Jumaat, 8 Mac 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Pakej lengkap sedan hibrid premium

Posted:

Pakej lengkap sedan hibrid premium

Pakej lengkap sedan hibrid premium

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

TAHUN 1997 menyaksikan syarikat automotif Audi AG di Jerman tampil sebagai pengeluar kenderaan pertama di benua Eropah berkecimpung dalam penghasilan kenderaan hibrid. Model yang dimaksudkan ialah Audi A4 Duo III.

Pada ketika itu, pasukan jurutera syarikat itu menggunakan rangkaian kuasa enjin diesel 1.9 liter TDI berserta sebuah motor elektrik. Enjin pada Audi A4 Duo III berupaya menjana kuasa sebanyak 90PS, manakala motor elektriknya membantu menyalurkan kuasa setinggi 29PS.

Namun, produksinya tidak mampu bertahan lama disebabkan faktor harga tinggi. Selain gagal membuahkan kecekapan bahan api jika dibandingkan dengan keupayaan enjin diesel standard 1.9 liter TDI. Hanya kira-kira 100 unit sedan itu berjaya melepasi barisan pengeluaran sehingga awal tahun 2011.

Sebelum ini, Audi AG pernah mengetengahkan idea penciptaan kenderaan hibrid pada dua pameran automotif berkelas dunia. Kali pertama usaha itu ditunjukkan adalah pada tahun 1989 di Pameran Motor Frankfurt, Jerman menerusi model konsep Audi Duo.

Selang setahun selepas itu, model hibrid generasi kedua iaitu Audi 100 Duo II membuat debut sewaktu pameran Geneva Motor Show yang berlangsung di Perancis. Status asalnya iaitu sekadar sebuah jentera konsep terus kekal dalam tempoh yang agak lama.

Usaha Audi untuk membangunkan sebuah model hibrid nyata serius dengan kemunculan kenderaan utiliti sukan Audi Q5 Hybrid pada tahun 2010. Pengeluaran model berkenaan masih diteruskan sehingga kini dan ditawarkan di beberapa pasaran tertentu sahaja.

Pameran Geneva Motor Show 2012 kemudian menyaksikan kemunculan dua model hibrid terbaharu Audi AG iaitu A6 Hybrid dan A8 Hybrid. Produksi model A6 Hybrid bermula pada tahun sama.

Baru-baru ini, pengimport dan pengedar tunggal jenama Audi yang diimport sepenuhnya (CBU) di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) melancarkan model A6 Hybrid ke pasaran tempatan. Euromobil adalah subsidiari DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom).


ENJIN petrol empat silinder 2.0 liter TFSI ini berupaya menawarkan prestasi pemanduan seperti sebuah enjin enam silinder.


Pengenalan model itu ke pasaran menjadikannya sebagai hibrid pertama Audi di Malaysia. Kemasukan jentera hijau mewah itu sudah pasti mencetuskan saingan cukup sengit kepada dua pemain Jerman lain di negara ini, apa lagi jika bukannya BMW dan Mercedes-Benz.

Kekuatan produk terbaharu edaran Euromobil berkait rapat dengan harganya. Harga jualan atas jalan tanpa insurans bagi A6 Hybrid cuma RM280,000 seunit. Tag harga itu disifatkan sebagai cukup rendah bagi mereka yang ingin memiliki sebuah kereta Audi.

Manakan tidaknya, perbezaan harga antara A6 Hybrid dan A6 2.0L TFSI adalah lebih daripada RM60,000! Itu perbezaan jika mengambil kira harga atas jalan tanpa insurans. Tidak mustahil faktor ini dapat menarik pemilik kenderaan premium sedia ada untuk menjadi pelanggan Euromobil.

Tawaran harga yang signifikan itu adalah hasil daripada insentif pengecualian duti import serta cukai sepenuhnya untuk kenderaan hibrid dan elektrik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Bajet 2010.

Insentif selama dua tahun itu kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir tahun ini. Langkah itu jelas membantu memacu pertumbuhan segmen kenderaan mesra alam di negara ini.

Audi A6 Hybrid dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama ialah Pengerusi Euromobil dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.

Mohd. Khamil berkata, pengenalan Audi A6 Hybrid di negara ini membuktikan komitmen Kumpulan DRB-Hicom dalam membantu industri automotif Malaysia berada sebaris dengan negara jiran lain serta lebih kompetitif di peringkat global.


DARI kiri: Pengarah Kumpulan Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah, Mohd. Khamil, Dr.Mahathir dan Tan pada majlis pelancaran Audi A6 Hybrid di ibu negara baru-baru ini.


Audi A6 Hybrid dilengkapi enjin petrol empat silinder 2.0 liter TFSI bersama seunit motor elektrik. Pandanan transmisi tiptronik lapan kelajuan diberikan. Hasilnya, prestasi jentera itu ibarat seperti datangnya daripada enjin enam silinder.

Motor elektrik menerima kuasa daripada pek bateri litium-ion yang disimpan di bahagian belakang kerusi barisan kedua. Pek bateri dicaj apabila membrek dan menerusi sebuah generator sewaktu kenderaan bergerak.

Pek bateri seberat 38 kilogram (kg) itu mengurangkan kapasiti ruang but kepada 375 liter berbanding keluasan 530 liter yang ada pada model A6 petrol standard.

Kuasa maksimum sebanyak 245bhp dengan tork setinggi 480Nm dapat dijana menerusi rangkai kuasa jentera hibrid berkenaan. Kelajuan maksimumnya dihadkan pada paras 240 kilometer sejam (km/j).

Pecutan dari titik pegun ke 100km mengambil masa 7.5 saat. Purata penggunaan bahan api bagi setiap 100km adalah sebanyak 6.2 liter. Sementara kadar pembebasan karbon direkodkan sebanyak 145 gram setiap km.

Mode pemanduan EV (elektrik sepenuhnya) boleh diaktifkan dengan menekan butang pada konsol tengah. Jentera seberat 1,845 kilogram itu boleh bergerak dengan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya sejauh 3km jika anda mengekalkan kelajuan pada paras 60km/j.

Bahagian luaran dan dalaman model itu tidak jauh beza dengan sebuah A6 petrol standard. Perbezaan paling ketara ialah lampu hadapannya yang menggunakan lampu LED.

Ketua Pegawai Eksekutif Euromobil, Stanley Tan mengunjurkan jualan sebanyak 1,000 unit Audi A6 Hybrid bagi tahun ini.

Sasaran konservatif itu tidak sukar untuk dicapai. Memandangkan dalam tempoh sehari sebelum prebiu untuk media diadakan, tempahan yang diterima sudah mencapai 200 unit.

Ada khabar mengatakan tempahan A6 Hybrid sudah mencecah hampir 500 unit. Jika perkara ini benar, tidak mustahil jenama Audi mampu memintas dua pesaing rapatnya di Malaysia.

Keunikan Suzuki Belang

Posted:

Keunikan Suzuki Belang

Keunikan Suzuki Belang

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my


MODEL naked ini menawarkan pengendalian yang cukup baik.


KELIBAT Suzuki Belang R150 boleh disifatkan agak jarang kelihatan di atas jalan raya tempatan.

Biarpun begitu, ia tidak bermaksud produk jenama Jepun itu gagal mendapat tempat di negara ini. Belang sebenarnya mempunyai pengikut dan penggemar tersendiri.

Malah ada beberapa pengeluar komponen aftermarket popular sudah menawarkan aksesori dan alat ganti jentera tersebut di kedai-kedai motosikal di seluruh negara.

Harus tahu, tidak ada pengeluar komponen industri sekunder mahu membuang masa mencipta barangan untuk motosikal yang mempunyai volum jualan rendah. Inilah keunikan Suzuki Belang R150.

Baru-baru ini, saya berpeluang meminjam jentera berkenaan daripada Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) untuk sesi tunggang uji.

Saya difahamkan bahawa ia merupakan sebuah unit demo yang digunakan untuk acara promosi Suzuki Assemblers di seluruh negara.

Selesai sahaja urusan dokumen pinjaman, saya tidak sabar untuk menguji jentera berwarna merah hitam itu. Sejurus sahaja duduk di atas pelana, ia menggamit kembali kenangan lama menunggang sebuah Honda Hurricane.


TIGA pilihan warna ditawarkan bersama paparan grafik bagi model naik taraf 2012.


Posisi kedua-dua siku sedikit ke dalam dan berada di hadapan tulang rusuk. Kedudukan badan pula dianjakkan ke hadapan memandangkan tempat duduknya sedikit terjengket di bahagian belakang. Bagi saya, posisi sebegini sedikit sebanyak membantu meningkatkan fokus sewaktu menunggang jentera naked ini.

Klac perlu ditarik apabila menekan butang pemula bagi menghidupkan Belang. Sebagai alternatif, penendang kaki boleh digunakan untuk tujuan sama.

Enjin mudah dihidupkan. Alunan deruman ekzos standard yang hinggap di halwa telinga mula membakar semangat untuk memulas pendikit minyak dengan lebih agresif.

Tuli gear dipijak dan roda mula melayari jalan raya. Adakala kedengaran bunyi letupan daripada corong ekzos.

Pengendalian Belang seberat 108 kilogram bukannya sesuatu yang janggal. Ia mudah dikendalikan dan lincah menyelinap di celah-celah barisan kenderaan beroda empat.

Sewaktu tunggangan, saya mendapati ada satu punat yang ditempatkan pada sebelah kanan meter paparan hablur cecair (LCD).

Jentera diberhentikan di tepi jalan kerana ingin mengetahui fungsinya. Rupa-rupa punat itu mengubah mode tunggangan biasa kepada mode kuasa (PWR) dan ekonomikal (ECO).

Mode PWR terus menjadi pilihan. Tunggangan diteruskan semula dan saya mendapati ada lampu putih pada skrin LCD mula berkelip-kelip dan menyala. Itu menandakan rev enjin mencapai tahap optima untuk ledakan kuasa maksimum.


INSTRUMEN meter model Suzuki ini memaparkan kombinasi meter analog rpm dan satu skrin LCD untuk kelajuan, baki bekalan petrol serta jarak tunggangan.


Pancaran lampu diendahkan. Saya memilih untuk merasa raungan enjin dan penukaran gear apabila dirasakan sesuai.

Sipnosis mudah, jika beri perhatian pada lampu, bagaimana mahu fokus pada situasi keadaan semasa yang ada di hadapan anda?

Belang R150 sememangnya menawarkan pengendalian yang cukup baik. Perkara itu disebabkan penggunaan komponen aluminium pada jentera berkenaan.

Tangki penuh petrol Belang R150 sudah kering dalam tempoh dua hari dengan mode PWR. Jarak tunggangan sekadar 84 kilometer (km).

Kelajuan tunggangan pada ketika itu adalah di antara 100km sejam (km/j) hingga tahap maksimum iaitu 120km/j.

Catatan kelajuan itu sedikit rendah kerana motor sesi tunggang uji tersebut bukannya baru. Odometer menunjukkan perjalanan sudah melepasi 7,000km.

Bagi mode pemanduan biasa, lampu putih tidak akan menyala. Dalam mode ECO pula, ia mengimbangi rev enjin untuk penjimatan bahan api.

Apabila mode ini diaktifkan, saya berjaya mencapai jarak sejauh 74km dan mempunyai baki petrol separuh tangki lagi. Kelajuan tunggangan antara 80 km/j hingga 100km/j.

Berbekalkan dua set brek cakera pada kedua-dua roda, tugas yang dimainkan untuk memperlahankan dan memberhentikan jentera perlu diberi pujian.

Berhubung prestasi sistem teleskopik hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang pula, tiada sebarang masalah.

Suzuki Belang R150 dijual pada harga asas RM7,570 seunit tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain. Pilihan warna yang disediakan ialah merah hitam, biru putih dan kelabu putih.

Sensasi pemanduan tanpa bumbung!

Posted:

Sensasi pemanduan tanpa bumbung!

Sensasi pemanduan tanpa bumbung!

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


BUMBUNG DS3 Cabrio didatangkan dalam tiga pilihan warna untuk para pengguna.


TIDAK lama dahulu, Citroën mempunyai kehadiran yang kukuh di dalam negara. Antara model popular ialah BX, ZX, Picasso dan C3.

Jenama dari Perancis itu juga terkenal dengan teknologi suspensi boleh laras automatik yang mendahului zaman.

Paling menarik di dalam sejarah Citroën ialah syarikat itu merupakan pengeluar kereta pertama secara besar-besaran di luar Amerika Syarikat. Citroën wujud sudah lama iaitu sejak tahun 1919 lagi.

Kebelakangan ini walaupun dengan pengenalan model-model baharu dengan harga yang lebih rendah daripada pengeluar Eropah lain, Citroën tetap gagal untuk kembali kepada zaman kegemilangannya.

Saya pernah bertanya kepada seorang rakan iaitu editor terkenal majalah automotif, kenapa Citroën yang merupakan subsidiari Peugeot dan mempunyai model yang lebih kurang sama gagal untuk mendapat kepercayaan pembeli walaupun dengan harga yang lebih murah.

Hakikatnya, mungkin kerana penjenamaan yang tidak berkesan atau pembeli kurang yakin dengan khidmat pengedar menyebabkan jenama itu tenggelam tidak naik-naik.

Terkini, Citroën tempatan sudah bertukar pengedar dengan pelancaran semula model-model baharu. Persaingan akhirnya akan menguntungkan pengguna.

Baru-baru ini Citroën UK melancarkan varian terbaharu model popular mereka iaitu DS3 Cabrio. Dilancarkan hampir tiga tahun lepas, DS3 telah terjual sebanyak 200,000 unit di serata dunia.

Secara kumulatif pula, famili DS yang terdiri daripada DS3, DS4 dan DS5 telah mencapai jualan sebanyak 300,000 unit di seluruh dunia dalam tempoh hanya 30 bulan.

DS3 Cabrio mengekalkan ciri-ciri unik yang terdapat pada model DS3 hatchback dengan rekaan yang kompak, perkadaran dinamik, bumbung terapung dua tona dan tiang B 'sirip ikan yu' serta rupa depan yang menonjol dengan lampu LED yang merupakan signaturnya.


REKA bentuk bahagian hadapan tidaklah berbeza dengan model DS3.


Pada bahagian belakang adalah lampu 3D LED yang diinspirasikan daripada rekaan model konsep Citroën Revolte dan Survolt.

Bahagian tengah lampu terdiri daripada 31 lampu LED dengan cermin reflektor separuh yang akan memantulkan cahaya dengan efek 'infiniti'.

Memandangkan DS3 ini adalah versi Cabrio maka ciri paling menarik adalah bumbungnya yang boleh dibuka. Bumbung tersebut diperbuat daripada kanvas berkualiti dan dioperasikan sepenuhnya secara elektrik walaupun pada kelajuan 121 kilometer sejam.

Ciri tersebut agak penting sebenarnya kerana jika hujan turun secara tiba-tiba atau pun panas terik pemandu boleh menutup atau membuka bumbung pada kelajuan tinggi.

Bumbung kanvas itu boleh digunakan dengan tiga kedudukan iaitu sederhana, horizontal dan penuh dengan masa operasi buka dan tutup dalam tempoh 16 saat.

Walaupun bumbung dibuka dengan keadaan horizontal, penumpang belakang tetap dapat menikmati ruang bukaan tanpa halangan.

Tidak hanya didatangkan dengan rekaan biasa, bumbung DS3 Cabrio ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Hitam, Blue Infinite dan Moondust Grey DS Monogramme.

Dari segi casis, DS3 Cabrio sama seperti model hatchback cuma memandangkan ianya adalah model Cabrio beberapa pengukuhan telah dibuat pada bahagian belakang supaya lebih tegar.

Walaupun model Cabrio ini tiada bumbung besi dengan hanya bumbung kanvas tetapi ia lebih berat daripada model hatchback sebanyak 25 kilogram (kg).

Penambahan berat itu sebenarnya agak ringan memandangkan tipikal model Cabriolet 100kg lebih berat berbanding model hatchback.


PENUMPANG di barisan belakang boleh menikmati hembusan angin dan cahaya matahari sepenuhnya.


Untuk janaan kuasa pula, DS3 Cabrio boleh dibeli dengan tiga pilihan enjin petrol gred Euro V iaitu VTi 82, VTi 120 dan enjin paling 'juara' dan popular iaitu THP 155.

Enjin VTi dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan manakala enjin THP 155 pula dengan transmisi enam kelajuan manual.

Untuk mendapatkan pemanduan dengan penjimatan minyak, pemandu dibekalkan dengan Gear Efficiency Indicator (GEI) yang merupakan ciri standard pada model-model kereta masakini.

Sistem keselematan kereta Eropah seperti biasa didatangkan dengan senarai penuh antaranya ABS dengan EBD, ESC, Emergency Brake Assist (EBA) dan sejumlah beg udara.

Orang kata, cuaca di Malaysia tidak sesuai untuk menggunakan kereta Cabriolet namun sebenarnya kereta jenis itu sudah lama dipasarkan di dalam negara.

Peugeot misalnya tetap setia dalam memasarkan model itu cuma bumbungnya adalah jenis hard-top. Sukar agaknya DS3 Cabrio untuk dipasarkan di sini tetapi model-model Citroën lain tidak kurang hebatnya.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan antara strategi penurunan harga kereta ialah dengan membenarkan banyak model di dalam sesebuah segmen.

Citroën kini nampaknya ingin merebut kembali pasaran mereka. Pembeli pula lebih banyak pilihan yang meyakinkan dari pengeluar Eropah. Monopoli sesuatu jenama bukanlah suatu yang positif untuk pengguna.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved