Jumaat, 8 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak mahu bersikap hipokrit

Posted:

Tidak mahu bersikap hipokrit

Tidak mahu bersikap hipokrit

NABILA sedar setiap perlakuannya menjadi perhatian, namun dia tidak mahu terkongkong dengan persepsi khalayak.


CAKAP apa saja mengenai Nabila Huda, pelakon berwajah eksotik itu tetap dengan pendiriannya menggayakan apa jua busana seksi. Bukan bertujuan mencetuskan kontroversi tetapi, ungkap Nabila, itu adalah kehidupannya dan dia tidak mahu bersikap hipokrit.

Penampilan seksi Nabila atau lebih mesra disapa Abil itu bukan satu isu baharu. Ia isu lapuk yang sering dibangkitkan setiap kali aktres tersebut tampil dalam mana-mana acara hiburan, mahupun bergaya untuk kehidupan peribadinya.

Terbaharu, Nabila sekali lagi tampil seksi mengenakan bikini ketika bercuti di Pulau Mabul, Sabah dan memuat naik gambar-gambarnya bercuti di laman sosial Instagram miliknya, selain aksi dia bergambar dengan seorang model lelaki untuk muka depan sebuah majalah yang menjadi bualan.

Masih menerima kutukan dan amarah daripada peminat-peminatnya menerusi gambar-gambar tersebut, Nabila tetap bergaya seksi ketika menghadiri Festival Filem Malaysia yang ke-25 di Pusat Konvesnyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Pelakon berusia 29 tahun itu mengakui gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya bukan bertujuan untuk menimbulkan kontroversi tetapi sekadar untuk berkongsi tentang kegiatannya dengan peminat.

Ungkap heroin filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu, gambar tersebut kebanyakannya berkisark tentang tempat-tempat cantik yang pernah dikunjungi ketika penggambaran atau percutian.

NABILA memberitahu dia tidak terburu-buru untuk berkahwin semula.


"Ini adalah kehidupan saya. Jadi kenapa saya perlu hipokrit? Sebenarnya bukan pakaian yang ingin saya tunjukkan sebaliknya gambar pemandangan tempat percutian yang saya pergi.

"Saya tidak perlu privasikan gambar-gambar saya kerana saya public figure. Saya cuba normalkan kehidupan saya," jelasnya yang mengakui bukan mudah hidup sebagai seorang selebriti yang sentiasa diperhatikan orang.

Pinta anak kepada legenda rock, Amy Search itu, jika terdapat cerita kontroversi mengenai dirinya jangan melibatkan ayahnya kerana dia (Amy) tidak tahu aktiviti anaknya itu.

"Apabila ada perkara negatif mengenai saya, tolong cari saya sahaja. Jangan melibatkan ayah saya kerana saya sudah besar dan mempunyai kehidupan saya sendiri serta rumah sendiri.

"Saya tidak mahu dia risau dan kalau boleh saya mahu dia melihat bakat dan mutu kerja berbanding kontroversi saya," luahnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman Rafflesia sebagai penaja Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) di Kuala Lumpur.

Putus asa

Mengulas mengenai kutukan yang diterimanya, ujar Nabila, dia pernah berasa putus asa daripada dunia seni tetapi minatnya yang mendalam dalam lakonan membuatkannya kuat dan tidak berputus asa.

"Saya pernah rasa putus asa dengan komen-komen orang. Ada yang cakap akidah saya terpesong dan sebagainya. Tetapi kerana minat yang mendalam dalam dunia lakonan saya tidak putus asa," ulasnya yang tidak mahu lagi ambil peduli apa yang orang ramai katakan.

Tutup kisah kontroversi, Nabila bercerita pula mengenai perkembangan terbaharunya. Ibu kepada Keisha Laila, 3, itu bakal menjalani penggambaran pada bulan April ini untuk sebuah filem berjudul Yasmin.

Ujar Nabila, filem tersebut merupakan pencapaian tertingginya sebagai seorang pelakon kerana ia dihasilkan melalui gabungan Malaysia dengan dua buah lagi negara iaitu Indonesia dan Brunei.

"Ini adalah pencapaian terbesar yang diperoleh selama saya berkecimpung dalam bidang lakonan. Mungkin ini adalah peluang saya untuk mengembangkan karier lakonan ke negara Indonesia," ujarnya yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai filem tersebut.

Pada majlis sidang akhbar pengumuman Rafflesia sebagai penaja Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) itu bersama anak perempuannya, Keisha, ibu tunggal itu diajukan soalan bagaimana menjaga puteri kesayangannya memandangkan dia sibuk berlakon.

NABILA bersama anak kesayangannya, Keisha Laila. Dia mahu anaknya yang berusia tiga tahun itu menjadi seorang penyanyi.


Tidak sempurna

Ujarnya, walaupun dia tidak sempurna sebagai seorang ibu, dia juga berusaha memberikan yang terbaik buat masa depan anaknya.

Buat masa sekarang, kongsinya, dia akan memberi pendedahan kepada anaknya dengan membawa Keisha ke majlis-majlis hiburan dan juga lokasi penggambaran.

Bukan mendedahkannya kepada dunia lakonan, tetapi, menurut Nabila, dia mahu anaknya pandai bergaul dengan orang.

"Saya tidak sempurna seperti ibu-ibu yang lain, tetapi saya akan pastikan kasih sayang dan perhatian saya tidak kurang untuk dia.

"Bukan bermakna saya bawa dia ke lokasi penggambaran kerana ingin dia menjadi seorang pelakon. Kalau boleh saya mahu dia menjadi seorang pemuzik," tuturnya yang mahu anaknya mengikut jejak langkah seperti datuknya, Amy Search.

Mengakui sangat rapat dengan anaknya, jelas Nabila, setiap kali ada kelapangan dan tidak menjalani sebarang penggambaran drama atau filem, dia akan menghabiskan masa berkualiti dengan Keisha.

Ujarnya, dia dan Keisha lebih suka duduk di rumah dan dia memasak serta menghabiskan masa menonton televisyen bersama.

Ditebak sama ada dia tidak membawa anaknya bercuti ke pulau, ujar Nabila, Keisha masih lagi kecil dan tidak sesuai dibawa bercuti ke pulau dan menjalani aktiviti lasak.

"Dia kecil lagi. Tidak sesuai bawa pergi bercuti jauh atau ke pulau. Kalau saya mahu bawa dia mungkin hanya di pulau-pulau berdekatan saja," jelasnya.

Ujarnya lagi, jika dia sibuk bekerja Keisha akan dijaga oleh pembantu rumahnya. Keisha juga dihantar ke rumah Amy dan kadangkala anaknya itu juga dijaga oleh bekas suaminya, Zaidi Zailani.

Walaupun sudah bercerai, Nabila mahu Keisha mendapat kasih sayang yang lengkap daripada mereka sebagai ibu dan bapa kandungnya.

Nabila dan Zaidi bercerai pada Ogos 2011 kerana tiada persefahaman selepas tiga tahun berkahwin.

Salih bersara sebab letih

Posted:

Salih bersara sebab letih

Salih bersara sebab letih

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


SALIH akan bersara selepas kontraknya bersama Sinar FM tamat sekitar hujung tahun ini.


SALIH YAACOB memang terkenal sebagai seorang pelawak, biarpun hakikatnya dia juga merupakan seorang penyanyi, pelakon dan deejay radio di Sinar FM.

Tidak pernah dilanda kontroversi, kecuali isu dia berkahwin empat, Salih, 52, baru-baru ini telah menerima tempias sensasi yang wujud kesan daripada pembabitannya dalam video berjudul Bangkang Dari Longkang yang dimuat naik di laman YouTube baru-baru ini.

Video yang merupakan seakan-akan lakonan semula berkaitan parti pembangkang bersama Nabil itu telah membuat ramai peminat dan penyokong parti pembangkang menghentam Salih di laman Facebook.

Mengakui kecewa dengan video tersebut, Salih mengatakan ia merupakan salah satu sebab mengapa dia ingin mengambil keputusan untuk bersara. Namun, ia bukanlah punca utama Salih ingin meninggalkan bidang yang diceburinya sejak 33 tahun lalu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Salih yang ditemui pada majlis perasmian Hot Perfumes and Air Freshners yang bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh komen tentang isu persaraan Salih daripada dunia seni pada tahun ini?

Salih: Saya sebenarnya sudah letih bekerja dalam bidang seni sejak terbabit pada tahun 1980 lagi. Menjadi seorang penyampai radio juga sudah cukup membuatkan saya letih untuk duduk sepanjang hari. Sebenarnya, saya sasarkan sebelum ini, umur 50 tahun untuk berhenti dari dunia seni. Ini kerana, pada umur begini, sepatutnya saya perlu luangkan banyak masa dengan anak-anak dan keluarga, memandangkan keluarga saya kini lebih besar. Bagaimanapun, kini sudah berumur 52 tahun, jadi maknanya sasaran yang dibuat sudah terlebih. Kini di Malaysia, umur seperti saya sudah tidak boleh cerewet untuk meminta bayaran dan seumpamanya.

Jadi bilakah anda ingin berhenti dan apa perancangan selepas berhenti jadi artis untuk menyara keluarga kelak?

Saya sasarkan hujung tahun ini selepas tamat kontrak bersama Sinar FM, saya akan bersara. Saya juga mempunyai perancangan menjalankan bisnes yang melibatkan aset dan saya lihat ia mendatangkan untung yang berbaloi. Saya juga bakal dibantu oleh rakan-rakan yang lain yang arif dalam bidang tersebut. Selain itu, saya juga ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga kerana selama ini saya banyak terlepas momen dengan mereka dan apabila saya sedar, anak-anak semua sudah besar. Saya juga merancang untuk melancong bersama mereka.

Jarang artis menetapkan tarikh bersara seperti anda. Tidakkah anda sedih akan meninggalkan dunia seni yang telah banyak memberi kenangan kepada anda?

Saya minat bidang ini, tapi jika melihatkan zaman sekarang, penjualan album sangat sukar. Saya sebagai penyampai radio, takkan pula saya mahu mempromosikan album dan single saya pula. Kemudian, saya memang menolak tawaran berlakon kerana harga yang ditawarkan tidak menepati dengan alasan tiada bajet.

Jadi bagaimanakah dengan dakwaan yang mengatakan anda ingin berhenti kerana isu video tersebut?

Memang betul saya kecewa dengan industri dan ingin beralih bidang. Video itu juga merupakan salah satu sebab yang menguatkan keputusan saya untuk bersara. Ada hikmah berlakunya perkara tersebut dan saya rasa mungkin sudah benar-benar masanya untuk bersara. Sebenarnya video tersebut telah dihasilkan pada tahun lalu, namun ia disiarkan semula pada tahun ini dan ia menjadi satu isu.

Menyesal atau tidak berlakon seumpama itu sehingga dihentam oleh peminat?

Memang menyesal kerana selama ini saya buat hiburan yang sering menarik hati peminat. Tapi ini hiburan yang menyakitkan hati dan rasa seperti melakukan dosa. Pada mulanya, saya tidak perasan, tapi lama-lama saya baru sedar dengan lambang-lambang yang diletakkan dalam video tersebut. Itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Saya memang tidak pernah melibatkan diri dalam politik kerana saya bukan ahli politik, saya insan seni.

Awi Rafael jadi guru

Posted:

Awi Rafael jadi guru

Awi Rafael jadi guru

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

AWI RAFAEL pertama kali berlakon dalam drama khas sempena sambutan Hari Guru, Masih Di Awan.


NAMA penyanyi dan penulis lirik kelahiran Singapura, Awi Rafael semakin meniti di bibir peminat muzik tempatan. Lagu-lagu yang ditulisnya sering mendapat sambutan apabila dimainkan di corong-corong radio.

Single beliau berjudul Hari-Hariku yang dilancarkan pada 8 Februari lalu, mendapat sambutan hangat peminatnya. Justeru ia menyebabkan album kedua yang diberi judul Asalkan Aku Ok! turut mendapat penjualan yang memberangsangkan di pasaran Malaysia tidak kurang juga di Singapura.

Sedang hangat menjadi penyanyi, Awi kini melangkah setapak lagi apabila bakal bergelar seorang pelakon. Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Nabawi Gunawan bakal tampil dalam telemovie khas sempena sambutan Hari Guru yang berjudul, Masih Di Awan.

"Saya bersyukur kerana rezeki semakin bertambah dan sejujurnya, ini pertama kali saya akan berlakon. Dua minggu lepas, saya ditawarkan untuk menjadi seorang guru. Pihak produksi memberitahu ia watak yang memang dibuat untuk saya.

"Masih Di Awan mengisahkan tentang seorang bakal guru bernama Adam yang suka bermain muzik dan gitar. Ia juga mengisahkan tentang persepsi serta dugaan menjadi seorang guru.

"Saya diminta oleh pengarah untuk menjadi diri sendiri dan tidak salah untuk saya mencuba perkara baharu," jelas Awi ketika majlis pelancaran telemovie tersebut bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, kerana ingin mengambil tawaran berlakon, dia terpaksa membatalkan empat persembahan yang telah disusun untuk memberi komitmen penuh terhadap lakonan.

Masih percaya pada rezeki, tutur Awi, walaupun terpaksa membatalkan empat persembahan, namun ia boleh dikatakan berbaloi. Ini kerana, single terbaharu, Hari-hariku telah dipilih untuk menjadi runut bunyi telemovie yang bakal ditayangkan pada 14 Mei ini.

"Saya melihat ia sebagai satu peluang juga untuk mempromosikan single terbaharu saya itu. Kini, saya sudah bersedia untuk menjadi pelakon dan rasakan ia masa yang sesuai kerana karier saya sebagai penyanyi juga boleh dikatakan telah kukuh dalam industri muzik di sini," jelasnya ringkas ketika ditanya mengapa terfikir untuk berlakon kini.

Hanez tidak mahu Awi aktif berlakon

Mempunyai seorang kekasih yang juga bergelar pelakon, tutur Awi dia banyak berbincang bersama kekasihnya, Hanez Suraya sebelum menerima tawaran ini. Walaupun sentiasa menyokong karier dan keputusan yang dibuat Awi, namun, Hanez tidak menggalakkan teman lelakinya itu aktif dengan dunia lakonan.

"Hanez lebih senang jika saya hanya tumpukan perhatian pada karier nyanyian sahaja. Ini kerana, buat masa sekarang juga, sejujurnya, kami jarang berjumpa kerana masing-masing punya jadual karier yang padat.

"Mungkin dia tahu bagaimana jadual seorang pelakon dan untuk membuat dua kerja dalam dua bidang berbeza, akan padatkan lagi jadual saya kelak. Jadi, dia tidak mahu kami masing-masing terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk berjumpa," akui Awi jujur memberitahu tentang pendapat peribadi Hanez tentang keputusan dirinya untuk menjadi pelakon.

Telemovie Masih Di Awan akan ditayangkan di saluran TV2 pukul 10 malam bersempena Hari Guru pada 14 Mei 2013. Antara pelakon lain yang terlibat ialah Ruby Oii, Fatimah Abu Bakar, Thor Ka Hong, Jefri Sulaiman serta Tania Zahra.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved