merupakan salah satu aktiviti tahunan disertai anak-anak angkat Menteri Besar Perak.


"Anak-anak angkat saya ini datang daripada latar belakang keluarga miskin dan miskin tegar dari seluruh Perak. Pembelian baju raya diharap menggembirakan mereka," katanya.

Riak kegembiraan pada wajah kanak-kanak terlibat lebih terserlah apabila Zambry dan Saripah turut menghulurkan elaun pelajaran bernilai RM150 setiap seorang.

Zambry berkata, keperitan hidup anak-anak angkatnya sering membuat dia sendiri selalu mengimbau zaman persekolahan sebagai anak nelayan yang serba kekurangan.

"Ketika itu hendak beli baju sekolah baharu pun susah. Warna baju saya yang putih menjadi kekuningan. Kadang-kadang zip seluar rosak, hanya guna pin sebagai ganti. Kehidupan masa itu memang susah.

"Kalau boleh, kita tidak mahu anak-anak kita melalui kesusahan seperti itu. Sama-sama kita bantu mereka mengecapi hidup yang lebih baik," katanya.

Selain santai bersama Menteri Besar, anak-anak angkat berkenaan turut mengikuti siri lawatan sambil belajar dan motivasi perdana yang dikelolakan YBUDR.

Semarakkan cinta pasangan komuter

Posted:

Semarakkan cinta pasangan komuter

Semarakkan cinta pasangan komuter

HARI ini terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan komunikasi seperti telefon, chatting, Facebook dan sebagainya.


MUNGKIN ada yang tidak faham maksud pasangan komuter. Pasangan komuter bukan bermaksud mereka yang bekerja dengan pihak Keretapi Tanah Melayu dan bukan juga mereka yang selalu menggunakan komuter.

Pasangan komuter merupakan satu istilah yang sering diguna pakai kepada individu yang berkahwin, tetapi tinggal berjauhan. Mereka jarang berpeluang untuk hidup bersama sebagai suami isteri normal yang tinggal sebumbung. Bahasa mudahnya pasangan suami isteri yang berjauhan.

Jarak bukan halangan

Pengalaman saya mengendalikan kes-kes rumah tangga, isu jarak memang menjadi antara punca kepada masalah kebanyakan hubungan suami isteri kini.

Hakikatnya, jarak bukan alasan untuk bercerai, beralih arah atau pun putus kasih sayang.

Secara logiknya, tidak ada halangan untuk mencapai bahagia walau berjauhan.

Ini kerana kasih sayang yang ada antara suami isteri pada asalnya juga daripada individu-individu yang hidup berasingan sebelum ini.

Rata-ratanya kita berkahwin dengan seseorang dari daerah, negeri malah adakalanya dari negara yang berlainan. Jika jarak bukan alasan untuk membibitkan rasa cinta, wajarkah jarak kemudian dijadikan alasan untuk tidak lagi berkasih sayang?

Asas paling penting dalam hubungan suami isteri adalah melaksanakan komunikasi unggul. Tidak perlu tinggal sebumbung untuk mewujudkan komunikasi unggul.

Ketika inilah pengorbanan perlu dan dituntut iaitu untuk memahami kehendak keadaan semasa.

Jika perlu berjauhan kerana urusan kerja, maka perlu berusaha untuk mengekalkan semarak cinta. Andai berpeluang untuk kembali tinggal bersama, maka ia menjadi satu bonus yang perlu disyukuri.

Ada lima panduan yang boleh diaplikasikan agar cinta anda bersama pasangan komuter kekal mekar dan harum mewangi.

1Perkara paling penting ialah sentiasa sedar diri iaitu mengingati mengenai status anda sebagai suami atau sebagai isteri. Apabila anda sedar diri, anda akan berjaya mengawal diri agar tidak melakukan sesuatu yang melukakan hati pasangan, malah sentiasa berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri seperti yang disarankan oleh syarak.

2Sentiasa wujudkan komunikasi unggul dengan pasangan. Jika berkemampuan, usahakan untuk berkumpul bersama pasangan dan anak-anak paling minimum sekali dalam masa dua minggu.

Hingga tempoh tersebut, sentiasalah berhubungan sama ada melalui telefon, chatting atau apa saja mekanisme komunikasi yang ada pada zaman penuh canggih ini.

Tiada alasan untuk menjarakkan hubungan biarpun berjauhan jika benar-benar menghayati dan menghargai kasih yang ada.

3Jangan bertindak memasarkan diri sendiri dirangkaian sosial terutamanya Facebook atau menerusi saluran komunikasi lain. Jika anda fikir pada mula nya tindakan itu mungkin hanya untuk cuba-cuba, percayalah ia akan berakhir dengan kejadian buruk apabila anda sudah terikat dengan orang baharu.

4Bataskan hubungan anda dalam bergaul dan berkawan. Elakkan hubungan yang terlalu mesra terutamanya dengan rakan berlainan jantina termasuk tidak boleh keluar berdua sahaja tidak kira apa juga alasannya seperti berkongsi kenderaan ke pejabat atau menjadi pendengar setia masalahnya.

Kajian membuktikan kebanyakan kes berkaitan orang ketiga yang menjadi punca kepada pecah-belah dalam hubungan suami isteri bermula daripada hubungan santai tanpa niat untuk memasang pasangan baharu.

5Elakkan juga daripada berkongsi masalah dengan rakan berlawanan jenis tidak kira masalah dengan pasangan atau masalah anda yang lain. Perkongsian masalah itu kerap kali membawa kepada perkongsian perasaan dan emosi yang memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri pasangan komuter ini.

Paling utama, banyak berdoa agar kasih sayang anda sebagai pasangan suami isteri sentiasa utuh dan kekal dan hingga ke akhir hayat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved